Monday, August 20, 2007

Bodoh punya Rob Styles!

Liverpool 1 - 1 Rob Styles.

Rob Styles malam tadi adalah 'man of the match' dalam perlawanan Liverpool menentang Chelsea di Anfield. Entah apa yang dilihatnya sehingga beliau memberikan 'unbelievable' (bak kata Rafa) sepakan penalti kepada Chelsea, yang meragut 2 mata berharga dari Liverpool untuk memastikan bahawa The Reds adalah pencabar utama Liga Perdana Barclays musim ini.

Bodoh! Kayu! Mangkuk! Keldai punya referee!

Nampaknya, perang mulut antara pengemudi Chelsea dan Liverpool akan berterusan sampai bila-bila, dan kejengkelan aku terhadap pasukan ini juga akan terus kekal, sama jengkel apabila melihat aksi dan reaksi Drogba ataupun Mourinho.

Tapi dari sudut yang positif, Torres selaku pemain termahal Liverpool musim ini, telah menunjukkan apa yang mampu beliau buat dan dengan golnya tersebut yang menewaskan Ben Haim dengan larian pantas dan bijak serta membuatkan Petr Cech terkesima seketika. Jikalau barisan pertahanan kental seperti yang dimiliki Chelsea pun beliau boleh kucar kacirkan, apatah lagi pasukan yang kurang handal seperti Manchestar United yang belum menang dan hanya menjaringkan satu gol dalam 3 perlawanan pembukaan mereka musim ini.


aksi Torres setelah menjaringkan gol

Sebut fasal Manchester United, takziahlah kepada penyokong-penyokongnya kerana dengan pasukan seperti Manchester City pun boleh kalah, tak payah berangan lagilah musim ini!

p/s: Buat Litat, sokong team Kedah je la tat, tak pun My Team, tak sakit hati. hehehhee....

Saturday, August 18, 2007

Futsal - Selepas setahun

Malam tadi, setelah lebih kurang setahun, aku turun kembali ke gelanggang futsal, kali terakhir bermain, adalah dalam sesi latihan beberapa hari sebelum pertandingan futsal inter-bekas pelajar SMKAKS tahun lepas. Malam tadi, jam 11 malam bertempat di Gelanggang futsal Sportsplanet Seksyen 16 Shah Alam telah diadakan acara futsal jemputan untuk rakan-rakan terdekat.

Kira-kira 20 hadir iaitu saudara Cpot selaku urusetia yang menyediakan tempat dan membuat tempahan gelanggang, aku selaku tukang jemput, Angah (adik aku) dan rakannya, Along Hafiz (sepupu aku) dan rakannya, Squin (bekas teman serumah) dan adiknya, Tuan Yazid (yang datang dari Muar BUKAN semata-mata untuk bermain futsal...heh), Ihsan, Jibam bersama teman wanita, Kacap, Yan Tasar, Arul, Litat, Hazly, Nafis, Semut, Jamili dan rakannya.

Seperti biasa, peraturan 2 gol atau 5 minit digunakan dalam permainan ini. Walaupun tujuan sebenar antara yang hadir bukanlah semata-mata untuk beriadah ataupun mengeluarkan peluh sambil membakar lapisan-lapisan lemak yang tepu tetapi adalah untuk merapatkan lagi tali silaturrahim antara kami dan berjumpa dengan rakan-rakan yang sudah lama tidak ketemu.

Mudah-mudahan ada lagi sesi mem'futsal' lagilah selepas ini. Berat pun dah makin bertambah, kalau boleh menderma lemak, aku dah lama derma pada yang lebih memerlukan seperti si Farah. Hehehe....

Thursday, August 16, 2007

Sibuk, tapi tak macam sibuk pun?

Minggu ini sibuk dengan tender-tender, projek di Rompin dan satu lagi projek di Putrajaya. Jumpa pelbagai orang, pelbagai ragam manusia.

