Thursday, June 25, 2009

Berita Terlambat Sikit


Mungkin kerana aku sudah khabarkan di Facebook, aku terlupa untuk memberitahu di sini, yang mana aku sudah bergelar bapa kepada dua orang anak.

Akif Raeid - atau sebutannya 'Akif Ra-id,

membawa maksud 'orang yang menumpukan perhatian atau orang yang beri'tikaf yang mengetuai, yang merintis (pioneer) ' semoga menjadi anak yang soleh hendaknya. Insya Allah.

Selamat dilahirkan pada 15 Jun 2009 jam 5.03 a.m di Hospital Putrajaya.

Sarah Afiqah sudah ada temanlah sekarang!

Mari Menikmati Seni Di Tepi Jalan

PEKAN FRINJAN
27 JUN 2009
Jam 5 Petang sampai Larut Malam, atau sampai dah tak ada orang.
Dekat Laman Menara Jam Dataran Shah Alam

Ada gerai, ada puisi, ada lagu, ada band, ada aktivis, ada artis, ada orang seni, ada awek cun, ada Zulhabri. hahahahah!


Wednesday, June 24, 2009

Simpang Kerjaya

Pekerjaan. Karier. Kerjaya. Maksudnya melakukan sesuatu dan dibayar atau diupah setelah melakukan sesuatu kerja itu. Apa sahaja di dunia ini, lagi-lagi di zaman globalisasi, era kapitalisma ini semuanya boleh mendatangkan pekerjaan dan menjana pendapatan. Jangan kata sampah, taik pun boleh mendatangkan pendapatan, menghasilkan duit, asal mau atau tak saja.

Kerjalah apa saja asal dapat wang, dapat teruskan hidup, dapat memberi makan pada perut sendiri, atau perut-perut lain yang bergantung harap pada kita. Tapi itu jika kita hanya fikir dalam ruang lingkup persendirian, diri sendiri dan keluarga.

Tapi jika dibukakan seluasnya minda ini kepada cakupan skop yang lebih besar dari itu, difikir tentang bangsa, tentang agama, adakah kita hanya mahu sekadar ada kerja dan mendapat upah sahaja. Secara kolektifnya, taraf dan mutu pekerjaan kita ini sebenar faktor penyumbang yang amat besar dalam pembentukan sosio-ekonomi sesuatu bangsa.

Jikalau mahu menjadi guru, harus mahu jadi guru yang sanggup berhabis, bersusah untuk mendidik anak bangsa walau di hantar ke ceruk pendalaman mana sekalipun. Bukan cikgu yang baru saja dapat surat tawaran sudah resah gelisah, komplen sana, komplen sini sebab mahu minta tukar kerja jauh dari keluargalah, jauh di pendalaman lah, segala-galanya susah.

Kalau mahu jadi pegawai kerajaan, jadilah pegawai yang beretika, bermaruah, ceria kerana kamu berkhidmat untuk negara dan memberi perkhidmatan kepada warga dan rakyat. Tapi yang malangnya, rakyat datang buat kompelin di layan macam bukan manusia. Rakyat datang mahu berjumpa pegawai dalam waktu pejabat, pegawai tiada di pejabat belum pulang dari minum pagi.

Jika mahu jadi kontraktor, jadilah kontraktor yang akan menjadi pakar dalam bidang kejuruteraan masing-masing, janganlah jadi kontraktor yang hanya pakar mencari peluang dan kontrak, kemudiannya makan persen dengan menjual kontrak itu kepada pihak lain.

Jika mahu menjadi apa pun, berusahalah mencapai apa yang dihajati. Apa yang penting kita minat untuk melakukannya dan bukan kerana terpaksa atau dipaksa, kerana hasil kerja kita bergantung kepada nawaitu kita, jika nawaitu kita seawal pagi tatkala melangkah keluar rumah sudah berbau negatif seperti malas, letih, tak ada mood, tak minat, dan pelbagai lagi konotasi negatif, masakan hasil kerja kita boleh jadi cemerlang.

Dan sekarang aku sudah 4 tahun di firma kontraktor sederhana besar ini. Ketika ini datang pula peluang untuk memajukan diri bergolek-golek di kaki. Keputusan pun sudah dibuat, surat tawaran pun sudah ditandatangani, apa pun kehidupan selepas ini harus dijalani sebaik mungkin.
Harap-harap keputusan ini betul-betul memberikan aku hasil yang terbaik dari segi pengalaman dan ekonomi aku dan keluarga.

Err... keluarga membentuk masyarakat, masyarakat membentuk bangsa. Hehehe....

Friday, June 19, 2009

Hati Ini Telah Mengikat Setia

Hati ini telah bersatu
Berkumpul di perut bumiMu
Hati ini telah berpadu
Bersatu memikul beban dakwahMu

Hati ini telah mengikat setia
Untuk mendaulat
Untuk Mendokong syariatMu di alam maya
Maka ya Allah.. eratkanlah ikatan yang ada

Kekalkan kemesraan yang ada
Tunjukkanlah jalan yang benar
Tunjukkanlah dengan cahayaMu
Tiada malap terangi alamMu

Hidup suburkanlah dengan ma’rifatMu
Tapi jika ingin mematikannya
Matikanlah sebagai syuhada’
Dalam perjuangan menegakkan agama yang mulia..


Aku sebetulnya sudah lupa sebahagian dari lirik doa cum nasyid Rabitah Hati yang selalu dilaungkan masa sekolah dulu, dan hasil dari carian menerusi Google, terjumpa blog seorang junior aku dulu, Sehening Kalbu yang membantu aku mengingati kembali bait-bait kata dalam nasyid tersebut selengkapnya.

