Saturday, December 8, 2007

Radio

Aku sangat kerap membuat perjalanan-perjalanan jauh, yang jaraknya beratus-ratus kilometer. Memandu kereta, dan selalunya bersendirian. Jikalau memandu secara solo dilihat orang sesuatu yang mustahil, sudah pasti aku sudah mendapat gelaran Datp' kerana mengharumkan nama Malaysia dengan memandu secara solo mengelilingi tanahair. Sudah dapat Dato', tak lama lepas tu, kena tuduh murtad pula. Mungkin juga akan jadi begitu.

Semalam, dalam perjalanan ke Kuantan, dalam keadaan dingin, hujan renyai-renyai di puncak gunung sekitar kawasan Genting Sempah, aku mendengar celoteh-celoteh penyampai radio, yang kadang-kadang aku sendiri tak faham apa butir percakapan mereka. Merepek, tapi tidak apa, janji dapat membuat aku macam orang gila, ketawa seorang diri dalam kereta, asal aku tidak mengantuk.

Aku tala dari satu stesen ke satu stesen. Kesemua yang ada di simpan dalam memori radio kereta, dari Radio Muzik ke Mix FM, kemudian ke Sinar Fm terus ke Hot FM juga masih belum ada lagu yang menarik perhatian, atau topik yang menarik untuk di dengar. Akhir sekali aku tukar pula ke stesen radio HitzFM. Aku suka sekali mendengar program 'Gotcha'nya yang mengenakan orang lain melalui maklumat yang di beri oleh pihak yang ingin menyakat menerusi laman web mereka. Kebetulan ada satu siri 'Gotcha' sedang ke udara. Rudy dan JJ, DJ stesen ini mengenakan seorang wanita yang sedang mencari teman lelaki. Kali pertama Rudy menyamar menjadi seorang lelaki gagap yang bersuara kebudak-budakan. Langsung tidak dilayan sama sekali oleh wanita itu, kemudian JJ menyamar sebagai seorang warga asing berbangsa Afrika Selatan yang mempunyai suara yang macho. Yang menjadi tanda tanya kepada aku adalah (disebalik gelak tawa aku ketika mendengar rancangan ini) bagaimana seorang wanita yang dihubungi oleh seorang yang tidak dikenali boleh bersetuju untuk satu temujanji dalam sekelip mata. Asal lelaki itu bersuara macho dan mampu berbahasa Inggeris dengan fasih, adakah semudah itu wanita Malaysia mampu terpedaya?

Itu belum lagi masuk bab pukau memukau atau mulut manis yang menabur janji setia.

Huh, biarlah, mungkin itu satu kes terpencil, dan hanya gadis itu yang sedang terdesak untuk mempunyai seorang teman. Tapi bagaimana pula dengan berita-berita anak-anak gadis yang hilang dan lari dari rumah kerana mengikut teman lelaki mereka? Mungkin juga ada kaitannya.

Fikir-fikirkanlah.

No comments:

StatCounter