Thursday, June 28, 2007

Banyak yang Mahu Aku Lontarkan, Tapi....

Dengan masa yang aku rasakan semakin singkat dari hari ke hari, semakin aku tak terkejar dengan peredaran masa Bumi yang semakin lama, semacam mahu mendahului perjalanan waktu di planet Utarid (Mercury). Bayangkan kalau aku tinggal di Pluto (masa kecil dahulu, Pluto adalah termasuk antara planet-planet dalam sistem suria kita, sekarang hanya dikenali sebagai planet kerdil ~ 'dwarf planet' setaraf dengan Ceres dan Iris ~ dahulu dikenali sebagai 2003 UB313), sudah tentu umur aku sekarang belum pun menjangkau 1 tahun!


Tengah hari tadi aku makan bersama isteri di Bandar Tun Hussien Onn. Juadahnya banyak sekali dan murah pula. Bayangkan aku makan udang sambal, ulam-ulaman, sayur nangka dan ayam kampung goreng manakala orang rumah aku pula makan ikan tamban goreng bersama kerabu sayur, dan jus oren dan limau ais sebagai minuman, baru Rm10. Mungkin kawasan di sebelah Cheras ini kos sara hidupnya rendah dan kenaikan harga barang runcit tidak dirasai di sini. Mungkin ya dan mungkin tidak. Entahlah, janji perut kenyang, dan makanannya sedap dan berkualiti, bayar mahal pun aku sanggup, asalkan menang memakai.


Sebelum itu dalam perjalanan ke sana, di tengah-tengah kesesakan di pekan Seri Kembangan, aku ternampak satu iklan di kedai perabot yang sangat menggelikan hati. Aku sertakn gambarnya di bawah. Aku pasti, tuan punya kedai itu pasti tidak tahu apa yang dipromosikannya, ataupun dipermainkan oleh orang yang membikin iklan tersebut. Aku pun tak pasti, tetapi yang pastinya, iklan ini sangat menggelikan hati barang sesiapa yang melihatnya.

Lewat petang tadi, minum-minum bersama sahabat-sahabat, yang rasanya dah lama tak duduk semeja sambil minum teh atau kopi di Restoran Hakim Shah Alam. Sembang-sembang ringan dan kebanyakkannya berkisar tentang cerita sekolah yang aku karang sebelum ini. Aku gembira kerana asbab usaha itu, rakan-rakan yang lain pun turut gembira. Terima kasih sahabat-sahabat yang selalu ada memberikan semangat kepada aku.

Aku rasa doa dari nasyid Rabitah Hati yang kami nyanyikan saban hari semasa berada di sekolah, telah merapatkan kami, lebih dari ikatan seorang rakan atau kawan. Kerana kata-kata itu satu doa, dan jika doa itu dipanjatkan berkali-kali, maka dengan izinNYA, doa itu pasti akan termakbul.

Petikan dari Rabitah Hati -- "..kekalkan kemesraan yang ada, tunjukkanlah jalan yang benar.... maka ya Allah, eratkanlah, ikatan yang ada...", antara bait-bait doa yang kami nyanyikan sepanjang menuntut di SMKAKS. Maka aku rasa, dengan pembacaan doa ini, keberkatannya dapat aku rasai sehingga sekarang, dan buktinya, kami masih lagi bersama seperti dulu.

Maka ya Allah, eratkanlah ikatan yang ada. Amin.

nota: sumber fakta tentang planet-planet dipetik dari laman web NASA dan wikipedia.

Tuesday, June 26, 2007

Aku mau tenang!

Tender, Projek, Tender, Projek.

Tak habis-habis aku kena kejar dengan orang minggu ni. JBA, Boss, Supplier, Sub-Kontraktor, semuanya mencari aku. Tak henti-henti telefon aku berbunyi. Kadang-kadang lagu 'Sack da Boss-KRU' bermakna ~ bos aku panggil atau tuan-tuan haji, kadang-kadang lagu 'Starlight-Muse'~nombor-nombor tak dikenali , dan kadang-kadang lagu 'Keronchong Hujan-Adibah Noor' - bini aku!

