Monday, June 30, 2008

Cerhypen II

Eton masih lagi menjalar di atas katil. Matanya terpaku ke siling biliknya. Lengan mulus lagi gebunya itu terletak di atas dahinya yang sedikit jendul. Siling plywood berwarna putih itu ditenungnya seolah-olah pengelihatannya dapat menembusi ruang disebaliknya. Fikirannya masih lagi berputar ligat seperti kipas meja yang terletak di sudut bilik kecil yang dihuninya itu, atas segala kata-kata ibunya petang semalam.

Eton masih lagi belum bangun dari perbaringan. Rasa malas menyelubungi dirinya. Lebih-lebih lagi atas perkhabaran ibunya semalam. Hidupnya rasa seperti tidak bermakna lagi, bangunnya pula dirasakan tidak bermaya. Kata-kata ibunya seperti halilintar yang membakar pantas tunas-tunas cintanya yang baru hendak bercambah kepada Karim.

Ya, Karim yang menyelamatkan dia dari terus menjadi mangsa nafsu rakus si Jalal. Karim itulah.

Ada air hangat yang bergenang dikelopak matanya. Menanti masa untuk jatuh berderai. Dadanya mula sebak, mengenangkan saat-saat Karim membantu dia mengharungi fasa hidup 'pasca Jalal' - peristiwa hitam petang jahanam yang hampir-hampir menyebabkan Eton menentukan takdir hidup matinya sendiri seterusnya menempah tiket sehala ke neraka.

Di situlah hadirnya sekelumit sinar. Sinar yang di bawa pemuda bernama Karim. Karimlah yang menyelamatkan Eton, mengembalikan sisa-sisa nafas Eton beberapa ketika setelah dia terjun dari tebing Sungai Dara yang berarus deras itu. Sangka Eton, kepergiannya akan lebih memudahkan urusan kedua orang tuanya, kematiannya akan mengembalikan maruah bapanya sebagai orang agama dalam kampungnya.

Selepas tersebarnya cerita petang jahanam itu ke serata kampung, Yahya anak bekas YBlah yang paling teruja sekali. Ini peluang terbaik, fikir Yahya. Peluang terbaik untuk menjatuhkan Haji Nasir yang merupakan imam besar kampung itu. Dengan jatuhnya Haji Nasir, maka kuranglah sokongan orang kampung kepada Tok Sidang KK.

Betul, Haji Nasir itu kroni Tok Sidang KK. Semua orang tau.

Cerita ini bergabung pula dengan cerita projek runding terus jambatan merentangi Sungai Dara yang bakal dapat memendekkan masa orang kampung untuk ke pekan pasti akan mengangkat saham Yahya ke tahap yang lebih tinggi, besar jasanya itu kepada orang kampung. 100 tahun pun belum tentu orang akan lupa jasanya itu. Itu belum campur jasa bapanya masa 5 tahun jadi YB dulu membina jalan berturap tar dari tanah Pak Ali Perong sampailah ke hujung kampung, betul-betul sampai ke sempadan tanah Pak Abas Dua Jari dengan kampung sebelah, yang jaraknya tak sampai pun 3 kilometer. Yahya tersenyum sendirian.

5 tahun jadi YB, orang kampung hanya dapat jalan tar yang tak sampai 3 kilometer itu. Itupun peruntukan menjelang tibanya pilihanraya. Kalau tak, haram tayar basikal Pak Abas Dua Jari tak merasa nak mencium batu tar sepanjang usianya.

Tak menunggu lama, Yahya anak bekas YB petang esoknya juga turun ke kedai kopi Janda Kiah dengan misi yang murni pada fikirannya itu, untuk menggulingkan Tok Sidang KK dan menjadi ketua kampung paling muda dalam sejarah kampungnya!

Yahya anak bekas YB langsung tidak mengetahui apa yang menunggu dan apa yang bakal terjadi nanti, barangkali kalau dia mengetahuinya, sumpah junjung Quran dia tidak akan turun ke kedai kopi Janda Kiah petang itu!

Karim ada duduk bersandar di balik pangkin kayu beluti yang tersusun rapat menjadi bangku tempat orang-orang tua, budak-budak muda duduk melepas lelah menghirup secawan dua kopi Janda Kiah yang pekat lagi lazat.

Kopinya yang pekat, tuan punya kedai itulah yang lazat.

