Rencam
FAM
Sana-sini sibuk orang memperkatakan tentang isu bolasepak negara. Ada yang vokal dengan pendirian dan mengkritik secara keras, dan ada juga simpatisan FAM, dan ada juga yang menangguk di air keruh. Aku juga tak terkecuali kerana aku berasa terpanggil, walaupun kaki bangku tapi sangat minat dengan bolasepak. Dari umur aku 14 tahun aku sudah ke stadium Shah Alam bersama bapa menaiki motorsikal mengharungi perjalanan sejauh 80km dari Sungai Burong ke Stadium Shah Alam untuk mengikuti perlawanan bolasepak pasukan kegemaranku, Selangor FA. Maka dengan ini aku berasa bahawa aku ada hak untuk menyuarakan pendapat aku mengenai isu bolasepak negara yang berada diambang kepupusan.
Aku sudah muak untuk mengkritik maka aku akan utarakan cadangan-cadangan aku untuk FAM dan seterusnya mengembalikan kepercayaan rakyat kepada pasukan kebangsaan, FAM dan bolasepak negara.
Cadangan aku adalah merombak kesemua barisan pimpinan yang ada di dalam FAM kerana terbukti selepas lebih 18 tahun tiada apa yang boleh kita banggakan dengan pasukan kebangsaan kita.
1. Rombakan barisan kepimpinan. Orang yang ada sekarang di dalam FAM, kesemuanya haram jadah! Habis cerita (Enough said.)
2. Kalau Sultan Ahmad Shah terus ingin menyumbang, biarkah beliau menjadi penaung, dan tak terlibat secara langsung dalam pentadbiran, tak boleh mempengaruhi keputusan majlis.
3. Teruskan dulu liga yang ada, (sebab kalau di berhentikan liga, mungkin FIFA akan mengenakan tindakan), tapi rancang untuk pembangunan dan pertandingan bagi 5 tahun akan datang, dan perancangannya perlulah rapi, teliti dan harus disimulasi peringkat demi peringkat. Jangan jadi seperti sekarang selepas semusim, tukar undang-undang, tukar format, musim depan nanti tukar lagi, tak konsisten. Bila tak konsisten, maka tiada keputusan dan tiada pencapaian yang dapat dilihat.
4. Struktur pertandingan. Ini paling penting. Sebab mana nak cari bakat-bakat baru kalau bukan dari pertandingan. Cadangan aku adalah:
4.1 : Rombak struktur pertandingan. Buat format baru, iaitu pertandingan kelab-kelab sahaja. Setiap kelab mesti berdaftar di persatuan negeri. Kelab-kelab boleh berasaskan majlis perbandaran, majlis daerah, syarikat2 multinasional ataupun kelab persendirian dari syarikat-syarikat perniagaan. Ini harus dimulakan dari peringkat kampung-kampung dan daerah-daerah.
4.2: Satu pertandingan awalan perlu dijalankan untuk menentukan tahap dan divisyen mereka berada.
4.3: Di kemuncak struktur adalah pemain-pemain kelab yang dipilih untuk mewakili negeri dalam pertandingan tertua iaitu Piala Malaysia. Pasukan Negeri sekarang hanya bertanding untuk Piala Malaysia sahaja.
4.4: Undang-undang baru harus digubal untuk menentusahkan pasukan-pasukan yang bertanding, supaya pasukan-pasukan ini tidak tumbuh seperti cendawan, dan hilang seperti biskut (sekejap ada sekejap tiada)
4.5: Infrastruktur baru harus dibina, atau diperbaharui. Tak perlu stadium besar-besar tetapi yang hadir tak sampai seratus orang. Bina stadium-stadium kecil (kapasiti tempat duduk mungkin 100 hingga ke 300), dengan kualiti padang yang tinggi, lantik kontraktor-kontraktor yang tak haprak untuk menjaga kualitinya padang dan kemudahannya. Jikalau mampu, pasukan-pasukan ini boleh menyumbang kepada stadium-stadium ini sebagai tempat 'angkat' mereka, ataupun pasukan-pasukan yang mampu dengan dana yang besar boleh membina stadium. Bukan stadium sahaja, padang latihan, fasiliti seperti bangunan-bangunan pembelajaran teknikal harus dibina dan perancangannya juga boleh dilakukan secara berperingkat-peringkat.
