Friday, August 31, 2007

Puisi Merdeka

Puisi: Merdekakah kita?

langsung aku berjalan atas batasan sawah
melangkaui parit dan sempadan tanah
menghayati perit dan jerih payah
moyang, datuk nenek, emak ayah
melawan penjajah

langsung aku berjalan atas permatang
meniti titian merentang tali air bercabang-cabang
menatap sejarah negara yang berliku, bercabang
titisan darah yang gugur, badan yang tumbang
untuk kita hidup senang
biar kita hidup aman dan lapang

langsung aku menyusur lorong sempit kota
lihat gelagat anak muda kita jadi buta
amannya negara buat mereka jadi leka
damainya kita buat mereka lalai alpa
merdeka kita takkan kekal lama
kalau kita terus kekal buta, leka dan alpa

langsung aku melintas hiruk pikuk bandar
cuba menyedarkan anak muda yang tak sedar-sedar
cuba buat mereka berfikir walau cukup sekadar
sesaat atau seminit
atau seketika cuma,
merdekakah kita?

August 31, 2004 7:28 PM -- di ulang siar sempena Hari Kemerdekaan ke 50.

Wednesday, August 29, 2007

Malaysia Boleh!

Satu ucapan ringkas buat pasukan bolasepak negara dari aku:

Tahniah atas kemenangan keatas Myanmar, semoga kejayaan ini dapat diteruskan hingga ke Korat nanti!

Tahniah juga buat Safee Sali dan Zakuan kerana menyumbangkan gol dan mengembalikan kepercayaan peminat bolasepak tanahair bahawa masih ada harapan untuk menyelamatkan bolasepak Malaysia yang maruahnya kian tercalar.

Tahniah sekali lagi buat barisan negara dan pengemudinya, diharap anda semua tidak leka.

Aku masih lagi skeptikal, dan diharap kamu, pemain-pemain Malaysia dapatlah membuktikan bahawa aku salah kerana meragui prestasi kamu semua di Korat nanti.

Tahniah ! Tahniah! Tahniah!

Tuesday, August 28, 2007

Ciuman Terakhir


The Last Kiss. DVD filem terbaru yang aku tonton, minggu lepas. Maraton DVD hujung minggu bermula dengan Borat, Simpson the Movie, Perfect Stranger, Die hard 4.0, Zombi Kampung Pisang (yang ini aku beli salinan original ok? Dari Tower Record lagi. Heh) dan terakhir Last Kiss.


Aku mahu bercerita tentang Last Kiss sahaja. Yang lain, kamu beli, pinjam, curi ataupun tonton di hadapan kedai-kedai video seperti Speedy secara percuma. Kerana antara semua filem-filem yang aku tonton di atas, hanya membuatkan aku gelak, terangsang (err..jangan ditanya apa), dan gelak lagi. Hanya Last Kiss berjaya buat aku berfikir dan terkesima dengan dialognya yang berisi.


"Stop talking about love. Every asshole in the world says he loves somebody. It means nothing. It still doesn't mean anything. What you feel only matters to you. It's what you do to the people you say you love, that's what matters. It's the only thing that counts. "


Itu kata Stephen kepada Michael (lakonan Zach Braff ~ Scrubs), ketika Michael cuba memujuk teman wanitanya, Jenna (lakonan Jacinda Barret ~ Ladder 49, Human Stain, Poseidon) untuk kembali ke pangkuannya, setelah dia curang kepadanya, dan Stephen adalah bapa kepada Jenna.


Cinta. Semua orang tahu apa itu cinta. Semua orang ada merasai cinta. Sama ada dalam erti kata percintaan antara dua insan berlainan jantina, sesama jantina, berlainan bangsa, sesama bangsa, cinta harta, cinta dunia, cinta hampa, cinta kerjaya hampir semuanya cinta. Terutama bagi kita di Malaysia, lagi banyak cintanya, drama cinta, filem cinta, malah lagu-lagunya juga lagu cinta.


Cinta, antara retorika dan realiti. Apakah cinta itu?


Dalam filem ini, macam-macam jenis cinta ada dikupas. Cinta bebas tanpa komitmen. Cinta hampa. Cinta berkomitmen. Cinta monyet. Cinta untuk seks. Cinta sejati.


