Showing posts with label Cerhypen. Show all posts
Showing posts with label Cerhypen. Show all posts

Wednesday, May 6, 2009

Sekaki Payung Merah Jambu - Versi Yang Boleh Bagi Kamu Senang Faham...Heh

Gilalah!

Bosan ya amat hari-hari duduk dalam bekas empat segi warna putih ni. Hari-hari aku terpacak, duduk diam di sini, tiada siapa peduli.

Kecuali bila tiba-tiba hujan.

Kadang-kadang, rasa macam pelacur. Duduk diam bersama yang lain, tunggu pelanggan datang, bezanya, aku tak dapat menggoda, memujuk dan merayu prospek pelanggan aku. Bila mereka perlu, mereka tanggal bajuku dengan rakus, bogelkan aku, basahkan aku dengan air mereka. Err.. maksud aku air dari langit.

Bila sudah tiada lagi air yang turun, mereka campak aku kemana-mana, tepi rak kasut, belakang kereta, dalam semak. Atau gantung aku tak bertali. Itu kenalan aku yang cerita, 2 bulan lepas, yang entah dari mana datangnya, tiba-tiba duduk sebelah aku dengan badan basah kuyup, membebel tak henti-henti bercerita perihal buruk tuannya. Aku pun sebenarnya tak faham langsung apa yang dibebelkan.

Untung aku tercampak ke sini. 24 jam ada manusia datang berkunjung, siap ada penghawa dingin lagi. Dulu masa aku mula lahir, belum sempat apa-apa, aku sudah ditimbunkan bersama-sama adik beradik, sepupu sepapat yang lain, aku fikir aku mahu ditanam hidup-hidup. Seterusnya yang aku ingat aku berhimpit-himpit dalam ruang gelap dan sedar-sedar akhirnya aku tercampak ke sini.

Bosan...

Sudah hampir 8 bulan aku berdiri di sini, rakan-rakan, adik-beradik yang lain sudahpun meninggalkan dunia yang 24jam terang benderang ini bersama-sama tuan baru mereka dan tidak pulang-pulang. Aku tertanya ke mana mereka pergi sebenarnya?

Hinggalah suatu hari.

"Awak! Cutenya payung pink tu...."

"Cute apa kejadahnya, payung je pun..."

"Cutelah! Sebab dia kaler pink, everything in pink is cute!"

"Cheh...cute lagi tapak kaki saya..."

"Huh..tak best betul la awak ni! orang cakap kiut je.. support la sikit.. bukannye nak suruh beli kan pun! apa la!!"

Dua manusia bertelagah. Aku kira mereka memperkatakan aku. Aku jadi tak keruan. Buat kali pertamanya manusia sedar kewujudan aku dan memuji-muji diriku ini. Hampir terkena sawan tarik aku tadi seraya mendengar pujian sebegitu.

Aku lihat kelibat gadis bersuara lunak yang memujiku tadi menjauh. Hilang dia dari pandanganku. Merajuk barangkali. Yang tinggal di hadapanku, lelaki tadi yang mengutuk aku seenaknya. Ya, yang kononnya tapak kakinya lebih comel dariku itu! Dia memerhati aku dengan tekun. Menyesal mungkin dengan kenyataannya tadi. Aku sudah berkira-kira hendak mencanang berita pada rakan-rakan gossip..

"Ada orang cakap aku cute lah!! lalallalala..".

Aneh, dia masih pegun di situ.

Aku jadi kaget.

Pandangannya tajam.

Habislah aku!

Perlahan-lahan dia mara merapati aku, aku sudah hilang arah, namun aku tidak mampu berbuat apa-apa.

Pasrah. Maria-marianna. Eh apa aku mencarut?

Aku digenggam erat. Tangan kasarnya menyinggahi kakiku yang tidak dibaluti seurat benang pun. Belum pernah lagi tubuhku ini disentuh manusia secara langsung. Aku jadi seram sejuk, syahwat aku tiba-tiba datang. Aku diangkat meninggalkan ahli keluargaku, sahabatku, rakan-rakan segossipanku yang lain.

Prapp! Aku diletakkan di atas meja putih. Belum sempat aku mengembangkan syahwatku ini menjadi satu klimaks, satu tembakkan cahaya merah pula mengenai tampalan yang sudah lama berada di atas badanku.

Sah! I don't belong here anymore. Tiada lagi hawa yang dingin, tiada lagi kawan-kawan untuk bergossip. Perlahan-lahan aku di bawa olehnya keluar dari tempat ini.Kini hanya tinggal aku dan dia.

Aku digenggamnya erat di belakang badannya. Seperti menyorokkan aku dari pandangan orang lain. Seperti aku ini membawa malu dan cela padanya.

Tiba-tiba lelaki itu menyapa seseorang.

"Awak, dah siap semayang?"

"Dah, awak belum kan?"

"Belum, tapi jagakan barang saya kejap boleh?"

Lelaki itu mengalih aku dari balik tubuhnya. Aku terasa badanku seakan melayang dan eh.. gadis tadi!

Aku lihat ada riak terkejut pada wajahnya. Ada genang air di tubir matanya. Ada nada sendu pada suaranya

"Terima kasih awak!"

Thursday, February 12, 2009

Cerhypen

Ajis baru balik dari beli nasi goreng dekat gerai Kak Ina tepi jalan, bawah flat tempat tinggal dia dengan 6 orang kawan-kawannya. Ajis sampai dekat muka pintu, sebelah tangan buka kasut, sebelah lagi menjinjing bungkusan makan malamnya.

Nasi goreng Kak Ina tu bukanlah sedap sangat, saja Ajis pergi situ fasal mau borak sama anak Kak Ina, si Shima yang kiut miut tu. Ajis banyak kali ajak Shima keluar jalan-jalan tapi Shima kata dia tak mau naik motor dengan abang Ajis, sebab abang Ajis pakai motor Honda EX5 je, lainlah kalau pakai 125Z, sekali abang Ajis ajak, seribu kali Shima mau, katanya lagi.

EX5 ok apa? Tak payah pakai minyak tuti. Petrol pun save. Environmental friendly lagi. Tapi pernah sekali dulu Ajis pinjam motor 125Z budak rumah dia, si Apan, dengan harapan dapat bawa Shima keluar jalan-jalan, makan angin tapi tak sampai dua depa, enjin motor asyik mati-mati. Bukan fasal karburator masuk air, tapi Ajis tak reti bawa motor ada clutch.

Akem duduk depan tv, dengan tengok vcd cerita blue. Apis dekat belakang, baca Harakah sambil sekejap-sekejap mengerling ke kaca tv bila pelakon dekat dalam cerita yang Akem tengok tu menjerit-jerit nyaring. Ajis pergi ke sinki basuh tangan, sebelum duduk depan tv.

