Saturday, January 24, 2009

Bola...? Hmmm.....

Bola.

Kini, sebut saja perkataan ini, ramai yang menyampah. Kecewa. Hilang harapan. Putus asa. Namun rasa ini mungkin hanya dapat dirasakan oleh peminat-peminat bolasepak yang masih setia menyokong pasukan bolasepak tempatan atau setidak-tidaknya mengambil tahu keputusan perlawanan yang melibatkan pasukan kebangsaan. Lebih-lebih lagi selepas tragedi dibelasah UAE baru-baru ini digelanggang sendiri.

Mungkin ramai poser diluarsana yang kononnya peminat fanatik bolasepak yang bangga memakai jersi pasukan kesayangan dari liga luar negara, masing-masing dengan nama pemain kesayangan tertera megah dibelakang badan, menempelak, mengeji, mencaci dan memandang hina situasi yang menyelubungi scene bola sepak tempatan, tetapi sedihnya tidak pernah langsung untuk mengambil tahu perkembangan bolasepak tempatan dengan penuh minat apatah lagi berkunjung ke stadium berhampiran untuk menonton aksi perlawanan liga tempatan.

Tapi aku tak salahkan mereka. Ini negara demokrasi, kamu boleh pilih apa yang kamu suka, tinggalkan apa yang kamu benci. Pilihan ditangan anda.

Akan tetapi, dari terus menjadi pencemuh, pengeji, pengejek tetap bolasepak tempatan, dan tukang ketawa setiap kali pasukan kebangsaan kita kalah dan dibelasah pasukan lain, adakah cara lain untuk kita turut sama menyumbang walaupun sebesar hama sumbangan itu kearah penambahbaikan mutu bolasepak kita?

Untuk mengembalikan tahap bolasepak kita ketahap yang boleh kita banggakan sekurang-kurangnya dalam kancah pertandingan serantau yakni di Asia Tenggara, kita semua harus menyumbang wang ringgit, tenaga dan idea untuk merealisasikan hasrat tersebut. Kita semua merujuk kepada setiap warganegara Malaysia yang masih menaruh harapan agar satu hari nanti pasukan Harimau Malaya akan sembuh dari ketempangan dan tidak lagi digelar Harimau Sakit. Sama ada dari organisasi seperti FAM, KBS, Persatuan-persatuan bolasepak negeri, syarikat penaja, atau dari individu pemain, bekas pemain, jurulatih, peminat, penyokong aktif dan pasif, pengulas dan wartawan sukan, dan lain, yang terlibat secara langsung atau tidak dengan bola sepak negara.

Yang memilih untuk terus mencemuh, mengeji, mengejek tanpa ada sumbangan, persetankan mereka.

Sukan ini memerlukan dana yang besar untuk merencana, merealisasikan dan menguruskan pertandingan dan agenda lain seperti pembangunan akar umbi, pembangunan teknikal, pengurusan pertandingan, pengurusan organisasi, kejurulatihan dan lain-lain aspek berkaitan dengan bolasepak.

Ya, sebagai peminat dan penyokong, hanya keputusan perlawanan yang kita mahu lihat. Tetapi itu hanya end-product, jika dari tatkala mula merencana sudah banyak kepincangannya bagaimana kita mahu end product yang baik? Seperti sebuah kapal yang mahu ke Utara tetapi dari mula sudah menetapkan haluan ke Barat, mana mungkin sampai ke Utara. Bukan begitu?

Dengan hanya mengharapkan geran dari Kerajaan persekutuan dan bantuan yang kecil dari tajaan, kancah pertandingan tempatan kita tidak akan kemana, jikalau persatuan negeri masih lagi dengan sikap malas dan sambil lewa menguruskan organisasi untuk berdikari mencari sumbangan dana untuk pasukan negeri masing-masing, dan saban tahun itulah peminat akan terus mendengar tentang isu-isu pemain/jurulatih tidak dibayar gaji, gaji tertunggak berbulan-bulan, dan pelbagai isu berkenaan beban kewangan yang menambah keperitan bolasepak kita yang sedia terbeban dengan isu utama iaitu kelesuan pasukan kebangsaan kita dipentas antarabangsa.

Takkan hanya berharap kepada wang jualan tiket perlawanan? Seperti yang kita maklum, penyokong kita rata-ratanya akan hanya bersemangat ke stadium tatkala pasukan mereka sedang dalam top form ataupun mengecapi kemenangan demi kemenangan, barulah stadium nampak sedikit penuh. Jadi bagaimana kita mahu menarik minat penonton untuk terus memenuhkan stadium dari awal musim hingga ke akhirnya?