Aku suka gaya penceritaannya, garapannya, plotnya dan mesej. (Klise sungguh..mesej, mesej, mesej dan mesej!)


Ceritanya bermula dengan Michael berusia 29 tahun yang bercinta dengan Jenna yang mengandungkan anak mereka, dan dari saat dia mengetahui Jenna mengandungkan anaknya, dia berasa cemas dan takut untuk satu komitmen yang dipanggil perkahwinan.


Michael pula bersahabat dengan 3 orang rakan daripada zaman kanak-kanak, Chris, Izzy dan Kenny yang masing-masing dengan isu tersendiri. Izzy seorang pencinta agung yang obses dengan teman wanita pertama dan terakhirnya yang telah berlaku curang kepadanya, dan ingin mendapatkan kembali teman wanitanya, Chris, berkahwin dan mempunyai seorang anak dan seorang isteri yang perengus, kasar, dan sentiasa bertengkar sesama mereka. Manakala Kenny seorang bartender yang berfikiran bebas dan sangat takut kepada komitmen.


Michael bertemu dengan Kim (lakonan Rachel Bilson ~ The OC), seorang pelajar kolej yang seksi dan menggoda. Dari saat inilah konflik pun bermula. Konflik diri dari dalam diri Michael, konflik antara Michael dan Jenna, konflik antara ibu dan bapa Jenna dan konflik sesama mereka.


dan konflik mereka ini juga mencetus konflik dalam diri aku. Konflik budaya. Pengamerikaan dan aku seorang bangsa Asia. Juga beberapa konflik lain dalam diri aku, yang juga seperti Michael, konflik pertambahan umur dan isu tentang komitmen.


Pendekkan cerita, Michael akhirnya terjebak di dalam alam maya impian setiap lelaki untuk bersama dengan wanita lebih dari seorang, dan rahsianya tidak menunggu lama untuk terbongkar. Terima kasih kepada Chris, rakannya yang tidak boleh menyimpan rahsia kerana padanya, Jenna adalah wanita yang unggul, dia tidak dapat bersetuju dan bersekongkol dengan rakannya Michael dalam kecurangan itu.


Bagaimana kesudahannya, carilah dan tontonlah sendiri, asal bukan dipinjam dari aku. Cerita ini di kategorikan sebagai PG-13 'Parents Strongly Cautioned' pada kulit luar DVD yang aku beli dan R 'Restricted - Sexuality, Nudity and Language' seperti yang tertera di dalam website rasminya, jadi bagi mereka yang masih tinggal dengan ibu bapa, janganlah menonton cerita ini bersama mereka, kelak akan dipatah-patahkan juga cakera DVDnya, kamu juga yang rugi nanti!

sumber tambahan : IMDb

Friday, August 24, 2007

10 Teratas - 10 perkara sebenar yang mungkin kamu tidak ketahui tentang aku

Dulu, masa bujang, tengah-tengah malam aku suka menonton the Late Night Show with David Letterman di ntv7. Bukan apa, suka tengok keletah personaliti yang ditemubual oleh si Letterman yang tua dan kelakar itu. Juga aku suka melihat konduktor muzikal yang sentiasa memakai cermin mata hitam, buta barangkali, yang juga seperti Letterman, raut wajahnya yang kelakar juga melucukan.

Satu segmen yang aku paling gemari adalah segmen Top10 nya yang selalunya menyentuh dan bersatira tentang Presiden Amerika.

Aku juga mahu meniru segmen beliau di sini. Maaf David, aku pinjam idea kamu, 'tolong jangan saman aku, aku takde duit!' heh...

10
Teratas Mengenai Aku

10. Motorsikal aku di curi orang sebab aku tertinggal kunci di motorsikal. Pencuri tersebut pasti gembira kerana aku memberikan motorsikal tersebut secara percuma beserta pakej jaket dan topi keledar sekali.

9. Aku pernah bergaduh dengan sepupu aku yang tinggal bersama di rumah aku. Kami bergaduh, dan aku mengamuk lantas ku kejar beliau dengan parang. Lalu sepupu aku terus lari dan balik berjalan kaki kerumahnya di Sekinchan. Bila mak dan abah aku balik, pendek cerita, aku dapat pelempang sulung dari arwah mak aku.