4.6 Mungkin untuk mengurangkan kos perbelanjaan, pertandingan selain liga berdivisyen, boleh dilakukan secara zonal (melibatkan dalam zon sahaja) seperti zon utara, zon selatan, pantai timur dan lain-lain untuk pertandingan seperti Piala FA, Piala Liga atau apa-apa pertandingan selain liga.
4.7: PAsukan-pasukan yang mempunyai dana yang besar juga boleh menubuhkan pasukan tambahan seperti pasukan pelapis muda bawah 23, bawah 21, bawah 19 mahupun bawah 17 tahun yang boleh merintis kepada penubuhan akademi bolasepak yang boleh menjana ekonomi.
4.8: FAM harus lantik badan swasta/syarikat untuk merancang dan mengkordinasi liga, FAM hanya perlu berada di atas untuk mengawasi dan ini mengurangkan karenah birokrasi, pilih kasih, rasa kenegerian, politik murahan, favouritisme dan lain-lain penyakit dalaman yang melanda FAM sekarang.
4.9: Untuk memastikan pemain tempatan lebih berdaya saing dan kompetetif, idea pemain import sangat perlu. AKu tak tau kenapa pemain lama seperti Santokh Singh mempunyai pandangan pemain importlah yang menjadikan pemain kita tak menyerlah. Dengan adanya pemain import, pemain tempatan akan lebih berdaya saing dan kalau semangat mereka memang lemah, memang tak boleh hendak salahkan sesiapa melainkan pemain itu sendiri. Dengan adanya pemain import, pemain yang berkualiti dapat dihasilkan iaitu pemain yang benar-benar minat pada bolasepak bukan hanya sekadar mencari makan sahaja.
4.10: Satu kaedah ujian kecergasan haruslah diambil dan dilaksanakan untuk memastikan bahawa pemain-pemain yang berada didalam liga ini benar-benar seorang pemain dan bukan kuda patah kaki, pemain berat punggung dan pemain yang semput ataupun pemain malas.
4.11: Untuk tujuan pemantauan, FAM boleh menentukan masa latihan yang perlu untuk pemain-pemain ini, apakah bentuk latihan yang dilakukan dan apakah pemain-pemain ini menguasai kemahiran asas bola sepak seperti merembat, membuat hantaran sama ada dekat atau jauh, teknik sepakan yang betul dan juga aspek taktikal. Ini penting kerana, pemain-pemain dari negara jiran seperti Bambang Pamungkas yang aku masih ingat dalam temubualnya dalam majalah bolasepak berkata bahawa mereka juga menjalani latihan di bulan puasa. Ini menunjukkan di negara ini lebih banyak memberi alasan dari melakukan sesuatu. perkara, isu seperti berhentikan latihan dan apa-apa berkaitan bola sepak dalam bulan Ramadhan. Ini juga dapat memastikan, pemain-pemain yang lahir dari liga revolusi ini adalah pemain yang sudah menguasai teknik dan kemahiran asas kerana pada hemat aku pemain-pemain sekarang belum lagi menguasai teknik-teknik ini. Lihat saja statistik perlawanan terkini pasukan kebangsaan kita, memalukan.