Aku mau tenang, dan itu aku pasti takkan dapat sekarang, juga, kalau aku mati sekarang.

p.s : Si Tenang pun dah mati lama dah....

Wednesday, June 20, 2007

Sambutan Ulang Tahun ke 13 SMKAKS ~ II

Bahagian II ~ (1997 - 1998)

1997



Foto Kenangan Tingkatan 4 Amal
Berdiri Dari Kiri : Megat, Dzulhamka, Fauzi, MKA, Muslim, Aku, Yazid, Ahmad Hafidz, Yushafidi, Izzee, Ihsan, Haikal
Tengah : Zahrina, Asiah, Natrah, Nuhaa, Shazareen, Aslam Diyana, Noorul Ain, Kamilla, Farah, Hadziffah, Hidayah, Amrah
Duduk : Norehan, Aziannabiha, Ngazraini, Radziah, Pn Tazliah, Kamaruzzaman, Norhana, Razima Shahira, Zulfa


Aku kembali ke SMKAKS dengan hati yang berbelah bahagi. Antara hendak atau tidak aku juga tidak tahu dan tidak yakin dengan keputusan aku untuk bertukar ke sekolah lain. Borang ke SM Teknik, SBP dan MRSM semuanya telah aku ambil cuma belum lagi aku penuhkan. Aku biar saja dulu tentang itu, biar keadaan dan masa yang menentukan.

Sekarang aku bukan lagi warga Hidayah. Bertukar kepada kelas Amal yang menawarkan aliran sains tulen. Aku sebenarnya mahukan sekolah yang menawarkan subjek lukisan teknik dan subjek-subjek teknikal, malangnya di sini semua itu belum lagi ditawarkan walaupun ada ura-ura kedengaran tentang usaha untuk mewujudkan satu kelas teknikal, tetapi nampaknya usaha itu belum dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Aku masih ingat pada minggu pertama persekolahan, terdapat ramai sekali pelajar-pelajar yang mengambil aliran sains hingga ada cadangan untuk mewujudkan 2 kelas aliran sains tulen. Tetapi setelah seorang demi seorang pelajar meninggalkan SMKAKS ke sekolah yang lebih baik seperti KISAS, MRSM dan sekolah-sekolah Sains, maka tinggallah lebih kurang 30 pelajar yang layak untuk mengikuti kelas aliran sains ini.

Tetapi berada di tingkatan 4 adalah masa yang sangat indah bagi pelajar sekolah menengah. Tiada peperiksaan besar, maka inilah yang dikatakan tahun berbulan madu!

Pada tahun ini juga beberapa pelajar yang pindah ke sekolah lain, berpatah balek (pinjam dari FAO) semula ke SMKAKS. Antaranya Dzulhamka yang telah mendaftarkan diri sebagai pelajar KISAS, Sharifuzan ke SM Teknik Kuala Kelawang, Amrah dan Fairuz Liza ke Maahad Hamidiah Kajang, dan beberapa orang pelajar lain. Akibat daripada peristiwa 'U-turn' ini, aku mengambil keputusan untuk terus kekal sebagai warga SMKAKS sepertimana teman-teman aku yang lain.

Beberapa orang pelajar baru juga telah masuk mendaftar sebagai pelajar SMKAKS dalam tingkatan 4. Antaranya Kamal, Mohd Nizam, Zakaria, Shahril dan Mohd Khairul Anwar. Mereka ini mempunyai personaliti yang berbagai-bagai dan ada juga yang mempunyai masalah untuk bersuai kenal seterusnya mengakibatkan salah faham dan pertentangan fikrah dan budaya.

