Wednesday, December 3, 2008

Perpaduan Kaum di Malaysia, antara Retorik, Realiti dan Masa Depan

Isu kaum dan bangsa di Malaysia sudah lama diperkatakan dan mutakhir ini, ia menjadi mainan kata, bunga bahasa dan topik perbincangan juga bualan kosong baik bagi ahli politik, pengarang/wartawan media massa, organisasi-organisasi sama bersangkut paut dengan kerajaan, parti politik ataupun yang bergerak bebas dan juga rakyat jelata amnya.

Sesudah 51 tahun mengecapi kemerdekaan dari British (45 tahun bagi Malaysia Timur), kita masih lagi dihantui dengan isu-isu perkauman ini dan ketika ini, setiap usaha dan cadangan untuk menyatukan kita semua dibawah satu payung bangsa akan berdepan tentangan dari golongan-golongan yang masih lagi berfikir dengan minda pra-merdeka. Golongan-golongan ultra tak kira dari orang Melayu, Cina, India, Kadasan Dusun, Iban dan lain-lain yang berjuang atas nama (atau jenama?) bangsa masing-masing untuk menunjukkan kejaguhan mereka dalam isu melibatkan kaum mereka.

Sesudah 51 tahun merdeka, kita juga masih lagi memandang perbezaan antara kita sebagai satu sebab untuk kita tidak mengambil tahu dan mengenali antara satu sama lain. Kita lebih senang bergaul dan bersosial dengan rakan-rakan yang serumpun dengan kita dan dalam pada masa yang sama kita bersikap apathy (tidak mengambil tahu) tentang isu-isu yang dihadapi oleh warganegara yang tidak sebangsa dengan kita - termasuklah penulis sendiri. Seringkali berlaku sesuatu perkara, seperti senario ini, ketika memandu di jalan raya, sesuatu perkara yang kita tidak suka berlaku, katalah sebuah kereta tiba-tiba sebuah kereta memotong dengan kurang ajarnya di hadapan kita, dan perkara pertama yang kita buat ialah melihat perbezaan antara kita dan dia. "Owh, Cina..patutlah...". ataupun sebuah kereta memandu secara perlahan di hadapan kita selepas kita memotongnya, "Patutla slow, perempuan drive". Kita begitu cepat untuk jump to conclusion dengan melihat kepada perbezaan-perbezaan ini. Ini adalah realiti dan penulis percaya kita semua pasti pernah melalui dan mengalami senario ini. Kita jarang untuk melihat sesuatu perkara itu dari perspektif yang lebih luas.

Dan selalunya isu ini, mesej mengenainya disentuh sama ada secara halus, kasar ataupun sinikal tetapi mendalam melalui iklan-iklan, filem-filem mahupun di dalam comic strip. Sebagai contoh iklan Petronas untuk perayaan Hari Kemerdekaan, seringkali membawa permasalahan jurang pemahaman antara kaum dan perbezaan itu sebagai topik dan wacana di dalam iklan mereka.

Secara amnya, jika dari luar kita dilihat orang seperti hidup aman dan tenteram dalam negara yang berbilang kaum, tetapi hakikatnya perasaan tidak puas hati yang terpendam di dalam hati setiap rakyat Malaysia terhadap 'the other fellow Malaysian' semakin hari semakin buruk, seperti sebiji bom jangka yang menunggu masa untuk meletup. Na'uzubillahi min zalik.

Namun, jika kita amati, terdapat banyak punca kenapa perkara ini berlaku dan semakin membimbangkan. Kenapa kita masih berfikir di dalam kepompong minda perkauman yang sempit seperti ini, terutama di Malaysia ini, banyak perkara yang menjurus kepada percambahan benih-benih perkauman ini. Dari sistem politik sehinggalah ke bidang sukan. Sistem politik kepartian kita berpaksikan kepada tunjang kaum ataupun di dominasi oleh sesuatu kaum hingga hilang identiti keMalaysiaannya , dari semenanjung hinggalah ke pulau borneo, UMNO, MCA, MIC, USNO, DAP, PBB, Gerakan dan lain-lain. Itu belum lagi mengira parti-parti dari Malaysia Timur yang mewakili suara anak negeri, semua ini memang tidak menggalakkan perpaduan kaum. Mungkin ada yang berkata mereka bersatu di bawah satu lambang sama ada BN atau PR, namun adakah itu dinamakan bersatu? Bersatu tentang apa? Merebut jawatan dalam kabinet? Barisan Exco? Siapa yang akan jadi PM, Menteri itu, menteri ini? Ternyata mereka hanya akan bersuara jika hak mereka keatas kerusi-kerusi pentadbiran kerajaan tidak diberikan. Kita lihat ini selepas sejurus selepas pilihanraya lepas, baik BN ataupun PR. Kenapa kerusi untuk wakil India dalam barisan exco terlalu sikit? Kenapa wakil dari Sabah/Sarawak kurang dalam kabinet? Dan dalam kes lain, Kenapa orang Cina boleh jadi Pengarah PKNS? Lalu berdemo, berpiket, tunjuk perasaan, serah memorandum, bising-bising di sana sini.

