Wednesday, September 10, 2008

Cerhypen

Kepala aku dihentak dengan bontot M4A1 oleh askar fasis Pembela Watan yang menggeledah seluruh ceruk rumah. Habis terbalik rumah aku di buatnya. Bibir aku sudah pecah-pecah. Ada darah mengalir dari atas kepala aku meleleh di sisi dahi.

"Mana kau simpan babi-babi tu semua hah!"
"Babi?"
"Cina-cina tu lah, bahlol!" Dia ketawa. Yang lain pun begitu juga, ketawakan aku.
"Aku tanya ni, kat mana? barua!", seraya satu sepakan hinggap di belakang badan. Aku tergolek.

"Kau tak sayang nyawa ya? Sanggup kau bela lipas-lipas tu? Diorang sedut serba mak nenek kekayaan kat tanah air kita ni, jadikan kau hamba, kuli batak, lagi kau nak bela diorang tu!?" Jerkahnya lagi. Yang lain makin galak hilai tawanya.

"Mana kau sorok diorang hah!", muncung rifel M4A1 sudah melekat dengan kepala. Ada riben warna merah dan putih di ikat pada kelopak pelurunya. Dilengan mereka pun ada kain yang diikat dengan warna yang sama.

"Aku tak tau apa-apa pun, sumpah... kalau kau nak tembak, kau tembaklah...", aku bersuara. Antara dengar dan tidak. Aku rasa tidak berdaya, nyawaku mungkin tamatnya dalam beberapa ketika lagi.

"Huh...kali ni aku lepaskan kau. Tapi kau kena ingat, mata aku di mana-mana, kalau aku dapat tangkap kau tolong lipas-lipas tu, aku tak bagi salam dah, aku sembelih kau terus... dah, jom!", Ketua pemberontak Pembela Watan memberikan aku amaran, lalu keluar bersama-sama anggota yang lain. Di luar, mereka letupkan kereta pacuan empat roda aku dengan bom tangan.

Letupkanlah. Kereta dan apa jenis kenderaan persendirian tidak berguna lagi di sini. Harga bahan api naik melambung, tiada siapa mampu membelinya lagi. Duit Ringgit Malaysia tiada lagi mempunyai nilai. Tukaran wang asing sudah melangkaui angka RM 1000 untuk satu Dolar Amerika.

Nyawa cuma berharga bila ada bersama kau senjata, rifel dan peluru, pisau atau pedang. Bila kau mempunyainya, kau seorang pejuang, tak kira apa perjuangan kau, itulah yang membuatkan kau dan nyawa kau berharga di masa-masa getir seperti ini.

Sama ada kau mati terbunuh, atau hidup membunuh.

Aku, mengesot perlahan-lahan ke pintu stor. Kaki aku sudah patah agaknya. Rasa kebas dan ngilu dekat tulang peha. Patah kena sepak dengan askar Pembela Watan tadi. Kemudian aku berpaut pada tombol pintu, aku gagahkan diri untuk bangun dengan sebelah kaki.

Kotak-kotak yang berselerak akibat diselongkar oleh askar fasis yang singgah tadi, aku alihkan, sehingga aku nampak permukaan lantai yang dibalut dengan tikar getah. Dibawahnya terletak sekeping papan lapis. Aku alihkan kesisi. Terlihat satu penutup besi seperti yang biasa dilihat di atas permukaan jalan.

Aku bukakan penutup tersebut, kelihatan satu lurang yang lengkap dengan tangga tegak menuju ke ruang bawah. Terdengar sayup gema bunyi orang terbatuk.

Apabila aku sampai ke bawah dengan susah payah menahan kesakitan menuruni tangga itu, semua penghuni ruangan itu menyerbu aku.

