Monday, October 29, 2007

Kemaskini

Kemaskini. Update. Kali pertama aku mendapat perkataan baru untuk dimasukkan kedalam kamus kehidupan aku ialah semasa aku dalam darjah 5. Cikgu Zaleha merangkap guru Penolong Kanan 1 di sekolah tempat aku belajar yang memperkenalkannya.

"Asyran, esok kamu pergi BSN, kamu cakap dekat orang yang jaga kaunter tu, Saya nak update buku akaun"

"Update? Apa tu?"

"Nanti dia tulis baki terkini duit awak dekat dalam buku ni.."

"Oooo...Kena bawak duit tak cikgu?"

"Tak payah..."

Dalam kepala otak aku, sel-sel saraf aku sedang berusaha keras memproses perkataan tersebut dan memproses perlakuan 'update' itu di kaunter bank tanpa perlu memasukkan wang ataupun mengeluarkan wang.

"Boleh ke masuk bank tak payah bawak duit?"

"Karang dia mintak duit karang macam mana?"

Pendek cerita aku pun pergi ke bank tersebut dan melakukan perbuatan mengemaskini buku akaun itu. Selepas itu, tiada wang bertukar tangan, cuma buku bank sahaja yang bertukar tangan.

Bila dah besar, dah ada blog, kawan-kawan pula yang menyeru perkataan itu. Seumpama mantera, apabila mereka membacakan ayat tersebut, timbul satu kekuatan untuk mengemaskini blog yang dah lama tiada bahan untuk dicoretkan.

"Woi bila mau apdet haa??"

"Update!Update!"

Terkini, "oit..dah lebih 9 hari.. updet..updet.."

Apabila terlihat perkataan 'Update' itu serta merta otak aku akan ligat mencari bahan untuk diceritakan.

Cerita. Sebenarnya banyak yang ingin aku ceritakan. Tetapi aku rasakan ianya terlalu banyak dan tidak mampu pula untuk aku pendekkan ia menjadi cerita-cerita pendek kerana apabila ianya pendek, orang yang membaca akan jadi tak faham kerana aku telah memotong-motong cerita tersebut sehingga tinggal isinya sahaja.

Tiada orang yang makan karipap makan hanya intinya sahaja.

Dan, jika aku bercerita isinya sahaja, mungkin ianya jadi seperti ini.

Raya. Seronok. Sg Burong. Kuala Lipis. Tiada Datuk Siti. Main mercun. Jalan-jalan raya. Berat badan tak naik. Test kit. Positif. Suka hati. Kawan-kawan nak kahwin. Kawan-kawan jadi abah. Tumpang gembira. Bonus berganda. Bos best.

Apa macam? Ada faham?

heh....

No comments:

StatCounter