Semenjak peristiwa itu, Karim menjadi seorang yang pendiam,membuat orang menjadi lebih gerun kepadanya. Oleh itu duduknya di kedai kopi Janda Kiah tiada siapa yang mengganggu dan mengambil peduli. Karim duduk dalam dunianya sahaja. Orang kampung barangkali masih terbayang muka Ah Soh yang herot perot, bercalar balar, berbirat birat, bahana dibelasah Karim setengah mati, juga barangkali seram sejuk mengenangkan Jenal budak kampung sebelah patah riuk kakinya dilaukkan dek tulang empat kerat si Karim.

Yahya anak bekas YB duduk diantara Pak Abas Dua Jari, Pak Ali Perong, Wak Mun, Jali Peon dan Din Mardi. Memulakan syarahnya berbakul-bakul melemparkan cerita-cerita busuk dan buruk dua orang seteru politiknya itu.

Tok Sidang KK dicercanya tak tau jaga binatang ternaknya, sampai habis kebun sayur Said Pertanian di ragut lembu-lembu Tok Sidang KK. Cerita Jalal masuk parit dek mengelak lembu Tok Sidang KK pun masuk dalam senarai cerita Yahya.

Padahal tanaman Said dirodok babi hutan yang entah mana arah datangnya, lembu Tok Sidang KK sudahnya jadi bahan cerita.

Cerita panas Eton dan Jalal, jadi agenda seterusnya. Cerita paling sensasi orang kampung masa kini, yang entah siapa punya angkara pembawa cerita, orang kampung pun tak tau. Si Yahya tau pun dari si Mamat cucu Pak Abas Dua Jari, Wak Mun dengar dari Pak Ali Perong, Pak Ali pula dengar dari si Jali Peon si Jali Peon pulak dengar dari Sarjan Usin.

Sarjan Usin kerja dekat balai di pekan, bapa kepada si Mamat.

Karim dari tadi meneliti setiap tutur kata perbualan orang-orang kampung yang bergebang dengan si Yahya. Setiap kali nama Eton terdengar di telinganya, setiap kali itulah juga telinganya semakin memerah, pijar dan panas. Tangannya menggelatar sehinggakan kopi yang cuba dihirupnya tertumpah-tumpah atas jeans Live's lusuhnya itu.

Tangan kirinya menggenggam erat kayu beluti yang menjadi alas punggungnya itu. Semakin lama semakin erat genggamannya seperti tak dapat untuk dileraikan lagi.

"Prapppp!!!"

Beluti yang dipegang Karim singgah keatas meja. Tercampak segala piring, cawan, kuih muih yang terhidang di atasnya. Wak Mun sudah tertonggeng ke dinding warung. Din Mardi sudah melompat naik ke atas Vespanya. Pak Ali Perong dah tertonggeng-tongeng, tersungkur-sungkur melarikan diri dari amukan si Karim.

Orang lain tak tau perasaan Karim terhadap Eton.

Tinggallah si Yahya anak bekas YB, rakan Karim yang selalu menonton DVD panas di rumahnya. Berpeluh-peluh si Yahya melihat Karim dengan mata yang merah macam biji saga dan mukanya yang merah padam. Peluh jantan mengalir mencurah-curah.

Dalam hatinya terbayang Ah Soh dan Jenal.

Dari kejauhan, Pak Abas Dua Jari yang lebih dulu meluru keluar dari kedai janda Kiah tadi, dalam keadaan menggeletar, melihat kelibat Karim menghayun-hayun kayu beluti kearah susuk tubuh yang sudah tersembam, lunyai di atas lantai simen kedai kopi Janda Kiah.

***
"Eton, minggu depan kita ke baroh, rumah Janda Kiah, nak buat kenduri, si Kiah tu tak lama lagi dah tak menjanda lagi...."
"Aaarr...syukurlah, ada jugak jodoh dia tu ye mak?"
"Tu lah...orang kata kalau dah jodoh tak kemana...."
"Dengan siapa mak?"
"Si Karim..",

Friday, June 27, 2008

Penat

Selasa depan, cukup la 3 kali aku turun naik Cameron Highland dalam masa seminggu. Letih tak ingat, bukan enjin kereta saja perlu diservis, badan pemandu juga perlu diservis sekali sekala.

Spa? Rumah urut? Sesiapa tahu tukang urut yang bagus-bagus?

Letih memandu, kalau dapat berendam dalam air suam dalam air panas sambil dikelilingi bidadari.... kan best?