5. Dana - tidak dinafikan sumbangan pemimpin FAM seperti Sultan Ahmad Shah dan Tengku Abdullah berperanan besar mencari sumbangan penaja dalam pertandingan tempatan. Pada pendapat aku syarikat-syarikat rokok yang dinafikan penajaan mereka haruslah dibenarkan kembali, sama ada secara langsung ataupun tidak, ya lah syarikat-syarikat yang ada pun tak berminat untuk menaja pertandingan dan liga. Kerana bagi aku iklan sahaja tak menyebabkan orang terpengaruh. (kenapa Indonesia terus menggunakan Sempoerna sebagai penaja jikalau penajaan syarikat rokok diharamkan badan dunia seperti WHO dan sebagainya? Kenapa perlu kita tunduk kepada mereka yang tidak pun menawarkan alternatif terhadap penajaan pertandingan. Harus diingat berjuta-juta ringgit harus dibelanjakan untuk memastikan liga ini terus wujud.
Guru
Sekarang ini heboh dengan berita guru menampar murid, rendam murid dalam kolam dan pelbagai lagi 'kes' guru mendidik pelajar mereka supaya lebih berdisiplin telah dihentam di akhbar-akhbar, digantung tugas dan dihukum atas perbuatan mereka itu. Tidakkah kita sedar ditengah-tengah kemelut keruntuhan moral remaja kita yang sedang membelenggu masyarakat dengan isu seks bebas, ponteng sekolah, dan pelbagai lagi kes-kes yang berlaku, kita sendiri sama ada sebagai ibu bapa, masyarakat, pegawai-pegawai kerajaan bahkan menteri-menteri sekalipun adalah penyebab kepada kehancuran moral dan akhlak pelajar-pelajar kita sendiri?
Berapa banyak pelajar sekarang yang takut dan hormat kepada guru-guru mereka? Rasanya sekarang ini guru-guru pula yang takut kepada pelajar mereka, tunduk kepada kehendak mereka, sepatutnya murid-murid yang patuh kepada arahan guru mereka. Kerana apa? Mereka tahu bahawa masyarakat, media massa, pegawai-pegawai dan menteri-menteri semua berpihak kepada mereka, maka mereka pun boleh berbuat sesuka hati.
Biarlah kamu semua mengatakan bahawa aku ini kolot dan jumud, namun, anak-anak bangsa yang muda remaja inilah yang kita harapkan untuk menjadi pelapis kepimpinan di masa akan datang. Di waktu muda remaja inilah sepatutnya pendidikan akhlak dan moral berjalan seiring dengan pembangunan ilmu dan pengetahuan yang sekarang ini telah tiada sempadannya. Maka biarkanlah guru-guru ini diberi sedikit kebebasan untuk membentuk pelajar-pelajarnya, jangan sampai mereka berasa takut untuk melakukan sesuatu sehingga tidak berbuat apa-apa.
Ingat, melentur buluh biarlah dari rebungnya, esok besar dah jadi penagih tegar dadah, dah jadi mat rempit, dah jadi bohsia, dah jadi pelacur kelas atasan, dah jadi samseng dah jadi perompak dan dah jadi perogol bersiri ataupun pencabul, maka di kala itu tudinglah jari pada diri sendiri. Kita lah sebenarnya penyebab mereka menjadi begitu.
Liverpool
Pasukan aku kini tampak mengancam atas pembelian pemain-pemain baru yang bakal menghiasi dunia EPL musim 2007/08 yang akan bermula Ogos ini. Moga dengan kehadiran Torres, Babel, Voronin, Benayoun, dan pemain-pemain muda, selamat datang ke Liverpool Football Club, and you'll never walk alone!
Moga-moga kita bakal mengecap gelaran ke 19 pada musim ini.
2 comments:
absolutely makes sense! that's all i can say.
bro, why not you spread these suggestions by publishing them in the newspapers? so it can be conveyed to a wide variety of reader, i mean it's not only for the rakyat...all the mangkuks in FAM, even the sultan may also read maa...try la bro...
cuba try hantar kat berita harian ke utusan malaysia ke
heh..aku dh emil ke berita harian..tp tak tau la ..klu derang siarkn alhmdulillah....
Post a Comment