Saturday, January 24, 2009

Bola...? Hmmm.....

Bola.

Kini, sebut saja perkataan ini, ramai yang menyampah. Kecewa. Hilang harapan. Putus asa. Namun rasa ini mungkin hanya dapat dirasakan oleh peminat-peminat bolasepak yang masih setia menyokong pasukan bolasepak tempatan atau setidak-tidaknya mengambil tahu keputusan perlawanan yang melibatkan pasukan kebangsaan. Lebih-lebih lagi selepas tragedi dibelasah UAE baru-baru ini digelanggang sendiri.

Mungkin ramai poser diluarsana yang kononnya peminat fanatik bolasepak yang bangga memakai jersi pasukan kesayangan dari liga luar negara, masing-masing dengan nama pemain kesayangan tertera megah dibelakang badan, menempelak, mengeji, mencaci dan memandang hina situasi yang menyelubungi scene bola sepak tempatan, tetapi sedihnya tidak pernah langsung untuk mengambil tahu perkembangan bolasepak tempatan dengan penuh minat apatah lagi berkunjung ke stadium berhampiran untuk menonton aksi perlawanan liga tempatan.

Tapi aku tak salahkan mereka. Ini negara demokrasi, kamu boleh pilih apa yang kamu suka, tinggalkan apa yang kamu benci. Pilihan ditangan anda.

Akan tetapi, dari terus menjadi pencemuh, pengeji, pengejek tetap bolasepak tempatan, dan tukang ketawa setiap kali pasukan kebangsaan kita kalah dan dibelasah pasukan lain, adakah cara lain untuk kita turut sama menyumbang walaupun sebesar hama sumbangan itu kearah penambahbaikan mutu bolasepak kita?

Untuk mengembalikan tahap bolasepak kita ketahap yang boleh kita banggakan sekurang-kurangnya dalam kancah pertandingan serantau yakni di Asia Tenggara, kita semua harus menyumbang wang ringgit, tenaga dan idea untuk merealisasikan hasrat tersebut. Kita semua merujuk kepada setiap warganegara Malaysia yang masih menaruh harapan agar satu hari nanti pasukan Harimau Malaya akan sembuh dari ketempangan dan tidak lagi digelar Harimau Sakit. Sama ada dari organisasi seperti FAM, KBS, Persatuan-persatuan bolasepak negeri, syarikat penaja, atau dari individu pemain, bekas pemain, jurulatih, peminat, penyokong aktif dan pasif, pengulas dan wartawan sukan, dan lain, yang terlibat secara langsung atau tidak dengan bola sepak negara.

Yang memilih untuk terus mencemuh, mengeji, mengejek tanpa ada sumbangan, persetankan mereka.

Sukan ini memerlukan dana yang besar untuk merencana, merealisasikan dan menguruskan pertandingan dan agenda lain seperti pembangunan akar umbi, pembangunan teknikal, pengurusan pertandingan, pengurusan organisasi, kejurulatihan dan lain-lain aspek berkaitan dengan bolasepak.

Ya, sebagai peminat dan penyokong, hanya keputusan perlawanan yang kita mahu lihat. Tetapi itu hanya end-product, jika dari tatkala mula merencana sudah banyak kepincangannya bagaimana kita mahu end product yang baik? Seperti sebuah kapal yang mahu ke Utara tetapi dari mula sudah menetapkan haluan ke Barat, mana mungkin sampai ke Utara. Bukan begitu?

Dengan hanya mengharapkan geran dari Kerajaan persekutuan dan bantuan yang kecil dari tajaan, kancah pertandingan tempatan kita tidak akan kemana, jikalau persatuan negeri masih lagi dengan sikap malas dan sambil lewa menguruskan organisasi untuk berdikari mencari sumbangan dana untuk pasukan negeri masing-masing, dan saban tahun itulah peminat akan terus mendengar tentang isu-isu pemain/jurulatih tidak dibayar gaji, gaji tertunggak berbulan-bulan, dan pelbagai isu berkenaan beban kewangan yang menambah keperitan bolasepak kita yang sedia terbeban dengan isu utama iaitu kelesuan pasukan kebangsaan kita dipentas antarabangsa.

Takkan hanya berharap kepada wang jualan tiket perlawanan? Seperti yang kita maklum, penyokong kita rata-ratanya akan hanya bersemangat ke stadium tatkala pasukan mereka sedang dalam top form ataupun mengecapi kemenangan demi kemenangan, barulah stadium nampak sedikit penuh. Jadi bagaimana kita mahu menarik minat penonton untuk terus memenuhkan stadium dari awal musim hingga ke akhirnya?

Hardship dari penyokong yang mengeluarkan RM 10, setiap kali perlawanan harus diikuti dengan pulangan yang berbaloi, yakni harus dihidangkan dengan persembahan yang bertenaga dari aspek corak perlawanan, susun atur gerakan dan pengetahuan taktikal yang bagus, mutu pengadilan yang tinggi, serta format pertandingan yang menarik supaya mampu menarik penonton ke stadium.

