Wednesday, May 21, 2008

10 Tahun

Ini bukan promo untuk Projek '10 Tahun Sebelum Merdeka'. Bukan juga 10 tahun selepas merdeka apatah lagi 10 tahun selepas Pilihanraya Umum 2008, bukan...semua pun bukan.

Ini adalah ruangan khas untuk aku mengingatkan bahawa aku dan pengaruh rakan-rakan sebaya aku, yang kita ni, sudah 10 tahun meninggalkan bangku bagi kertas terakhir peperiksaan SPM di SMKAKS pada tahun 1998 dulu.

Tahun yang menyaksikan pelbagai drama dan krisis melanda tanahair kita. Tahun yang kita juga merasai kebebasan yang eternal dari cengkaman penjajah-penjajah, yakni buku-buku teks, buku-buku latihan, cikgu-cikgu dan ustaz-ustaz, warden-warden dan kader-kadernya (pengawas) dan buku disiplin sekolah.

Dalam masa 10 tahun ini, kita mula mencari arah, mencari makna (atau makan?) kehidupan dan menjalani kehidupan ini mengikut acuan , mengikut arah kiblat dan kompas kita sendiri.

Dalam masa 10 tahun ini, kita melihat kebelakang lantas terkenang satu tahap dalam kehidupan kita di tahun 1998, kita melihat perkembangan yang kita lalui sendiri mahupun bersama, adakah kehidupan yang kita hajati, kita impikan itu dapat kita kecapi?

10 tahun yang panjang ini juga, kita patut bersyukur kerana masih dikurniakan oksigen dan peparu kita masih berfungsi dengan baik walaupun ada antara kita yang sudah tidak lagi dapat menikmati oksigen sepertimana kita nikmati sekarang. Innalillahi wa innailaihi raji'un.

10 tahun ini juga, kita cuba mengingati susuk-susuk tubuh yang pernah bersama-sama menjalani kehidupan di bawah penguasaan penjajah-penjajah minda itu, dengan jerih susah payah, penat lelah dihambat, dikejar, dipenjara, dipaksa, disumbatkan dengan bermacam-macam ideologi untuk kita yang termengah-mengah mengaut semua yang disuakan, yang disuapkan kemulut-mulut kita, kemanakah susuk-susuk tubuh itu pergi? Dimanakah kamu semua sekarang?

10 tahun yang bersamaan 3650 hari itu timbulnya sekarang seolah-olah baru semalam aku bangun dari bangku untuk kertas terakhir SPMku, seolah-olah baru semalam aku melompat girang bersama rokok berjenama Dunhill yang masih berbara terselit di bibir, sambil berjalan keluar beramai-ramai merentasi padang sekolah meninggalkan penjara 'Sona' mahupun 'Fox River' itu buat selama-lamanya. Rupanya-rupanya sudah sepuluh tahun aku meninggalkan kesengsaraan itu, dan ada antara susuk-susuk wajah yang bersama-sama aku telah aku lupakan dan hilang dimamah waktu.

10 tahun yang bersamaan 87600 jam itu telah kita tinggalkan seolah-olah baru sejam kita meninggalkan Dewan Makan yang memberikan kita rasa kenyang.. aku ulang hanya rasa kenyang untuk kita menghabiskan sisa-sisa kehidupan walaupun tidak ada barang sedikit pun rasa kelazatan dalam butir-butir nasi yang keras seperti bertih , kuah muah yang berceracak tulang temulang di dalamnya, lauk pauk yang pucat lesi, serta dedaunan sayur mayur yang kadang-kadang ditemani ulat berengga mengesot perlahan-lahan di sudut tray biru plastik kita.
Mungkin hanya air teh susu Pak Long membuat jiwa kita gembira di penghujung malam, memberikan kita semangat untuk terus hidup keesokkan harinya. Lalu rasa seperti baru satu jam berlalu itu, kita fikirkan, kita cuba mengingati rasa lauk pauk yang pernah dijamah dek mulut tidaklah dapat diingatkan kerana sebenarnya sudah 10 tahun kita berhenti menjamah makanan itu. Kita pun sudah lupa.

10 tahun yang panjang itu sebenarnya amat singkat sesingkat perjalanan pergi balik ke Kuantan yang hanya mengambil masa 2 jam dari KL berbanding 4 jam sebelum siapnya lebuhraya bertol itu ataupun berminggu-minggu lamanya berkemudi kapal pada zaman Hang Tuah dahulukala. Jikalau ada antara kita yang terbaca luahan emosi ini, ketahuilah kalian bahawa ada usaha-usaha untuk menemukan kita kembali di saat ini. Dapatlah kiranya kita semua menyokong usaha-usaha ini untuk kita sama-sama berpeluang berkongsikan saat-saat itu sekali lagi setelah 10 tahun kita berpisah.

10 tahun.

6 comments:

ely said...

heh,kalo skolah lain bley join ke?hehehe..tp sy pon dh sploh taun dr SPM..

aranhellstorm said...

bley, kecuali Sekolah Dato Harun..hahahhaha...

ely said...

nnti tag team skolah dato' harun boikot x nak g haaa..baru pdn muka..huhuhu

aranhellstorm said...

setakat tag team ngan aida...takpe lah, tima kasih ajelah..hahahha

Anonymous said...

tampak sebijik mcm iklan propaganda BN masa pilihanraya tuhari.

aranhellstorm said...

hahahaha....

bam, belajar dari bapak segala propaganda la tu...

heh...

selamat...aman...makmur.... abah dia!!

StatCounter