5 Nombor Keramat Kita
Sempena ulang tahun ke 50 kemerdekaan negara kita, pelbagai upacara bakal diadakan untuk menyambut pesta kemerdekaan kita yang sudah setengah abad ini. Dari kementerian-kementerian hinggalah ke rakyat terbawah dibawah payung-payung persatuan belia 4B, parti-parti malah orang perseorangan juga mungkin akan merangka aktiviti-aktiviti untuk memenuhi jadual sepanjang bulan kemerdekaan ini.
Kita merdeka pada 31 Ogos 1957. Saja aku ingatkan takut ada yang terlupa.
Semenjak merdeka banyak sudah perubahan yang kita kecapi. Semuanya kerana kerajaan kita yang prihatin dan melalui rancangan-rancangan pembangunan seperti Rancangan Malaysia yang dirangka untuk pembangunan Malaysia selama 5 tahun mendatang.
Setelah peristiwa 13/5/1969 lebih dikenali sebagai tragedi 13 Mei, Kerajaan telah memperkenalkan Rukun Negara yang mempunyai 5 ideologi. Diperkenalkan setahun selepas berlakunya tragedi ini.
Kita juga telah mempunyai 5 orang Perdana Menteri yang memacu perkembangan ekonomi dan sosial Malaysia semenjak kemerdekaan. Kemajuan yang paling dikenang dan seterusnya mengubah hala tuju ekonomi kita adalah dibawah pemerintahan Tun Dr Mahathir yang memegang tampuk pemerintahan pada 1981, iaitu kemampuan Malaysia menjadi salah satu negara yang mengeluarkan kereta untuk tujuan komersil, iaitu tertubuhnya Proton (Perusahaan Otomobil Nasional) pada tahun 1985.
Dan baru-baru ini juga sempena keramatnya nombor 5 ini dan signifikannya terhadap ulang tahun kemerdekaan ke 50 Malaysia, FAM melalui pasukan bolasepak negara telah menghadiahkan kepada negara detik-detik keramat dan detik-detik kebanggaan sebagai seorang rakyat Malaysia dengan menghadiahkan gol-gol kepada pihak lawan yang semuanya berjumlah 5 gol setiap perlawanan, terakhir malam tadi dengan Uzbekistan pula yang menjadi tetamu kehormat kita untuk menerima hadiah kemerdekaan itu.
p.s: satu, dua, tiga, empat, lima. Lima lagi!
p.p.s: Tengok Indonesia main bersemangat, walaupun kalah, tetapi kekalahan bermaruah, penonton pun takkan berkira sangat.
p.p.p.s : FAM lepas ini patut dibubar, satu revolusi atau reformasi perlu dilakukan sebelum Indonesia ataupun Thailand berjaya mara ke Piala Dunia terlebih dahulu sebelum kita!
No comments:
Post a Comment