Hardship dari penyokong yang mengeluarkan RM 10, setiap kali perlawanan harus diikuti dengan pulangan yang berbaloi, yakni harus dihidangkan dengan persembahan yang bertenaga dari aspek corak perlawanan, susun atur gerakan dan pengetahuan taktikal yang bagus, mutu pengadilan yang tinggi, serta format pertandingan yang menarik supaya mampu menarik penonton ke stadium.

Lontaran persoalan dari aku, adakah langkah FAM menghalang kemasukan import dapat meningkatkan mutu permainan pemain tempatan?

Bagi aku ini langkah backwards yang terus memperosokkan mutu bolasepak kita ke tahap yang lebih teruk, dari buruk ke sangat buruk, dari penuh pengharapan kepada putus asa. Dari ada minat sehingga hilang minat terus.

Liga yang baik perlu ada elemen pertandingan bukan sahaja untuk dua pasukan yang bertemu pada malam match programme, tetapi dalam keseluruhan skuad supaya bertanding sesama sendiri untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama. Tanpa pemain import, yang terbukti berkesan penggunaan mereka di dalam kancah pertandingan (lihat Kedah musim lepas, Selangor tahun 95-97, Sabah pada era Scott Ollerenshaw) maka ruang-ruang kosong yang mereka tinggalkan akan dipenuhi oleh pemain-pemain yang dulunya sentiasa memanaskan bangku simpanan yang mempunyai tahap yang lebih rendah mutu permainannya.

FAM perlu memikirkan langkah seperti menetapkan aras kewangan atau dana yang wajib dimiliki bagi setiap pasukan yang bertanding dalam liga M,supaya gaji semua pemain dan kakitangan mampu di bayar. Langkah lain seperti menetapkan hanya pemain yang berada, let say 20 tempat di atas Malaysia dalam ranking FIFA untuk beraksi di liga M atau pemain yang pernah bermain lebih dari 1 musim dalam liga yang lebih kompetetif dari liga M di negara yang mempunyai ranking 20 tempat atau lebih dari Malaysia misalnya supaya pemain yang datang ke liga M bukanlah pemain discarded di tempat sendiri ataupun pemain picisan yang tak dapat bermain di liga tempatan mereka untuk bermain di liga M, sepatutnya think tank FAM yang harus memikirkan semua yang perlu untuk liga M atas dasar sayang kepada bolasepak negara bukan atas dasar terpaksa kerana kerja sahaja.

Atau mungkin memperkenalkan dasar ASEAN-friendly dengan memperkenalkan import ASEAN dan Non-ASEAN kerana, negara jiran serantau kita lebih baik mutu permainan dan tahap kecergasan mereka berbanding kita, mungkin menetapkan setiap pasukan boleh menamakan 4 pemain Asean atau 1 Non asean dalam kesebelasan utama, dan dengan cara ini pemain tempatan tidak lagi boleh berlatih dan bermain dengan sambil lewa kerana kelewaan mereka hanya menyebabkan mereka tersisih. Di sini harus diingat, dalam sukan seharusnya polisi merit mengatasi segala-galanya dan bukannya berdasarkan kad pengenalan mereka. Tidak sepatutnya lagi isu seperti pemain tempatan hilang mata pencarian kerana kebanjiran pemain dari luar bermain untuk liga M timbul, walaupun sebenarnya ketidakkemampuan mereka mencapai tahap sebagai seorang atlit professional yang harus dipersalahkan. Mereka mungkin boleh mencuba untuk menjadi pengulas atau wartawan sukan jika mereka masih mencintai sukan ini.

Bagi aku biarlah sedikit tetapi yang sedikit itu berkualiti, jikalau dalam satu pasukan utama itu hanya terdapat 4 atau 5 pemain tempatan, tetapi pemain tempatan itu adalah adalah yang terbaik kerana mampu berada dalam pasukan utama walaupun terdapat pemain import yang ramai.

Dari aspek kejurulatihan dan taktikal pula, harus diwajibkan kepada pengurus/jurulatih pasukan yang bertanding di liga M untuk menjalani kursus demi kursus supaya pembangunan ilmu dan taktikal terus berjalan sehingga ke akhir karier. Lihat sahaja jurulatih-jurulatih terkenal antarabangsa seperti Jose Mourinho, Rafa Benitez, sekadar menyebut beberapa nama, bermula dengan menjadi pembantu jurulatih dan seterusnya melatih pasukan remaja, belia, simpanan dan menuntut ilmu kejurulatihan di beberapa kela ternama sebelum menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan profesional.

