Wednesday, May 28, 2008

10 Tahun (lagi?) tapi ini lain punya...

Tulisan di bawah adalah dikirim dari blogger Republik Kata melalui email kepada saya.


10 Tahun Reformasi: Makin Maju atau Mundur?

Oleh Republik Kata

Republik Kata bersoal jawab dengan Fathi Aris Omar, wartawan kanan Malaysiakini.com dan juga pengarang buku bertemakan gerakan reformisme pemikiran Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi bersempena sambutan ulang tahun ke-10 peristiwa Reformasi 1998.

Wawancara ini disediakan awal 2008, menjelang pilihanraya umum ke-12 – sebelum "tsunami politik" mengubah lanskap hubungan BN-pembangkang di Malaysia pada 8 Mac.

Republik Kata (RK): September tahun ini, genap 10 tahun Gerakan Reformasi, yang telah menjadi petanda baru arus politik sehingga ada orang menyebut "saat-saat penakrifan baru", atau the new defining moments, politik negara selepas Merdeka. Apakah anda bersetuju dengan kenyataan ini? Apakah yang "baru" itu?

Fathi Aris Omar (FAO): Ya dan tidak. Memang ada tanda-tanda baru kesedaran berpolitik dengan tema-tema baru muncul, khususnya semakin popular sejak era Reformasi 1998. Contoh mudah, tema-tema baru yang menjadi wacana politik Melayu seperti gerakan mansuhkan ISA, hak asasi dan juga penglibatan lebih ramai anak muda dalam politik pembangkang atau NGO.

Sebab itu saya selalu tegaskan, Reformasi 1998 itu tidak memadai kita lihat sebagai pertarungan politik Anwar Ibrahim dengan Dr Mahathir Mohamad. Di lapisan luar, memang kelihatan seperti itu, seolah-olah perebutan kuasa dua tokoh dalam Umno dan kerajaan. Itu sisi pandang makro, yang mudah ditafsir oleh banyak pihak.

Ada sisi pandang mikro yang sering diabaikan orang. Tetapi sebagai aktivis dan wartawan yang bergiat aktif pada waktu itu, saya suka mengetengahkan perspektif mikro. Supaya kita boleh nampak lapisan-lapisan analisis yang lebih luas, mendalam dan kompleks.

Kita ambil contoh mudah, siri-siri demonstrasi yang berlanjutan sejak Anwar dipecat sehingga aktivis-aktivis utama reformasi ditahan bawah ISA pada April 2001. Kita lihat tema-tema yang dibangkitkan mereka dan kita tengok penggerak-penggeraknya. Pastilah gejala ini baru dan khusus sebagai penanda aras lain dalam politik nasional.

Kita lihat kelompok-kelompok muda, walaupun sangat kecil, seperti Universiti Bangsar Utama (UBU), Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) atau Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT). Jelas, mereka ini bukanlah orang Anwar, bukan kumpulan NGO atau aktivis-aktivis lama yang menukar baju organisasi.

UBU, KAMI dan KsJT memang kelahiran baru, yang wujud sebagai reaksi kepada dan by-product Reformasi 1998. Ada sesuatu yang mendasar dalam pemikiran politik telah berubah sehingga memungkinkan tenaga baru itu berjaya muncul. Soal daya tahan kumpulan ini, itu soal kedua, tetapi kelompok-kelompok ini telah menjadi "kampus baru" aktivisme politik kita.

Ambil satu lagi kumpulan, GMI atau Gerakan Mansuhkan ISA. Memang sudah ada kempen anti-ISA sebelumnya tetapi hanya Reformasi 1998 yang telah melonjakkan kesedaran anti-ISA sehingga menjadi tenaga baru untuk menyalakan kempen mansuhkan ISA.

RK: Apakah kita boleh sebut pergerakan Bersih, Hindraf dan fenomena blog politik juga satu penanda aras baru dalam politik nasional? Dan apakah sumbangan atau kaitan Reformasi 1998 dalam mencetuskan trend ini?

FAO: Ya, memang. Bersih, Hindraf, blog politik dan Malaysiakini.com itu semuanya penanda-penanda penting kesedaran baru politik nasional. Dan saya nampak ia suatu kesinambungan peristiwa Reformasi 1998.