"Apa hal tadi, are you ok?" Lim, bekas bos aku menanyakan keadaan diri aku, wajahnya penuh kerisauan. Isterinya sedang tersandar lesu di dinding. Ah Seng jiran sebelah rumah duduk sambil memeluk kedua-dua anaknya. Isterinya terbaring tidak bermaya. Sudah 3 minggu mereka duduk di ruang itu dan hanya makan sekali sehari, bekalan makanan yang ada tidak cukup untuk menampung semua orang dalam jangkamasa yang panjang jika mereka makan lebih dari sekali sehari. Walaupun begitu bekalan makanan mungkin akan sampai dalam sehari dua ini.

"Fucking fascist pigs datang, I almost dead up there.."
"They know?"
"Nope...but i think they suspect me ada simpan you all kat sini..."

Bini aku, aku hantar ke kampung beberapa hari sebelum penggulingan kerajaan berlaku. Masa itu, khabar angin kencang bertiup, aku harus selamatkan apa yang aku miliki. Di kampung lebih selamat, kerana kebanyakkan mereka pro-Pembela Watan, namun apa yang penting anak dan bini aku selamat di sana.

Di kawasan bandar seperti di sini, tempat tinggal aku, banyak sekali pertempuran berlaku, kerana askar Pembela Watan yang menggulingkan kerajaan menghadapi tentangan sengit daripada pemberontak. Pemberontak Gelombang Baru. Pro kepada idea satu negara, satu bangsa. Ideologinya berpaksi kepada keadilan untuk semua, tiada kaum yang lebih supreme dari yang lain.

Mereka gelarkan diri mereka pemberontak, kerana ahli-ahli mereka berlatarbelakangkan aktivis masyarakat, golongan kiri, sosialis, rakyat biasa, golongan pekerja, dan dari segenap lapisan masyarakat yang anti-establishment, yang menentang polisi pemerintah dari zaman kemerdekaan yang memerintah mengikut pecahan kaum walaupun setelah lebih 70 tahun merdeka.

Operasi mereka tidak mempunyai sebarang modus operandi yang tetap, walaupun kebanyakkan daripada operasi mereka adalah menggunakan teknik serang hendap ala gerila dalam unit-unit yang kecil.

Namun siapa yang membiaya mereka, aku tidak pasti.

Satu pandangan menyebut, pemerintahan sebelum kerajaan yang ada digulingkan ini, dari zaman merdeka hanya meniru corak pemerintahan penjajah. Divide and Rule. Sejak sekian lamanya itulah corak perundangan dan polisi penjajah itu diguna pakai.

Pembela Watan ini adalah puak ekstremis serpihan dari parti pemerintah yang pada mulanya cuba meraih sokongan melalui politik, namun cubaan itu gagal, dan akhirnya, mereka merampas kuasa menggunakan kekerasan, dan yang menjadikan mereka entiti yang kuat adalah kerana mendapat sokongan sebahagian besar dari pihak tentera kerajaan.

Setelah mendapat kuasa memerintah, keadaan menjadi sangat teruk. Ekonomi terus jatuh menjunam, rakyat hilang pekerjaan, orang-orang Cina, India, Serani dan semua yang bukan bumiputera dihalau keluar dari rumah mereka. Rumah mereka dibakar, ada yang terbunuh dalam kebakaran.

Mereka ini menjadi pelarian, berjalan tanpa hala tuju ke sana ke mari, kebanyakkannya apabila bertembung dengan bala tentera Pembela Watan ini, akan dibunuh begitu sahaja, ada yang dirogol, ada yang diseksa, semuanya atas nama bangsa.

Sesiapa yang bersekongkol dengan orang bukan bumiputera akan diseksa dan dibunuh. Apatah lagi didapati melindungi mereka.

Malaysia pada masa ini telah disekat ekonominya oleh Polis Dunia, Amerika dan PBB. Tanah yang dulunya dikenali Suvarnabhumi atau bumi emas, kini menjadi bumi neraka. Keadaan huru hara di sana sini. Pembela Watan telah mengisytiharkan nama Tanah Melayu sebagai nama baru negara ganti kepada Malaysia.

