Hujung Minggu yang Memenatkan!
Jumaat bersamaan 31 Ogos 2007, ulangtahun Kemerdekaan Malaysia ke 50, bermakna cuti umum untuk semua, maka cuti hujung minggu yang lebih panjang sehari daripada biasa. Perancangan malam Merdeka aku pula tak seperti yang dirancang, kerana keadaan kesihatan aku yang tak mengizinkan, makanya aku menyambut malam merdeka dengan terbaring lesu dihadapan kaca tv. Pada mulanya, aku dan isteri bercadang untuk menonton percikan bunga api di Putrajaya, maka disebabkan keadaan aku yang lemah, maka akhirnya aku menonton sambutan di kaca tv sahaja dan dek kerana ucapan-ucapan yang panjang dari ahli-ahli politik negara, aku alihkan pula ke rancangan sukan di saluran ESPN untuk menonton undian Champions League secara langsung dari Monaco.
Pada siangnya pula, aku bangun lewat, dan kepala aku kurasakan tersangat berat seolah-olah kaki todi yang mabuk dan kesiangan, tekak pula aku rasakan seperti disimbah asid hidroklorik, perit dan pedih terpaksa di tahan. Hari ini aku menunggu keluarga isteriku datang bertandang, dan hanya tiba pada waktu tengahharinya.
Selepas Jumaat dan makan tengahhari, kami bertolak menuju ke Putrajaya untuk melawati tapak Festival Floria yang diadakan di Monumen Mileneum, Precint 2. Setelah ibu mertuaku membeli bunga orkid yang diingininya, kamu pun bergerak menuju ke Restoran Nelayan Titiwangsa untuk menikmati stimbot yang ditaja oleh biras aku yang aku panggil Abang Long.
Kemudian, aku dan isteri singgah sebentar di rumah kami di Puchong sebelum berangkat pulang ke kampung halaman. Perjalanan kami agak lancar walaupun terdapat 3 bilangan sekatan jalanraya yang dilakukan oleh PDRM sepanjang perjalanan dari Puchong ke Tanjong Karang.
Dalam perjalanan pulang, Apai menghubungiku untuk mengajak kami berkaraoke bersama beliau dan isteri, namun apakan daya, aku sudah dalam perjalanan pulang ke kampung.
Di kampung, tak banyak yang boleh aku lakukan selain makan, tidur dan melepak di kedai teman sekampung, Aai, sambil bermain permainan video bolasepak Winning Eleven di kedainya, sambil-sambil membantu beliau melayan pelanggan yang bertandang ke kedai runcitnya. Di rumah tak lepas dari perang Winning Eleven dengan Abang Long yang agak mesra juga dengan aku, walaupun usianya jauh lagi tua daripada aku, dan sudah agak berjaya dalam kerjaya dan telah mempunyai 3 orang cahayamata.
Malamnya pula, menonton perlawanan bolasepak Liga Perdana Inggeris, menyaksikan pasukan aku dengan penuh keyakinan membelasah pasukan Derby County 6-0 hasil jaringan pemain-pemain baru Fernando Torres (2 gol), Ryan Babel dan Andrei Voronin. Xabi Alonso menyumbangkan 2 gol dalam perlawanan yang menyaksikan bintang dan anak jati Liverpool, Carragher dan Gerrard disisihkan akibat kecederaan.
Selepas perlawanan, aku, Labu dan Apai keluar minum di Sekinchan sambil bermain snuker beberapa pusingan. Sudah lama tidak merasakan kehidupan bujang yang kebanyakkan masa akan kesiangan akibat menjadi burung hantu disebelah malamnya. Sekitar 2.30 kami pun pulang itupun setelah isteri masing-masing bising-bising dihujung corong telefon. Buat seketika kami merindui kehidupan lama kami dan mungkin masing-masing pun terdetik di hati bahawa betapa cepatnya masa berlalu, dan sekarang kehidupan yang dirindui itu sudah diganti dengan beban tanggungjawab yang maha besar tergalas di batu jemala kami, lebih-lebih lagi Labu yang sedang menanti kehadiran orang ketiga dalam hidup mereka, semoga isteri kamu selamat melahirkannya nanti, Labu!
