Tuesday, June 19, 2007

Sambutan Ulang Tahun ke 13 SMKAKS ~ I

Pada hari ini,betul-betul pada tarikh ini,pada tahun 1994 aku buat pertama kalinya menjejakkan kaki di sebuah sekolah berasrama bantuan penuh kerajaan yang baru sahaja dibuka dan diberi nama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Selangor. Aku dan seorang lagi sahabat baik, Khairil Azhar atau lebih dikenali sebagai Labu, dari kampung yang sama telah menjadi kebanggaan kampung Sg Burong kerana terpilih untuk dapat masuk ke dalam sekolah yang diwarkan-warkan sebagai gah, besar dan mulia di daerah Kuala Selangor kerana akan mampu menghasilkan pelajar-pelajar yang suatu masa nanti akan keluar sebagai ulamak atau mufti. Ulamak atau mufti? Adalah seorang dua, yang lain macam aku juga,jadi setan. Hehehe...

Oleh itu sebagai memperingati ulang tahun yang ke-13 kewujudan sekolah tersebut, aku di sini ingin berkongsi bit-bit memori yang masih utuh di dalam ingatan aku sepanjang berada di sekolah tersebut.

1994

Hari pertama aku menjejakkan kaki ke asrama, aku berkenalan dengan rakan baru. Hasrul anak pengurus kilang Bernas yang terletak berhampiran sekolah. Rakan sedorm dan rakan sekelas. Beliau menjadi rakan karib aku sehinggalah tamat tingkatan 3. Kami berdua pernah di'ragging' ala-ala salam perkenalan dari Bro Faiz dan Bro Sibi dengan menyanyikan lagu negaraKu dengan hanya berseluar dalam sambil melakukan aksi seorang atlit bina badan. Aku menetap di Dorm 18 ketika ini. Ahlinya yang lain ialah Hazwan, Muhyiddin, Bro Azam dan Bro Saiful.

Aku juga menganggotai UAR - unit amal remaja, sedang pada masa itu, tiada satu persatuan atau kelab yang ditubuhkan berikutan usia sekolah yang masih dalam peringkat penyusunan kerana baru sahaja di buka. UAR ini adalah dikelolakan oleh Dzulhamka, dan aktivitinya hanyalah berkawad kaki setiap petang dan ahlinya cuma 3 orang. Tanpa aku ketahui sebenarnya UAR ini adalah salah satu unit di bawah PAS. Masa itu banyak cakap-cakap belakang yang timbul ekoran tindakan Dzulhamka ini, tidak kurang juga yang mengutuk beliau dan mengatakan beliau ini gila kuasa dan gila nama. Bayangkan baru sahaja umur menjangkau 13 tahun, gosip-gosip tentang kuasa dan nama ini telahpun dibisik-bisikan dari telinga ke telinga. Pada aku, ketrampilan mamat ini memang sudah aku kesan sejak awal, dan memang beliau ini sangat-sangat berkaliber sebagai seorang pemimpin.

Aku masih ingat pada satu kejadian yang pada aku menggelikan hati, di minggu pertama aku berada di sekolah tersebut. Kejadian ini bermula ketika semua pelajar putera sedang menunggu diperkarangan asrama sebelum masuk ke surau sementara yang terletak di tingkat bawah Asrama Putera untuk solat Maghrib. Kejadian berlaku apabila dua orang pelajar ini, melihat ke langit dan ternampak sebuah kapalterbang melintas di celah-celah mega senja.

"Kau rasa kapalterbang tu terbang berapa laju?"
"Entah lah, 800km/j kot?"
"Eh apa pulak? itu kapalterbang apa tu?"

"Kapal terbang nenek kau..."

"Woi..nenek-nenek jangan main aarr??!!"

"Apahal??!! Nak gaduh ke??"
"Weh..dahla tak yah la gaduh-gaduh..", pelajar lain cuba meleraikan pertengkaran.

Fasal kapalterbang pun boleh jadi modal bergaduh. Kepada Najib dan Ridzuan, mungkin kamu telah lupa kepada peristiwa tersebut, tetapi bukan aku, sebab aku yang leraikan kamu berdua! Hehehe...

Teringat juga ketika Muhyiddin terkentut ketika tahiyyat akhir Solat Maghrib dan menyebabkan aku cepat-cepat bagi salam sebelum imam, kerana menahan gelak. Nasib baik ada cikgu Shawal di situ, kalau tidak gegak gempitalah surau bawah itu dengan gelak tawa kami semua. Shahrul Hisham (ayoy) juga pernah sekali melakukan stand-up comedy ketika kami sedang menunggu masuk waktu Maghrib apabila disuruh oleh Ustaz Subri untuk melaungkan azan, sebaliknya takbir raya yang bergema. Muahahahah...

Ketika ini, banyak fasiliti yang belum dapat digunakan sepenuhnya. Kali pertama kami merasa menggunakan surau atau musolla baru, adalah kira-kira selepas 2 minggu kami berada di situ. Itupun dengan keadaan bergelap, lantai yang basah dengan air yang bertakung dan lantai yang bogel yakni tiada permaidani menghampar, hanya kepingan-kepingan mar-mar sejuk yang boleh membekukan 'benih-benih' subur anda terutama ketika solat subuh.