Bersempena ULTAH (bak kata Bert abbreviation for Ulang Tahun) ke 15 SMKAKS, ini pos khusus untuk meraikannya.

Apa yang best sangat tentang SMKAKS ni?

Kat Asrama, tv pun takde, terpaksa pecah masuk bilik tv sekolah sebab nak tengok World Cup.

Menu dewan makan, aku rasa atas sebab keterpaksaan makanan dalam tray biru tu habis kalau tak mahu kelaparan nanti.

Tempat tidur? Nasib la siapa yang dapat katil yang kipas dindingnya sudah rosak atau bilahnya ynag sudah patah-patah. Locker kayu tu pulak, lagi selamat letak duit bawah bantal dari letak dalam locker tu, kalau nak rasa selamat, kena beli pad lock sendiri. Boleh tahan lama kalau tak kena kopak sebab ada orang nak sebat makanan, ataupun spotcheck.

Budak laki macam aku ni pulak, tengok budak perempuan macam alien, kalau kena jalan sorang-sorang melepasi atau melintasi sekumpulan budak perempuan, mesti ada rasa kupu-kupu terbang dalam perut, silap hari bulan kalau ada sakit jantung mungkin boleh pengsan tiba-tiba, bila suruh cakap kat depan kelas, terketar-ketar, rasa nak habiskan secepat yang mungkin, sampai entah apa yang di mumblingkan kat depan pun tak tau, tapi bila dalam kelompok yang ramai, lagak mengalahkan samseng lagi.

Bilik air pulak, selalu tersumbat, sampai bertakung-takung air, shower head pun dah hilang, kadang-kadang air laju, kadang-kadang air slow, kalau malam-malam menyeramkan pulak. Hahahaha...

Cikgu-cikgu pulak, banyak yang masih ikut method biasa. Selalunya membosankan. Untung dapat cikgu-cikgu macam Pn Elina, Cikgu Jeman, Cikgu Sudarmi, Cikgu Syawal, Ustazah Normala sekadar menyebut beberapa nama, yang mengajar merentasi silibus, kurikulum dan di luar kaedah yang biasa.

Jadi apa yang best sangat SMKAKS ni?

Fast forward 15 years dari 19 Jun 1994.

Petang-petang minum kopi, masih lagi bersama sahabat-sahabat yang pernah satu dorm, satu kelas dan paling tidak pun pernah berkongsi satu dewan periksa walaupun sudah lebih 11 tahun meninggalkan bangku sekolah.

Bukan sekadar angkatan rakan sebaya aku sahaja, aku tengok batch lain pun, seperti Bro Idi & the gang, X-SMAS, batch Che Poon, Batch Napis, (sekadar menyebut beberapa nama) masih lagi berhubungan dan bertemu sekerap mungkin selepas tamat sekolah.

Mungkin berkat nasyid Rabitah Hati yang kami selalu lagukan itu agaknya.

Selamat Ulang Tahun ke 15 kepada semua SMKAKSian di mana jua kalian berada.



P.S: Sedikit fakta mengenai Rabitah Hati:

1) Kata-kata yang terkandung dalam liriknya dipetik dan diekstrak dari Al Ma'thurat himpunan doa-doa dalam satu buku kecil.

2) Di bawa masuk dan diperkenalkan di SMKAKS sekitar tahun 1995 menerusi perpindahan pelajar-pelajar SMAS (SMKA Selangor di Kajang ~ batch Ros Iryani, Hafizul Bard dan rakan-rakan) ke SMKAKS.

3) Menjadi ritual setiap kali selepas sembahyang fardhu, selepas ceramah dan kuliah agama, dan program-program di Musolla.

Thursday, June 4, 2009

Entah

Dah berhari- hari rasanya aku tengok blogger dashboard ni, tapi dengan minda kosong. Tak tau apa yang hendak dicoretkan, dimuntahkan, diinzalkan.

Idea ada banyak dalam kepala hotak, tapi tak dapat dituliskan, tak dapat ditumpahkan di atas ruang putih ini. Ada yang hilang begitu saja. Rugi. Macam orang tengah datang nafsu syahwat, tapi tak boleh dipancutkan.

Hahahaha...!

Sarah Afiqah semalam dah genap setahun, maknya pula tengah menunggu masa untuk pengeluaran produk syarikat kami, Asyran dan Elya Sdn Bhd yang kedua. Yang kedua ini orang Inggeris kata, accident. Orang kita cakap, eksiden. Tak seng-haja kata orang dulu-dulu.

Tapi begitulah adanya kehendak kita dan kehendak Allah. Rancangan kita dan rancangan yang Maha Merancang. Tahu-tahu tambah lagi satu. Tahu-tahu saja ada peluang lain datang mengintai untuk menambah rezeki kita.

Bila peluang itu datang mengintai, sekaligus meletakkan kita di satu persimpangan. Apabila jalan yang kita lalui sebelumnya penuh dengan liku dan ranjau berduri, mungkin senang bagi kita untuk memilih untuk bertukar arah di persimpangan itu jikalau jalan yang ditawarkan di persimpangan itu bertar macadam lagi lurus buatannya.

Apa pula jika jalan yang kita lalui sebelumnya biasa dan baik-baik saja, agak selesa bagi kita, dan kita tiba di satu persimpangan yang kita tidak tahu bagaimana pula bentuk rupa permukaannya.

Apa pun keputusan harus di buat dan bersedia sahajalah dengan akibat dan ganjarannya.

P.S: "Rancang dengan apa yang ada ditangan... bukan yang kita angan-angankan.." Ulang tahun 15 tahun SMKAKS (19 Jun 1994 ~ 19 Jun 2009) dah dekat, sahabat-sahabat, buat barbeku lagi??

StatCounter