Sunday, September 16, 2007

Puasa di Hari Minggu

Puasa di hujung minggu memang seronok. Nak tidur sampai petang pun tiada apa yang dapat mengganggu, macam rutin zaman belajar dulu. Jadi kelawar. Siang tidur, malam aktif dengan pelbagai aktiviti. Tapi aku taklah tidur sepanjang hari di hari minggu ini walaupun puasa, kalau tidur sahaja, terasa rugi pula.

Tadi bangun tidur pun tidaklah lewat sangat, kira-kira pukul 10.30 pagi aku sudah terjaga. Aku bangun dan menggosok gigi tetapi tak mandi, maklumlah bulan puasa ni, saja lewatkan sikit mandi ke tengahhari nanti. Bangun saja sudah menghadap PC dan internet. Oleh kerana tiada apa yang menarik di alam maya, aku belek-belek (Litat, takde niat nak kutuk kau ni! hehehe...) koleksi DVD aku, kemudian terlihat satu DVD-R pelbagai tajuk dihadapannya. Lantas aku masukkan ke dalam drivenya dan aku pun menonton filem Babel yang belum lagi aku tonton walaupun telah lama berada dalam simpanan aku (ihsan: Labu)

Lebih dua jam aku menonton filem ini, dan memang wajarlah di calonkan ke Academy Awards ataupun anugerah festival filem yang lain sepeti Cannes ataupun Berlin kerana mesej dan jalan cerita yang menarik walaupun sedikit perlahan.

Malaslah aku nak ulas filem ini di sini, sudah lama lagipun, walau apa pun, kepada sesiapa yang belum menonton filem ini diingatkan terdapat adegan yang boleh mengurangkan pahala puasa anda jika ditonton pada siang hari! heh.

Malam tadi aku menonton filem Disturbia, walaupun DVD nya sudah aku dapatkan beberapa minggu lepas, namun kerana kekangan masa, barulah semalam aku dapat menontonnya. Kisahnya yang agak menarik untuk ditonton terutama kepada para-para penyumbangleweng dan mat-mat skodeng untuk menambah ilmu bagaimana mahu memperluaskan pengetahuan tentang arena intip mengintip ini. Dalam filem ini aku jatuh cinta pula kepada heroinnya iaitu Sarah Roemer seorang pelakon/model yang baru meningkat naik.

Ok lah, sekarang aku mahu keluar. Selamat ketemu lagi.

Wednesday, September 12, 2007

Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak

Kepada semua teman-teman, aku ucapkan selamat berpuasa. Semoga kita dapat menggagahkan diri dari segala godaan dan cubaan.

Tibalah masa untuk kita menyerang pasar-pasar Ramadhan untuk mencari sebungkus murtabak!

Selamat bertarawikh dan selamat berbuka puasa.

Hari Yang Letih

Belum mula puasa, aku dah mula merungut-rungut letih. Semalam sebenarnya aku kepenatan berkejar kesana kemari sebenarnya. Pagi-pagi lagi aku dah keluar bertemu kenalan niaga untuk untuk urusan projek yang bakal diperolehi. Menghantar beberapa dokumen syarikat ke pejabatnya di Kelana Jaya, kemudian aku ke Taman Perindustrian Subang Mewah USJ1 untuk bertemu dengan Faisal, junior aku di sekolah dulu, untuk meminta bantuan dari kemahiran beliau membuat lukisan kejuruteraan menggunakan AutoCAD.

Setelah makan tengah hari dan membuat sedikit perubahan pada lukisan yang beliau telah siapkan aku bergegas ke Kuala Selangor untuk mesyuarat pra-pembinaan (kick-off meeting) untuk Projek SYABAS di sana. Mesyuarat dijadualkan berlangsung pada pukul 3 dan jam 2.30 petang aku telahpun selamat sampai di sana.

Di dalam mesyuarat, tiba-tiba wajah yang aku kenali tiba-tiba menerjah masuk ke dalam bilik mesyuarat, rupa-rupanya teman sekuliah aku dulu adalah antara kakitangan pengurusan tertinggi di sana. Alangkah kecilnya dunia ini dan bagaimana putaran masa dan kehidupan ini bagai roda yang berputar. Yalah, masakan dulu sama-sama menuntut dan sekarang beliau berada di atas aku. Aku kontraktor dan dia klien, dan sebenarnya beliau ini dulu adalah kurang popular atas sebab-sebab tertentu dan menjadi bahan umpatan rakan-rakan lain, termasuklah aku yang bersubahat sekali. Tetapi sekarang, bagaimana indahnya kehidupan ini, kalau dulu orang yang kita kutuk dan caci kita hina sehina-hinanya, hari ini orang itu kita jilat-jilat pula kakinya, kita sujud, kita hormat dan kita julang setinggi-tingginya. Oleh itu berlaku adillah kepada orang lain di sekeliling kita.

