Wednesday, December 5, 2007

Rencam

Kerja

Selalu sangat cerita fasal kerja, naik muak pula orang nak baca. Ya lah, mana tidaknya, setiap hari rutin yang sama diulang-ulang. Tender-Mesyuarat tapak-subkontraktor buat hal- pembekal-panggilan telefon-memandu beratus-ratus kilometer-tekanan. Hampir sama rimanya sehari-hari.

Baru lepas mesyuarat semalam. Di Temerloh. Bertindih pula dengan lawatan ke kilang untuk projek satu lagi. Panggilan telefon bertali arus sampai lemas aku melayannya. Kalau dibiar, tak diangkat, alamatnya sampai ke sudah telefon tak berhenti berdering, kalau di'senyap'kan, tak berhenti bergetar pula. Lagi-lagi kalau telefon diletak di dalam poket baju. Bila bergetar, geli!

Tahun ini, tahun ada 'ong', banyak projek masuk mencurah-curah. Tak tahulah sama ada 'power' pakar Feng Shui yang menasihatkan bos aku yang warak dan alim dalam kepercayaannya itu memang dalam kelasnya yang tersendiri ataupun cuma kebetulan ataupun lebih teruk mungkin Istidraj dari Allah untuk lebih menyesatkannya lagi ataupun menguji sejauh mana iman aku yang melihat serta menilai sesuatu perkara. Wallahu a'lam.

Malaysia

Pertama sekali, aku ingin mengucapkan kepada atlit-atlit negara, selamat berjuang dan berjuanglah dengan penuh semangat dan kemenangan tidak semestinya terletal pada bilangan pingat yang diraih, tetapi dengan semangat kesukanan yang tinggi, sekurang-kurangnya menang dari segi moral pun sudah cukup.

Lee Chong Wei adalah antara atlit yang wajar dijadikan sebagai 'role model'. 5 kali menjadi juara dalam pertandingan-pertandingan yang beliau masuk, dan paling tidak pun, terkandas di suku akhir. Baru-baru ini ke perlawanan akhir sekali lagi walaupun tewas namun setidak-tidaknya, berjaya ke akhir dalam 2 siri pertandingan back to back, adalah suatu yang sukar untuk dilakukan melainkan dengan daya usaha dan keinginan yang betul-betul kuat. Kepada Wong Mew Choo juga tahniah atas usaha anda memartabatkan permainan badminton wanita Malaysia di mata dunia.

Di dalam sudut sosio politik pula, tidak kurang hebatnya. Selepas Bersih yang menuntut Pilihanraya yang Adil, muncul pula gerakan Hindraf yang menuntut hak kaum India yang beragama Hindu. Aku berpandangan gerakan ini sudah seperti terlebih sudu dari kuah, sepatutnya gerakan ini menuntut layanan yang lebih adil dan sama rata dalam kebebasan beragama bukan kepada perkara-perkara pinggiran seperti menyaman Kerajaan British kerana membawa masuk kaum India zaman sebelum merdeka dulu. Ada baiknya jikalau pertubuhan ini menuntut perkara-perkara yang membabitkan isu penting, seperti isu ketinggalan kaum India dalam perkara-perkara bersama seperti isu pendidikan, ekonomi dan peluang pekerjaan. Tetapi tuduhan melulu mengatakan orang Melayu menindas kaum India itu adalah sangat tidak berasas dan pemimpin pertubuhan ini perlu lebih bertanggungjawab atas 'remark' dan kenyataan yang dikeluarkan.

Media juga memperbesar-besarkan hal ini seperti satu masalah negara yang meruncing. Sebenarnya kita sedar atau tidak, tumpuan kita sedang di alihkan dari satu isu yang sangat berkaitan dengan kita, yakni rakyat terbawah, iaitu isu kenaikan kos sara hidup. Dengan kenaikan harga minyak mentah dunia, kita tak dapat lari dari merasa bahang kenaikan harga-harga keperluan asas seperti petrol, makanan, bahan mentah, bahan binaan terutamanya besi dan lain-lain. Ditambah pula dengan kenaikan tol dan tarif bil-bil, sememangnya, kita merasakan bahawa apakah hak kita sebagai rakyat dan pengguna benar-benar dilindungi?

Makanya, pilihanraya yang sudah datang menghampiri, apakah pilihan kita? Australia sudah membuktikan bahawa pertukaran kuasa antara pihak pemerintah dan pembangkang boleh dilakukan tanpa ada kekacauan. Soalnya mampukah kita ? Beranikah kita? Bolehkah kita? Apakah majoriti rakyat masih lagi termakan dengan politik jalan tar baru menjelang pilihanraya, ataupun politik kain batik kain pelikat sebelum hari mengundi?

Kawan-kawan

Ramai antara sahabat-sahabat aku yang telah melalui hari pertabalan sebagai Raja Sehari, ada juga yang telah membuktikan kejantanan dengan melahirkan zuriat-zuriat penerus generasi dan ada juga yang sedang ingin menjengah ke alam perkahwinan. Apa-apa pun, yang belum sampai masa usah khuatir dan usah bimbang. Kelak sudah sampai waktunya, pasti ada jalannya. Tak percaya? Tanya aku. Heh...

Lain-lain

Semalam dapat sms-sms berupa amaran bahawa ada satu kekacauan akan berlaku. Aku tak percaya khabar-khabar angin seperti ini. Di harap kepada semua yang membaca blog ini, jangan terpedaya dengan khabar-khabar seperti ini tanpa usul periksa, malah jangan dibantu pula menyampaikannya kepada orang lain. Keamanan seperti yang kita nikmati tidak sepatutnya hilang dengan mempercayai khabar angin, kalau mahu hilang biarlah berkaitan dengan prinsip. Bukan dengan khabar angin dan fitnah yang melanda. Na'uzubillahi min zalik

No comments:

StatCounter