Sunday, September 23, 2007

Iftar Jama'ie di Aroma Ikan Bakar Jeram

Semalam telah berlangsung satu acara berbuka secara berjemaah bersama sahabat-sahabat bekas pelajar SMKAKS (dan juga SMK Dato Harun..hehehe) bertempat di Aroma Ikan Bakar Jeram Kuala Selangor. Rakan-rakan yang hadir adalah (mengikut susunan waktu ketibaan)Kapten Asnuri, Ibrahim Rabani, Wan Mohamed Zubir Wan Hamidon bersama teman wanitanya Wahida, aku dan isteri, Bert, Apai dan Aida, C-pot, Irwan aka Skema dan Jibam. Walaupun bilangan kehadiran dijangka lebih tinggi daripada jumlah yang hadir, namun keceriaan dan tahap kerancakkan perbualan tetap berada dalam keadaan yang optimum lebih-lebih lagi mendengar cerita-cerita dan pengalaman Encik Skema, yang sentiasa mengundang derai tawa daripada para hadirin



Mata masing-masing yang rambang melihat lauk-lauk bertebaran di atas meja

Kos yang dikenakan tidak termasuk kos petrol dan pengangkutan adalah sebanyak RM30.00 sekepala dan aku telah membuat pesanan terlebih dahulu kepada pengusaha restoran tersebut, Cikgu Hazura atas menu yang difikirkan sesuai untuk memenuhi selera makan rakan-rakan yang hadir. Menu juadah kami semalam adalah Nasi Putih, Sayur Kailan Ikan Masin, Ikan Siakap Tiga Rasa, Ketam Masak Kari, Udang Besar Goreng Mentega, Tom Yam Campur serta Sotong Goreng Tepung manakala minuman yang disediakan adalah Fresh Oren sebanyak 5 jag. Kesemuanya di hidang dalam 3 set hidangan.



Makan sambil berborak boleh mengundang bencana seperti tercekik dan keracunan saraf.

Setelah makan dan solat Maghrib yang diimamkan oleh saudara Zubir, kami duduk bersembang sehinggalah tidak sedar waktu yang beredar. Seperti biasa acara menyerang peribadi dan mengenang nostalgia lama memenuhi acara sembang dan memang tidak akan pernah mengundang rasa bosan di dalam diri kami. Kapten Asnuri menghubungi tunangnya yang bekerja di Darul Ehsan Medical Centre untuk bertanyakan keadaan rakan kami Ihsan yang terlantar di sana namun kami dikejutkan dengan berita perpindahan beliau ke Hospital Selayang. Aku terus menghubungi beliau bagi mengesahkan berita tersebut, dan Ihsan mengesahkannya dan terkejut tentang bagaimana aku mengetahui berita tersebut. Beliau dipindahkan kesana kerana untuk dirujuk kepada doktor yang lebih pakar tentang penyakit yang menimpa beliau. Semoga beliau akan cepat sembuh dan redha dengan bencana yang menimpa dirinya. Ihsan, ganbatte kudasai!

Jam 9.30 kami pun bersurai sambil membawa sisa-sisa kulit udang yang terlekat di gigi dan isi-isi udang, ikan dan ketam yang telah melebur di dalam kepekatan asid hidroklorik kepekatan 5 mol di dalam perut masing-masing.

Kepada rakan-rakan yang dapat hadir, terima kasih diucapkan, dan sms-sms serta panggilan daripada rakan-rakan yang mahu hadir tapi tidak dapat hadir amatlah dihargai. Semoga kalian sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan diberkati Allah S.W.T.

p/s : Tujuan asal aku buat majilis ini pada tarikh semalam adalah untuk meraikan double birthday Jibam (20/9)dan Ajid (23/9), tetapi Ajid tak dapat hadir dan Razif hadir lewat telah menyebabkan ucapan selamat aku menjadi anti klimaks. heh. Tapi takpelah, ganti dengan celebrate birthday Skema (25/9) pun kira ok lah! Guys, happy birthday to you all!

YouTubelah bang!

http://www.google.com.my/search?hl=en&q=yutube sudirman balek kampung&meta=

hehehehe.... macam manalah kau nak dapat apa yang kau cari?

Saturday, September 22, 2007

Kerana Mulut...