Pagi-pagi tadi aku sudah bertolak pulang. Kami singgah di Puduraya untuk menghantar adik iparku yang pulang kembali ke UiTM Melaka kemudian barulah menuju ke Puchong. Sampai sahaja dirumah, melihat keadaan rumah yang bersepah, aku mengemas-ngemas dan membersihkan lantai dan tangga supaya sedap mata memandang. Seperti biasa, pantang waktu senggang, DVD pasti ditonton. Kali ini filem bertajuk Fracture lakonan Anthony Hopkins dan Ryan Gosling. Bagi aku filem ini sekali lagi Hopkins membawakan watak streotaipnya sebagai seorang psiko yang teliti yang membunuh isterinya yang curang. Cantiknya jalan cerita ini ialah kerana situasi yang digarap oleh penulis cerita ini Daniel Pyne dan Glen Gers berjaya membuatkan aku terpaku di ruang tamu, errr... walaupun tontonan terhenti selama sejam kerana memberi laluan kepada Melodi yang bersiaran pada jam 12.30 tengahhari.
Sedikit sinopsis filem tersebut yang baru sahaja menjenguk skrin lebar di panggung-panggung wayang tanahair, dan telah ditayangkan di USA pada April 2007. Kisah ini yang mengisahkan Hopkins sebagai Ted, seorang jurutera struktur yang merancang pembunuhan isterinya dengan teliti. Isterinya yang curang dengan kekasihnya, seorang pegawai penyiasat, Lt Nunally, pegawai yang bertanggungjawab memberkas Ted yang bertindak mengurung dirinya di dalam rumahnya selepas beliau menembak isterinya. Isterinya tidak mati namun koma selepas kejadian itu. Kemudian datanglah satu watak pendakwaraya yang baru meningkat naik dan 97% daripada kesnya berjaya disabitkan kesalahan dan dalam proses untuk bertukar kerjaya kerana telah diterima masuk ke dalam sebuah firma guaman terkenal di Los Angeles. Watak ini bernama Willy Beachum seorang penolong pendakwaraya. Willy, oleh kerana pencapaiannya, ketika beliau diberikan kes ini, dimana kes ini sebagai kes terakhirnya di pejabat pendakwaraya, beliau hanya memandang sebelah mata sahaja terhadap kes ini, dan apa yang beliau tidak nampak adalah sebenarnya beliau berhadapan dengan seorang psiko yang cerdik dan teliti dalam mengatur strateginya. Ted pula telah mengaku secara lisan dan membuat pengakuan bertulis bahawa beliau mengaku menembak isterinya dan menambahkan lagi keyakinan Willy bahawa ini adalah satu lagi kes mudah dan pasti cepat untuk diselesaikan. Adakah Ted boleh terlepas dari tuduhan cubaan membunuh isterinya ataupun dapatkah Willy membuktikan kes ini?
Filem bercorak perbicaraan, penyiasatan ini memang sangat aku gemari. Peguam mungkin salah satu profesion yang sangat aku kagumi, filem dan drama seperti Double Jeopardy, Law & Order, The Jury, Reasonable Doubts, Ally McBeal memang menjadi tontonan kegemaranku. Bagi mereka yang menggemari lakonan Hopkins dalam Silence of the Lambs, Red Dragon dan Hannibal memang aku sarankan agar menonton filem ini, kerana tahap psiko si Ted ini sama dengan Hannibal Lecter walaupun begitu Ted dalam filem ini bukanlah seorang kanibal seperti Hannibal, namun seperti yang aku katakan tadi, Ted sememangnya seorang psiko. Gila!
Oh ya, hari ini sebenarnya hari ulangtahun pertama perkahwinan aku. Doakan aku semoga rumahtangga aku bahagia! Ok?
No comments:
Post a Comment