Makanan yang disediakan juga seperti main tangkap muat sahaja. Aku masih ingat lagi bilamana sarapan pagi kami yang sepatutnya nasi lemak, dihidangkan pula nasi bersama hanya sos cili. Mana pergi wang peruntukan yang Kerajaan beri untuk mereka menyediakan makanan yang berzat kepada kami? Aku juga masih lagi mengingati pelajar-pelajar super-duper senior terutama Bro Faiz yang begitu vokal menyuarakan ketidakpuasan hatinya dengan menu yang disediakan itu.

Aku juga masih ingat ketika aku tersalah masuk ke dalam dorm akibat keadaan yang gelap gelita akibat ketiadaan bekalan elektrik di blok asrama. Balik dari musolla, terus pulang ke dorm, tanpa aku sedari yang dorm kami masuki itu adalah dorm jiran sebelah. Oleh kerana susunan katil yang sama, aku dan Hasrul terus sahaja berbaring di atas katil. Tetapi apabila ketika ingin membuka loker, kuncinya tidak dapat membuka loker tersebut. Hinggalah ada seorang mamat ini menegur "Apa yang saudara buat di loker saya?", ala-ala P Ramlee dalam Ibu Mertuaku. Mamat tersebut adalah Asnuri bersama rakannya Rashid. Dan aku pula boleh bertanya kembali, "Orang baru ke?", tanpa rasa bersalah. Sehinggalah Hasrul memanggil dari luar "Woi Ran,salah dorm daaa!!", lantas aku berlari-lari anak pulang ke dorm sebenar sambil berharap mereka berdua tidak mengenali aku asbab kegelapan.Esoknya ketika beratur mengambil sarapan, Asnuri menegur, "Korang ye yang masuk dorm aku malam tadi?",dan aku hanya mampu tersengih. Heh.

Cikgu Syawal adalah cikgu Matematik merangkap ketua warden kami. Beliau adalah Benda Hidup yang mesti kamu elakkan diri darinya. Dia adalah bekas pengajar dari Maktab Tentera, maka gerak-gerinya adalah secara senyap dan sembunyi, seperti gerakan seorang Penembak Hendap. Kami perlu berhati-hati setiap masa, kerana matanya berada di mana-mana.

Aku pernah menghentak bekas pensil logam aku sehingga kemek semata-mata kerana tidak dapat masuk Pengakap kerana sistem kuota yang digunakan dalam gerakan Ko-kurikulum. Emosi betul!

Bekalan barang-barang permainan mula sampai. Tapi malangnya hanya ada sebiji sahaja bola sepak yang ada. Petang-petang, satu asrama lelaki main bola sampai penuh satu padang. Dah tu pula, bukan padang rumput tapi padang pasir dan padang semalu. Kalau terjatuh, pasti berbirat-birat kaki dan badan.

Apabila waktu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, guru yang mengajar pada waktu itu adalah pengetua sendiri, Ustaz Yusof Dimin. Kali pertama kami keluar untuk waktu PJK, dengan riangnya kami fikir dapat bermain bola pada waktu tetapi sebaliknya kami menghabiskan 45 minit waktu dengan hanya membuat regangan dan pemanasan badan. Ini semua kerana menunggu pengetua datang untuk memberikan arahan. Selepas itu, kami tidak lagi menunggu beliau, ambil bola, terus sahaja kepadang untuk bermain! Lawan kami adalah dari kelas Amal yang selalunya menjadi pasukan belasahan kami dari kelas Hidayah yang membariskan bintang-bintang yang bakal mewakili sekolah pada tahun akan datang seperti Hasrul, Izazil, Haikal, Wan Mohd Zubir dan Hafiz Mokhtar.

Mula timbul semangat Assabiyyah Tanjong Karang. Mula berkawan dengan pelajar-pelajar yang berasal dari Tanjong Karang. Senang bila masa balik kampung di hujung bulan nanti, tidak perlu menaiki bas, tumpang saja rakan-rakan seperti Faiz M Zaini, Hishamuddin, sebab bapa mereka ada kereta, jadi tidak perlu lagi aku untuk bersesak-sesak di dalam bas untuk pulang ke rumah! Heh.

Untuk menampung selera dan nafsu makan budak-budak asrama, pihak sekolah telah membawa masuk seorang pakcik penjual nasi lemak ke dalam asrama setiap malam minggu, sabtu dan ahad. Aku sering membeli nasi lemaknya yang wangi dan sedap yang tersusun rapi di dalam bakul kayu dibelakang motosikalnya, sambil mendengar siaran langsung perlawanan bolasepak antara Pasukan Merah Kuning dengan pasukan-pasukan lain melalui radio transistornya menerusi Radio 3 Shah Alam (sekarang SelangorFM).

Perasaan baru muncul dan terbit dari dalam hati seorang budak laki-laki yang baru akil baligh (boleh percaya ke? Heh) Aku rasa aku telah jatuh cinta pada seorang budak perempuan dalam kelas yang pelat lidahnya untuk menyebut 'R', biar aku gelarkan dia S. Tapi aku diamkan saja. Takut perasaan itu dijadikan bahan jenaka kalau-kalau cinta tak berbalas. Aku selalu bertepuk tampar dengannya kerana aku dan Hasrul sering mengajuk pelat R nya itu. Dia duduk betul-betul di belakang aku ketika itu. Ketika ini lagu yang paling popular yang aku cuba untuk hafal ialah Dalam Gerimis nyanyian Visa.