Bersih dan Hindraf yang menggunakan kaedah mobilisasi massa ke tengah-tengah Kuala Lumpur sehingga sanggup berdepan dengan jentera polis jelas menunjukkan trend Reformasi 1998.

Orang nampak mobilisasi rakyat boleh membawa mesej kuat sesuatu hasrat politik. Orang mulai percaya bahawa berdemonstrasi bukan kerja menjerit sia-sia tetapi langkah politik yang berkesan sehingga cakap-cakap tentang "pilihan raya atau pilihan jalan raya" Hishamuddin Rais sudah tidak lagi terlampau asing di kalangan ahli-ahli politik pembangkang.

Malah, tema pilihan raya bebas dan adil yang dibawa Bersih ini memang produk langsung Reformasi. Ia bermula dengan usaha pemantauan pilihan raya umum 1999, walau tidak begitu menjadi. Sekarang sudah muncul Mafrel (Malaysians for Free and Fair Elections) dan Bersih – kedua-duanya menyuarakan tema baru politik ini dengan pergerakan yang jauh lebih sistematik.

Blog politik dan Malaysiakini.com jelas kesinambungan era laman-laman web Reformasi. Blog memang teknologi baru tetapi blog ala (kandungan) laman-laman Reformasi (1998 hingga 1999) sudah tidak ada. Yang muncul, media online seperti Malaysiakini.com yang meneruskan debat dan berita politik.

Dan juga blog-blog yang kritikal tetapi tidak takut menampilkan wajah pengendali-pengendalinya, misalnya Malaysia-Today, Rocky Bru dan kelompok All-Blog. Apatah lagi sebahagian besar pengendalinya berpengalaman luas dalam kewartawanan, matang (usia) dan mampu pula berbahasa Inggeris. Tetapi laman-laman Reformasilah pencetus pergerakan politik di alam siber di negara ini.

RK: Kalau begitu, luas sekali pengaruh Reformasi 1998. Jadi, kenapa perubahan politik, khususnya penyertaan dalam politik NGO dan pembangkang masih terbatas? Anak-anak muda, misalnya, masih ramai yang tidak peduli politik. Masih ramai anggota masyarakat yang takut-takut, enggan bersuara, sehingga menjadi majoriti bisu. Kita lihat nanti, misalnya, keputusan pilihan raya umum kali ke-12. Apakah ada kesan besar Reformasi 1998?

FAO: Saya kira, kita tidak boleh melihat gejala politik dengan linear (selanjar). Tidak ada proses sosial yang linear. Mesti ada simpang-siur proses perubahan, ada trend dan counter-trend. Ada paradoks dan conflicting trends. Dan kita jangan melihat perubahan besar semata-mata dengan mengabaikan perubahan incremental (sedikit-sedikit). Apatah lagi, kita bercakap sekarang dalam konteks membuka ruang politik atau pendemokrasian di sebuah negara yang makin kuat menekan.

Dua contoh gejala counter-trend itu ialah kemunculan pelajar pro-Aspirasi di kampus-kampus IPTA dan juga himpunan gerakan-gerakan agama (Islam khususnya) yang semakin lantang, dan juga sistematik, menampilkan sikap konservatifnya.

Walau sudah lama wujud AUKU dan kampus kita memang terbatas ruang politiknya tetapi gerakan pro-Aspirasi wujud akibat kebimbangan kerajaan pada sumbangan positif Reformasi 1998. Sebelum itu, kampus tidaklah seketat dan sekeras ini cengkaman Umnonya terhadap birokrasi, tenaga akademik dan siswa.

Malah, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga satu pakej baru untuk mengawal kesan-kesan positif era Reformasi. Begitu juga Puteri UMNO. Semuanya ini usaha mempolitikkan orang muda sebagaimana panggilan Reformasi 1998 telah berjaya menyeret anak muda ke kancah politik seperti lahirnya UBU dan KsJT.

Gerakan-gerakan agama yang muncul sekarang lebih lantang, dan lebih banyak label dan jaringannya, untuk menentang sebarang percubaan membuka tema-tema baru Islam yang sepadan dengan pendemokrasian seperti hasrat Reformasi 1998.

