Cerhypen
Nina dan Zaki berjalan beriringan, berpegangan tangan, sepertimana pasangan lain yang sedang berpacaran, mengharungi usia muda remaja mereka, bergembira meladeni perasaan hati dan emosi, sebahagian dari proses kearah kedewasaan.
Zaki memegang erat-erat tiket keretapi Senandung Malam, kelas ekonomi yang dibelinya minggu lalu. Perjalanan ke selatan tanah air. Perjalanan tanpa arah tuju yang sebenar. Hanya untuk menghabiskan masa bersama kekasih hatinya. Dibahunya tergantung beg sandang berwarna merah hati, tiket yang dipegangnya tadi perlahan-lahan dimasukkannya di dalam poket sebelah dalam jaketnya.
Jaket bundle. Rm15 sehelai di beli di Up Town Damansara.
Zaki mengerling ke arah Nina. Terbayang jelas kegembiraan pada wajah Nina. Zaki juga sangat-sangat gembira. Hujung minggu ini dia akan bersama Nina sahaja. Tiada siapa dapat menganggu mereka berdua.
Zaki menyelak jaket yang dipakainya. Mengerling ke arah kocek dalam jaketnya. Tiket masih terselit kemas di dalamnya. Mau pasti tiket itu masih ada dalam simpanannya. Takut tercicir di mana-mana, kelak menyusahkan dan membantutkan perjalanan mereka nanti.
Perut Zaki mengalunkan lagu Keroncong Untuk Ana. Tanda lapar. Menoleh kearah Restoran rangkaian francais makanan segera, McDonald's, produk ekonomi kapitalis, arah langkahnya yang asal untuk terus ke platform di ubah arah menuju masuk ke dalam restoran tersebut, lambangnya sahaja seakan memanggil-memanggil pelanggan untuk terus masuk tanpa berfikir panjang, begitu kuatnya pengaruh simbol dalam dunia moden sekarang ini.
Padahal dia boleh saja naik ke tingkat atas KL Sentral untuk menikmati pelbagai menu juadah dan hidangan yang tersedia di Food Court yang jauh lebih murah itu.
Tangan Zaki meraih tangan Nina yang membuntuti Zaki. Nina juga lapar. Belum menjamah apa-apa makanan selepas di pulang dari tempat kerjanya di Ipoh. Lepas pulang di terus ke Stesen Bas dan terus ke Kuala Lumpur, nasib baik rakan sekerjanya boleh menumpangkannya ke stesen, kalau tidak, barangkali di terlepas bas ekspres yang membawanya tadi ke sini.
Zaki menunggu Nina tadi di Puduraya. Zaki menaiki KTM Komuter dari Klang dan terus ke KL Sentral. Dari situ dia menaiki Putra LRT terus ke Central Market, dari CM dia berjalan kaki ke Puduraya. Mengharungi hiruk pikuk kotaraya di tengah-tengah kesesakan Kuala Lumpur di waktu puncak, waktu orang pulang bekerja. Sampai sahaja di Pudu, terus dia menunggu di tingkat bawah, tempat di mana bas-bas ekspres tiba dan pergi. Penumpang-penumpang naik dan turun. Tempat di mana warga-warga kota begitu kreatif mencari peluang dan rezeki.
Di Kuala Lumpur, warganya sama ada lelah atau berhelah untuk mencari sesuap nasi.
Jam 8 baru Nina tiba. Dua jam menunggu suatu penyiksaan pada Zaki, tetapi sementelah melihat kelibat Nina, penyiksaan itu bertukar menjadi syurga buat Zaki. Lupa segala-galanya. Lupa peristiwa yang dia tadi di 'pau' RM 20 oleh manusia-manusia kota yang mencari rezeki dengan cara mudah dan senang, memeras dan mengugut orang lain.
Yang penting Nina sampai juga, dan yang paling penting juga, perjalanan malam ini mereka berdua tetap bersama mengharunginya, sepertimana yang telah dirancang.
Sedang Nina dan Zaki memesan makanan di kaunter, pengumuman di corong pembesar suara bagi penumpang ke selatan telahpun dihebahkan. Tergocoh-gocoh mereka memesan makanan lalu membungkus makanan ke dalam beg plastik dan terus berlari-lari anak ke platform.