Aku mempunyai seorang kakak angkat. Kak Latifah namanya. Kasih Latifah memandikan aku dengan kemewahan yang aku tak pernah rasa, almaklumlah, kakak angkat aku ini adalah anak towkeh Shapadu, jadi bila-bila masa sahaja akan ada kejutan. Coklatlah, pakaianlah, kad gergasilah, pendek kata macam-macam. Nasib baik aku bukan dari jenis pisau cukur, kalau tidak sudah lama aku bergelar jutawan segera!

Aku mewakili daerah Kuala Selangor ke pertandingan Tunas Kebangsaan, bersama-sama aku juga dari sekolah ini adalah Shahrian Tasar dan Azwa Harris masing-masing mewakili daerah Klang dan Hulu Selangor. Pertandingan dihoskan oleh Negeri Johor. Kami kesana bersama-sama pelajar-pelajar terbaik Selangor. Kami tinggal di Hotel Merlin Johor Bahru.

Aku mengakhiri penggal persekolahan dalam tingkatan satu sebagai pelajar terbaik kelas selepas undi popular antara aku dan Nur Eliza, seorang pelajar cemerlang kelas aku. Aku dihadiahkan buku cerita bahasa inggeris bertajuk 'Ivan The Last Tzar'dari Cikgu Nurul Azilah yang tersangatlah manisnya. Masa itu beliau masih lagi bujang trang tang-tang dan masih bergetah bak kata orang muda-muda. Buku tersebut aku tak baca pun, dan menghabiskan sepanjang hayatnya di dalam rak di perpustakaan sekolah.

1995


gambar kenangan pelajar-pelajar 2 Hidayah bersama Cikgu Hayati sebagai guru kelas
Belakang Dari kiri : Azlan, Razif, Aku, Refaei, Azrin, Ibrahim, Rasyid, Haikal, Megat, Hasrul, Wan M Zubir, Hafiz Mokhtar, Mazuan, Izazil, Hafiz Aziz
Tengah dari kiri: Eliza, Ngazraini, Emy Azua, Ainul Maawa, Shuhaida, Noor Dina, Juliana Anis, Mazni, Qairunnisha, Ernie, Zuraifah, Norhafizah, Normi, Shahida, Norehan.
Duduk : Farahanim, Asmah Hanie, Aziannabiha, Nurazlifa, Seri Suharni, Fairuz Liza, Shazlina Azla, Mahfuzah, Azwa

Sekarang dah naik tingkatan 2. Merasa menjadi senior buat kali pertamanya. Sekolah yang pada mulanya hanya ada kami pelajar tingkatan 1 dan tingkatan 4 pada 1994, kini sudah bertambah bilangannya dengan kemasukkan pelajar-pelajar dari Sek Men Keb Agama Selangor, Kajang. Dengar ceritanya, asal sekolah ini sepatutnya mereka inilah yang merupakan batch pertama SMKAKS, tetapi malangnya sekolah ini belum lagi siap sepenuhnya ketika itu, dan mereka menumpang bangunan Sekolah kelolaan Jab Agama Islam Selangor yang dinamakan SMKA Selangor atau nama ringkasnya SMAS. Ada juga pelajar-pelajar baru dari sekolah-sekolah lain seperti SMKA Simpang Lima, SMKA Kuala Lumpur dan lain-lain. Maka disinilah berlakunya pertembungan budaya antara budaya SMKA (Konservatif Agama) dan Budaya Sekular (yang kami, pelajar SMKAKS asal bawa, kerana berlatar belakangkan sekolah asal yang tidak berimej agama sebelum ini, kecuali seorang dua seperti raja-raja syaitan, Fauzi dan Ahmad Hafidz -- dua-dua datang dari sekolah agama JAIS -- melalui transformasi yang ekstrim sepatutnya merekalah mufti dan ulamak harapan, tetapi hanya tinggal harapan.. hehehe).

Hubungan antara pelajar di awal-awal tahun 1995, adalah berjalan dengan baik. Aku sebagai pelajar tingkatan 2 boleh bertepuk tampar dengan pelajar tingkatan 3 yang baru masuk dari SMAS. Siap boleh bermain bola tepuk bersama-sama lagi. Budak- budak SMAS yang menghuni dorm yang sama dengan aku pada waktu itu adalah Hafizul (Bard), Hamid Joto dan Arif Azrin. Bard dan super-duper senior aku Bro Azam, menjadikan sudut katil aku sebagai 'port' menghisap rokok pada waktu malam. Aku walaubagaimanapun mempunyai iman yang kuat, aku belum mahu lagi mencuba sesuatu yang baru.

Ada seorang pelajar baru yang menghuni dorm kami. Orangnya gempal dan biar aku namakannya F (Bukan huruf sebenar). Beliau ini sebenarnya baik orangnya, cuma yang kami tidak tahan adalah mulutnya. Tetapi oleh kerana aku selalunya dapat menahan rasa geram, aku diamkan sahaja. Dia ini sebenarnya mempunyai ciri-ciri seorang aktivis. Outspoken dan berpendirian. Aku masih ingat beliau ada mengajarkan satu lagu (nasyid) yang pada ku melodi dan liriknya sangatlah indah. Antara bait-bait lirik yang masih aku ingat:

"Ayuh generasi, maju kedepan sana,
Capaikan segala demi cita mulia,
Biar darah mengalir, Biar diri tersungkur.."

