Friday, September 28, 2007

Demam campur Sakit Tekak

Cobaan..... huhu.. 8 hari sebelum ulang tahun pertama aku hidup tanpa tembakau....

Wednesday, September 26, 2007

Kenangan Puasa Zaman Dulu

Bulan puasa adalah bulan menahan diri dari makan, minum dan perkara yang boleh membatalkan puasa akan tetapi tidaklah dapat menahan aku dari mengenang puasa aku di zaman dulu-dulu, zaman kanak-kanak, zaman remaja, zaman sebelum berbini.

Zaman kanak-kanak, walaupun masih belum wajib berpuasa, aku tetap berpuasa sebab nak dapat duit raya dan baju raya. Kalau aku puasa tak penuh, makanya duit raya juga tidak dapat penuh, dan jika aku dapat menamatkan Ramadhan tanpa cacat celanya, bukan saja duit raya dan baju raya aku dapat, malah aku dapat membanggakan ibu bapa aku ketika bertandang ke rumah jiran dan saudara mara.

"Along puasa penuh ke tahun ni?"
"Penuh!"
"Terer la Along, kecik-kecik lagi dah boleh puasa penuh..."
"Hehehe..."

Aku jawab sambil membelek sampul duit untuk melihat-lihat ke dalamnya. Selalunya pakcik dan makcik aku di Banting pasti akan memberikan aku duit raya yang jumlahnya berganda daripada apa yang aku dapat di Kuala Lipis, kampung arwah mak aku.

Apa yang mak aku selalu katakan sebagai motivasi jika aku tak larat untuk terus berpuasa adalah selalunya tentang sepupu-sepupu aku yang lain yang diketahui memang tak pernah 'kantoi' berpuasa sebagai semangat untuk aku terus berpuasa. Memanglah, takkan aku nak balik kampung nanti untuk menjadi objek ejekan dan gurauan sebab tak habis puasa, calarlah imej aku sebagai anak Abang Din dan Kak Nana yang baik lagi soleh.

Ketika masuk alam persekolahan, rupanya lagi banyak godaan dari berpuasa sepanjang hari di rumah. Rakan-rakan yang memonteng puasa misalnya yang selalu bertindak menjadi syaitan yang nyata di bulan Ramadhan, ya lah, sebab syaitan betul sudah kena rantai. Jambu dan mempelam milik orang kampung semuanya di 'sebat' dan tempat mereka melakukan aktiviti terkutuk ni selalunya di belakang masjid. Ironinya, masa berbuka puasa ni, masa sekolah agama sebelah petang saja, bukan masa sekolah pagi (sekolah kebangsaan).

Aku masa sekolah rendah tetap juga berpuasa penuh, sebab aku tak geng dengan mereka yang selalu ponteng puasa ni. Iman aku tetap tak tergugat walaupun seplastik air coke campur ais yang kawan-kawan aku sua depan mata aku yang mereka beli sorok-sorok dari kedai depan sekolah, aku tetap berpuasa. Waktu ini, aku jarang balik ke rumah. Dari sekolah rendah, tamat sahaja sesi persekolahan pagi aku berjalan kaki ke sekolah agama yang terletak bersebelahan dengan kawasan sekolah rendah sebab masa ni aku belum ada basikal lagi. Aku mandi di bilik air masjid dan selepas itu baring-baring dalam masjid menunggu sesi sekolah agama sebelah petang pula bermula.

Walaupun bulan puasa, permainan biasa seperti main guli, main getah (lastik getah), bikalibi (main kejar-kejar), main bola chop, main nyorok-nyorok mahupun main zero-fine [getah gelang yang disambung-sambung sampai panjang dan dihayun-hayun dengan seorang pemain terloncat-loncat mengelak getah tersebut di tengah-tengah] (aku pun tak tau la betul ke bunyinya, tapi main ni budak perempuan suka la!) akan tetap diteruskan tanpa mengenal erti penat dan lelah, ya lah, kebanyakkan kawan-kawan aku tak berpuasa, jadi bulan puasa ke, bulan biasa ke, macam sama saja, tak ada beza!

Bulan-bulan puasa ini aku biasanya akan membawa sehelai sapu tangan yang aku akan basahkan dan aku letakkan di leher dan kadang-kadang aku lekapkan dibibir supaya kehausan dapat dielakkan dan kesegaran dapat dikekalkan sepanjang masa.