Aku masih ingat bagaimana kesilapan dalam memberikan 'first impression' dalam perkenalan boleh membuat imej anda rosak dan mungkin menyebabkan anda dilayan seperti golongan unwanted dan mungkin akan mengambil masa yang lama untuk memulihkan imej anda itu. Seperti dalam kes Mohd Khairul Anwar v people (people merujuk kepada pelajar-pelajar asal SMKAKS ~ Pioneering Batch), dimana defendan telah didapati bersalah atas tuduhan memerangi the people secara terangan-terangan, di mana beliau telah menolak jemputan salam persahabatan the people untuk duduk makan semeja di tempat makan biasa kami iaitu di bahagian belakang sekali dalam Dewan Makan dengan mengatakan duduk belakang adalah untuk golongan yang tidak maju, di mana tindakan itu adalah sangat tidak bijak jikalau anda mahu hidup bersosial.

Kejadian ini membuktikan bahawa benarlah pepatah Melayu yang berbunyi; "Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak", dan masuk kandang harimau, mengucaplah banyak-banyak! hehehehe...

Walaupun terdapat api persengketaan antara dia dengan kebanyakkan the people, hubungan aku dengan dia adalah seperti biasa dan normal, kerana aku cuba untuk memahami personalitinya yang mungkin jikalau tidak cuba difahami, maka tidak akan terbit ikatan persaudaraan atas nama Islam yang sebenarnya. Kebetulannya aku dan Mohd Khairul Anwar sama memasuki unit beruniform yang sama iaitu Pengakap.


Kenangan Jambori Pengakap Asia Pasifik ke 18 dan Jambori Pengakap Malaysia ke-9 di Kuala Besut Terengganu
Dari Kiri atas: Taufik, Nash, Zulhabri, Sabah, Tarmizi, Budak SMSeri Tiram, aku, Umar Fawwaz, tak ingat, budak-budak SM Seri tiram, MKA, Nik Kamarullah, Cikgu Noorazman
Bawah : Syah Fared, Huzaifah, Syed Zulkarnain, Bassiq, Faiz, Nor Shahza, Sobree dan Adam. (Ihsan memori Farah Che Ani)


Mungkin benar juga kata orang, bersosial dengan rokok adalah lebih mudah mendapat kawan. Shahril atau dengan nama registerednya Sipot Jr (kemudiannya 'Jr' itu dilenyapkan) mengambil nama sempena wajahnya yang seiras pelajar senior yang aku kategorikan sebagai SG iaitu Sipot Sr, menempatkan diri beliau dengan mudah dikalangan the people kerana beliau adalah seorang perokok.

Pengaruh rakan sebaya adalah satu istilah mudah untuk melindungi kelemahan diri dan untuk melindungi kekurangan jati diri yang betul-betul kental untuk menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan merugikan diri sendiri. Ia juga satu istilah bagi melepaskan diri dan juga salah satu bentuk escapisme bagi memberitahu orang dengan mudah bahawa; "bukan salah aku itu terjadi!".

AKu mula belajar merokok. Benar ianya adalah pengaruh rakan sebaya, lupakan sahaja apa yang aku nyatakan sebelum ini. Aku akan tetap menyalahkan rakan-rakan sebaya aku yang mengajar aku cara-cara menyalakan sebatang rokok, menyedut asapnya dan melepaskan perlahan-lahan ke udara. Mentor aku adalah Ihsan dan Fauzi. Mungkin Ahmad Hafidz juga terlibat sama. Aku adalah pelajar yang cerdik maka dengan mudah aku mempelajarinya, dan hanya selepas 2 kali sedutan sahaja aku berjaya menyedut asap rokok tanpa terbatuk dan tersedak.

"Bagi aku sepam aje, setakat sepam takkan ketagih la..", kata -kata nafsu yang diiyakan sahaja oleh akal yang telah dimabukkan dengan nikotin.

Dua, tiga sedutan pula selepas itu. Diikuti dengan lantai dan dinding tandas yang bergoyang-goyang seperti ingin menelan kamu kedalamnya.

Empat, lima, enam dan tujuh sedutan.

Akhirnya sebatang penuh rokok berjaya dihabiskan tanpa rasa pening dan mual lagi. Nikotin sudah bersebati dengan saraf-saraf otak, dan akhirnya berjaya menyesuaikan dengan kimia-kimia badan yang lain. Sekarang aku sudah bergelar perokok, yahoo! Aku sudah menjadi seorang lelaki yang macho dan tampan lagi bergaya. Dunhill - Gaya, Mutu, Keunggulan. Ya.. Unggul lah sangat!

