Friday, November 16, 2007

10 Teratas - Lagu Semangat dan Emosi

Lagu. Dalam dunia ini, ada macam-macam lagu. Lagu sedap, lagu tu, lagu ni. Di Malaysia sejak dari awal industri muziknya yang menyanyikan lagu saduran sehinggalah beratus-ratus lagu tercipta saban tahun, ada pelbagai jenis lagu dapat dihasilkan.

Ceritanya di sini bukanlah fasal lagu paling popular mahupun juara lagu, tetapi lagu yang menaikkan semangat. Tak kiralah semangat fasisme ke, semangat patriotik ke, semangat assabiyyah ke, ataupun Semangat 46. Hehehehe....

Ini cerita 10 lagu yang boleh membikin bulu roma aku meremang, darah tiba-tiba mendidih, adrenalin tiba-tiba bergejolak dan dada tiba-tiba kembang dan perut tiba-tiba kempis. Air mata tiba-tiba meleleh. Heh.

10. Lagu Nur Nilam Sari, nyanyian Awie dan Search. Ciptaan M Nasir.

Lagu tema SPM 98. Sebab aku ambil SPM tahun 98, dan lagu ni tiap-tiap minggu jadi Juara Carta Era. Fasal masa tu pun heboh fasal gelombang radio-radio berformat ni, Era lah, Hitz FM lah. Jadi apabila terdengar lagu ni, terkenang zaman sekolah dan tiba-tiba aku rasa semangat sekolah itu datang menjenguk sebentar.

9. Lagu I'tiraf, nyanyian Raihan.

Lagu ketuhanan. Nasyid yang ini berkenaan rintihan seorang pendosa yang tak mahu masuk neraka tetapi tahu diri sendiri tak pula layak masuk neraka. Macam aku. Jadi dengar lagu ni, kalau tengah memandu seorang diri, mesti sebak dan ada air mata insaf mengalir. Lagu ini betul-betul membawa aku merasa kerdil bahawa "kau kena merayu-rayu untuk masuk ke dalam Syurga, dan jangan harap amalan kau boleh bawa kau masuk ke dalam sana..."

8. Master of Puppet oleh Metallica.

Lagu rock. Heavy. Lagu rock Inggeris pertama yang aku hafal lirik menggunakan sistem hafazan macam yang Ustaz-ustaz guna untuk pelajar-pelajar hafal ayat lazim. Dengar guna Discman rakan, tangan pegang senaskhah buku lirik Metallica. Dengar lagu ni, semangat vandalisme aku mulalah mencanak-canak naik. Semua benda aku nak hentak, semua barang aku nak sepak.

7. A Song for Mama - Boyz II Men

Buat aku bernostalgia dengan kehidupan semasa mak aku masih ada.

6. Standing In The Eyes Of The World dendangan Ella.

Ini lagu istimewa. Lagu tema Sukan Komanwel 1998. Selalu dengar lagu ni di televisyen. Lengkap dengan muzik video. Betul-betul bersemangat. Sayangnya, tiada satu acara pun aku tonton secara langsung di gelanggang-gelanggang ataupun stadium. Meremang bulu tengkuk kalau aku dengar dengan penuh penghayatan.

5. Negaraku. Lagu Kebangsaan.

Mahu ukur semangat nasionalisma anda? Cuba pergi stadium, kalau ada perlawanan antarabangsa antara Pasukan Kebangsaan dengan pasukan dari negara lain. Sebelum mula main, mesti ada dimainkan lagu kebangsaan. Lagu Negaraku sudah pasti, cuma mungkin versi berbeza, versi slow, versi march, versi Hattan atau versi Ning. Dan kalau bulu tengkuk anda tak meremang atau tak rasa apa-apa langsung, baiklah buat permohonan tukar warganegara.

4. You'll Never Walk Alone oleh Gerry and Pacemakers.

Ini lagu tema The Kop. The Reds. 5 times Champs of Europe. Liverpool FC. Sebelum live telecast di televisyen, jika perlawanan diadakan di Anfield, pasti kamera tv akan menunjukkan penyokong-penyokong Liverpool menyanyikan lagu ini sehingga serak suara mereka. Penuh semangat. Bilalah aku dapat berdiri di celah-celah penyokong-penyokong, Scousers sambil mengangkat kedua-dua belah tangan yang memegang scarf yang tertulis "LIVERPOOL FC" tinggi-tinggi ke udara dan sambil menyanyikan lagu ini.

3. Rabitah Hati.

Lagu nasyid yang dipetik dari doa. Sangat popular di sekolah aku dulu. Memang naik semangat assabiyah ke'sekolah'an kalau nyanyi lagu ni.

2. Lagu Merah Kuning. Ciptaan KRU.

Pergi Stadium Shah Alam mesti ada lagu ni. Setiap kali perlawanan melibatkan The Red Giants ~ Selangor, mesti berulang-ulang kali dimainkan lagu ini di PA sistem stadium. Penyokong ramai-ramai mengangkat bendera Selangor sambil bergoyang ke kiri ke kanan mengikut rentak lagu. Lagi ramai penyokong turun ke stadium, lagi bertambah meremang bulu roma setiap kali menyanyikan lagu ini.

1. Lagu paling buat aku rasa bersemangat. UiTM di Hatiku. Lagu tema UiTM.

Bila-bila saja aku dengar lagu ini, mesti terdetak jantung, dan memori akan menerjah ke tahun 99 hingga 2004 mengenangkan pahit getir dan suka duka aku mengharungi dunia baru sebagai seorang penuntut universiti.

Lagu ini, paling bersemangat dinyanyikan terutamanya di sidang-sidang Konvokesyen. Satu titik tertinggi dalam hidup. Dapat Diploma. Dapat Ijazah. Lagi 'power' dapat Master ataupun PhD.

Dan semalam, masa konvo adik aku, di luar dewan aku turut menyanyikan bersama-sama graduan yang berada di dalam dewan dengan penuh semangat dan emosi.

Heh.

3 comments:

ciPuding_7 said...

bleh ke perut ko kempis, ran?
aku kompius gak ni..
hehehe..

aranhellstorm said...

wah wah wah...tu carik gaduh tu? hahaha

a M i R a H said...

uitm di hatiku??

haha~

StatCounter