Liga M bukan bolasepak, kata B Sathianathan, aku setuju secara asasnya, namun hanya dengan melontarkan pernyataan berbau negatif itu tanpa penghuraian, akan membuatkan keadaan menjadi buruk dan teruk, persoalannya apakah orang-orang besar di atas sana ada keberanian yang sama dengan B Sathianathan untuk mengakuinya?

Our football league is obviously pathetic, apakah mereka di atas sana akan terus menafikannya? Langkah pertama untuk pemulihan adalah dengan pengakuan.

Sunday, January 11, 2009

Rangkuman Hujung Minggu

Jumaat malam tempohari, aku, adik aku Opi dan Bert ke Forum BUKAN HANYA PERANG – MITOS DAN REALITI DI PALESTINE bertempat di Bar Council Jalan Lebuh Pasar KL. Ahli-ahli panel yang terdiri dari DR. ROSLI OMAR, DR. FARISH A NOOR, PROFESSOR GURDIAL SINGH NIJAR dan HISHAMUDDIN RAIS kesemuanya memberikan input-input yang berguna kepada peserta tentang fakta, mitos, bukti dan pendapat berhubung isu Israel-Palestin yang sekian lama menghantui dunia.

Walaubagaimanapun, aku malas nak ulas sekarang tentang isi kandungan forum tersebut. Mengantuk, sudah mahu masuk tidur.



Selepas tamat forum, candle light vigil untuk mangsa kekejaman Zionis


bersama Pilus yang dah lama tak jumpa di 14 PJ, dan Faisal Mustaffa, wartawan Roket


Belut dan Bert memang tak dapat di pisahkan

Kemudian keesokkannya, selepas waktu kerja, aku dan famili bersama Bert sekali lagi ke Stadium Shah Alam untuk menyaksikan perlawanan top of the table (walaupun baru lepas 2 game) antara Selangor v Negri Sembilan.

Aku agak terkejut dengan kehadiran penyokong yang ramai melebihi jangkaan aku, kerana sewaktu aku masuk ke stadium, kereta sudah pun membanjiri kawasan letak kereta dan tepi-tepi jalan. Walhal aku bukannya tak menjangka kehadiran yang begitu ramai kerana Selangor sudah menang 2 perlawanan sebelum (v Kedah 4-1; v Perak 3-1) dengan jumlah gol yang tinggi, sudah pasti kehadiran penonton akan tinggi.

Kali ini aku duduk di row atas kerana kami masuk agak lambat, sampai-sampai di dalam, sudah sepak mula. Kehadiran ke stadium agak istimewa kerana kali ini pertama kali aku membawa Sarah Afiqah ke stadium, meneruskan tradisi Merah Kuning dalam famili.

dan seperti semua maklum, Selangor menang lagi malam itu dengan 3-0. Padahal banyak scoring opportunities yang terhidang, namun jentera serangan mungkin agak gopoh dan nasib tak menyebelahi, dan walaupun pada satu ketika selesa mendahului dengan 2-0, para penyokong ternyata bengang dengan aksi satu dua pemain dan pasukan keseluruhannya yang kerap kehilangan bola di kaki dengan mudah dan kelihatan seperti mahu memperlahankan rentak permainan.

Penyokong mungkin masih belum biasa dengan corak permainan possessioning yang mungkin kelihatan seperti memperlahankan rentak permainan tetapi possession of the ball itu yang penting sebenarnya.

Apapun, tahniah Red Giant dan teruskan rentak kecemerlangan!


GOlllllll!!!1 aksi penyokong selepas gol kedua.


Sarah dan babahnya kali pertama ke stadium, Sarah menangis ketika gol pertama kerana terkejut mendengar sorakan....


p.s : aku terpaksa menelan kata-kata aku sebelum ini yang ingin memulaukan Liga Super kerana ketiadaan pemain import. Ternyata aku masih lagi sayangkan liga Malaysia dan Selangor khususnya yang mendorong aku untuk terus pergi ke stadium.

Friday, January 9, 2009

Isu Gaza

Tajuk atas tu bukan refer pada Gaza, ustat Ghazali Omar aka Gaza, ustat aku kat sekolah dulu. Ini Gaza di Palestine yang sedang di bantai tentera rejim Zionis sekarang ini.

Tadi pergi Solat Jumaat, ada qunut nazilah. Doa untuk keamanan saudara Muslim di Palestine. Doa supaya Allah hancurkan Amerika, yahudi dan musuh-musuh Islam. Tengok saf depan aku, ada yang pakai seluar Dockers, Levis.. tengok dalam poket, ada rokok Marlboro, Philip Morris punya company. Semua Amerika-Zionis by proxy punya company.

