Friday, August 24, 2007

10 Teratas - 10 perkara sebenar yang mungkin kamu tidak ketahui tentang aku

Dulu, masa bujang, tengah-tengah malam aku suka menonton the Late Night Show with David Letterman di ntv7. Bukan apa, suka tengok keletah personaliti yang ditemubual oleh si Letterman yang tua dan kelakar itu. Juga aku suka melihat konduktor muzikal yang sentiasa memakai cermin mata hitam, buta barangkali, yang juga seperti Letterman, raut wajahnya yang kelakar juga melucukan.

Satu segmen yang aku paling gemari adalah segmen Top10 nya yang selalunya menyentuh dan bersatira tentang Presiden Amerika.

Aku juga mahu meniru segmen beliau di sini. Maaf David, aku pinjam idea kamu, 'tolong jangan saman aku, aku takde duit!' heh...

10
Teratas Mengenai Aku

10. Motorsikal aku di curi orang sebab aku tertinggal kunci di motorsikal. Pencuri tersebut pasti gembira kerana aku memberikan motorsikal tersebut secara percuma beserta pakej jaket dan topi keledar sekali.

9. Aku pernah bergaduh dengan sepupu aku yang tinggal bersama di rumah aku. Kami bergaduh, dan aku mengamuk lantas ku kejar beliau dengan parang. Lalu sepupu aku terus lari dan balik berjalan kaki kerumahnya di Sekinchan. Bila mak dan abah aku balik, pendek cerita, aku dapat pelempang sulung dari arwah mak aku.

8. Masa UPSR aku dapat 4A. Masa perhimpunan aku dipanggil ke pentas untuk di temuramah oleh cikgu mengenai jadual pembelajaran. Terus terang aku katakan, aku tak pernah belajar pun di rumah, yang aku tahu hanya video game, video game, dan video game! Semua yang ada dalam perhimpunan tu, semuanya telah ditipu oleh aku tentang sistem pembelajaran yang aku ada-adakan.

7. Masa sekolah rendah selalu curi-curi pergi Sekinchan fasal nak main permainan video arked, tapi tipu mak, cakap nak pergi perpustakaan awam di Tanjong Karang.

6. Aku pernah masuk pertandingan drama bahasa Inggeris di UM masa aku tingkatan satu. Othman Hafsham jadi hakimnya masa tu. Masa sekolah rendah, aku belajar tarian asli melayu dan endang, kedua-duanya untuk tujuan pertandingan, dan aku benar-benar sukakannya!

5. Umur 11 tahun, aku dah keluar dari rumah tanpa ditemani keluarga ke Program Anak Angkat Yayasan Pelajaran Mara di Janda Baik selama seminggu tanpa ada rasa 'homesick'.

4. Masa sekolah rendah, aku selalu ambil duit belanja dari tabung lebih dari jumlah sepatutnya iaitu 30 sen peruntukan ke sekolah agama petang. Satu hari, duit syiling yang berjumlah 2 ringgit untuk kegunaan membeli coklat, jatuh dari poket dan berterabur di atas lantai di hadapan arwah mak aku. Terus lepas tu, ambil duit dari tangan mak aku sendiri.

3. Fobia memandu dalam hujan lebat (selain dari fobia darah). Tidak tahu kenapa, tapi mesti jantung berdebar-debar dan tangan berpeluh kalau memandu dalam hujan lebat, lebih-lebih lagi hujan yang terlalu lebat sampai tidak nampak apa-apa di hadapan.

2. Selain Aran, Along, abang lang (gelaran baru), aku juga pernah mempunyai nama panggilan seakan-akan perempuan iaitu As. Jiran aku merangkap cikgu masa sekolah rendah aku, Cikgu Salasiah, yang gemar memanggil aku dengan nama ini.

1. Suka baca diari orang. Aku tau, memang keji. Kalau aku tau sesiapa yang ada diari, aku pasti akan mencari jalan untuk membacanya. Sekali satu hari terkantoi dengan teman serumah, kerana tersasul tersebut nama gelaran diarinya kepadanya, nasib baik tak lebam biji mata!

No comments:

StatCounter