Thursday, June 14, 2007

Rencam

1.

Penjenamaan jadi kata nama. Pernah tak anda semua terfikir, kata nama tidak rasmi yang kita guna sehari-hari berasal dari mana? Macam Air Milo, tupperware, PC, Apple, Ray Ban, Shelltox, Ridsect, PS2, Astro dan berbagai-bagai lagi jenama yang telah kita ambil namanya dan terus kita jadikan rujukan kata nama kepadanya.

Sebagai contoh air milo, apakah perkataan yang sesuai jika jenama Milo tiada di pasaran? Ataupun serbuk koko itu dijual secara timbang kati di pasar-pasar, kedai-kedai runcit atau pasaraya sekalipun, sudah pasti kita tidak ada masalah untuk menyebut air koko atau air coklat dan malt sebagai merujuk kepada air milo tersebut.

Begitu juga benda yang selama ini kita panggil Tupperware. Walaupun bekas tersebut bukanlah berjenama Tupperware pun, tetapi kita panggil juga ia sebagai Tupperware. Rasanya tiada siapa yang menyebut bekas plastik berpenutup sebagai 'bekas plastik berpenutup'. Mungkin ramai bersetuju jika aku menganggap semua orang di Malaysia ini tidak asing lagi dengan sebuah benda yang dipanggil Tupperware atau Tapaware atau Tepuway mengikut loghat tempatan masing-masing. Cuba kita guna perkataan 'bekas plastik berpenutup', pasti kaum ibu, para isteri terkulat-kulat seketika apabila mendengar perkataan tersebut.

Aku saja mengetengahkan perkara yang mungkin ramai anggap remeh, tetapi itulah hakikat bahasa kita yang namanya juga kerap bertukar-tukar, sekerap kita menemukan perkataan-perkataan baru dalam hidup kita seharian. Tetapi apapun, cubalah gunakan bahasa dengan tatabahasa, ejaan dan struktur yang betul, kalau bukan kita sebagai rakyat Malaysia, siapa lagi yang boleh diharap untuk memartabatkannya?

2.

JPJ akan menguatkuasakan undang-undang berkenaan penggunaan lampu xenon pada kenderaan. Pengguna lampu tersebut akan di denda sehingga RM 200 bagi kesalahan mengguna lampu yang membahayakan pengguna jalanraya yang lain.

Aku sangat menyokong langkah ini. Seringkali aku meyumpah seranah pengguna-pengguna jalanraya yang menggunakan lampu tersebut akibat tahap kesilauannya yang tinggi dan mampu membutakan mata aku selama beberapa saat. Walaupun hanya untuk beberapa saat, tetapi akibat sesaat itulah jika kita hilang tumpuan di atas jalanraya, besar kemungkinan nyawa kita juga akan melayang.

Bukan bagus sangat pun guna lampu tersebut, cuma boleh riak dan sombong saja lah dengan pengguna yang lain kerana mampu menggunakan lampu yang mahal seperti itu. Mahal tapi tiada faedah, hendak buat apa?

3.

Jadual Liga Perdana Inggeris telahpun keluar. (Sungguh tidak patriotik aku ini! Liga Super Malaysia belum lagi habis, sudah sibuk tentang liga luar yang akan bermula bulan Ogos ini). Bukannya aku tak patriotik, cuma sebagai penonton aku berhak memilih antara yang berkualiti dengan yang tidak. Aku mahukan aksi yang benar-benar berkualiti, bukan aksi yang sambil lewa, sekadar melepaskan batuk di tangga atau aksi-aksi lemah lutut pemain tempatan kita sama ada dalam kancah liga dalam negara ataupun di pentas antarabangsa. Lihat sajalah aksinya di Piala Asia yang akan bermula 7 Julai ini, dan pasukan negara akan memulakan aksinya menentang China pada 10 Julai di Stadium Nasional Bukit Jalil. Jika kita gagal untuk melepasi peringkat kumpulan , aku cadangkan kita bubarkan sahajalah Liga Malaysia yang ada sekarang ini, wang jimat, hati pun tidak sakit.

Selangor pun entah ceruk mana terperosok dalam kedudukan liga. Piala Malaysia dan Piala FA sahajalah yang tinggal untuk menghabiskan sisa-sisa perlawanan musim ini dengan satu pencapaian, jikalau tidak, berputih mata sajalah gamaknya.