Tetapi sepanjang aku bersekolah rendah, aku hanya pernah ponteng puasa hanya sekali saja, tetapi tanpa pengetahuan ibu bapa aku. Mana boleh bagitahu, malulah dekat adik-adik yang puasa penuh. Hehehe. Itupun pun fasal tergoda tengok kawan-kawan makan jambu dekat belakang sekolah dengan seplastik air berkarbonat Kickapoo.

Masuk sekolah menengah, sekolah pula sekolah agama, makanya penuhlah aktiviti di bulan Ramadhan dengan aktiviti yang menambahkan pahala seperti tadarrus al Quran, hafazan ayat-ayat suci al Quran, sembahyang terawih penuh lengkap dengan qunut nazilah dan lengkap dengan bacaan surah-surah panjang... hehehe... dan mulut tidak lekang dengan zikir memuji Allah. Namun walaupun sekolah tersebut adalah sekolah agama, ada juga pelajarnya yang menjadi musuh yang nyata di siang hari. Ada antara rakan-rakan aku tak berpuasa hanya kerana sebiji gula-gula mentos. Ada juga yang batal puasanya menjelang waktu berbuka hanya kerana tak tahan melihat air tin yang dijual di kantin. Pukul 5.30 beli makanan dan minuman di kantin sebab tak selera tengok menu di dewan makan, jam 6.00 makanan dan minuman yang dibeli sudah tinggal separuh.

Bila dan besar sedikit, sudah mula belajar merokok. Ada juga kawan-kawan sudah berbau rokok pada pukul 12 tengah hari. Selalunya maggi adalah menu utama untuk mereka yang ponteng puasa dan kadang-kadang ada menu istimewa yang dibawa dari rumah seperti nugget dan sosej untuk tambahan perisa ke dalam mi segera.

Selalunya alasan tak berpuasa adalah kerana tak bersahur ataupun kalau bangun, lauk dewan makan tak sedap. Betul juga, kadang-kadang lauk-lauk yang disediakan macam nak tak nak saja masakannya. Ikan busuklah. Daging keras dan liat dan macam-macamlah. Selalunya kalau aku tak sanggup nak menelan lauk sahur di dewan makan, cukup bagi aku beberapa biji buah kurma dan air manis-manis ataupun sekadar air kosong dari water cooler dewan makan.

Bila dan meningkat dewasa, belajar di universiti lagi banyak karenah dan gelagatnya. Duduk rumah sewa bersama kawan-kawan sekuliah lagilah banyak ceritanya. Selalunya di bulan ramadhan ini, akan ada satu bilik yang berkunci pada waktu tengahhari, selalunya bila tamat kuliah sesi pagi. Selepas itu, bau aroma rokok pelbagai jenama akan memenuhi ruang rumah dan aku hanya boleh memendam rasa tak puas hati. Ya lah nak tegur banyak-banyak kali nanti, kata bagi ceramah lah, apalah padahal aku bukannya baik sangat pun. Selalunya lauk-lauk dan juadah 'berbuka puasa' di tengahhari tu mereka beli dari restoran mamak yang di buka sambil bidainya ditarik turun pabila menjelang waktu tengahhari. Selalunya kawan aku yang tukang beli akan membawa beg sandang dan memasuki restoran tersebut tanpa menanggalkan helmet sebab nak coverline lah tu!

Kadang-kadang ada air kotak besar pelbagai jenama dalam peti ais yang malam tadinya kosong, tapi bila tengahhari dah ada wujud tersimpan di dalamnya tetapi dalam keadaan terbuka. Memang misteri, tapi bangkai gajah bukan boleh ditutup dengan pelepah kelapa kan? hehehe..

Sejak aku ponteng puasa di sekolah rendah sehinggalah tahun lepas punya puasa aku tak pernah ponteng puasa. Tahun lepas aku tak puasa sehari sebab demam teruk. Itu pun fasal rasa macam dah nak mati lepas tu bini aku suruh makan ubat.

Itulah kenangan berpuasa aku. Harap-harap puasa tahun ni penuhlah hendaknya.