Mulut
Sedapnya mulut kamu berkata-kata
Manisnya mulut tertanam tebu di pinggir bibir

Mulut
Kerana mulut badan binasa
Kerana mulut rakan hampir, musuh pun hadir

Mulut
Banyak mulut macam tin kosong lagaknya
Berat mulut banyak berfikir

Mulut
Banyak bercakap banyak silap
Kurang berkata kurang cela

Mulut
Jujurlah menggunakan
Jauhlah kemunafikan

Mulut
Zikir, dakwah, tasbih, banyakkan diam selamatlah ke Akhirah
Fitnah, umpat, keji dan caci laknatlah ke Hawiah

Mulut
Tersilap kata tersilap tutur
aku harap dosa terlebur
maaf segala kata di atur
harap silap segera berkubur

Semalam tak Sahur...

Orang rumah kejut, tengok jam, dah jam 6.30 pagi. Alamak, terlepas waktu sahur! Aku baring lagi sambil fikir, "Hari ni puasa aku mesti jadi macam Rafique macam dalam Diari Ramadhan Rafique di TV3 tu..."

Hari itu sebenarnya aku kena turun ke tapak di Kuala Selangor. Ambil data dan maklumat untuk kerja penggantian injap di sana. Paginya suasana memang tidak mencabar puasa aku kerana redup dan mendung. Bila masuk sahaja jam 11, matahari pun terik membakar, dan perut aku mencucuk-cucuk tajam. Pekerja Indon aku pula, selamba menibai roti dan meneguk air kosong yang kelihatan seperti jus laici ais di mata aku.

Selepas Jumaat, aku tidur sebentar di dalam kereta, kerana kerja-kerja pembersihan lurang (valve chamber) belum lagi selesai. Jam 3 makin teruk pula sakit perut yang aku alami. Jam 4, pekerja Indon dan supervisornya yang berbangsa Cina minum petang dengan kuih-muih yang dibeli dari Pasar Ramadhan yang berhampiran. Kecur air liur melihat air cincau dan kuih lopes yang mereka makan. Aku masuk dalam kereta layan radio kuat-kuat.

Jam 6.30 petang aku pulang dan terus ke pejabat menghantar pekerja-pekerja aku ke sana, dan tepat waktu berbuka aku sampai di sana. Berbuka dengan setin air Nescafe Mocha dan Muffin Coklat Gardenia. Kemudian balik ke rumah cepat-cepat, makan juadah berbuka yang orang rumah aku beli dari Pasar Ramadhan Sungai Sekamat Kajang. Selamat puasa aku!

Jam 9.00 malam tepat aku berada di Darul Ehsan Medical Centre menziarahi sahabat, Ihsan Syahid yang diserang Hepatitis A. Habis kuning bola mata dan badannya. Teman-teman yang lain, Kacap, C-pot, Yan Tasar dan isteri, Dzulhamka dan Razif juga berada di sana. Kepada sesiapa yang ingin menziarahi silalah datang ke Wad 417 Darul Ehsan Medical Centre Seksyen 9 Shah Alam sebelum jam 10 malam.

Kemudian aku dan isteri, Razif, Cpot dan Dzulhamka ke Restoran Hakim untuk minum-minum teh di malam hari sambil berborak-borak sehingga jam 12 malam. Tak sedar masa berlalu. Aku minta seekor kucing pada Hamka, kalau-kalau ada yang lawa-lawa di pusat Veterinar UPM, itu pun orang rumah aku merengek-rengek minta bela seekor.

Tak cukup ke Garfield seekor ni??

Belasungkawa





Al Fatihah kepada arwah Adik Nurin Jazlin. (11 Sept 1999 ~ 20 Sept 2007)




Adik Nurin Jazlin Jazimin telah selamat dikebumikan semalam. Roh beliau pastinya ditempatkan dikalangan orang-orang yang dijamin syurga buat mereka. Buat pembunuhnya yang gila, sakit jiwa, berperangai binatang seperti binatang yang paling hina iaitu babi dan babi pun tak macam kau! Semoga kau mati dalam keadaan yang paling seksalah hendaknya.


Semalam tonton berita Buletin Utama, aku jadi sebak dan hendak menangis melihat klip-klip video sekitar pengebumian mayat adik Nurin. Isteri aku menangis teresak-esak. Walaupun antara kami dan dia tiada pertalian saudara, tapi aku rakyat Malaysia dan saudara se Islam turut merasakan kehibaan atas kehilangan dan tragedi yang menimpa keluarga Encik Jazimin Abd Jalil. Semoga kejadian ini dapat menyedarkan kita betapa kita sebenarnya perlu berhati-hati dan sentiasa berwaspada kerana keamanan yang kita kecapi selama ini sebenarnya boleh melahirkan binatang-binatang kejam dan keamanan yang kita miliki bukanlah keamanan yang mutlak.


Innalillahi wa inna ilaihi raji'un.

StatCounter