Gerakan agama kini menjadi medan penutupan fikiran dan medan menakut-nakutkan orang ramai pada tema-tema kebebasan, hak asasi manusia dan demokrasi. Seolah-olahnya gerakan baru NGO Islam ini ditaja oleh tangan-tangan ghaib kerajaan juga! Maksud saya, dalam usaha membasmi sisa-sisa kesedaran yang telah berjaya dicetuskan oleh Reformasi 1998.

Saya tidak mahu terperangkap dalam teori konspirasi di sini. Maksud saya, banyak anasir dalam masyarakat Melayu-Islam yang mula rasa terancam dengan perubahan-perubahan yang telah dan bakal dibawa oleh peristiwa Reformasi 1998.

Jadi, sama ada di pihak pembangkang Islam, NGO Islam atau pegawai-pegawai kerajaan dan juga pemimpin-pemimpin Umno tertentu yang mula panik atau muak dengan niat Reformasi ke arah kebebasan, kesamarataan, hak asasi manusia, perdebatan pelbagai hala dan keterbukaan fikiran.

Kita ambil contoh reaksi keras mereka terhadap IFC dan Artikel 11. Misalnya lagi, jenis-jenis buku yang semakin aktif diharamkan, sebahagian besarnya buku-buku ilmiah atau kesarjanaan yang boleh membuka mata pembaca dalam bidang pemikiran (agama).

Ini semua counter-trend kepada Gerakan Reformasi 1998 tetapi tema dan bahasanya kelihatan Islam. Asasnya bukan agama, tetapi kebimbangan pada arus kebebasan, kesamarataan, hak asasi manusia, perdebatan pelbagai hala dan keterbukaan fikiran.

Mereka takut pada tema-tema kebebasan, kesamarataan, hak asasi manusia, perdebatan pelbagai hala dan keterbukaan fikiran tetapi berselindung di belakang hujah agama. Kadang-kadang hujah sastera dan seni juga diolah untuk menentang tema-tema Reformasi 1998 ini. Lihat, misalnya, hujah penulis-penulis muda di Rumah PENA.

Contoh lain, memperkenalkan meritokrasi di IPTA oleh Dr Mahathir pada 2001 atau penilaian kembali DEB oleh Anwar melalui "Agenda Ekonomi Baru". Orang Melayu-Islam, sama ada di pihak parti kerajaan atau pembangkang, tidak menyambut hangat dua idea ini kerana dianggap menentang status quo. Tetapi tema-tema ini memang niat awal Reformasi 1998.

RK: Orang mulai resah dengan tema-tema ini. Kenapa? Kemudian mereka akan menutup diri daripada berfikir dan enggan menilai kembali. Sebaliknya, jika boleh, jangan sekali-kali membenarkan orang lain (gerakan Reformasi) membangkitkannya lagi.

FAO: Ya, memang betul. Sebab itu mereka menyebut perkataan "kontrak sosial" dalam Perlembagaan sebagai langkah mematikan perbahasan. Ia dianggap "isu sensitif".

Aktivis agama misalnya mula memperkenalkan ungkapan "hak asasi Tuhan" bagi menunjukkan banyak sisi serong hak asasi manusia (yang dikaitkan dengan ilham dan idealisme Barat). Ingat, "Barat" sebagai momok. Tetapi ini semua reaksi-reaksi terhadap arus besar yang muncul akibat Reformasi 1998.

Kita harus melihat begini: Era Reformasi 1998-2001 itu muncul bersama ketegangan politik. Jadi banyak isu tersedut untuk menjawab dan melawan tekanan keras tersebut.

Misalnya tema keganasan polis dan profesionalisme mereka. Itu tema Reformasi 1998 tetapi telah dirampas, di-hijack, oleh Abdullah Ahmad Badawi melalui suruhanjaya siasatan polis dan kemudian cadangan menubuhkan IPCMC.

Begitu juga tema kebebasan dan korupsi badan kehakiman yang juga idea Gerakan Reformasi. Sekarang baru kelihatan lebih jelas – walaupun saya percaya Abdullah menubuhkan suruhanjaya diraja (siasatan klip video VK Lingam) baru-baru ini untuk "membeli" undi semata-mata, bukan usaha tulus untuk mereformasikan badan kehakiman.

