Monday, June 30, 2008

Cerhypen II

Eton masih lagi menjalar di atas katil. Matanya terpaku ke siling biliknya. Lengan mulus lagi gebunya itu terletak di atas dahinya yang sedikit jendul. Siling plywood berwarna putih itu ditenungnya seolah-olah pengelihatannya dapat menembusi ruang disebaliknya. Fikirannya masih lagi berputar ligat seperti kipas meja yang terletak di sudut bilik kecil yang dihuninya itu, atas segala kata-kata ibunya petang semalam.

Eton masih lagi belum bangun dari perbaringan. Rasa malas menyelubungi dirinya. Lebih-lebih lagi atas perkhabaran ibunya semalam. Hidupnya rasa seperti tidak bermakna lagi, bangunnya pula dirasakan tidak bermaya. Kata-kata ibunya seperti halilintar yang membakar pantas tunas-tunas cintanya yang baru hendak bercambah kepada Karim.

Ya, Karim yang menyelamatkan dia dari terus menjadi mangsa nafsu rakus si Jalal. Karim itulah.

Ada air hangat yang bergenang dikelopak matanya. Menanti masa untuk jatuh berderai. Dadanya mula sebak, mengenangkan saat-saat Karim membantu dia mengharungi fasa hidup 'pasca Jalal' - peristiwa hitam petang jahanam yang hampir-hampir menyebabkan Eton menentukan takdir hidup matinya sendiri seterusnya menempah tiket sehala ke neraka.

Di situlah hadirnya sekelumit sinar. Sinar yang di bawa pemuda bernama Karim. Karimlah yang menyelamatkan Eton, mengembalikan sisa-sisa nafas Eton beberapa ketika setelah dia terjun dari tebing Sungai Dara yang berarus deras itu. Sangka Eton, kepergiannya akan lebih memudahkan urusan kedua orang tuanya, kematiannya akan mengembalikan maruah bapanya sebagai orang agama dalam kampungnya.

Selepas tersebarnya cerita petang jahanam itu ke serata kampung, Yahya anak bekas YBlah yang paling teruja sekali. Ini peluang terbaik, fikir Yahya. Peluang terbaik untuk menjatuhkan Haji Nasir yang merupakan imam besar kampung itu. Dengan jatuhnya Haji Nasir, maka kuranglah sokongan orang kampung kepada Tok Sidang KK.

Betul, Haji Nasir itu kroni Tok Sidang KK. Semua orang tau.

Cerita ini bergabung pula dengan cerita projek runding terus jambatan merentangi Sungai Dara yang bakal dapat memendekkan masa orang kampung untuk ke pekan pasti akan mengangkat saham Yahya ke tahap yang lebih tinggi, besar jasanya itu kepada orang kampung. 100 tahun pun belum tentu orang akan lupa jasanya itu. Itu belum campur jasa bapanya masa 5 tahun jadi YB dulu membina jalan berturap tar dari tanah Pak Ali Perong sampailah ke hujung kampung, betul-betul sampai ke sempadan tanah Pak Abas Dua Jari dengan kampung sebelah, yang jaraknya tak sampai pun 3 kilometer. Yahya tersenyum sendirian.

5 tahun jadi YB, orang kampung hanya dapat jalan tar yang tak sampai 3 kilometer itu. Itupun peruntukan menjelang tibanya pilihanraya. Kalau tak, haram tayar basikal Pak Abas Dua Jari tak merasa nak mencium batu tar sepanjang usianya.

Tak menunggu lama, Yahya anak bekas YB petang esoknya juga turun ke kedai kopi Janda Kiah dengan misi yang murni pada fikirannya itu, untuk menggulingkan Tok Sidang KK dan menjadi ketua kampung paling muda dalam sejarah kampungnya!

Yahya anak bekas YB langsung tidak mengetahui apa yang menunggu dan apa yang bakal terjadi nanti, barangkali kalau dia mengetahuinya, sumpah junjung Quran dia tidak akan turun ke kedai kopi Janda Kiah petang itu!

Karim ada duduk bersandar di balik pangkin kayu beluti yang tersusun rapat menjadi bangku tempat orang-orang tua, budak-budak muda duduk melepas lelah menghirup secawan dua kopi Janda Kiah yang pekat lagi lazat.