Sunday, September 23, 2007

Iftar Jama'ie di Aroma Ikan Bakar Jeram

Semalam telah berlangsung satu acara berbuka secara berjemaah bersama sahabat-sahabat bekas pelajar SMKAKS (dan juga SMK Dato Harun..hehehe) bertempat di Aroma Ikan Bakar Jeram Kuala Selangor. Rakan-rakan yang hadir adalah (mengikut susunan waktu ketibaan)Kapten Asnuri, Ibrahim Rabani, Wan Mohamed Zubir Wan Hamidon bersama teman wanitanya Wahida, aku dan isteri, Bert, Apai dan Aida, C-pot, Irwan aka Skema dan Jibam. Walaupun bilangan kehadiran dijangka lebih tinggi daripada jumlah yang hadir, namun keceriaan dan tahap kerancakkan perbualan tetap berada dalam keadaan yang optimum lebih-lebih lagi mendengar cerita-cerita dan pengalaman Encik Skema, yang sentiasa mengundang derai tawa daripada para hadirin



Mata masing-masing yang rambang melihat lauk-lauk bertebaran di atas meja

Kos yang dikenakan tidak termasuk kos petrol dan pengangkutan adalah sebanyak RM30.00 sekepala dan aku telah membuat pesanan terlebih dahulu kepada pengusaha restoran tersebut, Cikgu Hazura atas menu yang difikirkan sesuai untuk memenuhi selera makan rakan-rakan yang hadir. Menu juadah kami semalam adalah Nasi Putih, Sayur Kailan Ikan Masin, Ikan Siakap Tiga Rasa, Ketam Masak Kari, Udang Besar Goreng Mentega, Tom Yam Campur serta Sotong Goreng Tepung manakala minuman yang disediakan adalah Fresh Oren sebanyak 5 jag. Kesemuanya di hidang dalam 3 set hidangan.



Makan sambil berborak boleh mengundang bencana seperti tercekik dan keracunan saraf.

Setelah makan dan solat Maghrib yang diimamkan oleh saudara Zubir, kami duduk bersembang sehinggalah tidak sedar waktu yang beredar. Seperti biasa acara menyerang peribadi dan mengenang nostalgia lama memenuhi acara sembang dan memang tidak akan pernah mengundang rasa bosan di dalam diri kami. Kapten Asnuri menghubungi tunangnya yang bekerja di Darul Ehsan Medical Centre untuk bertanyakan keadaan rakan kami Ihsan yang terlantar di sana namun kami dikejutkan dengan berita perpindahan beliau ke Hospital Selayang. Aku terus menghubungi beliau bagi mengesahkan berita tersebut, dan Ihsan mengesahkannya dan terkejut tentang bagaimana aku mengetahui berita tersebut. Beliau dipindahkan kesana kerana untuk dirujuk kepada doktor yang lebih pakar tentang penyakit yang menimpa beliau. Semoga beliau akan cepat sembuh dan redha dengan bencana yang menimpa dirinya. Ihsan, ganbatte kudasai!

Jam 9.30 kami pun bersurai sambil membawa sisa-sisa kulit udang yang terlekat di gigi dan isi-isi udang, ikan dan ketam yang telah melebur di dalam kepekatan asid hidroklorik kepekatan 5 mol di dalam perut masing-masing.

Kepada rakan-rakan yang dapat hadir, terima kasih diucapkan, dan sms-sms serta panggilan daripada rakan-rakan yang mahu hadir tapi tidak dapat hadir amatlah dihargai. Semoga kalian sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan diberkati Allah S.W.T.

p/s : Tujuan asal aku buat majilis ini pada tarikh semalam adalah untuk meraikan double birthday Jibam (20/9)dan Ajid (23/9), tetapi Ajid tak dapat hadir dan Razif hadir lewat telah menyebabkan ucapan selamat aku menjadi anti klimaks. heh. Tapi takpelah, ganti dengan celebrate birthday Skema (25/9) pun kira ok lah! Guys, happy birthday to you all!

YouTubelah bang!

http://www.google.com.my/search?hl=en&q=yutube sudirman balek kampung&meta=

hehehehe.... macam manalah kau nak dapat apa yang kau cari?

Saturday, September 22, 2007

Kerana Mulut...

Mulut
Sedapnya mulut kamu berkata-kata
Manisnya mulut tertanam tebu di pinggir bibir

Mulut
Kerana mulut badan binasa
Kerana mulut rakan hampir, musuh pun hadir

Mulut
Banyak mulut macam tin kosong lagaknya
Berat mulut banyak berfikir

Mulut
Banyak bercakap banyak silap
Kurang berkata kurang cela

Mulut
Jujurlah menggunakan
Jauhlah kemunafikan

Mulut
Zikir, dakwah, tasbih, banyakkan diam selamatlah ke Akhirah
Fitnah, umpat, keji dan caci laknatlah ke Hawiah

Mulut
Tersilap kata tersilap tutur
aku harap dosa terlebur
maaf segala kata di atur
harap silap segera berkubur

StatCounter