Monday, November 12, 2007

Jauh lagi nampak gayanya....

Jauh lagi rupanya. Aku ingat dah dekat dah. Selepas 50 tahun merdeka, Malaysia terus membangun, tetapi mentaliti rakyatnya terbantut.

Mana tak terbantut, setiap 5 tahun sekali kita akan dimomok-momokkan dengan ketakutan. Takut kalau-kalau pembangkang memerintah. Disogok-sogokkan dengan bantuan itu ini, peruntukan itu ini, takut-takut kalau rakyat berubah angin.

Aku bukan apa, sejak terlibat secara tidak langsung dengan pilihanraya dan politik negara, (masa aku belum cukup umur untuk mengundi, tapi jadi jentera), sampailah aku dah mengundi, dan mungkin tahun ni, akan mengundi lagi kalau ada rezeki aku, nak guna dakwat kekal. Senario politik negara, tak berubah-ubah. Macam tu saja. Stagnant. Tiada perubahan.

Aku bukan nakkan perubahan drastik. Aku cuma idamkan Malaysia yang lebih terbuka, telus, bebas dan lebih mementingkan taraf rakyat daripada rasnya (kaum). Aku cuma mahu melihat rakyat Malaysia yang bebas dari ancaman takut. Takut dan syak wasangka sesama warganegara. Itu saja.

Dan aku tak nampak bagaimana itu boleh terjadi. Dalam konteks Malaysia, ianya mustahil. Mustahil untuk diperolehi dengan sistem yang ada sekarang.

Tun Dr Ismail pasti tidak percaya bahawa selepas 50 tahun, masih belum ada lagi gagasan untuk menyatu padukan rakyat Malaysia di bawah satu entiti. Melayu dengan UMNO atau PASnya, Cina dengan DAP atau MCAnya. India dengan PPP atau MICnya. Ya aku tahu, PAS dan DAP bukan berasaskan kaum, tetapi aku melihat sebagaimana kebanyakkan orang lain melihat. PAS untuk Melayu dan DAP untuk Cina.

Satu lagi, kebanyakkan rakyat belum lagi dapat mengunyah dan menelan satu idea bahawa, untuk memastikan hak mereka terlindung, barisan pembangkang perlu cukup kuat untuk membahaskan setiap isu dan usul berkenaan rakyat di Parlimen supaya hak rakyat terbela. Dan usul itu perlu secara serius dan dikupas serta didebatkan sedalam-dalamnya supaya tiada rakyat dizalimi oleh akta-akta dan undang-undang yang digubal di Parlimen.

Bagaimana rakyat nak faham, jikalau asyik dimomok-momokkan dengan gambaran-gambaran yang menakutkan sekiranya BN kalah pilihanraya.

Dulu Pak Lah kata BN sendiri boleh buat Check and Balance. Betul ke? Dua orang YB BN yang diberi amaran keras kerana menyokong usul pembangkang tu apa pula ceritanya? Itu adalah berkenaan dengan hak rakyat. Rakyat mahu tahu kenapa, bagaimana dan apakah penyelesaian Kerajaan terhadap isu balak YB Jasin itu. Lalu diberi amaran pula mereka kerana menyokong usul pembangkang.

Bagaimana mahu check and balance kalau tiada kebebasan berfikir secara kritis, dan menaakul segala idea dan membuat keputusan?

Semalam pula naik muak aku tonton berita di TV. Gendang yang sama diulang-ulang. Rakyat mahu berkumpul menyuarakan rasa hati mereka secara aman, dihantar polis diserata ceruk tempat, dicanang berita takut keseluruh negara. Perhimpunan BERSIH jadi BASAH kerana disiram air dari jentera merah milik FRU, juga hujan lebat yang menyelubungi.

Jadi, bagaimana mahu menikmati demokrasi di Malaysia?

Hanya 5 tahun sekali, di meja-meja tempat pembuangan undi, melalui sehelai kertas di dalam peti undi.

Itu sahaja. Tiada jalan lain, walaupun mustahil untuk merobahnya.

2 comments:

ROSNIZAM said...

yearghh..sokong pendapat ko Ran..

aranhellstorm said...

heh.... terima kaseh aarr Pilus.....

StatCounter