Wednesday, June 25, 2008

Cerhypen - Cerita Hyper Pendek. Untuk Bacaan Pembaca Matang Sahaja

Karim menghampiri bangsal usang di penghujung kampung, betul-betul bersempadan dengan tanah Pak Abas Dua Jari. Bangsal itu sangat usang, dinding terkopak-kopak, bumbungnya rongak-rongak. Ada atap nipah ada bumbung zink, tiangnya pula pendek-pendek, berceracak memenuhi tanah sekangkang kera betul-betul bersempadan dengan tanah Pak Abas Dua Jari.

Motor Jalal ada tersandar di balik tiang bangsal lusuh itu. Motor Honda Cup C70 warna berbelang-belang, kelabu dan perang, perang kena lecak dekat jalan masuk tadi, perang sebab malam semalam Jalal hampir berlanggar dengan lembu, lembu dielak, parit depan rumah Tok Sidang KK pula yang ditujunya. Jalal kata, lembu tu bodoh, duduk dekat tengah jalan, Karim pula kata, Jalal yang bodoh, motor tak ada lampu, bawa laju-laju. Si Yahya anak bekas YB kata, Tok Sidang KK tu yang bodoh, pasal tak tau jaga belaannya sampai menyusahkan orang kampung.

Lembu tu memang Tok Sidang KK yang punya, Si Yahya pulak dah daftar nak jadi calon bertanding jadi Ketua Kampung!

Karim dengar ada orang berborak-borak, satu suara lelaki satu suara betina. Takkan suara betina tu suara Jalal pulak kot! Sudah tentu suara lelaki tu milik Jalal, tapi suara betina tu tidak pulak Karim cam suaranya. Sesekali terdengar derai ketawa mereka. Karim cepat-cepatkan langkahnya, mau tahu dengan siapa Jalal bersenda tawa.

Semalam sebelum mereka balik, Jalal ada cakap, dia ada nampak hantu petang sebelumnya dekat bangsal buruk tempat dia, Karim, Mamat cucu Pak Abas Dua Jari dengan Yahya anak bekas YB main judi bila dapat duit padi. Kecut perut semua dengar cerita Jalal. Jalal kata sampai terkencing-kencing dia atas motor lari dengar hantu tu ketawa mengilai-ngilai. Karim saja yang tak kecut, dia suka benar akan hal-hal mistik sebegini.

Karim membesar dengan buku-buku cerita hantu dan jin Tamar Jalis berlambak-lambak dekat rak buku kakaknya, bila dah besar sikit, dah pegang duit sendiri, buku-buku macam Mastika pula jadi bahan bacaannya. Siri Seekers dekat tv tidak pernah barang sekali pun dia terlepas, itu belum lagi tabiatnya yang sorok-sorok pergi rumah Janda Kiah sebab nak tengok Expose Mistik, sampai berebut remote control Astro dengan anak-anak Janda Kiah yang selalu menangis bila tak dapat tengok rancangan kegemaran mereka setiap kali Karim datang ke rumah mereka.

Janda Kiah selalu minta tolong Karim beli barang dapur, kadang-kadang jadi buruh, kepala paip rosak, Janda Kiah minta Karim betulkan, reban ayam belakang rumah roboh kena sondol biawak lapar pun Karim yang betulkan, kadang-kadang urusan bayar bil dekat pekan pun Karim yang tolong jelaskan, tapi bukan duit dari poket Karim sendiri, kerja pun ambil upah ke sawah, cukup makan pakai saja, kalau menang main judi lepas musim menuai, ada jugalah lebih sikit buat beli baju t-shirt baru atau sehelai dua seluar jeans Live's dekat pekan sana.

Seluar Live's ejaannya itu memang begitu, sebab Karim memang tak mampu nak beli sepasang Levi's yang beratus-ratus sepasang. Duit banyak tu, buat modal berniaga burger lagi bagus katanya. Itu katanya lepas dengar ceramah usahawan anjuran belia 4B kampungnya, tapi semalam dia kata duit banyak tu buat top-up kredit panggilan prepaid nya lagi bagus, malam-malam boleh sms Eton anak dara Haji Nasir imam masjid kampung, untung-untung dapat kahwin anak tok imam katanya.

Karim sudah berada dekat belakang bangsal uzur yang menunggu masa rebah ke bumi. Sesekali terdengar suara wanita itu menjerit kecil disusuli dengan bunyi-bunyi berdesis, penuh berahi, macam dalam cerita 'VCD panas' yang Karim selalu tonton dekat rumah Yahya anak bekas YB tiap-tiap hujung minggu.