"oi kimak, apa jadah ko tengok citer ni time waktu perdana skang ni...? tukar..tukar tengok Buletin Utama lagi baik.... dah lah...",

"yelah..yelah.." Akem potong cakap Ajis sebelum dia membebel bagi ceramah free pulak nanti.

"bak mari cover vcd tu, ape tajuk dia..?" Ajis minta vcd yang Akem tengok separuh jalan tadi sebelum Ajis balik mengacau line.

Ajis kerja kilang dekat seberang highway berhadapan dengan kawasan flat tempat dia tinggal. Ajis dah lama menetap di sini, datang dari kampung yang tak sampai pun 100km dari tempat yang dia tinggal sekarang. Tapi apa boleh buat, nak kerja di sawah, tak sampai dek kederat, baru berdiri sambil pikul mesin racun pun sudah terhoyong hayang, belum lagi suruh berjalan dalam lanyau dekat sawah nun. Dengan panas mataharinya lagi, alamat terbakarlah kulitnya yang cerah ala-ala model iklan Hazeline Snow dia tu. Jadi duduk di kampung tolong bapak di sawah bukanlah satu pilihan untuk Ajis.

Nak kerja pejabat, SPM Ajis pun dapat SAP je, lagipun bapaknya bukan Dato atau Tan Sri, kalaulah bapaknya Dato atau Tan Sri, yang punya banyak wang, jangan kata SPM dapat SAP, tak ambil SPM pun mungkin Ajis sambung belajar dekat universiti di luar negeri. Kalau bengap sangat pun, entah-entah duduk bercuti dekat luar negara, bila balik Malaysia mungkin boleh bawa balik segulung ijazah, sama ada beli atau scan sendiri itu tak jadi hal, janji boleh ek dengan anak Tan Sri atau Dato'-Dato' yang lain.

Tapi dia hanya seorang Ajis anak Pak Mail seorang pesawah kampung yang hanya ada beberapa keping tanah yang diusahakan sejak dari zaman awal kemerdekaan dulu, zaman nenek moyang dia meneroka tanah lalu dijadikan sebuah kampung, kalau dah SAP tu SAP sajalah.

Ajis sudah habis makan, Buletin Utama pun sudah tamat. Ajis buka wallet, ada tinggal RM 14 ringgit, lepas beli rokok karang tinggal RM 7.50. Esok nak isi minyak lagi, tengah hari aku nak makan apa pulak? Hati kecil Ajis berbisik. Tiba-tiba dia dapat idea.

"Akem, gi main lucky jom? tak nak repeat ke minggu lepas punya game?" Ajis bakar-bakar dengan harapan Akem panas hati lalu menyahut cabarannya dalam sukan snuker yang berlainan bolanya dengan apa yang ada kat dalam tv. Bola ada nombor, tepi meja ada kad terup. Kadang-kadang ada duit tunai. Tapi selalunya duit mereka tak letak atas table, takut Polis rush nanti, boleh cas main judi secara haram.

Judi secara haram. Ada ke judi yang halal ek?

Apis dengan Ajak yang tadi duduk dalam bilik layan game Worm dekat komputer Apan lepas habis berita tadi, menyahut dengan girangnya. Sudah lama rasanya tak berkunjung ke Pusat Snuker DD walaupun baru 3 hari lepas Apis dengan Ajak abis RM200 duit gaji dekat mesin kuda. Apis pun sudah rindu mau kacau Mei Mei amoi debab yang suka belanja Apis Coca Cola, sebab Apis je yang rajin layan dia, buat Mei Mei rasa dirinya dihargai. Ah Chin abang dia, tokey kedai snuker selalu marah-marah dia, buat dia macam hamba, suruh buat itu, suruh buat ini, tengking-tengking dia depan customer, tapi Apis suka buat dia ketawa. Sebab itu Mei Mei selalu belanja Apis minum Coca Cola.

Apis pun rajin layan Mei Mei pasal dia nak dapat Coca Cola free je. Tak lebih dari itu.

Akem pun rasa tak best sebab Ajis bakar-bakar dia, Akem bingkas bangun ambil wallet dari dalam locker dan terus kata: "Jommm!!"

Apis, Ajak, Akem dan Ajis pun berjalan girang menuju kedai snuker. Ajis lagi girang sebab dia tahu dia bakal ada duit lepas habis game karang untuk survive dua tiga hari sebelum gaji dia masuk nanti.

Wednesday, September 10, 2008

Cerhypen

Kepala aku dihentak dengan bontot M4A1 oleh askar fasis Pembela Watan yang menggeledah seluruh ceruk rumah. Habis terbalik rumah aku di buatnya. Bibir aku sudah pecah-pecah. Ada darah mengalir dari atas kepala aku meleleh di sisi dahi.

"Mana kau simpan babi-babi tu semua hah!"
"Babi?"
"Cina-cina tu lah, bahlol!" Dia ketawa. Yang lain pun begitu juga, ketawakan aku.
"Aku tanya ni, kat mana? barua!", seraya satu sepakan hinggap di belakang badan. Aku tergolek.

"Kau tak sayang nyawa ya? Sanggup kau bela lipas-lipas tu? Diorang sedut serba mak nenek kekayaan kat tanah air kita ni, jadikan kau hamba, kuli batak, lagi kau nak bela diorang tu!?" Jerkahnya lagi. Yang lain makin galak hilai tawanya.

"Mana kau sorok diorang hah!", muncung rifel M4A1 sudah melekat dengan kepala. Ada riben warna merah dan putih di ikat pada kelopak pelurunya. Dilengan mereka pun ada kain yang diikat dengan warna yang sama.

"Aku tak tau apa-apa pun, sumpah... kalau kau nak tembak, kau tembaklah...", aku bersuara. Antara dengar dan tidak. Aku rasa tidak berdaya, nyawaku mungkin tamatnya dalam beberapa ketika lagi.

"Huh...kali ni aku lepaskan kau. Tapi kau kena ingat, mata aku di mana-mana, kalau aku dapat tangkap kau tolong lipas-lipas tu, aku tak bagi salam dah, aku sembelih kau terus... dah, jom!", Ketua pemberontak Pembela Watan memberikan aku amaran, lalu keluar bersama-sama anggota yang lain. Di luar, mereka letupkan kereta pacuan empat roda aku dengan bom tangan.

Letupkanlah. Kereta dan apa jenis kenderaan persendirian tidak berguna lagi di sini. Harga bahan api naik melambung, tiada siapa mampu membelinya lagi. Duit Ringgit Malaysia tiada lagi mempunyai nilai. Tukaran wang asing sudah melangkaui angka RM 1000 untuk satu Dolar Amerika.

