Showing posts with label Kultim. Show all posts
Showing posts with label Kultim. Show all posts

Saturday, September 6, 2008

Kepala Berserabut

Sejak akhir-akhir ini, kepala aku sering berserabut.

Hal diri sendiri dengan isteri, anak dan keluarga.
Hal diri sendiri dengan kerja di pejabat, rakan sekerja, bos, klien, sub-kon, main-kon, kontrek jungkies (pinjam istilah Brader Isham).
Hal diri sendiri dengan sahabat-sahabat, rakan-rakan dan kenalan. Dan juga jiran tetangga.
Hal diri sendiri dengan perkara-perkara lain yang sangat dekat di hati, Liverpool FC, bolasepak tanahair dan survival kehidupan ditengah-tengah kemelut kenaikan kos sara hidup.
Hal diri sendiri dengan perkara-perkara yang tiada kaitan langsung dengan diri tetapi ada kesan langsung, kemelut politik tanahair, isu-isu terkini tanah air.
Hal diri sendiri dengan diri sendiri. Krisis keyakinan diri dan krisis di persimpangan. Menuju ke alam tua.
Itu belum kira hal diri sendiri dengan Tuhan yang menjadikan. Lagilah bertambah serabut kerana jalan yang aku langkahi ini memang pasti menuju ke neraka.

Serabut jadi manusia, sebab kita ada akal. Ada akal untuk berfikir. Ada fikiran untuk membuat keputusan. Keputusan datang dengan memilih. Pilihan yang ada jadikan otak kita serabut. Dalam pada itu, apabila datang keputusan, keserabutan hilang, ketenangan datang kembali, jika keputusan itu dinilai sedalam-dalamnya.

Dan setiap keputusan itu ada kesannya. Kesannya itu akan mendatangi kita dikemudian hari. Apabila kesan itu datang, bersedialah untuk berserabut kembali.

Boleh saja aku mengambil sikap apathy. Tidak peduli. Biar saja. Lantaklah. Namun apa guna jadi orang yang tidak mengambil tahu. Tidak tahu itu kebodohan. Tidak mengambil tahu pula kebodohsombongan. Biar serabut jangan jadi bodoh. Biar bodoh jangan jadi bodoh sombong.

Maka biarlah aku kembali berserabut untuk kesekiankalinya dalam kehidupan sebagai manusia.

Thursday, May 31, 2007

Hari Tanpa Tembakau Sedunia

31 Mei adalah Hari Tanpa Tembakau Sedunia. Barangkali mungkin tiada siapa pun tahu mengenainya, apatah lagi bagi golongan perokok tegar. Penulis sendiri pun baru saja mengetahuinya petang tadi, itupun kerana terdengar berita mengenainya di corong radio, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari pejabat.

Hari Tanpa Tembakau Sedunia adalah diilhamkan oleh Badan Kesihatan Dunia (WHO) asalnya ialah pada 7 April 1988 yang dikenali sebagai Hari Tanpa Rokok Sedunia selepas Resolusi mengenainya dikeluarkan badan itu pada tahun 1987. Kemudian setahun berikutnya, satu lagi resolusi iaitu Resolusi WHA42.19 telah dikeluarkan dan badan tersebut telah menetapkan tarikh pada setiap 31 Mei setiap tahun adalah secara rasminya Hari Tanpa Tembakau Sedunia.

Di Malaysia kematian yang disebabkan oleh rokok ataupun berkaitan dengan rokok adalah sebanyak 20% dari jumlah kematian tahunan penduduknya. Manakala sebanyak lebih kurang 3.5 juta orang mati akibat ketagihan rokok ataupun disebabkan oleh rokok. Kadar kematian sebanyak itu bukan sahaja disumbangkan semata-mata oleh perokok tegar malah perokok sekunder ataupun perokok pasif yang tinggal atau hidup berhampiran dengan perokok aktif juga menjadi sebahagian dari statistik tersebut.

Hari ini juga dianjurkan adalah kerana untuk memberi kesedaran kepada perokok dan memberi peluang kepada golongan yang tidak merokok supaya hak mereka dihormati iaitu dengan cara tidak merokok di dalam kawasan bangunan yang tertutup sama ada berhawa dingin ataupun tidak, tidak merokok di tempat-tempat awam, tidak merokok disisi orang yang tidak merokok dan tidak merokok di dalam kenderaan.



Di sini juga penulis ingin berkongsi tips-tips dan panduan bagi mereka yang ingin berhenti dari merokok.

1. Buat permulaan cuba kurangkan bilangan jumlah rokok yang di hisap dalam sehari. Boleh bermula dengan langkah-langkah mudah seperti tidak merokok di dalam kenderaan, tidak merokok pada waktu pagi atau pun tidak merokok kecuali selepas makan ataupun ke tandas sahaja. Cipta alasan-alasan atau peraturan-peraturan mudah supaya diri tidak terbeban dengan peraturan yang dicipta secara 'over the top' yang mungkin tidak dapat diikuti atau dipatuhi.