Tapi itu dulu. Beberapa tahun dulu, sekarang sudah tak tengok VCD panas lagi, Karim dengan kawan-kawannya tengok DVD panas pula, tapi masih di rumah Yahya anak bekas YB, juga tiap-tiap kali hujung minggu.

Tiba-tiba bangsal bergoyang-goyang, macam berlaku gempa bumi, Karim terkejut lalu terus berlari ke hadapan menuju ke pintu masuk yang sudah tidak bertangga itu. Terkejut sekali lagi si Karim melihat si Jalal sedang bertenggek atas badan seorang perempuan yang bertelanjang bulat tanpa seurat benang pakaian pun di badannya, si Jalal masih lagi berseluar, tetapi seluarnya sudah ke paras lutut dan berlengging tidak berbaju.

"Hoi, kau buat apa tu hah!"

Sergah Karim. Merah menyinga mukanya, menggeletar tapak tangannya menunggu masa untuk melekap di pipi Jalal. Terkejut beruk si Jalal lantas lari lintang pukang meninggalkan bangsal uzur itu. Juga motosikal buruknya itu. Takut kena balun dengan si Karim.

Karim pernah belasah Ah Soh penjaja ikan dari bagan pasal langgar budak melintas jalan masa balik sekolah. Setengah mati Ah Soh tu dikerjakannya, sampai sekarang Ah Soh tak menjual ikan di kampungnya lagi. Karim pernah belasah Jenal, samseng kampung sebelah pasal saja-saja jatuh badan dalam kotak penalti masa perlawanan bolasepak anjuran YB kampungnya setiap kali musim pilihanraya. Sepertimana Ah Soh, Jenal tidak lagi berani datang ke kampungnya lagi hatta pada hari raya.

Si betina yang bertelanjang tadi itu, bangkit dari perbaringannya, kedua-dua belah tangannya menekap ke dada. Rambut kusut masai lagi panjang berjurai itu menutup wajahnya. Lalu mendongak ke arah Karim yang masih menggeletar tangannya.

"Abang Karim..."

Karim menoleh ke arah betina yang menyundal dengan si Jalal tadi.

"Hah, Eton????"

Terkejut lagi buat kali yang seterusnya si Karim. Anak dara Haji Nasir, anak imam kampung boleh jadi macam ni. Tapi itu tak membuatkan dia naik darah lagi, tapi masalahnya, malam tadi baru Eton balas sms Karim, Eton kata Eton cintakan dia, sanggup jadi isteri dia, sanggup jadi suri hidupnya. Karim pun sudah berkira-kira upah menuai musim ini hendak dijadikan belanja kahwin dia dengan Eton.

Karim tak sanggup lagi nak tengok DVD panas setiap minggu di rumah Yahya anak bekas YB.

Harapannya hancur musnah kini. Karim menggertap bibir. Karim kata biar sampai ke lubang cacing pun akan di carinya Jalal. Biar dibelasahnya puas-puas. Lumat-lumat, sampai lunyai. Sampai masuk penjara pun Karim sanggup. Hasrat hati nak tengok hantu, rupa-rupanya Jalal yang jadi hantu. Hantu punya Jalal! Sumpah Karim.

Dalam masa yang sama Jalal duduk dibelakang lori babi yang ditahannya tadi yang sedang perjalanan ke Kuala Lumpur, melarikan diri dari Karim dan kampungnya buat selama-lamanya.

Saturday, June 21, 2008

Perhimpunan 100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor




Gambar-gambar sekitar perhimpunan 100 hari di Stadium Shah Alam

Thursday, June 19, 2008

Banyak Sangat Nak Ditulis

I


Dipetik dari KLpos:

Ali Rustam gesa MP BN tolak usul
Oleh Bernama
Khamis, 19 Jun 2008

MELAKA: Semua anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) perlu menolak usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen Isnin ini, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata semua anggota parlimen BN perlu mempertahankan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN.

"Tindakan untuk mengemukakan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri di parlimen (dijangka Isnin ini) adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak demokratik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini sebagai mengulas kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee hari ini bahawa partinya telah hilang kepercayaan terhadap Abdullah dan dua anggota parlimennya Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul itu.

Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata "Yong Teck Lee dan SAPP perlu dipecat daripada menjadi anggota BN".