Aku sudah jadi otai, kerana aku melanggar undang-undang tertinggi sekolah. Perokok boleh dibuang sekolah, dan aku bangga aku mengambil risiko itu. Apa yang aku tidak nampak ialah aku bakal membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk menampung ketagihan aku terhadap benda yang bernama rokok itu nanti.

Dalam tahun ini, secara akademiknya, kami mengalami krisis kekurangan guru yang layak untuk subjek-subjek elektif, seperti Kimia. Subjek ini kami telah diarahkan oleh guru yang mengajar untuk membaca buku rujukan dan membuat diskusi sendiri. Pelajar-pelajar seperti aku mana mungkin akan belajar sendiri, maka natijahnya,aku menghabiskan sepanjang tahun tanpa ada sedikit pengetahuan pun tentang subjek tersebut. Ada juga subjek-subjek lain seperti Matematik yang diajar oleh guru yang bukannya daripada bidang tersebut. Pendidikan Islam juga sepatutnya diajar oleh seorang guru, bukannya seorang Pengetua yang terlibat dengan pentadbiran secara langsung, dan akhirnya selalu tidak hadir ke kelas, dan kami berbuat sesuka hati. Yey!

Pada tahun ini juga, aku telah jatuh cinta pandang pertama kepada seorang pelajar baru yang masuk ke kelas kami. Aku masih ingat ketika dia melangkah masuk, aku terpegun dan mataku tertancap kepadanya dari saat dia melangkah masuk sehinggalah ke tempat duduk. Ketika itu kami berada di makmal untuk kelas Biologi. Aku duduk di belakang sekali, Biologi bukanlah subjek kegemaran aku. Dia juga duduk di belakang, dan aku dapat terus menatap wajahnya, untuk aku mentelaah sudut Biologi aku sendiri. Biar aku namakan dia NN. (fasal dah ada N sebelum ni). Ketika itu bukan aku seorang yang bergelar 'secret admirer' nya, Yazid juga dalam diam menaruh perasaan, dimana kami pernah sama-sama berusaha untuk mendekatinya.

"Best man win". Begitulah kata-kata Yazid di suatu sore.

Gelihati aku fikirkannya kembali.

Aku masih ingat juga ketika sahabat aku, Labu yang ketika itu terkenal dengan nama jolokan 'mat sargon' mendemonstrasikan pada aku, betul-betul dihadapanku bagaimana untuk 'merembat' majalah Ujang di kedai Kandayah Store Kuala Selangor tanpa membayar walau sesen pun. Aku betul-betul terpegun dengan skil dan keberaniannya yang sangat waja itu. Masakan tidak, kedai runcit yang dikawal rapi itu dengan mudah dipatahkan pertahanannya oleh seorang budak sekolah yang berwajah 'innocent'.

Aku bukanlah dilahirkan sebagai atlit, ataupun sebagai yang sangat aktif dan minat bersukan, tetapi entah bagaimana aku banyak meraih pingat-pingat kemenangan dalam acara-acara yang aku sertai. Dalam pertandingan sukan sekolah misalnya, aku menungguli cabaran lari 800m dengan pingat perak (menewaskan Azizi x-SMAS) yang pernah mewakili sekolah dalam acara olahraga. Dalam pertandingan yang sama juga aku meraih gangsa dalam acara lari berganti-ganti 4 x 100m, di mana aku masih ingat Rasyid yang mewakili rumah merah ketika memotong aku dari sebelah kiri, sedangkan aku berada di lorong kiri sekali! (Main tipu aarr Ricet!) AKu juga mewakili sekolah dalam marathon anjuran Lions Group dan PDRM yang berlangsung di Kuala Lumpur bersama-sama Razli dan Fadhlan Marzuki, junior aku.