Era politik panas 1998-2001 itu menyebabkan keresahan yang mendalam di kalangan Melayu-Islam yang konservatif itu lambat muncul. Ia ada dan bergerak tetapi tenggelam buat sementara waktu. Politik kepartian (kepembangkangan) kelihatan mendominasi persaingan tema dan wacana pada waktu itu.

Tetapi sebaik sahaja gerakan ini dilembikkan melalui ISA dan kem Kamunting, maka bermulalah siri baru serangan tersebut, yakni memorandum PUM kepada Agong untuk menghukum dan menapis tulisan-tulisan yang dianggap menentang agama. Ia muncul seawal 2002 sebagai penanda aras baru sebelum muncul ACCIN atau Badan Anti-IFC (Badai).

Di satu sisi lain, gerakan untuk menuntut ruang dan kebebasan ini melancarkan Kempen Anti-Kawalan Moral (MPAMP) pada 2004 sehingga Artikel 11.

Maksud saya, di luar musim politik panas, ketegangan politik kepartian, maka muncullah politik ideologi atau aliran yang bersifat merentasi kumpulan dan kelompok. Pada asalnya tema-tema diskusi digerakkan untuk menentang pemerintah (Dr Mahathir) tetapi kemudiannya menjadi persaingan pemikiran dan budaya yang merentasi kaum, kelas, latar pendidikan dan parti politik.

Era 2002-2005 yang dianggap "resah" itu sebenarnya dilatari oleh semangat "kebebasan, kesamarataan, hak asasi manusia, perdebatan pelbagai hala dan keterbukaan fikiran" yang menjadi roh pergerakan Reformasi. Dan pergerakan Reformasi seumpama ini memang mudah menangkap aliran pemikiran atau ideologi yang merentasi kaum, parti dan kelompok.

RK: Maksudnya, ada kesan menurun atau kemerosotan arus Reformasi?

FAO: Ya …maksud saya reformasi pemikiran, bukan Gerakan Reformasi sebagai sesebuah kelompok, persatuan atau parti politik. Kita tidak akan nampak perubahan idea dan budaya politik jika kita mengurung analisis dampak Gerakan Reformasi seperti kita menganalisis PAS atau politik Anwar.

Perkataan "reformasi" ini sebagai label kepada sejumlah nilai hidup, gerakan kepolitikan, perkumpulan orang dan tema wacana yang bersifat merentasi kurungan-kurungan kelompok, persatuan atau parti politik. Perkataan "reformasi" telah menjadi setaraf dengan maksud "Islamis", "liberal" atau "Marxis" – maksud saya, ia telah bertukar sebagai politik idea, ideologi atau budaya (fikiran).

Organisasi hanyalah kenderaan untuk mengenali, dan kenderaan untuk mengurus, manusia sahaja. Tetapi gejala "reformasi" atau ideologi "Islamis" itu memang melangkaui sesuatu organisasi. Ia adalah suatu pemikiran, reformasi sebagai usaha reformisme sebagaimana fundamentalisme atau Islamisme hidup daripada Islam.

Perkataan "reformasi" di sini sebagai maksud "kaedah berfikir" dan kaedah merumus isu-isu kenegaraan, kebudayaan, agama dan masyarakat.

RK: Bolehkah kita sebut Reformasi 1998 atau "reformisme" yang disebut tadi sebagai gerakan anti-Mahathirisme? Yakni, Reformasi bukan sahaja menentang tubuh Dr Mahathir Mohamad tetapi keseluruhan projek, idealisme, gerak politik, citarasa dan penggubalan undang-undang era 22 Dr Mahathir sebagai perdana menteri?

FAO: Ya, memang. Di satu sisi, Reformasi 1998 memang sejenis kebalikan Mahathirisme. Sebab itu saya sebut di awal tadi, Reformasi 1998 bukan pertembungan Dr Mahathir dengan Anwar semata-mata, bukan persaingan kuasa pengikut Dr Mahathir dengan kem Anwar. Bukan. Bukan itu faktor asas yang melatari motivasi dan wacananya.

Harus sentiasa diingat, sewaktu Anwar di dalam penjara, pengikut Anwar hanyalah sebahagian kecil daripada arus besar Reformasi 1998. Mungkin dalam parti Keadilan (sewaktu ditubuhkan pada 1999) dan di tepi-tepi jalan, masih ada pemimpin dan pengikut Anwar, khususnya daripada Umno.