2. Kerapkan meminum air kosong. Bagi perokok, jikalau tidak merokok walaupun untuk jangkamasa kurang dari satu jam, mulut atau lidah mereka pasti akan merasa tidak kena. Inikan pula untuk jangkamasa yang lebih daripada itu. Selain itu air limau juga dapat membantu mengurangkan rasa janggal tersebut.

3. Sediakan gula-gula atau candy sebagai pengganti sementara. Ini adalah tidak digalakkan kerana disebalik mengurangkan kadar nikotin dan bahan kimia lain, secara langsung anda telah meningkatkan paras gula dalam badan anda. tetapi penulis menggunakan cara ini ketika bulan-bulan terawal berhenti mengambil rokok. Penulis mengambil gula-gula seperti Hacks, Fisherman Friend No Sugar dan lain-lain kerana ianya dapat membantu kerana penulis merupakan pengguna Rokok Berperasa Menthol. Sensasi dingin dari gula-gula yang tersebut itu sedikit sebanyak melenyapkan rasa rindu kepada rokok-rokok menthol yang menjadi igauan kepada penulis satu masa dulu.

4. Berpuasa. Secara otomatiknya dapat melenyapkan rasa ingin merokok. Sebulan berpuasa di bulan Ramadhan membuktikan bahawa setiap perokok berpotensi untuk berhenti merokok. Masakan tidak merokok selama lebih dari 12 jam iaitu selepas waktu imsak hinggalah kewaktu berbuka pun dapat dilaksanakan selama sebulan tanpa henti, inikan pula untuk terus berhenti. PAsti boleh!

5. Berjumpa dengan pakar atau doktor untuk mendapatkan nasihat. Jalani terapi yang ada terdapat dimana -mana pusat kesihatan. Anda cuma perlu mengeluarkan sedikit belanja untuk bayaran perkhidmatan dan bahan-bahan pengganti nikotin seperti 'Nicotine Replacement Gum' yang berharga lebih mahal dari rokok itu sendiri. Apa salahnya berkorban untuk kebaikan diri dan keluarga.

6. Keluar dari persekitaran yang tercemar dengan asap rokok. Persekitaran sebenarnya memainkan peranan penting kerana persekitaranlah yang membentuk jatidiri anda. Penulis sebelum ini telah beberapa kali cuba untuk berhenti tetapi tidak dapat dijayakan kerana persekitaran penulis dikelilingi oleh perokok-perokok tegar.

7. Bertangguh untuk merokok. Sebaik sahaja rokok dikeluarkan dari kotaknya untuk dinyalakan cuba niat di dalam hati untuk bertangguh sebentar dari menyalakannya. Jikalau sudah dinyalakan, buang jika sudah sampai separuh. Biar kita merasa rugi, secara tidak langsung minda anda akan ter'psiko' dengan tindakan anda itu.

8. Cuba katakan malas berkali-kali untuk merokok. Ada-adakan pernyataan negatif tentang rokok di dalam minda anda. Psikologi memainkan peranan penting di dalam kejayaan anda untuk berhenti dari merokok. Percayakan mitos-mitos (kalau bukan fakta) negatif tentang rokok. Seperti mati pucuk (lelaki sangat takut dengan perkataan ini), sperma terencat, air mani berbau tembakau, anak yang dikandung mungkin cacat, atau apa saja yang boleh mendatangkan rasa gerun ke dalam minda anda.

9. Ambil kesempatan dari perkara-perkara yang menghalang anda dari merokok seperti demam atau selesema. Walaupun telah sihat teruskan untuk tidak merokok sepertimana dikala terlantar sakit tersebut anda tidak merokok. Penulis juga bermula dengan langkah ini.

10. Akhir sekali Keazaman dan DOA. Anda harus mempunyai keazaman yang tinggi untuk berhenti merokok. Jangan takut untuk mencuba berhenti. Penulis juga pernah gagal beberapa kali dalam usaha untuk berhenti. Sekali gagal bukan selamanya gagal. Bentuk satu keazaman yang kuat kalau bukan demi diri sendiri, mungkin demi insan yang tercinta. Walaupun berhenti demi diri sendiri itu lebih murni namun atas alasan apapun sebenarnya, berhenti merokok itu adalah satu usaha yang murni. Berdoa kepada Tuhan supaya diberikan kekuatan agar dapat terus berhenti meninggalkan perkara yang sia-sia itu.

Sebenarnya penghalang utama dari usaha murni ini adalah diri sendiri, ego dan kemahuan atau nafsu. Jika kita dapat mengekangnya, insya ALLAH kita pasti akan dapat mengecapi kejayaan.
Hidup Sihat Tanpa Rokok.

p.s : ada hikmahnya sumbangan aku dalam kempen Tak Nak! tu, walaupun aku merokok di kala itu.

p.p.s : Setiap sedutan membawa padah!




sumber:http://en.wikipedia.org/wiki/World_No_Tobacco_Day

Wednesday, May 30, 2007

Menunggu dan menanti

Hidup ini sarat dengan penantian. Bermula dari dalam rahim ibu, kita harus menunggu 9 bulan 10 hari sebelum boleh keluar melihat dunia. Menunggu masa diizinkan Tuhan untuk keluar ke dunia dan beribadat kepadaNYA.