Begitulah liriknya. Dia ini mempunyai suara yang bagus, dan enak suaranya jika membaca al-Quran dengan lengkap lagunya. Dia ini juga selalu sangat tak berpuas hati dengan orang lain. Hari ini orang tu, esok orang ini pula. Pendek kata mungkin dengan semua orang pun dia tak puas hati. Pernah suatu hari beliau ini mencari fasal dengan Hasrul. Memang mencari gaduh dan sengaja mencari fasal lah begitu. Kalau tak silap fasal 'landing-melanding' atas katil yang dah siap dikemas. Yang geli hatinya di kemuncak persengketaan, si F ini menarik cadar katil si hasrul, kemudian secara selambanya Hasrul mengangkat tilam, bantal beserta cadarnya sekali lalu mencampakkannya ke bawah. Tak mampu aku meleraikan sengketa seperti yang ini. Tapi itu semua tak lama, ada satu kes kecurian di mana wang aku juga turut di rembat, di mana kami semua menjadi penyiasat lalu membongkar kegiatan seorang budak junior tingkatan 1 yang betul-betul berwajah innocent. Budak ini tak pernah tidak memberi salam apabila melintasi sesiapa. Dia juga adalah seorang ahli surau, pendek kata luarannya sudah boleh mencapai tahap mufti atau kadhi daerah lah jika sesiapa yang melihatnya.

Sekolah ini aku rasakan bertukar menjadi neraka di hujung-hujung sesi persekolahan, tatkala rejim pemerintahan bertukar dari tangan super duper senior yang dipimpin oleh Bro Najib Masdan dan rakan-rakan kepada Batch Shamsul Imraq dan rakan-rakan.

Senior lain seperti Super duper Bro Saiful KRU -- protege harapan Norman; Sarai, Badong, Fahmi Kuraisin, Hamid Joto (kemudian nya bertukar Ganas -- macam Anakin jadi Darth Vader lah lebih kurang) adalah watak-watak yang mesra pelajar dalam dorm. Aku senang dengan mereka. Bukan seperti watak-watak SG -- seram ganas -- seperti Idi, Kobar, Azam Jin, Sipot Sr, yang boleh buat kamu bermimpi ngeri di malam hari. Hahahaha.

Awan gelap mula menyelubungi suasana pinggir Sungai Selangor. Sejak aku disuruh berkawad di dalam dorm oleh Bob kerana memakai baju yang sama dengan beliau (jersi Manchester United Kelabu -- entah bagaimana aku boleh memakainya, aku pun tak tau, kalau tau dek 'Sir' Bob Paisley ni, mampus aku! hehehe). Asek juga telah memaksa aku mengambil kasut orang lain -- curi lahtu -- untuk dia memakainya esok hari. Pakej penghantaran beserta mengapurnya sekali. Sejak itu, aku terus tidur awal, malas nak berkeliaran malam-malam.

Aku jadi ketua kelas, tapi tak lama, kemudian dilantik pula menjadi Pengawas Sekolah. Seronok jadi pengawas ini. Semacam ada pencapaian pula. Bila balik kampung nanti, boleh jadi popular. "si Along tu jadi pengawas kat Sekolah Agama Pasir Penambang nun..". Mungkin begitu kata orang-orang kampung. Sijil berhenti sekolah juga pasti akan dicoret dengan kata-kata indah
dari Pengetua sebagai menghargai sumbangan aku seorang pengawas di dalam memastikan peraturan sekolah diikuti. Sijil berhenti sekolah jugalah yang menjadi modal Pembesar -- warden dan guru disiplin -- untuk mengikat pelajar-pelajar nakal lagi dajal mengikuti arahan dan peraturan.

Ketika ini, jika ingin keluar dari kelas untuk ke tandas perlu ada kebenaran dari guru ataupun ketua kelas. Kebenaran tersebut adalah dalam bentuk pas kebenaran keluar yang diperbuat daripada kayu setebal setengah inci, berdimensi 12 inci x 20 inci lebih kurang, dan perlu di bawa kemana-mana jika berada di luar kelas. Jikalau tidak akan mengundang padah, kerana pada waktu ini guru disiplin ialah seorang cikgu yang aktif berpengakap dan sangat profesional. Beliau ialah Cikgu Noorazman Abd Aziz. Aku pernah melihat beliau mencekak kepala seorang pelajar puteri kerana tidak mengenakan kad matrik. Zulhabri, rakan aku juga pernah ditengking dan dilaung dari kejauhan kerana dilihat berjalan luar dari kelas kerana tidak membawa pas kebenaran tersebut, sedangkan di dalam Pengakap ataupun perkhemahan dan ekspedisi, beliau berwatak mesra alam dan mesra pelajar. Mudah didekati dan mudah pula berjenaka. Amat berbeza bukan? Aku juga pernah disoal siasat hanya selepas aku bertanya kepada Sarai, senior sedorm aku selepas perlawanan sepak takraw antara dorm.

Aku bertanya; "Menang, kalah?", ketika itu aku berada di depan dorm, tingkat satu.