Nyawa cuma berharga bila ada bersama kau senjata, rifel dan peluru, pisau atau pedang. Bila kau mempunyainya, kau seorang pejuang, tak kira apa perjuangan kau, itulah yang membuatkan kau dan nyawa kau berharga di masa-masa getir seperti ini.

Sama ada kau mati terbunuh, atau hidup membunuh.

Aku, mengesot perlahan-lahan ke pintu stor. Kaki aku sudah patah agaknya. Rasa kebas dan ngilu dekat tulang peha. Patah kena sepak dengan askar Pembela Watan tadi. Kemudian aku berpaut pada tombol pintu, aku gagahkan diri untuk bangun dengan sebelah kaki.

Kotak-kotak yang berselerak akibat diselongkar oleh askar fasis yang singgah tadi, aku alihkan, sehingga aku nampak permukaan lantai yang dibalut dengan tikar getah. Dibawahnya terletak sekeping papan lapis. Aku alihkan kesisi. Terlihat satu penutup besi seperti yang biasa dilihat di atas permukaan jalan.

Aku bukakan penutup tersebut, kelihatan satu lurang yang lengkap dengan tangga tegak menuju ke ruang bawah. Terdengar sayup gema bunyi orang terbatuk.

Apabila aku sampai ke bawah dengan susah payah menahan kesakitan menuruni tangga itu, semua penghuni ruangan itu menyerbu aku.

"Apa hal tadi, are you ok?" Lim, bekas bos aku menanyakan keadaan diri aku, wajahnya penuh kerisauan. Isterinya sedang tersandar lesu di dinding. Ah Seng jiran sebelah rumah duduk sambil memeluk kedua-dua anaknya. Isterinya terbaring tidak bermaya. Sudah 3 minggu mereka duduk di ruang itu dan hanya makan sekali sehari, bekalan makanan yang ada tidak cukup untuk menampung semua orang dalam jangkamasa yang panjang jika mereka makan lebih dari sekali sehari. Walaupun begitu bekalan makanan mungkin akan sampai dalam sehari dua ini.

"Fucking fascist pigs datang, I almost dead up there.."
"They know?"
"Nope...but i think they suspect me ada simpan you all kat sini..."

Bini aku, aku hantar ke kampung beberapa hari sebelum penggulingan kerajaan berlaku. Masa itu, khabar angin kencang bertiup, aku harus selamatkan apa yang aku miliki. Di kampung lebih selamat, kerana kebanyakkan mereka pro-Pembela Watan, namun apa yang penting anak dan bini aku selamat di sana.

Di kawasan bandar seperti di sini, tempat tinggal aku, banyak sekali pertempuran berlaku, kerana askar Pembela Watan yang menggulingkan kerajaan menghadapi tentangan sengit daripada pemberontak. Pemberontak Gelombang Baru. Pro kepada idea satu negara, satu bangsa. Ideologinya berpaksi kepada keadilan untuk semua, tiada kaum yang lebih supreme dari yang lain.

Mereka gelarkan diri mereka pemberontak, kerana ahli-ahli mereka berlatarbelakangkan aktivis masyarakat, golongan kiri, sosialis, rakyat biasa, golongan pekerja, dan dari segenap lapisan masyarakat yang anti-establishment, yang menentang polisi pemerintah dari zaman kemerdekaan yang memerintah mengikut pecahan kaum walaupun setelah lebih 70 tahun merdeka.

Operasi mereka tidak mempunyai sebarang modus operandi yang tetap, walaupun kebanyakkan daripada operasi mereka adalah menggunakan teknik serang hendap ala gerila dalam unit-unit yang kecil.

Namun siapa yang membiaya mereka, aku tidak pasti.

Satu pandangan menyebut, pemerintahan sebelum kerajaan yang ada digulingkan ini, dari zaman merdeka hanya meniru corak pemerintahan penjajah. Divide and Rule. Sejak sekian lamanya itulah corak perundangan dan polisi penjajah itu diguna pakai.

Pembela Watan ini adalah puak ekstremis serpihan dari parti pemerintah yang pada mulanya cuba meraih sokongan melalui politik, namun cubaan itu gagal, dan akhirnya, mereka merampas kuasa menggunakan kekerasan, dan yang menjadikan mereka entiti yang kuat adalah kerana mendapat sokongan sebahagian besar dari pihak tentera kerajaan.

Setelah mendapat kuasa memerintah, keadaan menjadi sangat teruk. Ekonomi terus jatuh menjunam, rakyat hilang pekerjaan, orang-orang Cina, India, Serani dan semua yang bukan bumiputera dihalau keluar dari rumah mereka. Rumah mereka dibakar, ada yang terbunuh dalam kebakaran.

Mereka ini menjadi pelarian, berjalan tanpa hala tuju ke sana ke mari, kebanyakkannya apabila bertembung dengan bala tentera Pembela Watan ini, akan dibunuh begitu sahaja, ada yang dirogol, ada yang diseksa, semuanya atas nama bangsa.

Sesiapa yang bersekongkol dengan orang bukan bumiputera akan diseksa dan dibunuh. Apatah lagi didapati melindungi mereka.

Malaysia pada masa ini telah disekat ekonominya oleh Polis Dunia, Amerika dan PBB. Tanah yang dulunya dikenali Suvarnabhumi atau bumi emas, kini menjadi bumi neraka. Keadaan huru hara di sana sini. Pembela Watan telah mengisytiharkan nama Tanah Melayu sebagai nama baru negara ganti kepada Malaysia.

Keadaan yang gelap, lembab dan kadang kala bau busuk yang keluar dari saluran udara yang bersambung dengan tangki najis, meresahkan 9 susuk badan yang berlindung di ruang bawah tanah itu. Walaupun aku boleh saja untuk naik ke atas tapi aku tidak mahu, aku hanya akan naik bila perlu, dan dengan kaki aku yang tercedera ini, barangkali aku mungkin lama akan duduk di bawah ini.

Tiba-tiba kedengaran penutup lubang itu diketuk berkala-kala. 3 ketukan, senyap. 1 ketukan, senyap. Sampai 3 kali.

Aku tahu, bantuan telah tiba. Tiga atau empat hari lepas aku berjaya berhubung dengan unit tentera pemberontak yang terdekat melalui radio amatur. Aku suruh Lim bukakan penutup, walaupun dia agak risau dan terkejut pada mulanya. Aku katakan, bantuan telah tiba, dengan teragak-agak dia memanjat tangga untuk membuka penutup lubang ke ruang atas.

"Eh, kau Zul?"
"Ya, Allah! Macam drama dah ni!", disambut dengan derai tawa gembira dan satu pelukan.

Tanpa disangka, aku bertemu sahabat lama yang sudah lama tidak ketemu. Dia anggota unit yang datang memberikan bantuan makanan dan senjata kepada kami. Lim dan isterinya, Uncle Dorai, Pakcik Kelantan mahu mengikut mereka mengangkat senjata, tidak betah lagi untuk terus bersembunyi. Cuma Ah Seng dan keluarganya tidak ikut serta, Ah Seng tidak mahu meninggalkan anak-anak dan isterinya.

