Tuesday, May 12, 2009

Macam-Macam Hal

Panas. Sudah dekat dua minggu cuaca begitu panas sekali. Siang sudah semestinya panas, nak-nak waktu tengahari, teriknya bukan main. Kadang-kadang nak keluar atas urusan kerja pun boleh tertunda, akibat malas bergerak di bawah terik mentari. Malam pula, terpaksa berlenggeng dan tidur atas lantai, akibat bahang panas yang dirasakan, mungkin sikit hari lagi satu unit penyaman udara terpaksa di beli untuk menyelesaikan masalah ini.

Tu belum matahari terpacak sejengkal atas kepala dekat mahsyar nanti. Heh.

Iklim politik tanahair pun tak kurang panasnya. Isu Kerajaan di Perak pun belum nampak jalan penyelesaiannya. Kalau tak kerana katak-katak 3 ekor yang maruah letak dekat bontot kalau melompat kerana wang, kalau rasa berani berjuang letak bawah kaki kalau melompat kerana di peras ugut, aku rasa Perak masih lagi aman ber'Menteri Besar'kan si Nizar tu.

Tak lupa kalau tak kerana campur tangan pihak istana menamakan seorang lagi MB tatkala hujung pangkal MB yang lama masih belum selesai di urus, masih lagi kabur, aku rasa Perak masih lagi aman dan struktur daulahnya masih lagi utuh dan banyak masalah rakyat dapat ditangani.

Sekarang, rakyat pula dipaksa menonton drama ala SpaQ kes siapa sebenarnya MB Perak yang sah. Nizar menang kes mahkamah, si Zambry pula cabar, so on and so on. Tak ada kerja lain agaknya orang Perak ni, nak kena tengok drama hari-hari. Bubar saja DUN, bentuk kerajaan baru, jangan jadi seperti kera mendapat bunga. Negeri yang elok lagi sejahtera jadi kelam kabut sebab ada dua pihak berebut kuasa.

Macam orang bangang lagi tak ada akal dan tatasusila bila tengok gambar-gambar peristiwa yang terjadi dalam DUN di Perak tempoh hari.

Hasilnya, dah berbulan-bulan aku tak baca suratkhabar, tak tengok berita di tv. Maksud aku suratkhabar seperti Utusan dan Berita TV seperti Buletin Utama. Sinar Harian kadang-kadang di beli dan di baca.

Itu cerita di Perak. Minta dijauhkan daripada berlaku di Selangor dan tempat lain, begitulah jadinya kalau tidak berhati-hati memilih pemimpin. Kepada pimpinan PR pula jangan salahkan pihak lain berlakunya kejadian seperti ini, elok periksa saf kepimpinan anda, takut-takut banyak lagi api dalam sekam semacam 3 ekor pocong yang melompat-lompat mendapatkan tuan baru mereka.

Pedulikan.

Cerita fasal bola. Di peringkat domestik, saingan liga super agak sengit namun begitu harap-harap Perlis membuat silap dan Selangor terus mencatatkan kemenangan, supaya Liga Super dapat dirangkul dalam musim ini kerana sejak diperkenalkan pada tahun 2004, Selangor belum lagi dapat memenanginya. FA Cup sudah berada dalam genggaman, Piala Malaysia dan Liga Super harus di buru untuk mengakhiri musim dengan penuh kegemilangan. Harap-harap banyak lagi perlawanan yang dapat saksikan di stadium musim ini. Agak banyak juga perlawanan penting terlepas kerana kesibukan dan lantaran keadaan isteri yang sedang sarat ditambah pula dengan Sarah yang masih lagi terperanjat dengan jeritan gol yang menghalang aku untuk kerap berkunjung ke stadium.

Di pentas antarabangsa, Liverpool, pasukan yang aku ikut perkembangannya sejak 1995 dan terus menyokong secara serius sehingga kini, terus mencatatkan kemenangan dalam margin yang tinggi sejak bertemu Chelsea di suku akhir kedua Liga Juara-Juara, untuk terus menghambat United sehingga secara ke perlawanan yang terakhir. Walaupun begitu aku rasa, kejuaraan akan terus menjadi milik United, kerana meraka hanya perlu 4 mata dari 3 perlawanan yang menyaksikan Wigan, Arsenal dan Hull City menjadi lawan mereka nanti.

Kecualilah ada keajaiban yang berlaku.

Walaupun berkemungkinan kabinet trofi akan kosong lagi untuk the Reds musim ini, aku berpuas hati dengan prestasi pasukan di bawah Program Rafalution setelah 5 musim mengendali skuad ini, Rafa Benitez telah menghasilkan pasukan yang bermain cantik seperti Arsenal dulu dan juga 'ruthless' di depan pintu gol, mungkin hanya satu dua pemain perlu di bawa masuk musim depan bagi memperkuat jentera serangan terutama di bahagian sayap, lebih-lebih lagi apabila menghadapi pasukan yang datang ke Anfield berbekalkan satu pelan tindakan sahaja, iaitu menggunakan taktik 10-0-0!

Untuk Piala Eropah pula, perlawanan akhir pasti menyajikan perlawanan yang menarik kerana kedua-dua pasukan adalah pendahulu di liga masing-masing. Barcelona mendahului La Liga dengan 8 mata di atas Real Madrid manakala United yang mempunyai 1 perlawanan di tangan mendahului Liverpool dengan 3 mata. Memang sajian bermutu untuk peminat bola di seluruh dunia.

Harap-harap Barcelona menang, kerana belum pernah di buat orang penyokong Liverpool mendoakan kesejahteraan untuk United!

Sigh!

Mengantuk, masuk tidur dulu lah...

2 comments:

kak yani said...

kitorang pun dah tak tengok berita kol 8.lebih baik layan HAGEMARU kat ceria.hahahaha..

tgk berita, baca paper--buat panas...buat rimasss...

aranhellstorm said...

hahahaha..hagemaru? hahahaa....

memang...dedua bikin panas, bikin rimas, bikin meluat...

StatCounter