Aduyaiii..(pinjam Nabil Raja Lawak punya tagline), sekarang ni, siapa yang tidak demokratik dan tidak bertanggungjawab? Bukankah dalam pengamalan sistem Demokrasi Berparlimen ini, sesiapa dalam Parlimen jua berhak menyuarakan pendapatnya, dah MP-MP Sabah itu rasa Pak Lah tak boleh nak beri apa yang mereka tuntut, mereka berhak menuntut hak mereka kembali, bukankah itu amalan demokrasi? Yang kau suruh-suruh, paksa-paksa, minta-minta orang lain supaya jangan sokong tu apa ke halnya? Itu bukan demokrasi, itu demokrasi terpimpin kepala hotak kau (macam dalam cerita P Ramlee daa..) Lu fikirlah sendiri!

Aku memang berbulu dengan mamat bernama Ali Rustam ni, sejak malam keputusan PRU12 Mac lalu. Angkuh lagi sombong. Tak boleh terima betul aku dengan orang semacam ini.


II

Demam EURO 2008 sudah sampai ke tahap-tahap genting. Malam ini perlawanan suku akhir akan bermula dengan Portugal bertemu Jerman. Jerman ini bekas pasukan kegemaran aku, dengan corak bolasepak macho dengan rembatan-rembatan deras dari jarak jauh, tetapi sekarang aku sudah beralih arah menyokong pasukan Belanda, atas satu sebab saja, aku ada dua jersi Belanda Home dan Away made in Siam dalam simpanan aku. Hehehe...

Namun begitu, kepada penyokong-penyokong Selangor, musim depan kita akan beraksi dalam AFC Cup kerana berjaya melangkah ke Akhir Piala FA mengiringi Juara Liga Super Kedah yang akan diadakan pada Sabtu ini. Dalam kemeriahan menonton bolasepak antarabangsa, janganlah terlupa pasukan tempatan, khasnya buat Penyokong Merah Kuning hadirlah beramai-ramai ke Stadium Shah Alam hari Sabtu ini. Datang dengan rakan taulan, keluarga, anak beranak, saudara mara kita kasi tenggelam suara fan Hijau Kuning! Yeahhhh!!

III

Kenaikan bahan api memang dirasakan oleh semua lapisan masyarakat. Yalah, bagi sesiapa yang memandu kereta Wira misalnya, kalau dulu isi RM30, dari takuk E pun sudah boleh mencecah setengah tangki, tapi sekarang betapa sakitnya hati melihat kiraan di pam, isi RM 30 hanya dapat 11 liter sahaja, tengok pada gauge, jarum hanya naik sedikit, kalau isi dari paras E, suku tangki pun tidak dapat dicecah. Bayangkan sekarang betapa kecilnya RM50 di dalam simpanan saku anda. Itu baru lihat dari segi kenaikan harga petrol, kita sedia maklum dan tahu, naik saja harga bahan api, pasti dan seyakinnya pasti (macam lagu Iris pulak) harga keperluan sudah pasti naik dengan kadar yang sesegera mungkin.

Pengguna dan rakyat sudah tentu marah, tetapi kita mahu marahkan siapa? Peniaga runcit? Mereka adalah peniaga, dan mana ada peniaga di dunia ini sanggup rugi? Apabila pemborong menghantar barang ke kedai runcit mereka dengan kadar harga yang baru yang lebih tinggi takkan lah peniaga runcit ini mahu menggunakan harga lama? Itu belum lagi pekedai-pekedai runcit di bandar-bandar yang terpaksa bersaing dengan pasaraya-pasaraya borong yang lebih canggih dan berpendingin hawa itu. Off topik pula, maafkan saya...heh.

Rakyat mahu marah, tapi marah pada siapa? Petronas? Apakah Petronas berkuasa menentukan harga yang dijualnya di pasaran? Siapakah yang menentukan harga bahan api di pam-pam seluruh negara?

Budak tadika pun boleh jawab sekarang ni soalan tadi, sudah tentulah Pak Lah yang tentukan dengan geng-gengnya yang bermesyuarat di Putrajaya.

Tapi sebelum marah, kita perlu halusi kemarahan kita tadi, supaya kemarahan kita itu bukanlah sekadar marah yang penuh emosi yang meluap-luap, tetapi kita fikir apakah matlamat utama kemarahan kita itu? Jika sekadar emosi, bila sudah lama-lama nanti akan hilang kemarahan kita itu, jadi kerana apa perlu kita perhalusi rasa marah kita itu.

