Monday, August 25, 2008

Permatang Pauh - Satu Pilihanraya Kecil dan Harapan Besar Yang Menggunung

Esok, rakyat di seluruh ceruk kawasan Parlimen P44 Permatang Pauh akan keluar mengundi. Dipetik dari laman web SPR:

"5. Bagi tujuan pilihan raya kecil ini, menurut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Suruhanjaya Pilihan Raya menentukan bahawa Daftar Pemilih Induk 2007 yang diwartakan pada 5 Februari 2008 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama tahun 2008 yang diwartakan pada 19 Jun 2008 dan dikemaskinikan sehingga 31 Julai 2008, hendaklah digunakan dalam pilihan raya kecil P.44 Permatang Pauh ini. Seramai 58,459 pemilih yang terdiri daripada 57,969 pemilih biasa dan 490 pemilih pos adalah layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil bagi P.44 Permatang Pauh ini."

Jadi, seramai 57969 orang yang akan keluar mengundi dan sebanyak 490 undi pos akan menentukan sama ada Anwar, Arif atau Hanafi yang akan menjadi wakil mereka ke Parlimen.

Namun begitu, keputusan yang akan diketahui malam esok bakal menentukan arah tuju, iklim dan suasana politik di Malaysia selepas ini sehingga PRU ke 13 nanti, bukan hanya sekadar mencari wakil Permatang Pauh di Parlimen.

Sama ada PKR bersama Pakatan Rakyat yang belum lagi menunjukkan kejituan dan kesepakatan yang betul-betul kukuh di antara PAS, DAP dan juga PKR, akan terus diberi mandat untuk mengemudi Malaysia keseluruhannya satu masa nanti, atau BN masih lagi diberikan kepercayaan untuk terus memerintah dan mengekalkan populariti mereka yang sedang ternoda imejnya sekarang ini.

Sama ada rakyat mahu melihat Anwar menaiki takhta PM di Putrajaya, sama ada rakyat mahu terus selesa dengan pemerintahan BN dibawah Pak Lah dan Najib, segala-galanya akan terjawab esok.

Harapan aku, rakyat Permatang Pauh juga berkongsi aspirasi dengan rakyat di Negeri Selangor, Kedah, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang telah menunjukkan kuasa betul-betul berada di tangan mereka pada 8 Mac lepas.

No comments:

StatCounter