Aku, sangat-sangat mahu untuk bersama mereka, namun keadaan fizikal aku yang cedera ini, akan melambat-lambatkan pergerakan mereka.

Selepas memberikan bantuan perubatan yang sepatutnya kepada kecederaan di kaki aku, unit tersebut meninggalkan kami dengan bekalan makanan dan senjata untuk mempertahankan diri. Dua laras AK-47 beserta bekalan peluru untuk aku dan Ah Seng.

Aku terkenang kembali di zaman tanah air ini masih aman dan tenteram. Mungkin ini semua terjadi akibat perasaan was-was, buruk sangka, rasa tidak puas hati dan iri hati yang terpendam sekian lama dikalangan warganegara. Segala isu, tidak dibincangkan secara jujur, sebaliknya pendekatan autoritarian yang menekan segala pandangan yang bertentangan dengan dasar kerajaan di patahkan tanpa hujah ilmiah yang bernas. Itu belum lagi dengan para opportunis yang mengambil kesempatan di atas segala kelemahan yang ada untuk kepentingan diri atau golongan yang mereka wakili, akibatnya puak-puak fanatik dan eksterimis ini mengambil jalan sendiri untuk berkuasa.

Aku terfikir betapa susahnya, nenek moyang kita dulu berjuang untuk kemerdekaan negara dari cengkaman penjajah, baik yang menentang secara bersemuka, berselindung, menentang menggunakan senjata atau yang menggunakan diplomasi. Kesemuanya untuk memerdekakan tanah air yang tercinta ini, tetapi senang sekali untuk kita meruntuhkannya.

Kini, apa yang aku takutkan sangat telah menjadi kenyataan. Aku juga terfikir, sambil menggenggam erat laras AK-47 ini, is it worth it?

Tuesday, August 12, 2008

Cerhypen

Anip jalan lambat-lambat. Dia seret sandalnya malas-malas atas lantai koridor. Srettt...srettt bunyinya, menjengkelkan. Memang malas betul dia pagi tu. Pagi-pagi hari minggu sepatutnya boleh berkubang di atas tilam sampai tengahhari.

Ima jalan seiringan. Anip buat muka ketat. Ima senyum-senyum. Kadang-kadang dia toleh arah Anip, Anip cepat-cepat buat muka neutral. Ima senyum lagi.

Anip dah jadi balak Ima dekat 2 tahun. Macam-macam mereka dah kongsi. Dari sebesar-besar kereta Savvy milik Ima sampai lah ke berus gigi pun kadang-kadang mereka berkongsi sama. Sampai benda yang tak patut dikongsi pun Anip dengan Ima kongsikan bersama.

Cuma di rumah kongsi saja yang belum mereka cuba. Cuba apa? Hanya mereka saja yang tau.

Sampai saja di kereta, Ima hidupkan enjin. Anip di belakang, dekat bonet nak ambil kasut. Hari Ahad pun nak kena pakai kemas-kemas. Anip ngomel dalam hati saja, tak berani nak cakap depan Ima, nanti tak dapat duit belanja pula, Anip budak belum habis belajar. Ima baru setahun kerja dengan gomen, tapi dah boleh pakai kereta. Baru jadi penolong pegawai, mana Ima dapat duit banyak-banyak Anip tak pernah nak ambil tahu.

Tapi hari ni Ima kata dia nak bagitau rahsia dia dapat duit banyak-banyak tu. Anip angguk saja, tak pernah nak ambil pusing, tak pernah nak ambil minat untuk tahu duit Ima datang dari mana. Kot-kot karang dia bagi tau duit rasuah ke, duit melacur ke, duit dari kegiatan membohsia part time ke,tak pasal pulak Anip was-was nak guna duit yang Ima bagi, silap haribulan nanti Anip tinggalkan Ima, tapi Anip tak nak tinggalkan Ima, kalau tidak nanti siapa nak bagi dia duit lagi tiap-tiap minggu.

Jadi biarlah Anip buat tak tau mana Ima dapat duit tu.

Minggu lepas Anip jumpa kawan zaman sekolah dekat mamak masa dia tengah tapau nasi untuk makan malam, sebab Ima balik lambat buat overtime katanya. Anip tak jadi tapau, lepak dengan kawan dia, terus makan dekat situ juga sebab kawan dia kata nak belanja.

Sekali kawan-kawan kepada kawan dia tu datang. 3 orang semuanya. Semua bawa fail plastik. Anip perasan kawan dia pun ada satu, dia letak dekat kerusi sebelah dia tadi. Mula-mula mereka cerita pasal susah hidup sekarang, minyak naik, harga barang naik, gaji saja yang tak naik-naik. Tapi Anip tak kisah, duit pinjaman dia memang tak naik-naik pun, dari semester satu dulu RM 3500 satu semester, apa yang dia tau, lepas habis nanti, yang naik mesti jumlah pinjaman dia. Pinjam 21 ribu, bayar 30 ribu. Biasalah tu, dalam surat perjanjian dah ada tulis, kau nak kata apa lagi, Anip selalu kata.

Apa pun Anip belajar lagi, tak ada tanggungan tak ada pendapatan. Cuma tanggung diri sendiri saja, lagipun Ima support dia tiap-tiap bulan.

Sekali lepas tu kawan dia bukak fail. Rupanya kawan dia tu ejen MLM. MLM tu multilevel marketing. Anip pantang betul kalau ada orang ajak-ajak benda yang di tak mau buat. MLM ni memanglah boleh buat duit, masalahnya Anip tak mau sebab kena cari orang nak jadi downline. Nak cari orang kena jumpa orang, cerita dengan orang. Jumpa orang yang tak kenal lepas tu cerita pasal benda yang dia sendiri tak suka, sudah tentulah orang lain pun tak berapa nak suka. Lagipun itulah benda terakhir dia akan buat dalam hidup, buat MLM.

Kawan-kawan Anip pun anti dengan orang MLM. Pernah satu kali kawan kepada teman serumah dia datang nak buat MLM. Dia dengan kawan-kawan dia mula-mula buat-buat dengar cerita mamat tu, lepas tu, mamat tu bagi buku-buku dengan risalah, kawan-kawan dia selamba je ambil buku dengan risalah tu kemudian campak keluar tingkap.

Lepas tu ramai-ramai pergi buat kerja masing-masing. Mamat tu muka bengang je, lagi tambah bengang kawan dia yang duduk serumah dengan Anip pun gelak je, buat hal sendiri. Anip agak lepas tu mesti putus kawan.

Kali ni, Anip mengaplikasikan bakat lakonan dia. Bawah meja, dia hantar sms dekat kawan dia.