Teringat zaman sekolah dulu, masa hati tengah suci, bak kata Nabil Raja Lawak, "dari jauh nampak suciii je muka gua ni.." la kan, zaman rajin pergi Musolla untuk solat Subuh berjemaah. Ke sembahyang terawih ek? aku pun dah lupa, tapi ada la satu hari ni, tiba-tiba ustaz Khaspi baca qunut nazilah yang amatlah panjang itu. Tapi sebagai insan yang masih suci aku masih teguh berdiri, tapi mamat senior, Bauk, sebelah gua ni dah berdiri pun tak senang. Tiba-tiba aku dengar dia mendengus...

"Apala baca doa qunut panjang-panjang sangat niii..." dengan selamba beliau membentak. Gua nak tergelak dah, tapi sebagai insan suci, kena khusyu' lagi tawadhhu'. Gua buat-buat tak paham, tapi dalam hati gua dah guling-guling gelak...

Lalu dia mufaraqah, pergi belakang sembahyang sendiri. Rebel with a cause, lu memang rock bro..hahaha...

Back to the topic. Tentera IDF (israel defense force) sudah pun membantai tanah, bangunan, penduduk Palestine di Gaza. Banyak kanak-kanak, wanita, orang tua yang mati tertimbus atau terkena ledakan bom, peluru berpandu dari pesawat pejuang IDF. Tapi kita di Malaysia ini, dalam simpati melihat nasib mereka, kita pun banyak pendapat mengenai isu Israel-Arab-Amerika ini yang memang tiada kesudahannya.

Ada yang kata ini isu Islam v Yahudi. Ada yang cakap ini isu Politik dan Kuasa semata, ada yang berhujah ini isu Tanah dan Kependudukan, isu Negara, isu Hamas v Zionis v Fatah, dan berbagai isu lagi berdasarkan pengetahuan, pembacaan, ilmu, pemerhatian bahkan juga latar belakang masing-masing.

Oleh sebab malam tadi gua tengok Reaksi Perang Di Gaza di Astro Awani yang panelnya terdiri dari 2 orang, satu YB Dato Tajuddin bin Abd Rahman, YB dari Pasir Salak, dan satu lagi Hishamuddin Rais, rasa macam tak cukup, so malam ni aku dengan Bert akan ke Dewan Majlis Peguam di Jalan Lebuh Pasar KL untuk menyertai forum bertajuk "BUKAN HANYA PERANG – MITOS DAN REALITI DI PALESTINE". Butiran lanjut sila klik di sini.

Jadi, sesiapa yang ada kelapangan, nak tambah pengetahuan moh le ikut teman..

Monday, January 5, 2009

Memori

Sekitar 1986

Aku duduk sorang-sorang main excavator plastik bawah rumah, korek-korek pasir. Masa tu tak tau lagi ada "korek-korek" linggam 22 tahun akan datang. Arwah mak dan arwah abah belum balik kerja, hanya ada kak lin yang tolong jaga aku dan adik-adik aku, angah dengan opi. Opi baru setahun, angah baru 3 tahun, aku baru 5 tahun. Syam belum ada lagi, baru nak 'bancuh' kot...hahahah

Nak main basikal, belum pukul 5 lagi. Tunggu mak dengan abah balik baru boleh main basikal. Main lumba basikal ala-ala Streethawk, ala cerita kat tv popular masa tu.. dengan Pian jiran depan rumah, bapak dia Uncle Joe satu tempat kerja dengan abah dekat Stesen Mardi Sungai Sireh. Mak dia cikgu, 2 tahun akan datang baru aku tau mak dia cikgu, sebab mak dia mengajar aku mengenal huruf walaupun aku dah pandai membaca suratkhabar semasa umur aku 4 tahun lagi. Huh...berlagak tak aku? Hehehe...

Agak bila dah bosan main korek-korek pasir, aku sodok pulak air bertakung dalam becak-becak selepas hujan dengan bulldozer plastik aku.

"Ngongggg...ngoonnggg.." aku buat-buat bunyi bulldozer tu pakai mulut. Bila dah boring naik, atas, bukak tv. Tv jenama Phillips, kalau gambar tak clear, kena ejas manual, ada punat kena roll-roll sampai clear. Dulu ada berapa je channel. Tv1, Tv2 dan tv3. 3 pilihan je, tak payah pening-pening. Cuma abah je la yang pening kot, sebab nak kena bayar lesen tv. Dulu-dulu nak beli tv kena ada lesen, lesen tv tu pulak kena frame lepas tu letak atas tv. Sekarang tak payah lesen-lesen dah...kalau cakap kat budak sekarang nak tengok tv kena ada lesen, mesti budak tu kata kita gila...