Selepas mesyuarat, dan berbual sekejap dengan teman aku itu, tepat 5.30 aku lantas bergerak ke Kuala Lumpur pula untuk mengambil rakan perniagaan bos aku di Pekeliling. Jam 6.30 aku tiba di sana. Setelah puas mengelak jalan-jalan yang sesak aku dapat juga keluar dari KL yang sesak ketika waktu puncak yang kesemuanya berpusu-pusu keluar dari bandaraya. Aku melalui Bulatan Pahang menuju ke Jalan Sentul kemudian terus ke Jalan Ipoh dan akhirnya keluar di Segambut menuju ke Jalan Duta melalui fly over yang baru dibuka di atas bulatan lama Jalan Duta untuk menuju ke Puchong melalui NKVE.

Jam 7.15 aku sampai di Puchong dan kemudian aku kembali ke pejabat untuk menyediakan beberapa dokumen yang perlu disiapkan.

Walaupun sebanyak 2 botol Livita Honey telah aku habiskan, kepenatan masih lagi terasa, dan jam 9.30 aku pulang ke rumah. Tamatlah kisah sehari yang letih sebelum mula berpuasa.

Heh!

Tuesday, September 4, 2007

Titik Itu

Titik itu
Hitam gelap pekat
terlalu banyak

Titik itu
Hitam gelap pekat
menyerang
segumpal daging
bagai hujan
membasahi bumi
setitik demi setitik
sampai hitam semuanya

Titik itu
Hitam gelap pekat
sampai aku juga
turut terkurung
dalam gelap
bukan gelap malam
bukan gelap hitam

Titik itu
Hitam gelap pekat
memusnahkan
memualkan
memeritkan
menghibakan

Titik itu
Hitam gelap pekat
mengerumun, menghambat
aku yang mendakap erat
dua tinggalan Muhammad
untuk para sahabat
untuk semua umat

Sunday, September 2, 2007

Hujung Minggu yang Memenatkan!

Jumaat bersamaan 31 Ogos 2007, ulangtahun Kemerdekaan Malaysia ke 50, bermakna cuti umum untuk semua, maka cuti hujung minggu yang lebih panjang sehari daripada biasa. Perancangan malam Merdeka aku pula tak seperti yang dirancang, kerana keadaan kesihatan aku yang tak mengizinkan, makanya aku menyambut malam merdeka dengan terbaring lesu dihadapan kaca tv. Pada mulanya, aku dan isteri bercadang untuk menonton percikan bunga api di Putrajaya, maka disebabkan keadaan aku yang lemah, maka akhirnya aku menonton sambutan di kaca tv sahaja dan dek kerana ucapan-ucapan yang panjang dari ahli-ahli politik negara, aku alihkan pula ke rancangan sukan di saluran ESPN untuk menonton undian Champions League secara langsung dari Monaco.


Pada siangnya pula, aku bangun lewat, dan kepala aku kurasakan tersangat berat seolah-olah kaki todi yang mabuk dan kesiangan, tekak pula aku rasakan seperti disimbah asid hidroklorik, perit dan pedih terpaksa di tahan. Hari ini aku menunggu keluarga isteriku datang bertandang, dan hanya tiba pada waktu tengahharinya.


Selepas Jumaat dan makan tengahhari, kami bertolak menuju ke Putrajaya untuk melawati tapak Festival Floria yang diadakan di Monumen Mileneum, Precint 2. Setelah ibu mertuaku membeli bunga orkid yang diingininya, kamu pun bergerak menuju ke Restoran Nelayan Titiwangsa untuk menikmati stimbot yang ditaja oleh biras aku yang aku panggil Abang Long.


Kemudian, aku dan isteri singgah sebentar di rumah kami di Puchong sebelum berangkat pulang ke kampung halaman. Perjalanan kami agak lancar walaupun terdapat 3 bilangan sekatan jalanraya yang dilakukan oleh PDRM sepanjang perjalanan dari Puchong ke Tanjong Karang.


Dalam perjalanan pulang, Apai menghubungiku untuk mengajak kami berkaraoke bersama beliau dan isteri, namun apakan daya, aku sudah dalam perjalanan pulang ke kampung.


Di kampung, tak banyak yang boleh aku lakukan selain makan, tidur dan melepak di kedai teman sekampung, Aai, sambil bermain permainan video bolasepak Winning Eleven di kedainya, sambil-sambil membantu beliau melayan pelanggan yang bertandang ke kedai runcitnya. Di rumah tak lepas dari perang Winning Eleven dengan Abang Long yang agak mesra juga dengan aku, walaupun usianya jauh lagi tua daripada aku, dan sudah agak berjaya dalam kerjaya dan telah mempunyai 3 orang cahayamata.