Apakah orang Melayu takkan dapat beli rumah bila orang Cina jadi Pengarah PKNS? Apakah orang India tidak akan maju jika kurang wakil mereka di dalam kerajaan? Apakah Sabah Sarawak akan dianak tirikan jika kurang wakil mereka di dalam kabinet? Dalam situasi yang mungkin antara kita tak dapat bayangkan, adakah orang Melayu akan kebuluran atau hilang pekerjaan dan tempat tinggal jika seorang rakyat Malaysia yang bukan Melayu jadi Perdana Menteri? Jika ya, sememangnya kita punya masalah yang besar kerana pemimpin-pemimpin kita tidak dapat berfikir diluar cakupan sempadan darah daging keturunan mereka, lalu mengabaikan tanggungjawab mereka kepada orang yang bukan sebangsa. Jika tidak, kenapa mahu bising-bising?

Seterusnya kita lihat sistem pendidikan. Penulis setuju benar dengan cadangan Mukhriz Mahathir walaupun dalam sinikal aku berpendapat ini tidak lain adalah sebagai cara untuk mengetengahkan dirinya didalam lanskap politik Malaysia, namun apa yang beliau utarakan itu, aku betul-betul setuju benar. 100%. Tetapi bukanlah dengan idea untuk mengenepikan hak kaum-kaum ini menjalankan sistem pendidikan mereka, tidak sama sekali tidak. Namun dalam konteks untuk memperkasa perpaduan nasional, maka idea ini tidak harus ditentang dan dipandang ringan, dan jangan hanya tinggal cadangan semata. Idea penulis adalah sistem pendidikan kita harus memberikan pendidikan yang terbaik kepada semua rakyat tanpa mendiskriminasi sesiapa, dan dapat meningkat taraf hidup rakyat supaya mereka dapat menikmati kekayaan di negara ini dengan tanpa halangan, justeru mana-mana warganegara yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah 'aliran perpaduan nasional' ini harus diberikan banyak keistimewaan supaya dapat menarik minat ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah tersebut. Keistimewaan itu termasuk biasiswa, mudah mendapat tempat di institusi pengajian tinggi, dan lain-lain yang difikirkan sesuai. Sekolah tersebut perlulah mengamalkan dasar merit untuk memastikan anak-anak warisan bangsa ini dapat bersaing sesama mereka dan pencapaian mereka itu adalah semata-semata kerana usaha dan berkat doa mereka.

Bukan lagi tentang anak si A tu dapat masuk universiti kerana dia Melayu, dan anak si B tu tak dapat biasiswa sebab dia India, misalnya.

Di dalam bidang lain juga seperti sukan misalnya, kenapa perlu ada kategori-kategori yang mengkhususkan sesuatu acara itu untuk sesuatu kaum sahaja? Ini sudah tentu bertentangan dengan visi pemimpin terdahulu seperti Tun Dr Ismail yang berharap untuk melihat penyatuan seluruh rakyat Malaysia yang 'buta kaum'. Dalam konteks ini, bagi penulis, pertandingan-pertandingan yang mengasingkan kaum atau terdapat unsur 'segregation' tidak perlulah lagi dipertandingkan, seperti dalam sukan bolasepak Piala Emas Raja-Raja untuk Melayu sahaja, Piala Bardhan untuk kaum India sahaja perlulah dihapuskan kerana bertentangan dengan cita-cita perpaduan nasional dan membazirkan wang, sukan-sukan lain seperti ping pong dan bola keranjang kenapa perlu ada kategori bukan cina atau bukan melayu? Adakah kita masih hidup di dalam zaman atau era Martin Luther King bangkit menyampaikan ucapan 'I Have A Dream' di atas tangga Memorial Lincoln? Ataupun pada zaman perhambaan? Walau apa jua alasan sekalipun, perpaduan nasional perlulah menjadi agenda terpenting pemimpin sama ada dari BN atau PR, dan mereka perlulah dapat berfikir di luar kotak dan bukan lagi di dalam tempurung.

Realiti dan hakikatnya, kita masih lagi jauh untuk menjadi seperti demokrasi di US, kita masih lagi jauh untuk menukarkan impian ini menjadi kenyataan selagi isu-isu yang memandang kepada sisi sempit perkauman ini menjadi dendangan telinga dan cernaan minda kita sehari-hari, atau setiap kali pilihanraya atau setiap kali perhimpunan agung parti-parti politik berlangsung, namun jalan ke arah itu pasti terbentang luas jika kita bangun dan menyuarakan hak kita dalam pilihanraya dan menolak parti-parti ataupun politik perkauman yang sempit ini masuk ke dalam longkang sejarah.

2 comments:

nurulmajdi said...

Perenggan ke-3 tu mmg ada dalam kepala aku. Lagi2 bab 'Owwh.. Pompuan drive, patop la slow..'. Cuma xde ruang kata lagi nk terjemahkan dalam bloh. Jadi terima kasihlah! Hehe.. Nice article.

aranhellstorm said...

sama-sama....hehe

StatCounter