Sekali pandang kemelut yang melanda bola sepak tanahair, rasa malu ada, sakit hati pun ada. Tiada apa yang dapat menggembirakan hati aku jika membaca atau mendengar berita dan cerita mengenai arena bola sepak tanahair. Pemain tak dibayar gaji, KWSP tidak dicarum, Persatuan tiada dana, jadual diubah pada saat-saat akhir, pergaduhan, dan pelbagai lagi masalah luar padang yang sepatutnya tidak berlaku di dalam negara kita. Mana silapnya dan apa penyelesaiannya? Ini belum lagi kita kupas masalah teknikal, masalah kejurulatihan, masalah taktikal, dan masalah pemain itu sendiri dengan kata ringkasnya, masalah dalam padang, tentu sekali mengundang pertanyaan di benak fikiran setiap peminat bolasepak di negara ini, "Mampukah kita ke Piala Dunia?".

Aku sendiri tidak berani untuk bermimpi tentang itu!

4.

Badan aku berlengas. Aku mahu pergi mandi!

Wednesday, June 13, 2007

Dalam Keriangan Ini

Dalam keriangan ini
ada duka dan tangisan
hati terhiris begini
pedih luka aku menahan,

Dalam keriangan ini
ada pilu dan ada hiba
diri tak punya lagi
ibu dan bapa

Dalam keriangan ini
aku menginsafi
betapa aku kesali
kerna tak sempat berbakti
pada ummi dan abi.

Dalam kenangan: Shamsuddin Bin Mat Som dan Raihanah bte Abd Majid.
Semoga Allah mencucuri rahmat keatas roh mereka berdua. Amin.

Oh Amaniku!

Rambut itu mahkota seorang wanita. Kini Amani hilang mahkotanya. Kenapakah kau membotakkan kepalamu wahai Cik Syarifah Amani??


Amani atau Alien?

Sebenarnya pelakon pujaan aku ini sedang mempersiapkan diri untuk persembahan beliau seterusnya dalam Muallaf. Aku nantikan lakonanmu wahai Cik Amaniku sayang!

sumber gambar: Berita Harian Online.

Monday, June 11, 2007

Biar Hantu itu Datang Mengganggu Lagi

Biar saja hantu itu datang mengganggu lagi,
Biar segala jembalang, pelesit, pontianak itu menghantui,
Bisa tidur malamku tak tenteram, terganggu sampai pagi,
Biar saja mereka menghisap darahku
Biar saja mereka sedut sampai kering

Darah rakyat jelata
Darah rakyat biasa
Darah rakyat kebanyakkan
Darah rakyat terbawah

Darah rakyat yang keluar sekupang dua
untuk makan dan pakai jua
Darah rakyat yang tercirit, terberak dan terpercik darah
untuk cari sesuap nasi,

Darah rakyat yang tersimbah
Dek perang naik harga
Dek perang turun harga
Antara Kilang, Borong dan Runcit

Pengilang makin girang
Pemborong makin sombong
Peruncit makin buncit
Pengguna makin merana

Pembesar tak (boleh) buat apa.
Biarlah mereka jadi macam hantu
Gentayangan di udara
Tampak dek mata
Tapi tiada kesan nyata
Pada rakyat yang benar-benar berjejak di bumi nyata
Pada Pengilang, Pemborong Peruncit yang besar tawanya.

Ah, biarlah!
Biar saja hantu itu datang mengilai lagi
Baca 3 Qul, hantu pun lari!

Saturday, June 9, 2007

Si Buta yang Genius

Ray Charles

Aku minat mamat ni sejak aku menonton DVD filem "Ray" lakonan Jamie Foxx, 2 tahun lepas. Entah bagaimana, aku terus meminati muzik-muzik 'gospel+blues+jazz=soul+rock' nya itu. Lagu-lagu seperti 'Georgia on My Mind', 'Hit the Road Jack' dan 'Let's Go Get Stone' sentiasa dapat mendamaikan jiwa yang dilanda gelora.

Melalui kisah hidup beliau, aku kagum dengan ketabahannya mengharungi hidup ini dengan seribu kepayahan, namun, kelebihan yang beliau miliki iaitu memiliki pendengaran yang sensitif, membuatkan beliau menjadi seorang pemuzik yang agung.

Dibesarkan dalam lingkungan penganut Kristian yang warak, sentiasa menghadiri Mass di gereja setiap ahad menjadikan beliau sebati dengan muzik Gospel dan sebagai seorang yang berketurunan Afrika-Amerika (kata sopan untuk Negro), irama Blues juga terbawa ke dalam proses pertumbuhannya.

Betapa geniusnya beliau ini mencampur adukkan genre-genre irama, dan hasilnya, lahirlah seorang pemuzik agung yang merintis budaya pop di Amerika dengan muziknya.

Eh?

Secara kebetulan aku menulis entri ini tanpa mengetahui yang beliau meninggal dunia pada 10 Jun 2004.

Saat aku menulis, tinggal lagi sejam untuk ke 10 Jun.

Kebetulan..kebetulan....Serius. Ini adalah satu kebetulan.

Ray Charles Robinson (23 Sept 1930 - 10 Jun 2004) - bersemadilah engkau dengan aman?

StatCounter