Tunggu mak dengan abah tak balik-balik lagi, bila nak main basikal ni?. Pian dah 2 kali round-round depan rumah naik basikal bmx dia sambil pakai topeng kertas self-made, ala-ala topi fullface Streethawk, nasib baik dia tak pandai bawak motor, kalau tak mesti dia dah bakar-bakar, ram-ram throttle depan rumah.

Tak lama tu, dengar bunyi motor abah. Yayy! Abah dah balik! Boleh main basikal, abah baru sampai je depan rumah, aku dah duduk atas seat basikal. Tapi mak aku ajak pegi kedai kat seberang jalan. Aku tak jadi naik basikal, nak ikut mak pergi kedai Rosli kat depan tu je. Dalam hati, sampai kedai nak serbu bungkusan Chickadees tak pun jajan Oya.. tapi mak suruh aku ambil gula-gula je, jadi aku ambil gula-gula Kiss Me je, yang perasa blackcurrant tu.. ntah ada ke tak lagi gula-gula tu sekarang aku pun tak tau...

Sampai balik ke rumah terus capai basikal, main racing-racing dengan Pian.. macam biasa dia menang, tapi yang tak tahan, lepas menang dia bakar-bakar aku... dan macam biasa jugak aku menangis... lepas nangis dia kata aku 'ciwek' pulak. Aku pun tak tau mana dia dapat dan apa makna perkataan tu, tapi aku boleh agak perkataan tu adalah ejekan untuk budak yang suka menangis, macam aku.

Tapi aku menangis kejap je, lepas tu main balik dengan dia, ada la 2 orang lagi budak-budak dari kejiranan yang lain datang main dengan kami. Kalau tak main polis sentri kami main bikalibi. Aku tak tau apa maknanya, tapi sebenarnya permainan tu adalah main kejar-kejar je. Tapi tang mantra dia lagi buat aku tak paham dan siapa la yang ajar pun aku tak tau. Mantra dia:

Bikalibi kamu jadi
abang ali tujuh biji
kastom dindom
pak aji tukang cat
bikalibi kamu jadi!

sambil nyanyi mantra tu, sambil kira empat pasang kaki, kaki siapa yang terkena semasa last perkataan 'jadi' tu dia la yang jadi tukang kejar. Yang penatnya game ni, pengejar nak kena touch a.k.a 'sip' orang kena kejar (OKK) sebelum dia duduk, kalau dapat sip OKK sebelum dia duduk, OKK yang kena sip tu pulak yang jadi pengejar... yang buat lagi penat, kalau OKK tu sempat duduk sebelum kena sip, kena kejar OKK lain pulak, sampai semua duduk, baru ulang mantra tadi balik, tapi kalau ada lagi OKK tadi masih free dan sempat sip OKK yang dah duduk tadi, OKK yang duduk tu jadi free semula boleh melarikan diri lagi... kena la kejar balik. Faham ke? tak paham sudah..lantak korang lah...

Dan selalunya aku akan duduk terus untuk selamat kalau jadi OKK, sebab bila aku jadi pengejar, confirm aku tak dapat bagi semua duduk, last-last sampai maghrib pun tak habis kejar, bila tak habis kejar..kena bakar lagi... istilahnya, "lenjan".Kena bakar sampai nangis. Siap nyanyi2 lagi ramai2.. "along lenjan yay! along ciwek yay!"

Aku pantang betul dengar perkataan tu walaupun aku tak tau apa maknanya dan dari mana asal usulnya...mungkin sekarang istilah tu equivalent dengan "Loser" la kot?

Gila la aku dulu, sebijik macam Nobita dalam Doraemon, nasib baik Doraemonnya je takde, kalau ada, dah tentu aku mintak motor Streethawk sebijik pastu bakar-bakar depan rumah si Pian tu.

Heh

Friday, January 2, 2009

Tahun Baru

Kepada semua, Selamat Tahun Baru, Hijriah atau Masihi. Semoga tahun yang baru ini kita dapat menjayakan apa yang diimpikan, diharapkan dan diangankan.

2009. Satu nombor bertukar, adakah kelaziman kita pun berganti juga?

"Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk dari hari semalam dan hari esoknya lebih buruk dari hari ini.” Saidina Umar Al Khattab R.A

StatCounter