Pekerja landasan membunyikan wiselnya beberapa kali menandakan gerabak akan bergerak dalam kadar yang segera.
Nina dan Zaki menghenyakkan punggung mereka di atas kerusi. Dari satu koc ke satu koc, dari koc berkatil hingga ke berkerusi, akhirnya sampai ke tempat mereka. Koc mereka tiada nombor tetap, free seating bak kata orang Inggeris.
Zaki sudah lama tidak berkelana menaiki keretapi. Kali terakhir dia menaiki keretapi ketika umurnya 10 tahun, itu pun keretapi kelas 3, dengan kerusi plastik yang selalu terdapat di hospital-hospital kerajaan, itupun perjalanan yang pendek dari Kuala Lipis ke Padang Tengku, ketika pulang bercuti di kampung bapanya di Pahang.
15 tahun kemudian barulah Zaki merasai pengalaman menaikinya kembali.
Gerabak yang mereka naiki perlahan-lahan meninggalkan KL Sentral. Di luar hanya kegelapan yang menyelubungi, sekali sekala cahaya dari lampu-lampu jalan, bangunan-bangunan kelihatan, mewarnai perjalanan malam mereka.
Perjalanan malam ini bukan seperti yang termaktub dalam sirah Muhammad. Perjalanan itu perjalanan yang membawa rahmat ke seluruh alam, perjalanan ini tidak diketahui rahmat atau laknatnya.
Titik-titik air dari hujan yang turun renyai-renyai malam itu seakan-akan menangisi perjalanan malam itu. Entah apa tandanya tiada siapa tahu, mungkin jika Nostradamus masih hidup, dia mungkin dapat menelahnya.
Nina kelihatan ayu sekali malam itu, tudung litup berwarna hitam dikenakan dengan baju kemeja denim berwarna biru yang baru disalin di bilik air KL Sentral tadi kelihatan menarik pada pandangan matanya.
Pakailah baju apa pun, kau tetap menarik, kata hati kecil Zaki.
Sambil berborak-borak mengenai nostalgia lalu, kadang-kadang mengenai kerjaya Nina, pelajaran Zaki dan hal-hal lain, termasuk sembang-sembang tentang perkara-perkara yang berat, semuanya menarik minat Zaki mendengarnya. Sekali-sekala Zaki mengulas panjang tentang hal-hal yang membuatkan Zaki teruja. Sekali-sekala juga dia membebel panjang. Nina suka kalau Zaki berceloteh.
Makanan yang mereka bawa tadi dijamah sambil-sambil bercerita. Zaki kadang-kadang cuba beromantik, menyuapkan batang-batang french fries ke bibir Nina. Nina segan juga, namun bukan sesiapa yang kenal mereka pun. Nina pun jadi suka diperlakukan sebegitu.
Nina juga menghulurkan air untuk Zaki sedut. Macam dalam filem cinta Melayu di kaca tv itulah.
Sampai ke satu masa. Ruang dan masa seakan terhenti ketika mata mereka bertentangan. Tiada bunyi yang kedengaran, hanya degupan jantung mereka yang terdengar oleh telinga mereka. Perlahan-lahan wajah Zaki dan Nina menghampiri antara satu sama lain. Seiringan sambil mata antara pejam dan tidak.
Ketika itulah bibir mereka bertaup rapat. Macam dalam filem Hollywood itulah.
Zaki tersentak. Kelihatan penanggah-penanggah kenduri mengangkat pinggan-pinggan kotor dan juga lauk pauk untuk dihidang di atas meja-meja beralas kain putih. Nasi yang ditelan terasa kelat, lauk-pauk yang dikunyah terasa tawar, air sirap yang dihirup terasa semasin Laut Mati.
Hari itu cintanya mati, Nina telah pun selamat diijabkabulkan dengan pasangan hidup pilihan keluarganya. Zaki terasa keseorangan ditengah-tengah keramaian, terasa sangat pilu ditengah-tengah suasana keraian, ditengah terik mentari antara iklim tropika dan khatulistiwa.
2 comments:
hampeh!
penat je aku baca.
ngigau ke si zaki tu..?
agaknye le...heh
Post a Comment