Thursday, May 31, 2007

Hari Tanpa Tembakau Sedunia

31 Mei adalah Hari Tanpa Tembakau Sedunia. Barangkali mungkin tiada siapa pun tahu mengenainya, apatah lagi bagi golongan perokok tegar. Penulis sendiri pun baru saja mengetahuinya petang tadi, itupun kerana terdengar berita mengenainya di corong radio, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari pejabat.

Hari Tanpa Tembakau Sedunia adalah diilhamkan oleh Badan Kesihatan Dunia (WHO) asalnya ialah pada 7 April 1988 yang dikenali sebagai Hari Tanpa Rokok Sedunia selepas Resolusi mengenainya dikeluarkan badan itu pada tahun 1987. Kemudian setahun berikutnya, satu lagi resolusi iaitu Resolusi WHA42.19 telah dikeluarkan dan badan tersebut telah menetapkan tarikh pada setiap 31 Mei setiap tahun adalah secara rasminya Hari Tanpa Tembakau Sedunia.

Di Malaysia kematian yang disebabkan oleh rokok ataupun berkaitan dengan rokok adalah sebanyak 20% dari jumlah kematian tahunan penduduknya. Manakala sebanyak lebih kurang 3.5 juta orang mati akibat ketagihan rokok ataupun disebabkan oleh rokok. Kadar kematian sebanyak itu bukan sahaja disumbangkan semata-mata oleh perokok tegar malah perokok sekunder ataupun perokok pasif yang tinggal atau hidup berhampiran dengan perokok aktif juga menjadi sebahagian dari statistik tersebut.

Hari ini juga dianjurkan adalah kerana untuk memberi kesedaran kepada perokok dan memberi peluang kepada golongan yang tidak merokok supaya hak mereka dihormati iaitu dengan cara tidak merokok di dalam kawasan bangunan yang tertutup sama ada berhawa dingin ataupun tidak, tidak merokok di tempat-tempat awam, tidak merokok disisi orang yang tidak merokok dan tidak merokok di dalam kenderaan.



Di sini juga penulis ingin berkongsi tips-tips dan panduan bagi mereka yang ingin berhenti dari merokok.

1. Buat permulaan cuba kurangkan bilangan jumlah rokok yang di hisap dalam sehari. Boleh bermula dengan langkah-langkah mudah seperti tidak merokok di dalam kenderaan, tidak merokok pada waktu pagi atau pun tidak merokok kecuali selepas makan ataupun ke tandas sahaja. Cipta alasan-alasan atau peraturan-peraturan mudah supaya diri tidak terbeban dengan peraturan yang dicipta secara 'over the top' yang mungkin tidak dapat diikuti atau dipatuhi.

2. Kerapkan meminum air kosong. Bagi perokok, jikalau tidak merokok walaupun untuk jangkamasa kurang dari satu jam, mulut atau lidah mereka pasti akan merasa tidak kena. Inikan pula untuk jangkamasa yang lebih daripada itu. Selain itu air limau juga dapat membantu mengurangkan rasa janggal tersebut.

3. Sediakan gula-gula atau candy sebagai pengganti sementara. Ini adalah tidak digalakkan kerana disebalik mengurangkan kadar nikotin dan bahan kimia lain, secara langsung anda telah meningkatkan paras gula dalam badan anda. tetapi penulis menggunakan cara ini ketika bulan-bulan terawal berhenti mengambil rokok. Penulis mengambil gula-gula seperti Hacks, Fisherman Friend No Sugar dan lain-lain kerana ianya dapat membantu kerana penulis merupakan pengguna Rokok Berperasa Menthol. Sensasi dingin dari gula-gula yang tersebut itu sedikit sebanyak melenyapkan rasa rindu kepada rokok-rokok menthol yang menjadi igauan kepada penulis satu masa dulu.

