Wednesday, September 12, 2007

Hari Yang Letih

Belum mula puasa, aku dah mula merungut-rungut letih. Semalam sebenarnya aku kepenatan berkejar kesana kemari sebenarnya. Pagi-pagi lagi aku dah keluar bertemu kenalan niaga untuk untuk urusan projek yang bakal diperolehi. Menghantar beberapa dokumen syarikat ke pejabatnya di Kelana Jaya, kemudian aku ke Taman Perindustrian Subang Mewah USJ1 untuk bertemu dengan Faisal, junior aku di sekolah dulu, untuk meminta bantuan dari kemahiran beliau membuat lukisan kejuruteraan menggunakan AutoCAD.

Setelah makan tengah hari dan membuat sedikit perubahan pada lukisan yang beliau telah siapkan aku bergegas ke Kuala Selangor untuk mesyuarat pra-pembinaan (kick-off meeting) untuk Projek SYABAS di sana. Mesyuarat dijadualkan berlangsung pada pukul 3 dan jam 2.30 petang aku telahpun selamat sampai di sana.

Di dalam mesyuarat, tiba-tiba wajah yang aku kenali tiba-tiba menerjah masuk ke dalam bilik mesyuarat, rupa-rupanya teman sekuliah aku dulu adalah antara kakitangan pengurusan tertinggi di sana. Alangkah kecilnya dunia ini dan bagaimana putaran masa dan kehidupan ini bagai roda yang berputar. Yalah, masakan dulu sama-sama menuntut dan sekarang beliau berada di atas aku. Aku kontraktor dan dia klien, dan sebenarnya beliau ini dulu adalah kurang popular atas sebab-sebab tertentu dan menjadi bahan umpatan rakan-rakan lain, termasuklah aku yang bersubahat sekali. Tetapi sekarang, bagaimana indahnya kehidupan ini, kalau dulu orang yang kita kutuk dan caci kita hina sehina-hinanya, hari ini orang itu kita jilat-jilat pula kakinya, kita sujud, kita hormat dan kita julang setinggi-tingginya. Oleh itu berlaku adillah kepada orang lain di sekeliling kita.

Selepas mesyuarat, dan berbual sekejap dengan teman aku itu, tepat 5.30 aku lantas bergerak ke Kuala Lumpur pula untuk mengambil rakan perniagaan bos aku di Pekeliling. Jam 6.30 aku tiba di sana. Setelah puas mengelak jalan-jalan yang sesak aku dapat juga keluar dari KL yang sesak ketika waktu puncak yang kesemuanya berpusu-pusu keluar dari bandaraya. Aku melalui Bulatan Pahang menuju ke Jalan Sentul kemudian terus ke Jalan Ipoh dan akhirnya keluar di Segambut menuju ke Jalan Duta melalui fly over yang baru dibuka di atas bulatan lama Jalan Duta untuk menuju ke Puchong melalui NKVE.

Jam 7.15 aku sampai di Puchong dan kemudian aku kembali ke pejabat untuk menyediakan beberapa dokumen yang perlu disiapkan.

Walaupun sebanyak 2 botol Livita Honey telah aku habiskan, kepenatan masih lagi terasa, dan jam 9.30 aku pulang ke rumah. Tamatlah kisah sehari yang letih sebelum mula berpuasa.

Heh!

No comments:

StatCounter