Sarai hanya menjawab dengan menunjukkan isyarat jari, menggenggam sambil ibu jarinya menghala kebawah. Tanda kalah, kecewa. Tanpa aku sedari, Cikgu Noorazman berada berhampiran. Kemudian beliau memanggilku dan bertanya apakah isyarat yang Sarai tunjukkan tadi. Berpeluh juga aku menjawab pertanyaan beliau. Begitu sekali cermatnya beliau menganalisis sesuatu.

Kelas 2 Amal masih lagi menjadi pasukan belasahan dalam perlawanan bolasepak dalam waktu Pendidikan Jasmani, walaupun dengan kehadiran pelajar yang baru masuk dari SMKA Simpang Lima, Khairul Nizam atau dengan nama manjanya, Kacap.

Terdapat juga kisah mistik dan misteri yang benar-benar berlaku dan kami sendiri mengalaminya. Kisahnya begini, pada tahun ini, kami harus menyiapkan kerja kursus untuk matapelajaran Sejarah. Subjek kami adalah Bukit Melawati dan tempat-tempat bersejarahnya. Kami harus mencari dan menyelidik melalui pemerhatian, pertanyaan, temubual dan apa-apa cara lain untuk melengkapkan kerja-kursus tersebut. Kami melawati tempat-tempat seperti Batu Hampar, Meriam Belanda, Tangga Seratus, Rumah Api dan Makam-makam Sultan Selangor yang terawal. Ada diantara kami yang membawa perakam suara untuk merakam nota-nota yang tercatat di papan-papan kenyataan supaya boleh dijadikan sumber kepada fakta yang akan dimuatkan nanti. Aku masih ingat ketika itu Hafizuddin dan Faizal Yaacob dari kelas Iman yang membuat rakaman suara di Makam Di Raja bersama-sama rakan sekelas mereka yang lain. Yang menariknya apabila didengar semula rakaman tersebut, rakaman suara itu telah bertukar menjadi bunyi tembakan meriam lama! Aku yang bertembung dengan mereka sedang tergesa-gesa turun dari kawasan makam tersebut (ketika itu aku dan rakan-rakan baru pulang dari Rumah Api), mendengar dengan jelas bunyi tersebut apabila mereka menyuruh kami mendengar sedutan rakaman tersebut. Apa yang aku ingat, kami semua selepas itu, terus sahaja berlari-lari untuk turun ke bawah bukit menuju Pekan Lama Kuala Selangor bagi menantikan bas untuk pulang memandangkan waktu telah hampir senja. Meremang juga bulu tengkuk apabila mengenangkan peristiwa tersebut.

Pada tahun ini juga, aku dapat merasa erti kasih sayang... dalam erti kata tarikan cinta uda dan dara. Aku baru dapat merasa apakah rasanya jika dapat menatap tulisan orang yang kita sayang dan dapat pula menulis kepadanya bait-bait kata sambil diselit-selit lagu-lagu Ukays, Fahrenhait atau lagu-lagu Slam ke dalam surat tersebut. Atau kod-kod huruf yang aku pada mulanya langsung tiada idea apakah maknanya :BSURSICUB4. --- WTF! (akhirnya aku bertanya sendiri kepada penulisnya apakah makna huruf-huruf tersebut, dan alangkah naifnya aku! maksud~ Be As You Are As I See You Before.. gejala awal penubuhan kumpulan Nasyid U.N.I.C..hehehe..)

Kepada beliau yang menjadi cinta monyetku dulu, aku namakan N, kenangan berani mati kau dulu, tetap aku ingat sampai mati!

Asrama berpindah, kerana asrama yang kami duduki sekarang mempunyai lebih banyak unit dorm berbanding asrama Puteri. Jadi Asrama Putera bertukar menjadi Asrama Puteri dan sebaliknya. Maka ramailah penyumbaleweng (pervert) yang mencari 'The lost treasure of Aspuri'. Heh, tapi bukan aku, aku hanya menjumpai surat-surat yang berkajang-kajang, dan ada antaranya mengenai aku. Hmmm.. popular juga rupanya aku dulu. Heh.

Kemudahan TV ditarik tanpa notis. Kami akan hampir menjadi seperti katak bawah tempurung jikalau tak membaca akhbar. Bermulalah satu era kekuasaan Penguasa Agama. SMKAKS berada dalam Dark Ages, menunggu datangnya pembela pencerahan untuk membawa kami ke arah Renaissance. Lagu-lagu raya tradisional juga di haramkan. Walkman, dan apa-apa alat yang boleh mengeluarkan bunyi muzik, ditegah sama sekali, kecuali perkusi seperti congga, bonggo, yenki, kompang -- untuk kegunaan elitis Nasyid. Mereka ini menduduki tangga kedua dalam hirarki sosial pada zaman tersebut. Tangga pertama dijawat oleh senior-senior yang berkuasa mengejutkan anda dari tidur semata-mata menyuruh anda mengambil air di mesin Water Cooler didewan makan di malam hari.Manakala junior tingkatan satu menduduki tangga terbawah hirarki, iaitu sebagai hamba atau pekerja. Sebagai satu bentuk escapisme, pelajar-pelajar menemukan satu bentuk hiburan baru iaitu dengan membaca komik sebagai memenuhi masa lapang, juga masa yang tidak lapang. Antara komik-komik yang popular Juara Wira, Pedang Setiawan, Alam Perwira, Raja Rimba dan pelbagai tajuk lagi yang rata-ratanya berasal dari Hong Kong.