Malamnya pula, menonton perlawanan bolasepak Liga Perdana Inggeris, menyaksikan pasukan aku dengan penuh keyakinan membelasah pasukan Derby County 6-0 hasil jaringan pemain-pemain baru Fernando Torres (2 gol), Ryan Babel dan Andrei Voronin. Xabi Alonso menyumbangkan 2 gol dalam perlawanan yang menyaksikan bintang dan anak jati Liverpool, Carragher dan Gerrard disisihkan akibat kecederaan.


Selepas perlawanan, aku, Labu dan Apai keluar minum di Sekinchan sambil bermain snuker beberapa pusingan. Sudah lama tidak merasakan kehidupan bujang yang kebanyakkan masa akan kesiangan akibat menjadi burung hantu disebelah malamnya. Sekitar 2.30 kami pun pulang itupun setelah isteri masing-masing bising-bising dihujung corong telefon. Buat seketika kami merindui kehidupan lama kami dan mungkin masing-masing pun terdetik di hati bahawa betapa cepatnya masa berlalu, dan sekarang kehidupan yang dirindui itu sudah diganti dengan beban tanggungjawab yang maha besar tergalas di batu jemala kami, lebih-lebih lagi Labu yang sedang menanti kehadiran orang ketiga dalam hidup mereka, semoga isteri kamu selamat melahirkannya nanti, Labu!


Pagi-pagi tadi aku sudah bertolak pulang. Kami singgah di Puduraya untuk menghantar adik iparku yang pulang kembali ke UiTM Melaka kemudian barulah menuju ke Puchong. Sampai sahaja dirumah, melihat keadaan rumah yang bersepah, aku mengemas-ngemas dan membersihkan lantai dan tangga supaya sedap mata memandang. Seperti biasa, pantang waktu senggang, DVD pasti ditonton. Kali ini filem bertajuk Fracture lakonan Anthony Hopkins dan Ryan Gosling. Bagi aku filem ini sekali lagi Hopkins membawakan watak streotaipnya sebagai seorang psiko yang teliti yang membunuh isterinya yang curang. Cantiknya jalan cerita ini ialah kerana situasi yang digarap oleh penulis cerita ini Daniel Pyne dan Glen Gers berjaya membuatkan aku terpaku di ruang tamu, errr... walaupun tontonan terhenti selama sejam kerana memberi laluan kepada Melodi yang bersiaran pada jam 12.30 tengahhari.


Sedikit sinopsis filem tersebut yang baru sahaja menjenguk skrin lebar di panggung-panggung wayang tanahair, dan telah ditayangkan di USA pada April 2007. Kisah ini yang mengisahkan Hopkins sebagai Ted, seorang jurutera struktur yang merancang pembunuhan isterinya dengan teliti. Isterinya yang curang dengan kekasihnya, seorang pegawai penyiasat, Lt Nunally, pegawai yang bertanggungjawab memberkas Ted yang bertindak mengurung dirinya di dalam rumahnya selepas beliau menembak isterinya. Isterinya tidak mati namun koma selepas kejadian itu. Kemudian datanglah satu watak pendakwaraya yang baru meningkat naik dan 97% daripada kesnya berjaya disabitkan kesalahan dan dalam proses untuk bertukar kerjaya kerana telah diterima masuk ke dalam sebuah firma guaman terkenal di Los Angeles. Watak ini bernama Willy Beachum seorang penolong pendakwaraya. Willy, oleh kerana pencapaiannya, ketika beliau diberikan kes ini, dimana kes ini sebagai kes terakhirnya di pejabat pendakwaraya, beliau hanya memandang sebelah mata sahaja terhadap kes ini, dan apa yang beliau tidak nampak adalah sebenarnya beliau berhadapan dengan seorang psiko yang cerdik dan teliti dalam mengatur strateginya. Ted pula telah mengaku secara lisan dan membuat pengakuan bertulis bahawa beliau mengaku menembak isterinya dan menambahkan lagi keyakinan Willy bahawa ini adalah satu lagi kes mudah dan pasti cepat untuk diselesaikan. Adakah Ted boleh terlepas dari tuduhan cubaan membunuh isterinya ataupun dapatkah Willy membuktikan kes ini?


Filem bercorak perbicaraan, penyiasatan ini memang sangat aku gemari. Peguam mungkin salah satu profesion yang sangat aku kagumi, filem dan drama seperti Double Jeopardy, Law & Order, The Jury, Reasonable Doubts, Ally McBeal memang menjadi tontonan kegemaranku. Bagi mereka yang menggemari lakonan Hopkins dalam Silence of the Lambs, Red Dragon dan Hannibal memang aku sarankan agar menonton filem ini, kerana tahap psiko si Ted ini sama dengan Hannibal Lecter walaupun begitu Ted dalam filem ini bukanlah seorang kanibal seperti Hannibal, namun seperti yang aku katakan tadi, Ted sememangnya seorang psiko. Gila!


Oh ya, hari ini sebenarnya hari ulangtahun pertama perkahwinan aku. Doakan aku semoga rumahtangga aku bahagia! Ok?

StatCounter