Tetapi sebahagian besarnya, mungkin antara 60 hingga 70 peratus, penggerak demonstrasi dan pengemuka wacana era Reformasi 1998 bukan lanjutan Anwarisme Umno. Sebahagiannya digerakkan oleh aktivis NGO yang pelbagai latar belakang, termasuk kelas menengah kota dan bukan Melayu. Begitu juga peranan parti pembangkang seperti PAS dan PRM, bukan penerus citarasa Anwarisme Umno. Bukan.

Dan, menariknya, Reformasi 1998 bukan pertarungan kem-kem dalam Umno seperti Team A melawan Team B era 1987 hingga 1990 (pilihanraya umum ke-8). Reformasi 1998 adalah gerakan anti-kuasa, gerakan anti-negara. Negara di saat ini disimbolkan oleh Dr Mahathir (perdana menteri), Umno (kuasa politik berparti) dan institusi-institusi negara (polis, media dan mahkamah).

Dr Mahathir, Umno dan institusi ini dianggap "negara". Maka penolakan dan perlawanan gerakan Reformasi 1998 adalah simbol penentangan terhadap elemen-elemen asas ini, unsur-unsur mendasar tentang sendi-sendi kenegaraan kita.

Mereka bukan menolak untuk membuangnya. Bukan sejenis revolusi. Reformasi 1998 sejenis gerakan evolusi reformisme kenegaraan. Ia hanya melihat dan mahu mencantas keburukan-keburukannya sahaja tetapi mengekalkan kebaikannya.

Misalnya, isu rasuah. Reformasi 1998 bukan mahu membuang BPR tetapi mahu BPR lebih berani, lebih bebas, lebih profesional menjalankan tugasnya kepada semua pihak, khususnya "ikan-ikan besar". Begitu juga polis.

Reformasi 1998 bukan menentang polis atau menolak institusi kepolisan. Reformasi 1998 menentang sikap polis yang membelasah orang ramai dan sikap polis yang lengah-lengah dan tidak berani bertindak secara profesional, khususnya kepada pemimpin kerajaan dan ahli-ahli politik BN.

Misalnya soal kebebasan badan kehakiman. Reformasi 1998 bukan mahu menukar sistem mahkamah sivil kepada mahkamah syariah tetapi mahu menegakkan kembali imej bersih dan independen mahkamah sebelum tragedi 1988, yang diruntuhkan oleh Dr Mahathir.

Begitu juga sikap mereka terhadap kebebasan siswa dan kampus dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti, atau kebebasan media (Akta Penerbitan dan Mesin Cetak). Mereka mahu ruang yang lebih bebas untuk mengkritik pemerintah, setidak-tidaknya "sedikit lebih bebas dan dapat bernafas", tidak seperti apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir sejak 1981.

Jika anda kaji pindaan undang-undang yang dicipta oleh Dr Mahathir sepanjang era 1980-an, anda akan faham kenapa Reformasi 1998 begitu anti-Mahathirisme dan kenapa anti-Mahathirisme itu bersifat "gerakan anti-negara", bukan sekadar anti-batang tubuh Dr Mahathir.

Reformasi 1998 berbeza dengan gerakan anti-Abdullah yang dicetuskan oleh Dr Mahathir, beberapa penulis blog dan penyokong Umno. Gerakan Dr Mahathir ini skopnya sangat sempit. Mereka hanya mahu membuang Abdullah dan juak-juak perdana menteri seperti Khairy Jamaluddin, anak-beranak perdana menteri atau kumpulan "tingkat empat".

Mereka tidak menawarkan kritikan mendalam dan serius tentang institusi-institusi kenegaraan. Gerakan Reformasi 1998 tidak begitu. Reformasi menentang Dr Mahathir, Umno dan negara kerana ia menuntut perubahan menyeluruh daripada proses Mahathirisme yang melemahkan negara.

RK: Jadi, maksudnya gerakan Dr Mahathir sekarang menentang Abdullah tidak wajar disokong? Kalau kita sokong Dr Mahathir sekarang, apakah ini bermakna kita tidak lagi menyokong reformisme 1998?