Keadaan yang gelap, lembab dan kadang kala bau busuk yang keluar dari saluran udara yang bersambung dengan tangki najis, meresahkan 9 susuk badan yang berlindung di ruang bawah tanah itu. Walaupun aku boleh saja untuk naik ke atas tapi aku tidak mahu, aku hanya akan naik bila perlu, dan dengan kaki aku yang tercedera ini, barangkali aku mungkin lama akan duduk di bawah ini.

Tiba-tiba kedengaran penutup lubang itu diketuk berkala-kala. 3 ketukan, senyap. 1 ketukan, senyap. Sampai 3 kali.

Aku tahu, bantuan telah tiba. Tiga atau empat hari lepas aku berjaya berhubung dengan unit tentera pemberontak yang terdekat melalui radio amatur. Aku suruh Lim bukakan penutup, walaupun dia agak risau dan terkejut pada mulanya. Aku katakan, bantuan telah tiba, dengan teragak-agak dia memanjat tangga untuk membuka penutup lubang ke ruang atas.

"Eh, kau Zul?"
"Ya, Allah! Macam drama dah ni!", disambut dengan derai tawa gembira dan satu pelukan.

Tanpa disangka, aku bertemu sahabat lama yang sudah lama tidak ketemu. Dia anggota unit yang datang memberikan bantuan makanan dan senjata kepada kami. Lim dan isterinya, Uncle Dorai, Pakcik Kelantan mahu mengikut mereka mengangkat senjata, tidak betah lagi untuk terus bersembunyi. Cuma Ah Seng dan keluarganya tidak ikut serta, Ah Seng tidak mahu meninggalkan anak-anak dan isterinya.

Aku, sangat-sangat mahu untuk bersama mereka, namun keadaan fizikal aku yang cedera ini, akan melambat-lambatkan pergerakan mereka.

Selepas memberikan bantuan perubatan yang sepatutnya kepada kecederaan di kaki aku, unit tersebut meninggalkan kami dengan bekalan makanan dan senjata untuk mempertahankan diri. Dua laras AK-47 beserta bekalan peluru untuk aku dan Ah Seng.

Aku terkenang kembali di zaman tanah air ini masih aman dan tenteram. Mungkin ini semua terjadi akibat perasaan was-was, buruk sangka, rasa tidak puas hati dan iri hati yang terpendam sekian lama dikalangan warganegara. Segala isu, tidak dibincangkan secara jujur, sebaliknya pendekatan autoritarian yang menekan segala pandangan yang bertentangan dengan dasar kerajaan di patahkan tanpa hujah ilmiah yang bernas. Itu belum lagi dengan para opportunis yang mengambil kesempatan di atas segala kelemahan yang ada untuk kepentingan diri atau golongan yang mereka wakili, akibatnya puak-puak fanatik dan eksterimis ini mengambil jalan sendiri untuk berkuasa.

Aku terfikir betapa susahnya, nenek moyang kita dulu berjuang untuk kemerdekaan negara dari cengkaman penjajah, baik yang menentang secara bersemuka, berselindung, menentang menggunakan senjata atau yang menggunakan diplomasi. Kesemuanya untuk memerdekakan tanah air yang tercinta ini, tetapi senang sekali untuk kita meruntuhkannya.

Kini, apa yang aku takutkan sangat telah menjadi kenyataan. Aku juga terfikir, sambil menggenggam erat laras AK-47 ini, is it worth it?

3 comments:

tunfrida said...

salaam.

encik, ko tak pernah cuba hantar koleksi cerhypen ko ni ke pertandingan karangan bahasa melayu ke...ehh..gurau. but i mean it, any UTUSAN's award ke?

aranhellstorm said...

tah penah le nomi... wat ni pun nak latih dan asah bakat yg tak berapa ade...

and paling penting just suka buat...

heh..

tunfrida said...

penat mengasah, bila nak tahu tajam ke idak? ayuh, di coba, pak!

StatCounter