Berkenaan dengan projek di Putrajaya, syarikat aku perlu memohon permit untuk penggunaan diesel, oleh itu aku perlu berurusan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang terletak di Bandar Baru Salak Tinggi. Berurusan dengan seorang pegawai, Cik Noordiyana namanya. Cantik orangnya, sedap mata memandang. Namun tidaklah diturutkan kemahuan untuk berkenalan, maklumlah, sudah berkeluarga, masa bujang dulu pun bukannya ada keberanian sangat pun dalam bab mengurat ni. Hal ini seterusnya harus dirujuk ke Jabatan Bomba yang terletak di Cyberjaya. Dari Salak Tinggi ini aku hanya tahu satu jalan sahaja untuk ke Putrajaya dan Cyberjaya iaitu melalui lebuhraya Elite semula. Namun aku tahu, pasti ada jalan persekutuan atau jalan negeri yang lain yang boleh aku ikuti.

Aku hubungi Jambatan Bomba Cyberjaya untuk memberi petunjuk laluan kepada aku, dan setelah sesat barat hingga hampir sampai ke Banting, termasuk ke Pekan Dengkil~ yang belum lagi aku jejaki dalam negeri Selangor ini, namun ada hikmahnya aku tersesat kerana barulah aku mengetahui bahawa betapa dekatnya pekan Banting dengan KLIA, iaitu kira-kira 20km sahaja dari Masjid cantik di sebelah Lebuhraya ELITE menuju ke KLIA. Senanglah nanti untuk balik ke sana, (Banting juga merupakan antara kampung yang termasuk dalam sistem penggiliran balik berhari raya...heh) di mana selama ini aku hanya membayangkan di dalam kepala bahawa untuk ke Banting dari Puchong hanya melalui Klang, dan itu telah menggandakan jarak perjalanan aku sebanyak sekali ganda.


gambar dari Google Earth menunjukkan tempat yang baru dibuka dalam 'peta minda' aku

Dengan ini juga aku sudah mengetahui jaringan jalanraya bermula dari Tol LDP berhampiran Putrajaya menuju ke Dengkil dan jika diteruskan perjalanan hingga ke hujung jalan tersebut anda boleh sampai ke Bandar BAru Salak Tinggi, Sepang, Nilai dan KLIA / LCCT tanpa membayar wang yang banyak jika melalui ELITE.



Bercakap fasal gadis cantik bernama Noordiyana tadi, sebenarnya beliau tu merupakan teman wanita kepada rakan aku, Razli Mat Arup yang lebih dikenali sebagai Koyok. Kecil betul dunia ini!


Monday, August 13, 2007

Aku dan Muzik

Kali ini aku ingin bercerita tentang proses tumbesaran aku dengan muzik. Aku memang minat dengan muzik, kadangkala muzik memainkan peranan dalam pembentukan emosi dan perasaan dalaman aku, dari usia aku sebelum akil baligh sehinggalah sudah boleh mengundi dalam pilihanraya umum. Dengan muzik juga aku dapat kembali ke zaman silam, mengenang nostalgia-nostalgia seiring dengan tahap kepopularan muzik tersebut di zaman itu. Aku bukanlah seorang borjuis ataupun seorang yang dibesarkan dalam golongan bangsawan atau berada, maka muzik yang aku dengar bukanlah bersifat klasikal seperti Mozart, Beethoven ataupun bersifat kebangsawanan seperti opera, akan tetapi lebih kepada muzikal pop yang bersifat mainstream (aliran teras) yang dinikmati oleh setiap orang dari segenap lapisan masyarakat.

Muzik di awal waktu pembesaran aku, iaitu di zaman kanak-kanak pra sekolah banyak dipengaruhi oleh lagu-lagu dari Allahyarham Sudirman Hj Arshad, Alleycats, Jamal Abdillah, Jay-Jay, Shidee dan Ibnor Riza. Di rumah sewa lama yang terletak di selekoh Batu 9 Tg Karang, pernah aku teringat yang mana arwah bapaku mempunyai sebuah radiogram lengkap dengan pemain piring hitam di atasnya, dan piring-piring hitam dari Alleycats yang memenuhi segenap ruangan rak di sisinya.

Setelah kami berpindah ke Kuarters Pertanian lewat tahun 1986, minat aku pula mula terarah kepada lagu-lagu rock dan masih juga lagi lagu-lagu pop dari penyanyi seoerti Ramlah Ram, Fauziah Ahmad Daud, M Nasir dan Jamal menjadi siulan menyulam bersama tumbesaran aku sebagai seorang budak laki-laki.