"Miskol aku sekarang! Urgent"

Seminit lepas tu hand phone Anip berbunyi. Anip dan kuatkan volumenya. Anip angkat, tapi sebenarnya kawan dia tadi buat miss call. Anip beredar dari meja keluar restoran.

2 minit lepas tu Anip datang balik, dengan muka cuak, dia kata dekat kawan dia,

"Budak rumah aku eksiden la bro, lain kali je lah lu cerita..err..tadi nasi kau belanjakan? Terima kasih banyak arr.."

Anip tepuk-tepuk bahu kawan dia kemudian beredar. Depan kedai, buat-buat nak cepat, pulas throttle motor pun macam baru berlepas dari starting line cub prix racing.

Emergency konon! Kawan dia kata dalam hati.

Anip duduk diam dekat sebelah, sambil layan lagu Irwan Syah, padahal benci betul dia dengan artis dari seberang itu, saja nak ambil hati Ima. Ima minat gila dengan Irwan Syah. Cute katanya. Masa mula-mula Anip dengar Ima kata Irwan Syah tu cute, hampir tersedut straw ke dalam tekak si Anip.

Cute? Cute lagi tayar TT100 motor aku kata Anip.

Sudah hampir setengah jam Anip duduk di dalam kereta. Hampir setengah jam jugalah dia terpaksa melayan lagu-lagu Irwan Syah yang dimainkan melalui pemain cakera padat Clarion kereta aweknya itu.

Dan dah 3 bulan dia asyik dengar lagu yang sama. Sampai Anip hafal semua lagu-lagu Irwansyah, sampai kawan-kawan dia label Anip mat jiwang lentok leleh. Apa barang Anip yang ada poster Metallica sebesar pintu dalam bilik boleh hafal full album lagu-lagu Irwansyah.

Kawan-kawan Anip kutuk gila-gila tapi Anip buat dek saja.

Akhirnya mereka sampai tempat yang dituju. Anip ingat nak pergi sarapan dekat restoren atau dekat maple mana-mana, tapi apa kejadah pergi dekat bangunan pejabat macam ni, Anip kata dalam hati.

Ima, senyum-senyum lagi, dalam hati dia melonjak riang, hasrat hati nak tukar kereta hampir tercapai, downline dia kini sudah penuh.

Anip tertanya-tanya kemana gerangan di bawa Ima akan dirinya, dari kejauhan terlihat ramai orang diluar sebuah pejabat. Kebanyakkan mereka membawa fail plastik berwarna yang seperti pernah dilihatnya.

Muka Anip merah padam, bila terlihat kawannya yang belanja dia makan di kedai mamak minggu lepas melambai-lambai ke arah dirinya.

Tuesday, July 8, 2008

Cerhypen

Nina dan Zaki berjalan beriringan, berpegangan tangan, sepertimana pasangan lain yang sedang berpacaran, mengharungi usia muda remaja mereka, bergembira meladeni perasaan hati dan emosi, sebahagian dari proses kearah kedewasaan.

Zaki memegang erat-erat tiket keretapi Senandung Malam, kelas ekonomi yang dibelinya minggu lalu. Perjalanan ke selatan tanah air. Perjalanan tanpa arah tuju yang sebenar. Hanya untuk menghabiskan masa bersama kekasih hatinya. Dibahunya tergantung beg sandang berwarna merah hati, tiket yang dipegangnya tadi perlahan-lahan dimasukkannya di dalam poket sebelah dalam jaketnya.

Jaket bundle. Rm15 sehelai di beli di Up Town Damansara.

Zaki mengerling ke arah Nina. Terbayang jelas kegembiraan pada wajah Nina. Zaki juga sangat-sangat gembira. Hujung minggu ini dia akan bersama Nina sahaja. Tiada siapa dapat menganggu mereka berdua.

Zaki menyelak jaket yang dipakainya. Mengerling ke arah kocek dalam jaketnya. Tiket masih terselit kemas di dalamnya. Mau pasti tiket itu masih ada dalam simpanannya. Takut tercicir di mana-mana, kelak menyusahkan dan membantutkan perjalanan mereka nanti.

Perut Zaki mengalunkan lagu Keroncong Untuk Ana. Tanda lapar. Menoleh kearah Restoran rangkaian francais makanan segera, McDonald's, produk ekonomi kapitalis, arah langkahnya yang asal untuk terus ke platform di ubah arah menuju masuk ke dalam restoran tersebut, lambangnya sahaja seakan memanggil-memanggil pelanggan untuk terus masuk tanpa berfikir panjang, begitu kuatnya pengaruh simbol dalam dunia moden sekarang ini.

Padahal dia boleh saja naik ke tingkat atas KL Sentral untuk menikmati pelbagai menu juadah dan hidangan yang tersedia di Food Court yang jauh lebih murah itu.

Tangan Zaki meraih tangan Nina yang membuntuti Zaki. Nina juga lapar. Belum menjamah apa-apa makanan selepas di pulang dari tempat kerjanya di Ipoh. Lepas pulang di terus ke Stesen Bas dan terus ke Kuala Lumpur, nasib baik rakan sekerjanya boleh menumpangkannya ke stesen, kalau tidak, barangkali di terlepas bas ekspres yang membawanya tadi ke sini.

Zaki menunggu Nina tadi di Puduraya. Zaki menaiki KTM Komuter dari Klang dan terus ke KL Sentral. Dari situ dia menaiki Putra LRT terus ke Central Market, dari CM dia berjalan kaki ke Puduraya. Mengharungi hiruk pikuk kotaraya di tengah-tengah kesesakan Kuala Lumpur di waktu puncak, waktu orang pulang bekerja. Sampai sahaja di Pudu, terus dia menunggu di tingkat bawah, tempat di mana bas-bas ekspres tiba dan pergi. Penumpang-penumpang naik dan turun. Tempat di mana warga-warga kota begitu kreatif mencari peluang dan rezeki.

Di Kuala Lumpur, warganya sama ada lelah atau berhelah untuk mencari sesuap nasi.

Jam 8 baru Nina tiba. Dua jam menunggu suatu penyiksaan pada Zaki, tetapi sementelah melihat kelibat Nina, penyiksaan itu bertukar menjadi syurga buat Zaki. Lupa segala-galanya. Lupa peristiwa yang dia tadi di 'pau' RM 20 oleh manusia-manusia kota yang mencari rezeki dengan cara mudah dan senang, memeras dan mengugut orang lain.

Yang penting Nina sampai juga, dan yang paling penting juga, perjalanan malam ini mereka berdua tetap bersama mengharunginya, sepertimana yang telah dirancang.