Bangun pagi, nak bersarapan atau sekadar menghirup kopi atau teh, harus menanti untuk air yang dijerang mendidih di atas dapur. Jikalau beruntung tuah dibadan, dapat isteri yang boleh dinobatkan isteri mithali peringkat kebangsaan, minuman anda sudah tersedia, anda juga harus menunggu minuman itu suam sebelum boleh diminum, kecualilah anda mempunyai lidah setebal kamus dewan.

Sebelum bergerak meninggalkan rumah, enjin kenderaan perlu dipanaskan terlebih dahulu. Menanti lagi. Bagi yang berkenderaan awam, penantian itu sudah pasti.Lebih-lebih lagi di Malaysia ini, belum lagi ada budaya tepat masa yang betul-betul menepati masa sepeti di Barat, di Jepun dan di mana-mana Negara Maju yang lain (Mungkin sudah bermula sekarang dengan RapidKL...tambang 2 ringgit ke mana saja..).

Di pejabat, harus menunggu mesin fotokopi bersedia terlebih dahulu sebelum boleh mula membuat salinan. Bagi yang kekurangan kerja untuk dibuat, sebahagian besar waktu mungkin dihabiskan menanti jam sampai ke angka 5. Bagi yang kelaparan kerana terlepas sarapan pagi, terpaksa pula gagahi jua menanti hingga ke waktu rehat.

Pagi ke tengah hari, menanti, menanti dan terus menanti.

Pergi ke Bank, pejabat pos, kaunter-kaunter bayaran, semuanya perlu menunggu. Ada tempat yang berteknologi, sistem nombor giliran digunapakai, manakala yang masih ketinggalan seperti zaman penjajah, sistem beratur atau berbaris pula terpaksa diikuti. Semuanya harus menunggu giliran. Ada juga yang kurang ajar tidak beradab sopan memotong giliran yang selalunya bernasib baik kerana tiada siapa yang berani menegur, kalau adapun satu dalam seratus. Majoritinya, diamkan saja, danterus menunggu dengan sabar. Menunggu dan menunggu lagi.

Kita ke jalanraya pula. Di persimpangan berlampu isyarat, semuanya harus menunggu dengan sabar, jikalau tidak, mungkin nyawa melayang. Begitu juga di bulatan atau persimpangan, harus menunggu dan memastikan keadaan yang betul-betul selamat untuk meneruskan perjalanan. Begitu juga ketika sedang mengekori kenderaan yang terlalu perlahan, dan kita tak sabar pula untuk memotongnya, harus menunggu arah bertentangan benar-benar mempunyai jarak memotong yang selamat barulah niat itu diteruskan, maklumlah malang tak berbau, oleh itu kita mesti menunggu. Di tol-tol yang banyak melata sekarangni, kita juga sering menunggu giliran walaupun kita menggunakan SmartTAG, di buatnya kenderaan yang di hadapan terlupa menambah nilai kadprabayarnya, atau baterinya yang sudah habis tenaga terpaksa juga menunggu atendan tol untuk membantunya melepasi tol tersebut sebelum kita dapat melaluinya. Itupun kalau lagi tak bernasib baik, menunggu giliran untuk membayar tol, boleh bertukar menjadi menunggu giliran maut, kalau tak percaya cuba baca suratkhabar hari ini.
Al fatihah bagi semua mangsa yang telah menemui Penciptanya.

Pendek kata dijalanraya pun harus tunggu, tunggu dan tunggu.

Yang bujang menunggu yang teristimewa untuk sama-sama menaiki pelamin. Yang beristeri dan bersuami, menunggu si comel penerus zuriat, yang mampu menunggu masa untuk memajukan borang nikah (lagi) pada isteri tua (uppss!), yang duda janda menanti pengganti dan yang uzur dan sakit menunggu mati.

Yang mati menunggu soalan. Ada juga yang tak sedar, tau-tau dah melangkahkan kaki ke dalam Syurga (Golongkanlah aku kedalam golongan ini, amin!) Ada juga yang mengeluh tak tahan menunggu padang mahsyar minta masukkan segera ke neraka, mana tahu di situ lagi berat seksaanNYA. Ada juga yang mahu melangkah kaki kedalam Syurga, terpaksa menunggu lagi apabila ada hamba Allah yang lain ingin menuntut haknya kerana dulu di dunia dia difitnah dan selalu diumpat oleh beliau yang sudah hampir untuk kesyurga itu. Menunggu lagi kita di saat itu. (Na'uzubillahi minzalik)

Menunggu itu penyeksaan, dan sebaik-sebaik seksaan adalah seksaan yang mampu mendekatkan kita kepadaNYA. Bukan seksaan yang membuat kita menyesal dan mahu kembali ke dunia, itu adalah seksaan yang sebenar-benarnya, sesal ketika itu tidak berguna lagi. Moga dijauhkan kita dari seksaanyang Maha Pedih itu. Amin.

StatCounter