Terdapat juga bentuk-bentuk hiburan yang diperkenalkan sebagai mengisi masa terluang di hujung minggu yang berasaskan Islam, iaitu bentuk hiburan islamik seperti diadakan pertandingan Nasyid, pertandingan Drama bahasa Arab, pertandingan sketsa dan juga bentuk-bentuk hiburan alternatif lain yang diadakan dari masa ke semasa.

Terdapat peristiwa buang pelajar, dan satu kes polis, kerana ada pelajar puteri mendakwa ada penceroboh lelaki yang masuk kedalam dorm pelajar puteri. Dengar cerita ada yang mendakwa melihat kelibat seperti Cikgu Shawal. Ada yang melihat seperti pekerja Dewan Makan. Tetapi akhirnya seorang pelajar yang disabitkan, seliparnya yang menjadi bukti. Aku pun tidak berapa mengetahui fakta sebenarnya, apa yang aku coretkan disini hanyalah berita yang aku dengar melalui khabar-khabar angin dan gossip sahaja.

1996

gambar kenangan bersama pelajar 3 Hidayah dan Ustazah Rohana sebagai guru kelas


Tingkatan 3 menuntut lebih banyak masa untuk belajar secara serius. Tahun PMR. Tahun penting bagi menentukan arah mana akan aku tuju semasa di menengah atas nanti. Keadaan pada tahun ini sudah mula mengendur sedikit. Tidak banyak keadaan tegang, pelajar SG senior semua menumpukan perhatian kepada SPM yang mendatang, manakala kami pula bersedia untuk PMR.

Aku masih ingat ketika hari pertama datang ke sekolah selepas bercuti panjang untuk memulakan sesi pembelajaran bagi tahun yang baru. Ketika itu semua pelajar berhimpun di Dewan Besar dan ketika itu Guru Penolong Kanan I, Cikgu Zawawi membuat pengumuman berkenaan Guru Kelas dan kelas-kelas yang akan ditempatkan.

"Kelas 3 Iman, akan dikendalikan oleh Cikgu Hayati", dengan serta merta disambut dengan hela nafas dan suara-suara kurang senang dari pelajar-pelajar kelas tersebut, hahaha..memang mereka tak bagi muka langsung! Manakala pelajar kelas lain pula berasa amat lega kerana dapat mengelak dari mendapat guru tersebut.

Walaupun akan menghadapi PMR, permainan bola picit di dalam kelas pula diteruskan. Idea dipelopori oleh Ibrahim Rabani. Jejaka misterius dari Kapar. Pantang ada waktu senggang, gelanggang permainan akan pasti akan di buka.

Pada tahun ini sesi pembelajaran lebih menarik dengan guru-guru yang berkaliber seperti Cikgu Shahrom yang mengajar Sejarah, Ustazah Rohana sebagai guru kelas dan Bahasa Arab, Cikgu Ismail Jemalos guru Sains yang nakal, Cikgu Zulkifli guru Kemahiran Hidup dan Cikgu Nor Azah cinta alam khayalanku yang mengajar Matematik. Tak lupa pada Ustazah Normala Adnin guru Pendidikan Islam, yang sering kami jadikan kelasnya sebagai medan 'pencerahan' dan medan 'brainstorming' dengan soalan-soalan yang bertalu-talu diajukan kepada beliau. Bayangkan soalan begini:

"Ustazah, saya ada soalan."
"ya Refaei?"
"Ustazah, bagaimana kalau Kita sedang sembahyang, anjing datang lalu menjilat kaki?"
"Oh, tentulah batal sembahyang, kerana jilatan anjing adalah najis berat, dan wajib disamak untuk menyucikannya..", panjang lebar Ustazah Normala menerangkan.
"Apa pulak Ustazah, mana ada batal.."
"Eh, dari mana kamu belajar ni?"
"Tentulah tak batal ustazah, fasal anjing tu jilat kaki dia sendiri."
Jawapan dan sengihan Refaei itu disambut dengan derai tawa seluruh kelas 3 Hidayah pada sesi tersebut.

Selalunya, yang rajin memeningkan kepala beliau dengan soalan-soalan maut adalah Refaei dan Ahmad Razif. Ada satu soalan yang aku paling ingat ialah soalan berkenaan Solat Jumaat.
Aku masih ingat pengajunya adalah Razif. Soalannya berbunyi begini;

"Kalau kita sembahyang Jumaat ikut siaran langsung dekat tv tu boleh tak ustazah?",

juga disambut dengan derai tawa yang tak henti-henti dari pelajar-pelajar. Bayangkan jikalau aku yang menjadi tenaga pengajar pada waktu itu, pasti aku sudah tidak boleh bersabar dengan karenah pelajar seperti ini. Tetapi bukan Ustazah Normala. Dia tabah dan cekal untuk menjadi pengajar yang berdedikasi. Moga beliau berjaya dengan apa yang dilakukannya. Amin. Malangnya, selepas mendapat keputusan majoriti kami mendapat 8A 1B dimana 1B itu adalah dalam subjek Pendidikan Islam, dan selepas itu Ustazah Normala dipindahkan mungkin kerana keputusan yang dianggap 'teruk' oleh pegawai atasan.