FAO: Bukan begitu maksud saya. Reformasi 1998 telah mengemukakan pelan tindakan yang lebih menyeluruh daripada usaha Dr Mahathir menentang Abdullah hari ini. Reformasi 1998 terus-menerus menuntut peluasan ruang demokrasi, termasuk kebebasan mengkritik dan menegur perdana menteri dan presiden Umno.

Reformasi 1998 tidak fokus kepada individu atau juak-juak tertentu. Reformasi 1998 menuntut pembaikan dalam hampir semua bidang kenegaraan yang merugikan bangsa Malaysia.

Reformasi 1998 menuntut wacana baru, semakan semula, dan bahasa baru untuk mengukuhkan negara, misalnya hubungan antara kaum, misalnya pengagihan semula ekonomi, misalnya ruang demokrasi, misalnya peranan media (termasuk Internet) dan peranan kelas menengah.

Reformasi 1998 bukan sekadar gerakan politik seperti Dr Mahathir menyerang Abdullah.
Reformasi 1998 sebenarnya gerakan kebudayaan, gerakan pemikiran, gerakan wacana dan gerakan idea untuk merombak negara agar lebih menghargai demokrasi dan hak asasi warganya.

Memang gerakan reformisme di mana-mana pun melibatkan aksi politik tetapi aktivisme politik itu hanya saluran atau jalan untuk menjayakan sejumlah idea atau wacana yang dikempenkan.

Sebab itu, saya sebut awal tadi, Reformasi 1998 ini sudah menjadi gerakan "reformisme" pemikiran dan kebudayaan dalam bidang kepolitikan dan kenegaraan.

Maksud saya, Reformasi 1998 itu membuka jalan atau ruang untuk kita membentuk falsafah baru tentang politik Malaysia dan tentang ketatanegaraan Malaysia. Sebab itu ia bukan sekadar gerakan politik.

RK: Jadi, apakah reformasi seperti ini akan ada masa depan di Malaysia? Atau akan dikalahkan negara atau ditewaskan oleh penggerak-penggeraknya yang tidak faham arah tuju dan semangatnya?

FAO: Saya tidak optimis dan tidak juga pesimis dalam hal ini. Tetapi bagi saya, ringkas sahaja. Jika Reformasi 1998 dinilai sebagai gerakan pencetus "falsafah baru tentang politik Malaysia dan tentang ketatanegaraan Malaysia", yakni gerakan pemikiran dan wacana baru, maka reformisme seumpama ini memberi harapan kepada Malaysia.

Jika orang menafsirkan Reformasi 1998 sekadar usaha-usaha menjatuhkan BN, sekadar merebut tampuk kekuasaan, sekadar menjadi perdana menteri, atau sekadar mengambil peluang ekonomi dan kedudukan politik (dalam kerajaan dan parti), maka proses selama 10 tahun ini akan sia-sia, tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Saya jelaskan tadi, kedua-dua maksud dan tafsiran Reformasi 1998 ini berbeza dan membawa akibat yang berlainan. Terpulang kepada penggerak-penggerakanya, intelektualnya, penulisnya dan aktivis mudanya.

Ke mana mereka membawa arus Reformasi 1998, terserah kepada mereka. Tetapi jalan yang dirintis sejak 10 tahun lepas telah membuka kemungkinan untuk kita menggerakkan reformisme ketatanegaraan yang baru dan saya semakin optimis ia akan membuka (telah membuka!) mata banyak orang.

Jika anda membaca buku saya Patah Balek: Catatan terpenting era reformasi, atau buku Hishamuddin Rais, Pilihan Raya atau Pilihan Jalan Raya, atau buku Khalid Jaafar, Tumit Achiles, anda akan faham banyak lagi gerakan reformisme harus kita usahakan.

Kita harus terus menyuburkan idea, terus melatih bakat-bakat baru dan terus mengasak dengan gerakan politik yang lebih padu. Ketiga-tiga bidang ini (pemikiran, tenaga baru dan aksi politik) tidak boleh kita abaikan.

Ingatlah pesan saya, Reformasi 1998 itu ertinya gerakan pencetus "falsafah baru tentang politik Malaysia dan tentang ketatanegaraan Malaysia", yakni gerakan pemikiran dan wacana baru.

No comments:

StatCounter