Sedang Nina dan Zaki memesan makanan di kaunter, pengumuman di corong pembesar suara bagi penumpang ke selatan telahpun dihebahkan. Tergocoh-gocoh mereka memesan makanan lalu membungkus makanan ke dalam beg plastik dan terus berlari-lari anak ke platform.

Pekerja landasan membunyikan wiselnya beberapa kali menandakan gerabak akan bergerak dalam kadar yang segera.

Nina dan Zaki menghenyakkan punggung mereka di atas kerusi. Dari satu koc ke satu koc, dari koc berkatil hingga ke berkerusi, akhirnya sampai ke tempat mereka. Koc mereka tiada nombor tetap, free seating bak kata orang Inggeris.

Zaki sudah lama tidak berkelana menaiki keretapi. Kali terakhir dia menaiki keretapi ketika umurnya 10 tahun, itu pun keretapi kelas 3, dengan kerusi plastik yang selalu terdapat di hospital-hospital kerajaan, itupun perjalanan yang pendek dari Kuala Lipis ke Padang Tengku, ketika pulang bercuti di kampung bapanya di Pahang.

15 tahun kemudian barulah Zaki merasai pengalaman menaikinya kembali.

Gerabak yang mereka naiki perlahan-lahan meninggalkan KL Sentral. Di luar hanya kegelapan yang menyelubungi, sekali sekala cahaya dari lampu-lampu jalan, bangunan-bangunan kelihatan, mewarnai perjalanan malam mereka.

Perjalanan malam ini bukan seperti yang termaktub dalam sirah Muhammad. Perjalanan itu perjalanan yang membawa rahmat ke seluruh alam, perjalanan ini tidak diketahui rahmat atau laknatnya.

Titik-titik air dari hujan yang turun renyai-renyai malam itu seakan-akan menangisi perjalanan malam itu. Entah apa tandanya tiada siapa tahu, mungkin jika Nostradamus masih hidup, dia mungkin dapat menelahnya.

Nina kelihatan ayu sekali malam itu, tudung litup berwarna hitam dikenakan dengan baju kemeja denim berwarna biru yang baru disalin di bilik air KL Sentral tadi kelihatan menarik pada pandangan matanya.

Pakailah baju apa pun, kau tetap menarik, kata hati kecil Zaki.

Sambil berborak-borak mengenai nostalgia lalu, kadang-kadang mengenai kerjaya Nina, pelajaran Zaki dan hal-hal lain, termasuk sembang-sembang tentang perkara-perkara yang berat, semuanya menarik minat Zaki mendengarnya. Sekali-sekala Zaki mengulas panjang tentang hal-hal yang membuatkan Zaki teruja. Sekali-sekala juga dia membebel panjang. Nina suka kalau Zaki berceloteh.

Makanan yang mereka bawa tadi dijamah sambil-sambil bercerita. Zaki kadang-kadang cuba beromantik, menyuapkan batang-batang french fries ke bibir Nina. Nina segan juga, namun bukan sesiapa yang kenal mereka pun. Nina pun jadi suka diperlakukan sebegitu.

Nina juga menghulurkan air untuk Zaki sedut. Macam dalam filem cinta Melayu di kaca tv itulah.

Sampai ke satu masa. Ruang dan masa seakan terhenti ketika mata mereka bertentangan. Tiada bunyi yang kedengaran, hanya degupan jantung mereka yang terdengar oleh telinga mereka. Perlahan-lahan wajah Zaki dan Nina menghampiri antara satu sama lain. Seiringan sambil mata antara pejam dan tidak.

Ketika itulah bibir mereka bertaup rapat. Macam dalam filem Hollywood itulah.

Zaki tersentak. Kelihatan penanggah-penanggah kenduri mengangkat pinggan-pinggan kotor dan juga lauk pauk untuk dihidang di atas meja-meja beralas kain putih. Nasi yang ditelan terasa kelat, lauk-pauk yang dikunyah terasa tawar, air sirap yang dihirup terasa semasin Laut Mati.

Hari itu cintanya mati, Nina telah pun selamat diijabkabulkan dengan pasangan hidup pilihan keluarganya. Zaki terasa keseorangan ditengah-tengah keramaian, terasa sangat pilu ditengah-tengah suasana keraian, ditengah terik mentari antara iklim tropika dan khatulistiwa.

Monday, June 30, 2008

Cerhypen II

Eton masih lagi menjalar di atas katil. Matanya terpaku ke siling biliknya. Lengan mulus lagi gebunya itu terletak di atas dahinya yang sedikit jendul. Siling plywood berwarna putih itu ditenungnya seolah-olah pengelihatannya dapat menembusi ruang disebaliknya. Fikirannya masih lagi berputar ligat seperti kipas meja yang terletak di sudut bilik kecil yang dihuninya itu, atas segala kata-kata ibunya petang semalam.

Eton masih lagi belum bangun dari perbaringan. Rasa malas menyelubungi dirinya. Lebih-lebih lagi atas perkhabaran ibunya semalam. Hidupnya rasa seperti tidak bermakna lagi, bangunnya pula dirasakan tidak bermaya. Kata-kata ibunya seperti halilintar yang membakar pantas tunas-tunas cintanya yang baru hendak bercambah kepada Karim.

Ya, Karim yang menyelamatkan dia dari terus menjadi mangsa nafsu rakus si Jalal. Karim itulah.

Ada air hangat yang bergenang dikelopak matanya. Menanti masa untuk jatuh berderai. Dadanya mula sebak, mengenangkan saat-saat Karim membantu dia mengharungi fasa hidup 'pasca Jalal' - peristiwa hitam petang jahanam yang hampir-hampir menyebabkan Eton menentukan takdir hidup matinya sendiri seterusnya menempah tiket sehala ke neraka.

Di situlah hadirnya sekelumit sinar. Sinar yang di bawa pemuda bernama Karim. Karimlah yang menyelamatkan Eton, mengembalikan sisa-sisa nafas Eton beberapa ketika setelah dia terjun dari tebing Sungai Dara yang berarus deras itu. Sangka Eton, kepergiannya akan lebih memudahkan urusan kedua orang tuanya, kematiannya akan mengembalikan maruah bapanya sebagai orang agama dalam kampungnya.

Selepas tersebarnya cerita petang jahanam itu ke serata kampung, Yahya anak bekas YBlah yang paling teruja sekali. Ini peluang terbaik, fikir Yahya. Peluang terbaik untuk menjatuhkan Haji Nasir yang merupakan imam besar kampung itu. Dengan jatuhnya Haji Nasir, maka kuranglah sokongan orang kampung kepada Tok Sidang KK.

Betul, Haji Nasir itu kroni Tok Sidang KK. Semua orang tau.

