Tuesday, July 10, 2007

Sekitar Piala Asia : Malaysia vs China ~ Mampukah Kita?


Malam ini merupakan malam penting bagi semua yang terlibat dengan senario bola sepak negara. Malaysia akan menentang China untuk membuka tirai perlawanan kumpulan C, yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, siaran langsung perlawanan ini juga akan disiarkan di saluran 82 Astro Star Sport tepat jam 8.30 malam ini. Kepada mereka yang berkesempatan marilah kita menunjukkan semangat patriotik kita dengan menyokong pasukan kita, dan beramai-ramai memeriahkan dan memenuhkan tempat-tempat duduk di Stadium Nasional, ataupun jikalau tak berkesempatan, kita boleh juga memenuhkan meja-meja restoran mamak untuk menonton siaran langsung perlawanan ini. Kepada yang lebih mampu, langganlah Astro hari ini juga untuk memastikan anda tak terlepas dari menontonnya.

Dalam sidang akhbar yang berlangsung, Norizan Bakar, jurulatih pasukan negara, menyatakan bahawa, pasukan negara sekarang memang bersemangat tinggi untuk menentang China pada malam ini. China merupakan antara gergasi bola sepak Asia yang sedang meningkat naik selepas kebangkitan Jepun dan Korea, selain Iran, yang pastinya akan menjadi ujian getir pasukan kebangsaan yang hanya menang sekali dalam siri perlawanan persahabatan, itupun dengan pasukan kerdil Cambodia, dan kalah 2 kali kepada Jamaica dan UAE, di samping menunjukkan aksi yang hambar dan tidak meyakinkan. Norizan menambah, terpulang kepada pemain, untuk menunjukkan kita berada di tahap mana, sama ada bermati-matian mengekang kemaraan mereka, ataupun jikalau kalah, biarlah kekalahan yang bermaruah.

Hairuddin Omar juga memalu gendang keyakinan dengan menyatakan bahawa beliau yakin dapat menjaringkan gol dalam perlawanan ini, namun bagi aku beliau tak perlu menambah tekanan yang tak perlu di atas bahunya walaupun menunjukkan keyakinan itu adalah satu perkara yang positif, namun dalam situasi ini, tanpa apa-apa pun, perlawanan ini sendiri pastinya mendatangkan tekanan yang tinggi ke atas semua yang terlibat samada Norizan sendiri, semua pemain dan pegawai, FAM dan juga peminat-peminat bolasepak tanah air.

Pengkritik tersohor juga bekas pemain kebangsaan, Shebby Singh, juga dengan nada positif berharap pasukan Malaysia akan dapat menghadirkan sesuatu diluar jangkaan dalam perlawanan ini. Di samping berharap agar Malaysia dapat mengikut jejak langkah Vietnam dan Thailand yang cemerlang berhadapan lawan masing-masing, keputusan seri adalah keputusan yang harus di cari pada malam ini, katanya lagi.

Persoalannya, dengan senario bola sepak tanahair kita yang dibayangi peristiwa dan insiden-insiden lain yang kebanyakkannya adalah kisah-kisah luar padang yang tak sepatutnya terjadi, mampukah pasukan kita menjelmakan cabaran dalam pertandingan ini dan bukan hanya sekadar mencukupkan koram sahaja? Kita juga mahu melihat pemain-pemain kita disanjung kerana aku sudah muak dengan cacian dan hinaan yang dilemparkan dari peminat mahupun aku sendiri. Sampai bila pemain-pemain kita ini akan terus dibuai kelekaan dek kemewahan yang sedikit dari imbuhan yang diperoleh dalam liga tempatan?

Sedikit pandangan dari aku yang fanatik bola dan melihat sesuatu secara luas dan bukan secara simplistik, adakah penyakit ini ada kena mengena dengan perangai 'tak pa' orang kita? ('Tak pa' juga menjadi tema kempen hijau yang sedang rancak dijalankan sekarang.)

"Tak pa, buat apa main/kerja sungguh-sungguh, gaji pun dapat apa?"

"Tak pa, buat apa nak rajin-rajin sangat, dapat pakai kereta pun ok lah."

"Takpa, buat apa nak fikir-fikir sangat, buat keputusan sekarang, esok kita ubah lagi.."


Ini adalah antara, stigma dalam masyarakat yang selalu aku lihat berlaku dalam urusan kita seharian. Fikrah ini, bagi aku, mungkin menjadi punca utama kepada isu-isu yang berlaku di sekeliling kita. Isu sampah, pencemaran sungai, isu hasil kerja penjawat awam, isu kontraktor dan bangunan, dan pelbagai isu lagi, dan mungkin isu bola sepak kita juga ada kaitan dengannya. Jika kita terus begini, bukan saja bola sepak, malah dalam urusan lain, kita pasti akan ketinggalan nanti.

Kepada FAM pula, yang berada di dalamnya, janganlah hanya memikirkan pangkat dan kedudukan sahaja, seharusnya mereka memikirkan halatuju bolasepak secara serius, dan bukan secara sambil lewa sahaja. Pada hemat aku, satu revolusi harus dijalankan dalam strukutur pentadbiran dan pertandingan bola sepak tanahair. Dengan itu, martabat bola sepak kita akan kembali dijulang dan sesungguhnya, perjuangan itu takkan berjaya tanpa pengorbanan.

p.s: Tanah Melayu takkan merdeka jikalau rakyat terus duduk diam dirumah dan rakyatnya tak keluar ke jalan untuk menentang Malayan Union. Begitu juga bolasepak kita, FAM haruslah di'overhaul', dan itu sajalah satu-satunya jalan untuk melihat kembali bolasepak kita berdiri sama tinggi dengan pasukan lain, jikalau tidak di Asia, Asia Tenggara pun cukuplah!

p.p.s: Malaysia Boleh?





2 comments:

Anonymous said...

nasib baik gua tak pegi stadium jon..sedih gua tgk bola mesia...

aranhellstorm said...

mau tak sedih beb....hancur lebur.. balik advice derang main petanque ke, gasing ke lagi baik laa...

StatCounter