Lontaran persoalan dari aku, adakah langkah FAM menghalang kemasukan import dapat meningkatkan mutu permainan pemain tempatan?

Bagi aku ini langkah backwards yang terus memperosokkan mutu bolasepak kita ke tahap yang lebih teruk, dari buruk ke sangat buruk, dari penuh pengharapan kepada putus asa. Dari ada minat sehingga hilang minat terus.

Liga yang baik perlu ada elemen pertandingan bukan sahaja untuk dua pasukan yang bertemu pada malam match programme, tetapi dalam keseluruhan skuad supaya bertanding sesama sendiri untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama. Tanpa pemain import, yang terbukti berkesan penggunaan mereka di dalam kancah pertandingan (lihat Kedah musim lepas, Selangor tahun 95-97, Sabah pada era Scott Ollerenshaw) maka ruang-ruang kosong yang mereka tinggalkan akan dipenuhi oleh pemain-pemain yang dulunya sentiasa memanaskan bangku simpanan yang mempunyai tahap yang lebih rendah mutu permainannya.

FAM perlu memikirkan langkah seperti menetapkan aras kewangan atau dana yang wajib dimiliki bagi setiap pasukan yang bertanding dalam liga M,supaya gaji semua pemain dan kakitangan mampu di bayar. Langkah lain seperti menetapkan hanya pemain yang berada, let say 20 tempat di atas Malaysia dalam ranking FIFA untuk beraksi di liga M atau pemain yang pernah bermain lebih dari 1 musim dalam liga yang lebih kompetetif dari liga M di negara yang mempunyai ranking 20 tempat atau lebih dari Malaysia misalnya supaya pemain yang datang ke liga M bukanlah pemain discarded di tempat sendiri ataupun pemain picisan yang tak dapat bermain di liga tempatan mereka untuk bermain di liga M, sepatutnya think tank FAM yang harus memikirkan semua yang perlu untuk liga M atas dasar sayang kepada bolasepak negara bukan atas dasar terpaksa kerana kerja sahaja.

Atau mungkin memperkenalkan dasar ASEAN-friendly dengan memperkenalkan import ASEAN dan Non-ASEAN kerana, negara jiran serantau kita lebih baik mutu permainan dan tahap kecergasan mereka berbanding kita, mungkin menetapkan setiap pasukan boleh menamakan 4 pemain Asean atau 1 Non asean dalam kesebelasan utama, dan dengan cara ini pemain tempatan tidak lagi boleh berlatih dan bermain dengan sambil lewa kerana kelewaan mereka hanya menyebabkan mereka tersisih. Di sini harus diingat, dalam sukan seharusnya polisi merit mengatasi segala-galanya dan bukannya berdasarkan kad pengenalan mereka. Tidak sepatutnya lagi isu seperti pemain tempatan hilang mata pencarian kerana kebanjiran pemain dari luar bermain untuk liga M timbul, walaupun sebenarnya ketidakkemampuan mereka mencapai tahap sebagai seorang atlit professional yang harus dipersalahkan. Mereka mungkin boleh mencuba untuk menjadi pengulas atau wartawan sukan jika mereka masih mencintai sukan ini.

Bagi aku biarlah sedikit tetapi yang sedikit itu berkualiti, jikalau dalam satu pasukan utama itu hanya terdapat 4 atau 5 pemain tempatan, tetapi pemain tempatan itu adalah adalah yang terbaik kerana mampu berada dalam pasukan utama walaupun terdapat pemain import yang ramai.

Dari aspek kejurulatihan dan taktikal pula, harus diwajibkan kepada pengurus/jurulatih pasukan yang bertanding di liga M untuk menjalani kursus demi kursus supaya pembangunan ilmu dan taktikal terus berjalan sehingga ke akhir karier. Lihat sahaja jurulatih-jurulatih terkenal antarabangsa seperti Jose Mourinho, Rafa Benitez, sekadar menyebut beberapa nama, bermula dengan menjadi pembantu jurulatih dan seterusnya melatih pasukan remaja, belia, simpanan dan menuntut ilmu kejurulatihan di beberapa kela ternama sebelum menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan profesional.

Liga M bukan bolasepak, kata B Sathianathan, aku setuju secara asasnya, namun hanya dengan melontarkan pernyataan berbau negatif itu tanpa penghuraian, akan membuatkan keadaan menjadi buruk dan teruk, persoalannya apakah orang-orang besar di atas sana ada keberanian yang sama dengan B Sathianathan untuk mengakuinya?

Our football league is obviously pathetic, apakah mereka di atas sana akan terus menafikannya? Langkah pertama untuk pemulihan adalah dengan pengakuan.

No comments:

StatCounter