Pasukan Bola Keranjang SMKAKS bawah 15 dan 18 bergambar kenangan bersama Wak Jazuli sebagai Jurulatih konon-kononnya.


Dipenghujung tahunnya, barisan kepimpinan bertukar, kami sebagai pelajar-pelajar tingkatan 4, akan mengambil alih tampuk pemerintahan yang akan bertransisi pentadbirannya saban tahun. Aku menguasai kedua-dua dewan, walaupun aku cuma timbalan sahaja. Dewan Rakyat (Asrama) dan Dewan Negara (Sekolah), kedua-dua jawatan kedua tertinggi di kedua-dua dewan iaitu Timbalan Ketua Umum dan Timbalan Ketua Asrama sekarang dimiliki aku sekarang. (Kata-kata seorang penggila kuasa..heh) Aku juga secara konspirasinya telah dilantik menjadi Ketua Kumpulan (Troop Leader) bagi Pergerakan Pengakap SMKAKS kerana ramai yang tidak mahu MKA menjadi ketua, dan aku menjadi mangsa keadaan. Antara konspirator yang terlibat adalah Zahrina, Aziannabiha dan beberapa orang yang lain.

Maka dengan ini juga, setiap malam dorm aku tidak sunyi dengan pelajar-pelajar junior yang datang 'bertandang' sama ada untuk di'lauk'kan ataupun sekadar dilempang ataupun sekadar dirotan menggunakan hanger. Tidak pernah sunyi, pasti ada yang dikerahkan oleh Ahmad Hafidz ketua exco disiplin asrama yang baru yang sungguh kejam, zalim dan sadis. AKu masih ingat ketika dia yang pernah melaung dari depan dorm (betul-betul seperti Hitler ketika zaman kemuncak Nazi) memberi amaran kepada pelajar-pelajar junior yang sedang berhimpun di perkarangan asrama; "Mula dari sekarang, aku isytiharkan bermulanya Zaman Gelap untuk korang!", dan muka mereka semua bertukar menjadi pucat lesi memikirkan masa depan mereka di SMKAKS. Ahmad Hafidz juga telah memecahkan rekod menempeleng 20 orang dalam satu barisan dalam masa hanya 10 saat, kerana dorm mereka tidak dimatikan lampu ketika keluar untuk solat maghrib. Itulah padahnya jika membazir.

Ada satu episod dimana ketika itu tiada siapa yang dapat dibelasah kerana masing-masing berjaya mengikuti peraturan yang telah ditetapkan. Maka dengan kebijaksanaan perisik kami, Yushafidi yang dikenali sebagai Penyiasat Remaja, telah dapat membongkar kesalahan-kesalahan tersembunyi seperti membawa walkman hanya dengan memanggil seorang suspek lalu menyoal siasatnya. Junior mana yang berani menyembunyikan rahsia kawannya sesetia Samwise Gamgee kepada Frodo jika dikelilingi oleh abang-abang senior yang ganas lagi rakus, ditengah-tengah malam, di dalam sebuah dorm yang gelap gelita? Jika salah jawapan, penampar mungkin melayang.

Lalu dapatlah ditangkap pesalah-pesalah itu dengan menggunakan kebijaksanaan Yushafidi. Maka sibuk lagi malam kami dengan aktiviti riadah iaitu bertinju mahupun bertomoi. Aku selalunya dah tidur nyenyak pada waktu puncak, dan aku mampu tidur lena disebalik bunyi-bunyi bising rengekan, dentuman dan bunyi-bunyian lain yang terhasil.

Yang paling mencuit hati ialah apabila melihat kepada mangsa-mangsa belasahan kami, yang sedaya upaya mereka menahan kesakitan, tetapi mampu juga mereka menahan air mata dari keluar, namun apabila terlalu ramai mangsa-mangsa yang tidak dapat kami 'attend' kami hantar dahulu mereka ke dorm sebelah di mana Dzulhamka, Haikal dan rakan-rakan yang kurang bersetuju dengan pemulihan melalui fizikal, memberikan mereka ini tazkirah dan ceramah umum dan mampu pula membuatkan mereka insaf lalu mengalirlah air mata keinsafan mereka, walaupun begitu, apabila tiba giliran mereka, pendekatan fizikal perlu diberikan juga kerana mahu berlaku adil kepada semua.