Menjelang masuk ke era pra-akil baligh, iaitu awal 1990-an sehinggalah tamat UPSR, lagu-lagu rock melayu terus bertakhta dan beraja di lidah yang pantas menghafal lagu-lagu yang berunsur jiwa-jiwa untuk dititipkan kepada budak-budak perempuan yang diminati. Lagu-lagu dari kumpulan rock seperti Gamma, Sofea, Febians, Search, Olan, Wings, Blackrose dan banyak lagi kumpulan lain yang diwaktu itu muncul seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan.

Setelah memasuki alam pra-remaja, dan aku memasuki alam persekolahan menengah yang mana aku memasuki SMKAKS yang berasrama, maka banyak bentuk muzik yang aku dengar dipengaruhi oleh rakan-rakan sebilik dan sekelas. Pada waktu ini lagu-lagu melankolik dari kugiran-kugiran seperti Ukays, Slam, Spring dan beberapa kumpulan lain menguasai carta lagu-lagu pop pada masa tersebut. Pada masa ini juga, artis-artis baru yang membawa genre baru seperti rap juga turut muncul mewarnai iklim muzik tanahair, seperti KRU, 4U2C, Nico dan lain-lain. Di kala ini juga aku dilanda demam KRU kerana aku tertarik dengan muziknya yang segar dan baru. Kerana itu, apabila aku mendengar kembali muzik dan lagu daripada artis-artis seperti KRU, Slam dan Ukays, pasti akan menggamit kembali memori aku di awal-awal kehidupan aku sebagai seorang penghuni asrama. Di waktu ini, melayan lagu-lagu KRU adalah seperti satu kesalahan besar di mana pelajar-pelajar senior memandang sinis kami yang meminati KRU.

Di sini juga, aku mula mengenali lagu-lagu nasyid yang aku sebelum ini fikirkan nasyid ini tiada lain iaitu menyanyi beramai-ramai seperti satu koir dan meletakkan kedua-dua tapak tangan dihadapan badan. Namun apabila aku melangkahkan kaki ke sekolah ini, aku dapati nyanyian nasyid itu rupanya segar juga dengan ketukan-ketukan alatan perkusi seperti kompang, bonggo, yenki dan alatan lain beserta paduan harmoni suara yang begitu enak jika didendangkan oleh penyanyi yang berbakat. Kumpulan nasyid yang popular pada masa ini adalah lebih berbentuk underground dan belumpun lagi memasuki pasaran arus perdana pada masa ini, seperti kumpulan Nadamurni, dan kumpulan-kumpulan nasyid dari Sekolah-sekolah agama yang sudah establish seperti penasyid dari SMAKL (Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur). Dihujung tahun 1996 ke awal 1997 barulah kumpulan nasyid memasuki pasaran mainstream dengan pengenalan kumpulan Raihan dengan album Puji-Pujian kepada pendengar umum dan jualan album mereka yang memecahkan rekod jualan album yang secara relatifnya lembab pada waktu tersebut. Kemudian barulah kumpulan-kumpulan lain seperti Rabbani (asal dari Nadamurni), Brothers, Nowseeheart dan lain-lain mengikuti jejak langkah Raihan memasuki pasaran arus perdana.

Masuk sahaja tingkatan menengah atas, aku mula mendengar lagu-lagu rock dari barat yang bersesuaian dengan jiwa ala-ala pemberontak yang menurut ustaz-ustaz di sekolahku adalah sesat dan lagha. Lagu-lagu dari kumpulan Metallica, Offspring, Scorpions, menjadi kegilaan aku pula. Lebih-lebih lagi selepas aku menemui satu buku lirik lagu-lagu dari MEtallica, maka aku serta-merta menjadi seorang fanatik Metallica. Lagu-lagu seperti One, Master of Puppets, Justice for All, Blackened telah menjadi sebati dengan lidahku, dan selalunya pemain CD milik rakan, Toji dan CD-CD Metallicanyalah yang menjadi mangsa.