Hanya ada 2 orang sahaja yang berjaya meraih 9A iaitu Hafizul (Joe) dan Norli. Kedua-duanya datang dari Kelas 3 Taqwa, yang kami panggil kelas Elit, mana taknya, ketika kami semua berbondong-bondong keluar ke kantin pada waktu rehat, mereka masih lagi berada di kelas, khusyuk dan tawadhuk mendengar penuh setia dan minat terhadap guru yang mengajar dihadapan. Tetapi kami tidak begitu di kelas Hidayah. Kami adalah rebelion. Ketua rebel kami adalah Azrin dan Hasrul ~ pejuang pelajar. Jika tiba waktu rehat pasti kami akan berusaha untuk 'memberitahu' guru yang mengajar bahawa perut kami sudah lapar dan kami perlu pergi ke kantin. Seperti dengan sengaja menutup bekas pensil secara beramai-ramai, menutup buku atau buat-buat sibuk untuk mengemas peralatan dan alat tulis di atas meja. Pasti guru yang sedang mengajar akan ter'psiko' dengan tindakan kami. Bijak bukan?

Aku juga masih ingat ketika aku berselisih faham dengan Hasrul dan yang lain kerana tidak mengakui kesalahan aku mengejek Azwa sebagai 'anjing' kerana radio transistor milik Hasrul telah dirampas oleh guru disiplin, walaupun dia tidak mengakuinya. Aku pun tak tahu kenapa aku tidak mahu mengaku ataupun aku rasa aku tak pernah pun memanggil dia dengan perkataan itu, cuma mungkin aku berada bersama mereka ketika mereka melemparkan kata-kata itu. Tapi itu tak berlarutan lama, aku tak boleh bersengketa dengan sesiapa kerana hati aku pasti takkan tenang. Cuma yang menjadi misteri jika bukan Azwa, mungkin ada orang lain yang melaporkannya.


gambar aku sedang memegang radio transistor milik Hasrul. Dari kiri Rasyid, Ayoy, Hafiz Mokhtar, aku, Haikal, Hasrul, Megat, Azlan Kasim dan Mazuan

Aku masih ingat juga ketika aku Hasrul dan Haikal berkomplot untuk me'ngena'kan (ala-ala wakenabeb lah tu!) Megat dan Fairuzliza, ketika gosip hangat melanda kelas kami apabila Mazuan Mansor suka kepada Fairuzliza. Mungkin kerana Megat ada menyebut sesuatu tentang Fairuz kami terus menganggap dia juga menaruh minat terhadapnya. Oleh kerana Megat lebih rapat dan profilnya disenangi ramai berbanding Mazuan, kami memulakan kerja jahat kami iaitu menulis surat cinta kepada Fairuzliza untuk Megat. Ada antara ayatnya yang aku masih ingati hingga sekarang:

"Kenapakah kau memilih dia sedangkan namaku juga bermula dengan M?",

kami juga akhiri surat tersebut dengan bait-bait lirik dari lagu Ranjang Mawar dendangan Wings;

"Kutenggelam dalam rindu tidak berdasar dan bertepi...".

Secara kebetulannya, bentuk dan corak tulisan tangan Haikal lebih kurang sama dengan tulisan tangan milik Megat, maka ketika mereka (iaitu Fairuz dan rakan rapatnya Seri Suharni) mengesyaki bahawa surat tersebut bukanlah ditulis oleh Megat sendiri, maka mereka pun menyelongkar meja kepunyaan Megat untuk memeriksa tulisan tangan, dan mereka hampir-hampir percaya bahawa memang Megatlah yang menghantar surat tersebut. Sehinggalah kami memberi hint kepada mereka iaitu dengan menyanyikan lagu tersebut secara beramai-ramai. Barulah mereka tahu bahawa surat itu adalah satu penipuan dan Fairuzliza terus menyalahkan kami dan hanya mampu menangis sesuai dengan gelarannya 'Sang Air Mata' yang mengambil nama dari watak komik Raja Rimba.

Teringat satu kisah, ketika itu seluruh SMKAKS dilanda krisis air. Bekalan air yang tidak mencukupi. Oleh kerana badan berpeluh dan berlengas setelah pulang dari beriadah, kami semua kaget kerana bekalan air tiada di blok asrama putera, maka bertebaranlah kami semua mencari punca air, ada yang mandi di sekolah, di rumah cikgu atau di mana-di mana yang terdapat sumber air. Maka dipendekkan cerita, aku mengikuti segerombolan pelajar yang telah mendapat sumber air yang banyak iaitu di tangki air di atas siling Dewan Besar. Maka kami pun mandi dengan gembiranya tanpa mengetahui bahana yang bakal menimpa kami. Kami semua mandi tanpa mengendahkan bahawa terdapat satu set PA (PA System - sytem audio dan mikrofon) yang terletak di bahagian bawah dewan, iaitu di sebelah tepi pentas. Apabila terdpat ramai yang mandi disebelah atas, maka air-air mandian tersebut berjurai jatuh dan mengalir dan mengenai set PA tersebut yang dikatakan berharga ribuan ringgit.

Dipendekkan cerita, selepas mandi, pihak sekolah memberikan kebenaran pulang kerumah bagi sesiapa yang tinggal berdekatan dan sekitar Kuala Selangor. Aku menumpang di rumah Hasrul pada malam itu.

Apabila pulang ke sekolah, rupa-rupanya senarai nama yang mandi di atas dewan itu telah berada di tangan guru disiplin. Pada mulanya kami diugut dengan mengatakan kami terpaksa menggnati semula set PA tersebut dengan membahagi sama rata nilai kerugian yang dialami dan kami terpaksa membayarnya. Aku mula cuak yang mana aku mana ada wang sebanyak itu.