Maka dengan ini secara tak langsung, kami telah menguasai SMKAKS. Maka bermulalah episod aku sebagai pembesar yang korup. Seorang Timbalan Ketua Umum yang merokok, membuli dan menyalahguna kuasa.

1998


Tingkatan 5 Amal bersama cikgu Zuraidah. Bersama dua lagi pelajar baru Kashfi dan Nuralyani


Tahun terakhir aku berada di sini. Tahun genting bagi kami semua. SPM bakal tiba dan menentukan arah kami seterusnya. Tiada lagi masa untuk berbulan madu. Tetapi dalam pada masa yang sama, dalam tahun ini juga kami telah memegang tampuk pemerintahan secara mutlak tanpa ada gangguan dari sesiapa. Walaupun begitu terdapat satu pos yang tidak layak dipegang oleh kami iaitu Exco Agama dan Musolla, kerana sudah aku katakan dari bahagian satu dulu, kami adalah pendokong ideologi sekular dan tiada seorang pun yang mampu menggalas tanggungjawab itu.

Aku masih ingat ketika revolusi Pengguna di mana kami selaku pemerintah bersama-sama rakyat jelata menggembleng tenaga memulaukan kantin kerana menyediakan makanan yang kurang bermutu kepada kami semua. Nasi terlalu sedikit, sambal masam, lauk sedikit dan jika terlambat, pasti tiada makanan yang tinggal, lebih-lebih lagi buat kami pelajar 5 Amal yang selalu keluar lewat kerana Cikgu Yusof yang mengajar Fizik selalu sahaja melanggar batas masa yang disediakan. Dzulhamka sebagai Presiden membuat ucaptama gerakan revolusi ini dihadapan seluruh pelajar, dan kemudiannya diikuti dengan amaran keras dari Ahmad Hafidz; "Barangsiapa yang aku nampak pergi ke kantin selama seminggu ini, pasti akan menemui padahnya!". Berikutan itu, pengusaha kantin merungut kerana kadar kerugian yang dialaminya, kerana pelajar-pelajar yang menjayakan revolusi ini pergi ke koperasi untuk membeli makanan seperti roti, aiskrim juga makanan ringan sebagai pengalas perut. Maka pihak kantin telah menuding jari kepada pihak koperasi yang sangkanya adalah penyebab kerugiannya.

Koperasi ditutup, kerana tekanan dari pihak kantin. Maka hal ini telah kami bawa ke pihak atasan iaitu ke pengetahuan Pengetua dan Pentadbiran melalui setiausaha sulit kepada Pengetua iaitu Kamaruzzaman. Usaha kami nampaknya mula menampakkan hasilnya walaupun terdapat penentangan dari Cikgu Noorazman yang membangkitkan artikel perundangan sekolah yang mengatakan fasal piket, mogok dan tunjuk perasaan. Wak Jazuli juga memulakan kempen anti revolusinya dengan memberi syarahan mengenai kerugian dan rezeki-rezeki yang dibazirkan. Namun atas kecekalan kami menjayakan revolusi ini, AlhamduLILLAH, revolusi ini akhirnya berjaya menumbangkan semangat kapitalis pengusaha kantin yang mementingkan keuntungan dari kualiti barang jualannya. Maka dengan itu,pengusaha kantin yang baru telah mengambil alih dan perubahan yang besar telah berlaku, di mana selama ini ramai yang berpuasa kerana makanan di kantin yang langsung tidak membangkitkan selera, kini ramai yang membatalkan puasa sunat seawal jam 10 kerana tidak tahan godaan rakan-rakan yang menceritakan perihal ayam-ayam goreng yang masih berasap-asap di jual di kantin. Revolusi ini rupanya di dokong secara senyap oleh guu-guru sayap kiri, iaitu Cikgu Zul, Cikgu Ismail, Cikgu Musa dan Abg Arabai Penyelia Koperasi.

