Thursday, May 10, 2007

Pantai Timur - Perjalanan Rutin

di bawah ini gambar-gambar awan yang sempat aku abadikan di dalam Telefon bimbit berkamera NOKIA 6680 aku semasa memandu.
Matahari terbit di ufuk timur, foto diambil di Lanchang, jam 6.55 am

Petang di Temerloh, awan ini buat aku terpana....


Matahari ingin beradu di ufuk barat

Tinggalkan dulu awan-awan tersebut, buat seketika.

Dalam bulan ini sahaja, aku akan ke Kuantan setiap Khamis bagi tujuan lawatan tapak dan taklimat tender bagi kerja-kerja yang ditawarkan oleh JKR dan JBA Pahang. Bagai sudah menjadi rutin, maka perjalanan itu sudah tidak lagi aku rasakan seperti suatu beban dan perjalanan yang mengambil masa 3 atau 4 jam pemanduan dalam kelajuan biasa, sekitar 110 km/j itu tidak lagi dirasakan panjang. Pemanduan sepanjang Lebuhraya Pantai Timur yang hanya berlanskapkan Estet-Estet getah, kelapa sawit dan hutan simpan serta diselang-seli dengan kon-kon keselamatan dan papan tanda lencongan memberitahu semua pengguna bahawa wang tol mereka digunakan dengan begitu 'cermat' bagi 'mengulangbina' cerun-cerun yang runtuh, turapan yang tidak rata, aras jalan yang 'tiba-tiba' rebak dan runtuh tidak ketinggalan juga, abang-abang polis trafik yang sentiasa bersiap sedia bersama teropong ajaib mereka disebalik longkang, cerun atau dibawah jejambat memburu pesalah-pesalah trafik yang merasakan mereka lebih laju dari Schumacher ataupun Diego Alonso mahupun Alex Yoong, semua ini tidak lagi mengganggu tumpuan aku di jalan raya, tapi menjadi peneman aku tatkala memandu seorang diri.
Tengaharinya, aku bersama tuan punya syarikat kontraktor bumiputera yang aku tumpangkan dari Temerloh, bersantai seketika di sebuah masjid di Beserah. Aku yang kurang tidur mengambil satu sudut di ruang beranda masjid itu terus sahaja tanpa segan silu berbaring sambil memejamkan mata bagi merehatkan diri seketika.
Orang yang aku tumpangkan itu aku namakan Tn Hj. Beliau juga seperti aku, berbaring berhampiran aku, cuba untuk melepaskan lelahnya. Tiba-tiba, sedang aku cuba untuk melelapkan mata, terdengar satu suara yang pekat dengan loghat Kelantan menegur Tn Hj.

(Dialog ini telah aku alih bahasakan dan disusun atur supaya dapat difahami semua)

"Saya datang jauh dari Pattani, ada bawa ubat panau, ubat gatal, ubat sakit, ubat urut, pakcik mau tengok? Tengok-tengok pun tidak apa, tak mau beli juga tak apa.." Si penjual ubat memulakan bicara.

"Ubat 'anu' ada?" tanpa berselindung Tn Hj bertanya, dalam nada suara yang rendah, mungkin berfikir yang aku telah terlelap.

Lantas dibuka beg ajaib berisi segala macam ubat-ubatan, minyak ajaib dan makjun-makjun yang boleh menyembuhkan semua penyakit di dunia dan bakal muflislah semua taukeh-taukeh ubat, farmasi, hospital-hospital swasta dan tak lupa pawang-pawang tradisional.

Setelah beberapa lama aku ikuti bual bicara dalam separa sedar, aku pasti ubat ajaib 'datang lambat' dan wang ringgit telahpun bertukar tangan, kemudian Tn Hj bertanya:

"Bagaimana keadaan di sana, di Pattani?"

"Kelam kabut, tapi asal boleh cari makan..."

"apa masalahnya?"

"Kami orang islam mau bebas, tapi Kerajaan tidak mahu lepaskan, ramailah pemberontak gerila yang berjuang, kami orang biasa, tolong setakat mampu, beri derma ikhlas untuk mereka berjihad.."

"Kenapa kamu tak lawan?"

"Nak lawan? Thailand hantar tentera ribu-ribu lengkap bersenjata, kami nak lawan guna apa? Biar saja pemberontak melawan.."

"Bukan jeneral Sonthi itu juga Islam?"

"Dia Islam, tapi dia Islam luaran saja, mana mungkin Muslim memakai rantai emas yang besar-besar dan tebal pula. Dia Islam hanya pada nama, tidak sama Islam orang Bangkok dengan islam kami di Pattani, Yala.."

"Agak-agak boleh menang tidak?", Tn Hj menduga.

"Kalau Iran mahu membantu, kami pasti menang..dan dengar khabarnya Najib juga menyokong kami, jika Najib tampil memberi sokongan kamu pasti dapat bebas..."

Aku pada masa ini, tidak lagi berminat untuk mengikuti perbualan ini kerana terlalu letih dan akhirnya terlelap.

Sebelum terlelap aku sempat berfikir, adakah Najib ini dimaksudkan Dato Seri Najib Tun Razak?

Dari mana beliau mendengar khabar itu juga aku tidak pasti. Aku hanya tersenyum sendirian dibalik lengan yang aku sandarkan di dahi sebagai menutup muka. Dan aku terus terlena di atas lantai mar-mar sejuk masjid tersebut yang dingin dihembus angin dari Laut China Selatan.

Macam-macam!

No comments:

StatCounter