Kopinya yang pekat, tuan punya kedai itulah yang lazat.

Semenjak peristiwa itu, Karim menjadi seorang yang pendiam,membuat orang menjadi lebih gerun kepadanya. Oleh itu duduknya di kedai kopi Janda Kiah tiada siapa yang mengganggu dan mengambil peduli. Karim duduk dalam dunianya sahaja. Orang kampung barangkali masih terbayang muka Ah Soh yang herot perot, bercalar balar, berbirat birat, bahana dibelasah Karim setengah mati, juga barangkali seram sejuk mengenangkan Jenal budak kampung sebelah patah riuk kakinya dilaukkan dek tulang empat kerat si Karim.

Yahya anak bekas YB duduk diantara Pak Abas Dua Jari, Pak Ali Perong, Wak Mun, Jali Peon dan Din Mardi. Memulakan syarahnya berbakul-bakul melemparkan cerita-cerita busuk dan buruk dua orang seteru politiknya itu.

Tok Sidang KK dicercanya tak tau jaga binatang ternaknya, sampai habis kebun sayur Said Pertanian di ragut lembu-lembu Tok Sidang KK. Cerita Jalal masuk parit dek mengelak lembu Tok Sidang KK pun masuk dalam senarai cerita Yahya.

Padahal tanaman Said dirodok babi hutan yang entah mana arah datangnya, lembu Tok Sidang KK sudahnya jadi bahan cerita.

Cerita panas Eton dan Jalal, jadi agenda seterusnya. Cerita paling sensasi orang kampung masa kini, yang entah siapa punya angkara pembawa cerita, orang kampung pun tak tau. Si Yahya tau pun dari si Mamat cucu Pak Abas Dua Jari, Wak Mun dengar dari Pak Ali Perong, Pak Ali pula dengar dari si Jali Peon si Jali Peon pulak dengar dari Sarjan Usin.

Sarjan Usin kerja dekat balai di pekan, bapa kepada si Mamat.

Karim dari tadi meneliti setiap tutur kata perbualan orang-orang kampung yang bergebang dengan si Yahya. Setiap kali nama Eton terdengar di telinganya, setiap kali itulah juga telinganya semakin memerah, pijar dan panas. Tangannya menggelatar sehinggakan kopi yang cuba dihirupnya tertumpah-tumpah atas jeans Live's lusuhnya itu.

Tangan kirinya menggenggam erat kayu beluti yang menjadi alas punggungnya itu. Semakin lama semakin erat genggamannya seperti tak dapat untuk dileraikan lagi.

"Prapppp!!!"

Beluti yang dipegang Karim singgah keatas meja. Tercampak segala piring, cawan, kuih muih yang terhidang di atasnya. Wak Mun sudah tertonggeng ke dinding warung. Din Mardi sudah melompat naik ke atas Vespanya. Pak Ali Perong dah tertonggeng-tongeng, tersungkur-sungkur melarikan diri dari amukan si Karim.

Orang lain tak tau perasaan Karim terhadap Eton.

Tinggallah si Yahya anak bekas YB, rakan Karim yang selalu menonton DVD panas di rumahnya. Berpeluh-peluh si Yahya melihat Karim dengan mata yang merah macam biji saga dan mukanya yang merah padam. Peluh jantan mengalir mencurah-curah.

Dalam hatinya terbayang Ah Soh dan Jenal.

Dari kejauhan, Pak Abas Dua Jari yang lebih dulu meluru keluar dari kedai janda Kiah tadi, dalam keadaan menggeletar, melihat kelibat Karim menghayun-hayun kayu beluti kearah susuk tubuh yang sudah tersembam, lunyai di atas lantai simen kedai kopi Janda Kiah.

***
"Eton, minggu depan kita ke baroh, rumah Janda Kiah, nak buat kenduri, si Kiah tu tak lama lagi dah tak menjanda lagi...."
"Aaarr...syukurlah, ada jugak jodoh dia tu ye mak?"
"Tu lah...orang kata kalau dah jodoh tak kemana...."
"Dengan siapa mak?"
"Si Karim..",

No comments:

StatCounter