Cerita ini bergabung pula dengan cerita projek runding terus jambatan merentangi Sungai Dara yang bakal dapat memendekkan masa orang kampung untuk ke pekan pasti akan mengangkat saham Yahya ke tahap yang lebih tinggi, besar jasanya itu kepada orang kampung. 100 tahun pun belum tentu orang akan lupa jasanya itu. Itu belum campur jasa bapanya masa 5 tahun jadi YB dulu membina jalan berturap tar dari tanah Pak Ali Perong sampailah ke hujung kampung, betul-betul sampai ke sempadan tanah Pak Abas Dua Jari dengan kampung sebelah, yang jaraknya tak sampai pun 3 kilometer. Yahya tersenyum sendirian.

5 tahun jadi YB, orang kampung hanya dapat jalan tar yang tak sampai 3 kilometer itu. Itupun peruntukan menjelang tibanya pilihanraya. Kalau tak, haram tayar basikal Pak Abas Dua Jari tak merasa nak mencium batu tar sepanjang usianya.

Tak menunggu lama, Yahya anak bekas YB petang esoknya juga turun ke kedai kopi Janda Kiah dengan misi yang murni pada fikirannya itu, untuk menggulingkan Tok Sidang KK dan menjadi ketua kampung paling muda dalam sejarah kampungnya!

Yahya anak bekas YB langsung tidak mengetahui apa yang menunggu dan apa yang bakal terjadi nanti, barangkali kalau dia mengetahuinya, sumpah junjung Quran dia tidak akan turun ke kedai kopi Janda Kiah petang itu!

Karim ada duduk bersandar di balik pangkin kayu beluti yang tersusun rapat menjadi bangku tempat orang-orang tua, budak-budak muda duduk melepas lelah menghirup secawan dua kopi Janda Kiah yang pekat lagi lazat.

Kopinya yang pekat, tuan punya kedai itulah yang lazat.

Semenjak peristiwa itu, Karim menjadi seorang yang pendiam,membuat orang menjadi lebih gerun kepadanya. Oleh itu duduknya di kedai kopi Janda Kiah tiada siapa yang mengganggu dan mengambil peduli. Karim duduk dalam dunianya sahaja. Orang kampung barangkali masih terbayang muka Ah Soh yang herot perot, bercalar balar, berbirat birat, bahana dibelasah Karim setengah mati, juga barangkali seram sejuk mengenangkan Jenal budak kampung sebelah patah riuk kakinya dilaukkan dek tulang empat kerat si Karim.

Yahya anak bekas YB duduk diantara Pak Abas Dua Jari, Pak Ali Perong, Wak Mun, Jali Peon dan Din Mardi. Memulakan syarahnya berbakul-bakul melemparkan cerita-cerita busuk dan buruk dua orang seteru politiknya itu.

Tok Sidang KK dicercanya tak tau jaga binatang ternaknya, sampai habis kebun sayur Said Pertanian di ragut lembu-lembu Tok Sidang KK. Cerita Jalal masuk parit dek mengelak lembu Tok Sidang KK pun masuk dalam senarai cerita Yahya.

Padahal tanaman Said dirodok babi hutan yang entah mana arah datangnya, lembu Tok Sidang KK sudahnya jadi bahan cerita.

Cerita panas Eton dan Jalal, jadi agenda seterusnya. Cerita paling sensasi orang kampung masa kini, yang entah siapa punya angkara pembawa cerita, orang kampung pun tak tau. Si Yahya tau pun dari si Mamat cucu Pak Abas Dua Jari, Wak Mun dengar dari Pak Ali Perong, Pak Ali pula dengar dari si Jali Peon si Jali Peon pulak dengar dari Sarjan Usin.

Sarjan Usin kerja dekat balai di pekan, bapa kepada si Mamat.

Karim dari tadi meneliti setiap tutur kata perbualan orang-orang kampung yang bergebang dengan si Yahya. Setiap kali nama Eton terdengar di telinganya, setiap kali itulah juga telinganya semakin memerah, pijar dan panas. Tangannya menggelatar sehinggakan kopi yang cuba dihirupnya tertumpah-tumpah atas jeans Live's lusuhnya itu.

Tangan kirinya menggenggam erat kayu beluti yang menjadi alas punggungnya itu. Semakin lama semakin erat genggamannya seperti tak dapat untuk dileraikan lagi.

"Prapppp!!!"

Beluti yang dipegang Karim singgah keatas meja. Tercampak segala piring, cawan, kuih muih yang terhidang di atasnya. Wak Mun sudah tertonggeng ke dinding warung. Din Mardi sudah melompat naik ke atas Vespanya. Pak Ali Perong dah tertonggeng-tongeng, tersungkur-sungkur melarikan diri dari amukan si Karim.

Orang lain tak tau perasaan Karim terhadap Eton.

Tinggallah si Yahya anak bekas YB, rakan Karim yang selalu menonton DVD panas di rumahnya. Berpeluh-peluh si Yahya melihat Karim dengan mata yang merah macam biji saga dan mukanya yang merah padam. Peluh jantan mengalir mencurah-curah.

Dalam hatinya terbayang Ah Soh dan Jenal.

Dari kejauhan, Pak Abas Dua Jari yang lebih dulu meluru keluar dari kedai janda Kiah tadi, dalam keadaan menggeletar, melihat kelibat Karim menghayun-hayun kayu beluti kearah susuk tubuh yang sudah tersembam, lunyai di atas lantai simen kedai kopi Janda Kiah.

***
"Eton, minggu depan kita ke baroh, rumah Janda Kiah, nak buat kenduri, si Kiah tu tak lama lagi dah tak menjanda lagi...."
"Aaarr...syukurlah, ada jugak jodoh dia tu ye mak?"
"Tu lah...orang kata kalau dah jodoh tak kemana...."
"Dengan siapa mak?"
"Si Karim..",

Wednesday, June 25, 2008

Cerhypen - Cerita Hyper Pendek. Untuk Bacaan Pembaca Matang Sahaja

Karim menghampiri bangsal usang di penghujung kampung, betul-betul bersempadan dengan tanah Pak Abas Dua Jari. Bangsal itu sangat usang, dinding terkopak-kopak, bumbungnya rongak-rongak. Ada atap nipah ada bumbung zink, tiangnya pula pendek-pendek, berceracak memenuhi tanah sekangkang kera betul-betul bersempadan dengan tanah Pak Abas Dua Jari.

Motor Jalal ada tersandar di balik tiang bangsal lusuh itu. Motor Honda Cup C70 warna berbelang-belang, kelabu dan perang, perang kena lecak dekat jalan masuk tadi, perang sebab malam semalam Jalal hampir berlanggar dengan lembu, lembu dielak, parit depan rumah Tok Sidang KK pula yang ditujunya. Jalal kata, lembu tu bodoh, duduk dekat tengah jalan, Karim pula kata, Jalal yang bodoh, motor tak ada lampu, bawa laju-laju. Si Yahya anak bekas YB kata, Tok Sidang KK tu yang bodoh, pasal tak tau jaga belaannya sampai menyusahkan orang kampung.