Di ketika ini juga, era kebangkitan Boyband dari United Kingdom dan Amerika mula menyerang dan menjadi kegilaan ramai wanita termasuk juga budak-budak lelaki. Kumpulan-kumpulan seperti Take That, Boyzone, Backstreetboys, 98 Degrees dan lain-lain mula mewarnai dunia muzik tanahair dan diketika ini kumpulan pemuzik tempatan beralih kepada lagu-lagu melankolik yang lebih meleleh dari sebelumnya seperti kumpulan Scoin, Spoon, Scorr, Sting dan tidak ketinggalan Jelmol.

Setelah aku memasuki universiti, lagu-lagu dari barat terus menjadi tunjang kepada halwa telinga, dan muzik rock terus menjadi pilihan di hati ini. Kumpulan rock/punk seperti Greenday (aku sudah kenali sejak 1996), Oasis, Radiohead juga otai-otai rockers lama seperti Guns and Roses, Megadeth dan Deep Purple menjadi pilihan telingaku. Lagu-lagu pop Jepun juga menjadi kegilaan aku pada masa ini kerana serangan J-Drama yang melanda rangkaian-rangkaian televisyen pada masa tersebut. Lagu yang paling aku minat dalam era ini adalah Konya Tsuki no Mieru Oka ni nyanyian band B'z dari Jepun yang juga menjadi lagu tema kepada drama Beautiful Life dan Nasib Kita dendangan Mus dan Mael.

Sehinggalah sekarang, lagu rock terus menjadi pilihan. Namun lagu-lagu lain tetap juga didengari jikalau terasa sedap di telinga, namun apabila mendengar lagu-lagu lama, maka aku akan serta merta bernostalgia tentang masa tersebut, seperti sebuah mesin masa yang pantas membawa aku merentasi masa depan dan masa silam.

Saturday, August 11, 2007

Demam Bola Melanda Kembali!

Esok bermulalah secara rasmi pembukaan tirai musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk musim 2007/08. Seperti biasa warung-warung dan restoran-restoran sama ada Mamak, Melayu dan Cina sekalipun, yang ada melanggan Astro pasti akan mula penuh sesak dengan pelanggan yang ingin menonton perlawanan-perlawanan setiap malam minggu sambil bertemankan secawan teh tarik ataupun nescafe panas.

Seperti biasa, seperti malam-malam perlawanan sebelum ini, setiap kali ada perlawanan melibatkan pasukan kesayangan aku Liverpool FC pasti aku akan menguasai ruang tamu dengan bersenjatakan alat kawalan jauh Astro dan dimana tiada siapapun yang dapat merampasnya daripada aku.

Musim ini, pasti akan lebih menarik dengan kebanjiran pemain-pemain bintang ke dalam kancah bolasepak Inggeris, dimana kali ini dengan kuasa wang dan semangat kapitalisma, kita dapat lihat pemilik-pemilik kelab pertengahan yang bertukar tangan kepada pembida-pembida tertinggi yang datang dari luar England yang mempunyai kuasa wang yang tidak terhad, membeli pemain-pemain bintang yang sebelum ini pasaran pemain hanya dikuasai oleh 4 pasukan teratas iaitu Manc#*ter U*d, Chelsea, Arsenal dan Liverpool. Kelab-kelab pertengahan yang dimaksudkan adalah seperti Tottenham, Manchester City, Newcastle dan lain-lain yang sekarang ini dimiliki oleh orang-orang kaya yang mempunyai kuasa beli yang agak tinggi juga dan mampu mempengaruhi pasaran pemain.

Musim ini aku berharap agar pasukan kegemaran aku akan dapat merangkul kejuaraan ke 19 dan menamatkan penantian hampir 18 tahun tanpa kejuaraan liga. Semoga kehadiran pemain-pemain berbakat besar seperti Fernando Torres, Ryan Babel, Yossi Benayoun, Andrei Voronin, Lucas Leiva, Sebastian Leto dan lain-lain dapat membantu Liverpool merampas semula kejuaraan yang telah lama tidak dapat dikecapi.

Namun ramalan aku, kejuaraan pada musim ini mungkin akan dimiliki oleh Musuh Utama (MU), dan Liverpool di tangga kedua sambil menyapu piala FA dan merangkul piala Champions League buat kali ke 6.

Satu pengumuman: Aston Villa v Liverpool Ahad, jam 12.05 malam di saluran Star Sport, kepada peminat bola, jangan ketinggalan!

StatCounter