Tuesday, August 28, 2007

Ciuman Terakhir


The Last Kiss. DVD filem terbaru yang aku tonton, minggu lepas. Maraton DVD hujung minggu bermula dengan Borat, Simpson the Movie, Perfect Stranger, Die hard 4.0, Zombi Kampung Pisang (yang ini aku beli salinan original ok? Dari Tower Record lagi. Heh) dan terakhir Last Kiss.


Aku mahu bercerita tentang Last Kiss sahaja. Yang lain, kamu beli, pinjam, curi ataupun tonton di hadapan kedai-kedai video seperti Speedy secara percuma. Kerana antara semua filem-filem yang aku tonton di atas, hanya membuatkan aku gelak, terangsang (err..jangan ditanya apa), dan gelak lagi. Hanya Last Kiss berjaya buat aku berfikir dan terkesima dengan dialognya yang berisi.


"Stop talking about love. Every asshole in the world says he loves somebody. It means nothing. It still doesn't mean anything. What you feel only matters to you. It's what you do to the people you say you love, that's what matters. It's the only thing that counts. "


Itu kata Stephen kepada Michael (lakonan Zach Braff ~ Scrubs), ketika Michael cuba memujuk teman wanitanya, Jenna (lakonan Jacinda Barret ~ Ladder 49, Human Stain, Poseidon) untuk kembali ke pangkuannya, setelah dia curang kepadanya, dan Stephen adalah bapa kepada Jenna.


Cinta. Semua orang tahu apa itu cinta. Semua orang ada merasai cinta. Sama ada dalam erti kata percintaan antara dua insan berlainan jantina, sesama jantina, berlainan bangsa, sesama bangsa, cinta harta, cinta dunia, cinta hampa, cinta kerjaya hampir semuanya cinta. Terutama bagi kita di Malaysia, lagi banyak cintanya, drama cinta, filem cinta, malah lagu-lagunya juga lagu cinta.


Cinta, antara retorika dan realiti. Apakah cinta itu?


Dalam filem ini, macam-macam jenis cinta ada dikupas. Cinta bebas tanpa komitmen. Cinta hampa. Cinta berkomitmen. Cinta monyet. Cinta untuk seks. Cinta sejati.


Aku suka gaya penceritaannya, garapannya, plotnya dan mesej. (Klise sungguh..mesej, mesej, mesej dan mesej!)


Ceritanya bermula dengan Michael berusia 29 tahun yang bercinta dengan Jenna yang mengandungkan anak mereka, dan dari saat dia mengetahui Jenna mengandungkan anaknya, dia berasa cemas dan takut untuk satu komitmen yang dipanggil perkahwinan.


Michael pula bersahabat dengan 3 orang rakan daripada zaman kanak-kanak, Chris, Izzy dan Kenny yang masing-masing dengan isu tersendiri. Izzy seorang pencinta agung yang obses dengan teman wanita pertama dan terakhirnya yang telah berlaku curang kepadanya, dan ingin mendapatkan kembali teman wanitanya, Chris, berkahwin dan mempunyai seorang anak dan seorang isteri yang perengus, kasar, dan sentiasa bertengkar sesama mereka. Manakala Kenny seorang bartender yang berfikiran bebas dan sangat takut kepada komitmen.


Michael bertemu dengan Kim (lakonan Rachel Bilson ~ The OC), seorang pelajar kolej yang seksi dan menggoda. Dari saat inilah konflik pun bermula. Konflik diri dari dalam diri Michael, konflik antara Michael dan Jenna, konflik antara ibu dan bapa Jenna dan konflik sesama mereka.


dan konflik mereka ini juga mencetus konflik dalam diri aku. Konflik budaya. Pengamerikaan dan aku seorang bangsa Asia. Juga beberapa konflik lain dalam diri aku, yang juga seperti Michael, konflik pertambahan umur dan isu tentang komitmen.


Pendekkan cerita, Michael akhirnya terjebak di dalam alam maya impian setiap lelaki untuk bersama dengan wanita lebih dari seorang, dan rahsianya tidak menunggu lama untuk terbongkar. Terima kasih kepada Chris, rakannya yang tidak boleh menyimpan rahsia kerana padanya, Jenna adalah wanita yang unggul, dia tidak dapat bersetuju dan bersekongkol dengan rakannya Michael dalam kecurangan itu.


Bagaimana kesudahannya, carilah dan tontonlah sendiri, asal bukan dipinjam dari aku. Cerita ini di kategorikan sebagai PG-13 'Parents Strongly Cautioned' pada kulit luar DVD yang aku beli dan R 'Restricted - Sexuality, Nudity and Language' seperti yang tertera di dalam website rasminya, jadi bagi mereka yang masih tinggal dengan ibu bapa, janganlah menonton cerita ini bersama mereka, kelak akan dipatah-patahkan juga cakera DVDnya, kamu juga yang rugi nanti!

sumber tambahan : IMDb

No comments:

StatCounter