Lembu tu memang Tok Sidang KK yang punya, Si Yahya pulak dah daftar nak jadi calon bertanding jadi Ketua Kampung!

Karim dengar ada orang berborak-borak, satu suara lelaki satu suara betina. Takkan suara betina tu suara Jalal pulak kot! Sudah tentu suara lelaki tu milik Jalal, tapi suara betina tu tidak pulak Karim cam suaranya. Sesekali terdengar derai ketawa mereka. Karim cepat-cepatkan langkahnya, mau tahu dengan siapa Jalal bersenda tawa.

Semalam sebelum mereka balik, Jalal ada cakap, dia ada nampak hantu petang sebelumnya dekat bangsal buruk tempat dia, Karim, Mamat cucu Pak Abas Dua Jari dengan Yahya anak bekas YB main judi bila dapat duit padi. Kecut perut semua dengar cerita Jalal. Jalal kata sampai terkencing-kencing dia atas motor lari dengar hantu tu ketawa mengilai-ngilai. Karim saja yang tak kecut, dia suka benar akan hal-hal mistik sebegini.

Karim membesar dengan buku-buku cerita hantu dan jin Tamar Jalis berlambak-lambak dekat rak buku kakaknya, bila dah besar sikit, dah pegang duit sendiri, buku-buku macam Mastika pula jadi bahan bacaannya. Siri Seekers dekat tv tidak pernah barang sekali pun dia terlepas, itu belum lagi tabiatnya yang sorok-sorok pergi rumah Janda Kiah sebab nak tengok Expose Mistik, sampai berebut remote control Astro dengan anak-anak Janda Kiah yang selalu menangis bila tak dapat tengok rancangan kegemaran mereka setiap kali Karim datang ke rumah mereka.

Janda Kiah selalu minta tolong Karim beli barang dapur, kadang-kadang jadi buruh, kepala paip rosak, Janda Kiah minta Karim betulkan, reban ayam belakang rumah roboh kena sondol biawak lapar pun Karim yang betulkan, kadang-kadang urusan bayar bil dekat pekan pun Karim yang tolong jelaskan, tapi bukan duit dari poket Karim sendiri, kerja pun ambil upah ke sawah, cukup makan pakai saja, kalau menang main judi lepas musim menuai, ada jugalah lebih sikit buat beli baju t-shirt baru atau sehelai dua seluar jeans Live's dekat pekan sana.

Seluar Live's ejaannya itu memang begitu, sebab Karim memang tak mampu nak beli sepasang Levi's yang beratus-ratus sepasang. Duit banyak tu, buat modal berniaga burger lagi bagus katanya. Itu katanya lepas dengar ceramah usahawan anjuran belia 4B kampungnya, tapi semalam dia kata duit banyak tu buat top-up kredit panggilan prepaid nya lagi bagus, malam-malam boleh sms Eton anak dara Haji Nasir imam masjid kampung, untung-untung dapat kahwin anak tok imam katanya.

Karim sudah berada dekat belakang bangsal uzur yang menunggu masa rebah ke bumi. Sesekali terdengar suara wanita itu menjerit kecil disusuli dengan bunyi-bunyi berdesis, penuh berahi, macam dalam cerita 'VCD panas' yang Karim selalu tonton dekat rumah Yahya anak bekas YB tiap-tiap hujung minggu.

Tapi itu dulu. Beberapa tahun dulu, sekarang sudah tak tengok VCD panas lagi, Karim dengan kawan-kawannya tengok DVD panas pula, tapi masih di rumah Yahya anak bekas YB, juga tiap-tiap kali hujung minggu.

Tiba-tiba bangsal bergoyang-goyang, macam berlaku gempa bumi, Karim terkejut lalu terus berlari ke hadapan menuju ke pintu masuk yang sudah tidak bertangga itu. Terkejut sekali lagi si Karim melihat si Jalal sedang bertenggek atas badan seorang perempuan yang bertelanjang bulat tanpa seurat benang pakaian pun di badannya, si Jalal masih lagi berseluar, tetapi seluarnya sudah ke paras lutut dan berlengging tidak berbaju.

"Hoi, kau buat apa tu hah!"

Sergah Karim. Merah menyinga mukanya, menggeletar tapak tangannya menunggu masa untuk melekap di pipi Jalal. Terkejut beruk si Jalal lantas lari lintang pukang meninggalkan bangsal uzur itu. Juga motosikal buruknya itu. Takut kena balun dengan si Karim.

Karim pernah belasah Ah Soh penjaja ikan dari bagan pasal langgar budak melintas jalan masa balik sekolah. Setengah mati Ah Soh tu dikerjakannya, sampai sekarang Ah Soh tak menjual ikan di kampungnya lagi. Karim pernah belasah Jenal, samseng kampung sebelah pasal saja-saja jatuh badan dalam kotak penalti masa perlawanan bolasepak anjuran YB kampungnya setiap kali musim pilihanraya. Sepertimana Ah Soh, Jenal tidak lagi berani datang ke kampungnya lagi hatta pada hari raya.

Si betina yang bertelanjang tadi itu, bangkit dari perbaringannya, kedua-dua belah tangannya menekap ke dada. Rambut kusut masai lagi panjang berjurai itu menutup wajahnya. Lalu mendongak ke arah Karim yang masih menggeletar tangannya.

"Abang Karim..."

Karim menoleh ke arah betina yang menyundal dengan si Jalal tadi.

"Hah, Eton????"

Terkejut lagi buat kali yang seterusnya si Karim. Anak dara Haji Nasir, anak imam kampung boleh jadi macam ni. Tapi itu tak membuatkan dia naik darah lagi, tapi masalahnya, malam tadi baru Eton balas sms Karim, Eton kata Eton cintakan dia, sanggup jadi isteri dia, sanggup jadi suri hidupnya. Karim pun sudah berkira-kira upah menuai musim ini hendak dijadikan belanja kahwin dia dengan Eton.

Karim tak sanggup lagi nak tengok DVD panas setiap minggu di rumah Yahya anak bekas YB.

Harapannya hancur musnah kini. Karim menggertap bibir. Karim kata biar sampai ke lubang cacing pun akan di carinya Jalal. Biar dibelasahnya puas-puas. Lumat-lumat, sampai lunyai. Sampai masuk penjara pun Karim sanggup. Hasrat hati nak tengok hantu, rupa-rupanya Jalal yang jadi hantu. Hantu punya Jalal! Sumpah Karim.

Dalam masa yang sama Jalal duduk dibelakang lori babi yang ditahannya tadi yang sedang perjalanan ke Kuala Lumpur, melarikan diri dari Karim dan kampungnya buat selama-lamanya.

StatCounter