Pertama, rakyat perlu tahu dengan terang, bahawa segala pendapatan kerajaan yang diperoleh dari Petronas, dan perlu tahu apakah perbelanjaan-perbelanjaan dan segala perancangan untuk membelanjakan pendapatan negara yang ada. Rakyat tidak mahu dihamburkan dengan retorik-retorik bahawa kita tidak boleh terus bergantung dengan subsidi jikalau tidak negara akan muflis. Apakah Pak Lah dan konco-konconya yakin mereka dapat meyakinkan rakyat dengan kata-kata selepas apa yang berlaku tidak selari dengan apa yang dikatakan kepada rakyat? Tunjukkan bukti bahawa memang betul pendapatan negara sudah berkurang, dan jikalau betul pemberian subsidi minyak membebankan negara, saya percaya rakyat boleh menerimanya.

Soalan seterusnya, jikalau benar berlaku kekurangan dalam pendapatan dan simpanan harta negara, apakah Kerajaan yang ada sekarang tidak berupaya untuk mentadbir urus harta dan dana negara yang banyak ini sehingga sampai ketahap untuk memberi subsidi kepada rakyat pun boleh menyebabkan negara muflis?

Sekali lagi, saya yakin seyakin-yakinnya, jikalau Kerajaan yang ada sekarang telus dalam pentadbiran dana negara, teliti dalam membuat keputusan yang membabitkan kehidupan rakyat (keputusan tak terburu-buru dan dibuat tergesa-gesa macam kes Singaporean dan Siamese yang tak boleh beli minyak 50km radius dari sempadan, beberapa hari sahaja bertahan, keputusan gaji 2 kali sebulan penjawat awam tiba-tiba jadi cadangan pula) menampakkan kedangkalan dikalangan pemimpin-pemimpin negara yang bertindak terburu-buru dan tak tetap dengan keputusan mereka.

Persoalan seterusnya, adakah anda percaya lagi bahawa orang-orang ini boleh terus memegang tampuk pemerintahan negara dan membiarkan mereka memperlakukan sesuka hati dalam keputusan yang membabitkan kelangsungan hidup rakyat jelata di Malaysia ini?

IV

Aku rindu dengan Sarah Afiqah, hujung minggu baru dapat jumpa, hanya gambar dan rakaman video menjadi pengubat rindu di kala sendu isk...isk....


Sarah Afiqah menjeling Babah nya


Sarah Afiqah beraksi depan kamera




V

Sidang Paklimen hujung minggu lepas menyaksikan ramai ahli-ahli Paklimen turun ke dewan Pak Li untuk membahaskan isu-isu kenaikan harga minyak, dan kenapa di waktu-waktu genting ini, Ahli Paklimen Sg Pinang Sdr Apai boleh melancong keluar negara? Juga ahli-ahli Paklimen meminta jawapan dari Ahli Paklimen Setia Alam, Sdr Labu kerana sudah lama tak nampak batang hidung.

Dewan juga gamat apabila ada ahli Paklimen baru yang masuk kedalam dewan iaitu Ahli Paklimen Seri Tiram iaitu saudara Ally yang tiba-tiba dipanggil masuk bersidang.

Bila lagi nak melepak nih geng?


Ketika membahas topik Hutan Khazanah Negara bersama AP Bukit Kapar, Sdr Ihsan yang calar balar tangannya kerana baru pulang dari ekspedisi hutan dara Terengganu ke Pahang.


AP Sg Pinang di soal oleh AP Damansara Sdr Bert tentang perbelanjaannya di Kunming China minggu lepas sambil AP Seri Tiram menyokong usul supaya AP Bukit Kuda supaya silent kan handphone nya.

Friday, June 6, 2008

Sarah Afiqah

Nama itu bukan nama awek baru aku, bukan juga nama bakal isteri kedua aku tetapi itu adalah nama cahaya mata aku yang pertama yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada aku untuk menjaganya.

Maha suci tuhan yang telah menjadikan.

Dalam kesingkatan masa ini, aku ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat, rakan taulan yang telah memberikan kata-kata tahniah dan kata-kata semangat, ingatan kalian amat aku hargai.


Sarah Afiqah Binti Asyran bukti aku seorang lelaki...heh.....


Alhamdulillah, syukur!



Menunggu saat getir dalam labour room


Baru lepas timbang..3.45 kg

Sleeping beauty


Dah pandai buka mata la dia..

Sarah Afiqah Binti Asyran menunjukkan cara yang betul untuk tidur bagi bayi

StatCounter