Akhirnya kami didenda dengan berlari keliling sekolah sambil membawa gayung dan baldi, dan pergi ke tingkat bawah (basement) dewan untuk mengeringkan air yang bertakung. Pelajar-pelajar senior SG yang mandi terlepas mungkin kerana kami budak-budak junior berasa takut untuk melaporkannya kepada pihak sekolah.

Setelah tamat PMR, kami tiada pengisian di dalam kelas sebaliknya kami diarahkan untuk terlibat dengan kerja-kerja luar dan kerja-kerja penceriaan kawasan sekolah, iaitu dengan mengecat mural di dinding-dinding bangunan. Manakala pada petang atau malam, jadual harian kami penuhi dengan aktiviti sendiri. Aku dan Saiful Nizam pernah mengelolakan pertandingan bola picit yang mendapat sambutan yang menggalakkan. Tempat pertandingan kami adakan di dalam dorm kami iaitu dorm 76.


Foto ketika sebelum sepak mula menentang Pasukan 3 Iman. Perlawanan bolasepak antara tingkatan yang berlangsung selepas tamatnya PMR
Dari kiri (Berdiri): Razif, Azrin, Refaei, Hasrul, Azlan, Rasyid, Haikal, dan Ridzuan (Pengadil dari 3 Taqwa)
(Duduk): Hafiz, aku, Ibrahim, Mazuan, Wan M Zubir (Berbaring)
terlihat di hujung kanan : Faizal Yaacob (3 Iman)


Foto diambil ketika perlawanan Kelas Taqwa menentang Iman.
Atas dari kiri: aku, Wan M Zubir, Rasyid, Faiz M Zaini
Duduk : Azrin, Mazuan, Refaei, Hazwan


Foto di dalam bas ketika rombongan 'haram' ~ tanpa pengetahuan sekolah ~ ke Johor Bahru, anjuran Kelas Taqwa.
Dari kiri (belakang) : Faizal Yaacob, Muhyiddin, Hazwan, Saiful Nizam
Tengah dan depan : Izzee, Sharifuzan, Hafizul, Hafiz, Ridzuan, aku, Azrin


Foto ketika aktiviti kembara Pengakap Muda
dari kiri : Shahrir (Semut), aku, Ibrahim dan Firdaus (Ah Sok)
duduk : Muzammil, Sobree


Aku habiskan sisa-sisa pembelajaran dalam tahun ini dengan satu tekad:

"Aku akan keluar dari sini tahun depan, tidak kira apa jua keputusan PMR yang aku perolehi!"


*Begitulah sedikit sebanyak (banyak sangat kot?) memori yang dapat aku muatkan disini untuk tatapan bekas-bekas pelajar SMKAKS (94 ~ 96/98). Mungkin ada banyak lagi yang aku dapat ingat tetapi tidak dapat pula aku tulis kesemuanya di sini. Apa yang pasti, mungkin kenangan-kenangan ini dapat menguntum senyum di bibir anda dan supaya kita dapat berjejak di bumi ini tanpa lupa siapa diri kita sebenarnya.


~ tamat bahagian I ~

15 comments:

nizam best said...

untung la ran, kakak angkt ramai.

aranhellstorm said...

mane de ramai... sorang tu je la ..heh...

ely said...

erk!!pnjg tul sjarah hubby aku nih..tp "kekurusannya" "pada ketika itu" sgt membuat aku kagum..

ciPuding_7 said...

dalam byk2 cerita, paling aku tergelak besar adalah crita mengenai encik Jibam:

"Kalau kita sembahyang Jumaat ikut siaran langsung dekat tv tu boleh tak ustazah?",

ahahahaha... tobak lawok..
jibam.. jibam.. hehehe..

ely said...

slamat ulangthn la to all ex- SMKAKS termasuk la adik aku n adik ipar aku..especially to my hubby n all his frens yg slalu sgt lepak kt res. Hakim (official place),kalo bab crita psl skolah,gegak gempita Hakim tu dgn sore2 diorg ni je..

aranhellstorm said...

syg: kagum tak? kagum tak? hehehe

aranhellstorm said...

cipuding: mamat tuh memang raja lawak kelas kitorang...

Faiz said...

helemek..mane kau korek gambar aku memakai baju player kesayangan labu tuh?hampir aku menitiskan air mata..hehe

aranhellstorm said...

blek: sebak tak? Sebak tak? hehehe

Anonymous said...

Aran, kurus ke ko time tu? hahahaha seingat aku ko tak penah kuruslaaaa...

aranhellstorm said...

niaa: errr..aku rase kurus la jugak dari sekarang...hhehehhe

zahara sufian said...

bestnye jadi first batch!!!saya 6th batch =)

WestSiDe said...

woi yang ko cabut bulu kat bilik prep ko tak citer kan..sial aku jadi mangsa keadaan..hampeh nyer aran hahaha! - Azlan Kassim -

aranhellstorm said...

woi alan wa baru pasan hahaha takkan nk bukak cter tu kot..hahahahaha

Unknown said...

SMKAKS tetap best dan tetap dalam ingatan aku nak-nak bab misteri tu, ade simpan lagi tak kasetnya, hehehe

StatCounter