Saturday, February 16, 2008

Gelak Tawa

Ketawa. Aku memang suka ketawa. Apa-apa saja yang dapat membangkit nafsu gelak aku, aku akan ketawa terbahak-bahak walaupun bapa mertua aku ada di berhampiran. Aku akui aku memang suka bergelak ketawa. Bukankah kita perlu gembira?

Banyak sumber yang dapat menjadikan aku gelak terkekeh-kekeh ataupun menghilai-hilai. Majalah-majalah kartun lawak berlambak-lambak di Malaysia ini, namun pilihan aku adalah majalah Apo?. Hanya satu sebab sahaja, iaitu kartunis Lambok dengan lawak-lawak antarabangsanya dengan lukisan yang kemas tetapi berkarektor hodoh dan buruk. Memang dari dulu aku menggemari lawak-lawaknya yang memang tak masuk akal, tapi boleh menjadikan aku lupa untuk mem'plastik'kan diri jika di tempat awam. Apabila aku gelak, aku jadi diri sendiri. Aku tak cover.

Gelak terbahak-bahak seorang diri, dan orang-orang disekeliling memandang dan menoleh sambil menghakimi aku. Bukankah kita selalu gemar menilai dan menghakimi orang disekeliling kita?

Tak berapa lama dulu sumber-sumber hilai tawa aku juga didapati dari Senario, filem-filem yang ada Saiful Apek, Who's Line Is It Anyway?, vcd-vcd telemovie yang pernah satu ketika dulu membanjiri pasaran hiburan, My Wife and Kids, filem-filem Afdlin Shauki, Gitu-Gitu Apek, filem-filem Jackie Chan, Macam-macam Aznil, Panggilan Hangit Hot FM mahupun Gotcha Hitz FM dan kadang-kadang Seinfeld dan rakan-rakannya. Kadang-kadang juga bila minum teh sambil mengumpat bersama rakan-rakan. Selalunya blog-blog popular tanahair. Tak payah cakaplah blog mana, nanti kata nak tumpang naik trafik pula. Hahaha..

Yang terkini the Office versi Amerika, video klip 'Gelimat' di Youtube dan Raja Lawak Astro Musim Kedua. Aku suka hosnya Johan dan Zizan, dan beberapa pesertanya yang memang semulajadi kelakar. Aku sokong Nabil!

Tapi janganlah ada yang bertanya "Apa yang lawaknya? Tak lawak pun?" ketika aku sedang bergelak ketawa. Sebab orang macam ini kurang sense of humor ataupun urat ketawanya terputus ataupun mungkin kedua-duanya sekali. Kalau kamu tak boleh gelak janganlah persoalkan kenapa aku gelak, apa yang lawak, kenapa tak diam dan fikir, "Kenapa aku tak boleh gelak?".

Apa pun, laughter is the best medicine. Gelak selagi boleh, life is too short to dwell on sad stuff.

Teringat masa arwah mak aku meninggal, petang itu kawan-kawan sekuliah aku datang menziarah. Mereka datang tanpa ada muka-muka sedih, tanpa ada ayat-ayat default, "Sabarlah Aran, yang pergi takkan kembali...", sebab mereka tahu aku tahu. Tapi mereka datang dengan sense of humor yang cukup tinggi. Kasi aku ceria. Yang mati pergilah mati, yang hidup teruskan hidup, biar kesedihan itu datang sekejap, selepas itu biarkan ia pergi kerana aku mahu hidup bergelak ketawa. Lepas itu malamnya aku sudah pulang, mahu sambung kuliah esok hari.

Gelaklah, ketawalah, life is too short mate!

No comments:

StatCounter