4. Berpuasa. Secara otomatiknya dapat melenyapkan rasa ingin merokok. Sebulan berpuasa di bulan Ramadhan membuktikan bahawa setiap perokok berpotensi untuk berhenti merokok. Masakan tidak merokok selama lebih dari 12 jam iaitu selepas waktu imsak hinggalah kewaktu berbuka pun dapat dilaksanakan selama sebulan tanpa henti, inikan pula untuk terus berhenti. PAsti boleh!

5. Berjumpa dengan pakar atau doktor untuk mendapatkan nasihat. Jalani terapi yang ada terdapat dimana -mana pusat kesihatan. Anda cuma perlu mengeluarkan sedikit belanja untuk bayaran perkhidmatan dan bahan-bahan pengganti nikotin seperti 'Nicotine Replacement Gum' yang berharga lebih mahal dari rokok itu sendiri. Apa salahnya berkorban untuk kebaikan diri dan keluarga.

6. Keluar dari persekitaran yang tercemar dengan asap rokok. Persekitaran sebenarnya memainkan peranan penting kerana persekitaranlah yang membentuk jatidiri anda. Penulis sebelum ini telah beberapa kali cuba untuk berhenti tetapi tidak dapat dijayakan kerana persekitaran penulis dikelilingi oleh perokok-perokok tegar.

7. Bertangguh untuk merokok. Sebaik sahaja rokok dikeluarkan dari kotaknya untuk dinyalakan cuba niat di dalam hati untuk bertangguh sebentar dari menyalakannya. Jikalau sudah dinyalakan, buang jika sudah sampai separuh. Biar kita merasa rugi, secara tidak langsung minda anda akan ter'psiko' dengan tindakan anda itu.

8. Cuba katakan malas berkali-kali untuk merokok. Ada-adakan pernyataan negatif tentang rokok di dalam minda anda. Psikologi memainkan peranan penting di dalam kejayaan anda untuk berhenti dari merokok. Percayakan mitos-mitos (kalau bukan fakta) negatif tentang rokok. Seperti mati pucuk (lelaki sangat takut dengan perkataan ini), sperma terencat, air mani berbau tembakau, anak yang dikandung mungkin cacat, atau apa saja yang boleh mendatangkan rasa gerun ke dalam minda anda.

9. Ambil kesempatan dari perkara-perkara yang menghalang anda dari merokok seperti demam atau selesema. Walaupun telah sihat teruskan untuk tidak merokok sepertimana dikala terlantar sakit tersebut anda tidak merokok. Penulis juga bermula dengan langkah ini.

10. Akhir sekali Keazaman dan DOA. Anda harus mempunyai keazaman yang tinggi untuk berhenti merokok. Jangan takut untuk mencuba berhenti. Penulis juga pernah gagal beberapa kali dalam usaha untuk berhenti. Sekali gagal bukan selamanya gagal. Bentuk satu keazaman yang kuat kalau bukan demi diri sendiri, mungkin demi insan yang tercinta. Walaupun berhenti demi diri sendiri itu lebih murni namun atas alasan apapun sebenarnya, berhenti merokok itu adalah satu usaha yang murni. Berdoa kepada Tuhan supaya diberikan kekuatan agar dapat terus berhenti meninggalkan perkara yang sia-sia itu.

Sebenarnya penghalang utama dari usaha murni ini adalah diri sendiri, ego dan kemahuan atau nafsu. Jika kita dapat mengekangnya, insya ALLAH kita pasti akan dapat mengecapi kejayaan.
Hidup Sihat Tanpa Rokok.

p.s : ada hikmahnya sumbangan aku dalam kempen Tak Nak! tu, walaupun aku merokok di kala itu.

p.p.s : Setiap sedutan membawa padah!




sumber:http://en.wikipedia.org/wiki/World_No_Tobacco_Day

2 comments:

ROSNIZAM said...

Dalam banyak-banyak kesan dalam tips ko bagi ni, aku paling takut dengan 'sperma terencat'. ahaks.

aranhellstorm said...

hahahah..tau takoot...hehehea

StatCounter