8. Masa UPSR aku dapat 4A. Masa perhimpunan aku dipanggil ke pentas untuk di temuramah oleh cikgu mengenai jadual pembelajaran. Terus terang aku katakan, aku tak pernah belajar pun di rumah, yang aku tahu hanya video game, video game, dan video game! Semua yang ada dalam perhimpunan tu, semuanya telah ditipu oleh aku tentang sistem pembelajaran yang aku ada-adakan.

7. Masa sekolah rendah selalu curi-curi pergi Sekinchan fasal nak main permainan video arked, tapi tipu mak, cakap nak pergi perpustakaan awam di Tanjong Karang.

6. Aku pernah masuk pertandingan drama bahasa Inggeris di UM masa aku tingkatan satu. Othman Hafsham jadi hakimnya masa tu. Masa sekolah rendah, aku belajar tarian asli melayu dan endang, kedua-duanya untuk tujuan pertandingan, dan aku benar-benar sukakannya!

5. Umur 11 tahun, aku dah keluar dari rumah tanpa ditemani keluarga ke Program Anak Angkat Yayasan Pelajaran Mara di Janda Baik selama seminggu tanpa ada rasa 'homesick'.

4. Masa sekolah rendah, aku selalu ambil duit belanja dari tabung lebih dari jumlah sepatutnya iaitu 30 sen peruntukan ke sekolah agama petang. Satu hari, duit syiling yang berjumlah 2 ringgit untuk kegunaan membeli coklat, jatuh dari poket dan berterabur di atas lantai di hadapan arwah mak aku. Terus lepas tu, ambil duit dari tangan mak aku sendiri.

3. Fobia memandu dalam hujan lebat (selain dari fobia darah). Tidak tahu kenapa, tapi mesti jantung berdebar-debar dan tangan berpeluh kalau memandu dalam hujan lebat, lebih-lebih lagi hujan yang terlalu lebat sampai tidak nampak apa-apa di hadapan.

2. Selain Aran, Along, abang lang (gelaran baru), aku juga pernah mempunyai nama panggilan seakan-akan perempuan iaitu As. Jiran aku merangkap cikgu masa sekolah rendah aku, Cikgu Salasiah, yang gemar memanggil aku dengan nama ini.

1. Suka baca diari orang. Aku tau, memang keji. Kalau aku tau sesiapa yang ada diari, aku pasti akan mencari jalan untuk membacanya. Sekali satu hari terkantoi dengan teman serumah, kerana tersasul tersebut nama gelaran diarinya kepadanya, nasib baik tak lebam biji mata!

Monday, August 20, 2007

Bodoh punya Rob Styles!

Liverpool 1 - 1 Rob Styles.

Rob Styles malam tadi adalah 'man of the match' dalam perlawanan Liverpool menentang Chelsea di Anfield. Entah apa yang dilihatnya sehingga beliau memberikan 'unbelievable' (bak kata Rafa) sepakan penalti kepada Chelsea, yang meragut 2 mata berharga dari Liverpool untuk memastikan bahawa The Reds adalah pencabar utama Liga Perdana Barclays musim ini.

Bodoh! Kayu! Mangkuk! Keldai punya referee!

Nampaknya, perang mulut antara pengemudi Chelsea dan Liverpool akan berterusan sampai bila-bila, dan kejengkelan aku terhadap pasukan ini juga akan terus kekal, sama jengkel apabila melihat aksi dan reaksi Drogba ataupun Mourinho.

Tapi dari sudut yang positif, Torres selaku pemain termahal Liverpool musim ini, telah menunjukkan apa yang mampu beliau buat dan dengan golnya tersebut yang menewaskan Ben Haim dengan larian pantas dan bijak serta membuatkan Petr Cech terkesima seketika. Jikalau barisan pertahanan kental seperti yang dimiliki Chelsea pun beliau boleh kucar kacirkan, apatah lagi pasukan yang kurang handal seperti Manchestar United yang belum menang dan hanya menjaringkan satu gol dalam 3 perlawanan pembukaan mereka musim ini.


aksi Torres setelah menjaringkan gol

Sebut fasal Manchester United, takziahlah kepada penyokong-penyokongnya kerana dengan pasukan seperti Manchester City pun boleh kalah, tak payah berangan lagilah musim ini!

p/s: Buat Litat, sokong team Kedah je la tat, tak pun My Team, tak sakit hati. hehehhee....

StatCounter