Foto ketika keluar 'outing' di Pekan Lama Kuala Selangor. Tempat ini kami jadikan port merokok dan mentelaah pelajaran. (cuba lihat foto ~ Ahmad Hafidz sedang memegang buku rujukan SPM sebagai bukti). Tempat ini kami namakan New York kerana terletak berhampiran gigi air.

Aku juga masih ingat ketika awal pagi, Cikgu Zul datang mengejutkan pelajar-pelajar. Beliau masuk ke dalam dorm dan aku pun terbangun apabila dengar suaranya dan bunyi rotan melibas daun pintu. Ketika dia sedang meronda di dalam dorm, aku yang sedang mamai terus sahaja menyarung sandal dan terus ke bilik air. Setelah habis bersuci dan mandi, aku pulang semula ke dorm dan melihat Cikgu Zul masih lagi berdiri di muka pintu. Dengan muka selamba aku menegur beliau. Tiba -tiba telinga aku dipulas.

"Adehh..kenapa cikgu?? Apa salah saya??".
"Selipar siapa kamu pakai tadi?".
"Mana saya tau cikgu, selalu saya main sarung je", dengan selamba badak aku menjawab.

Manalah aku hendak tahu yang selipar itu kepunyaannya. Memang dah jadi kebiasaan sandal atau selipar yang aku beli pasti akan hilang, maka kitarannya pasti akan berulang, dan orang lain pula akan menjadi mangsaku. Di mana sahaja pasti akan berlaku kecurian alas kaki, di musolla, di asrama dan dimana sahaja atau sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa hatta penceramah jemputan yang saban minggu memberikan ceramah untuk mengisi slot kuliah maghrib juga tidak terkecuali.

Pada tahun ini juga, aku rasa mula rapat dengan Kacap, fasal sebelum ini dia ini 'kamceng' dengan senior-senior SG. Mula rapat mungkin kerana aku dan dia berkongsi sekotak rokok 'ufti' Dunhill 20 dan juga mungkin kerana selalu balik kampung bersama dalam bas LEN ataupun bas KSTK (Koperasi Serbaguna Tg Karang) dari Sekolah ke kampung masing-masing. Betapa riaknya kami menghisap rokok di dalam bas dengan berpakaian sekolah, dan merasa megah diri, otailah konon-kononnya! Selalunya kami bertiga, Labu, aku dan Kacap menuju ke arah yang sama, iaitu menuju ke arah Sabak Bernam.

Cerita fasal rokok ufti ini sebenarnya adalah salah satu pra-syarat yang diberikan kepada pelajar-pelajar junior yang mahu memperolehi 'lesen' untuk merokok. Sebelum ini, lesen diberikan hanya setelah pemohon-pemohon berjaya melepasi tahap penderaan fizikal yang dikenakan, tetapi selepas kami menemukan cara yang lebih berkesan untuk tidak menggalakkan lebih ramai junior menghisap rokok, maka cara ufti telah diperkenalkan. Konsepnya sama dengan pemberian ufti Kerajaan Kedah Lama kepada Siam satu masa dulu, cuma bentuk hantaran ufti itu yang berbeza. Uftinya adalah berbentuk sumbangan ikhlas daripada mereka yang ingin memperolehi lesen kepada kami, senior iaitu dengan menyumbangkan wang yang cukup untuk bekalan rokok kesemua pelajar-pelajar senior yang merokok. Hebat bukan idea tersebut? Semuanya mungkin tercetus kerana banyak sangat membaca buku teks Sejarah Melayu. Heheheh...

Pada tahun ini juga berlangsungnya Sukan Komanwel di Kuala Lumpur. Sebagai menyahut seruan kerajaan supaya berbudaya sukan, maka kami juga melangsungkan acara Sukan Komanwel Mini kami sendiri. Antara acaranya ialah tinju (antara Ghaffur dan Taufiq - kedua-duanya pelajar junior yang menjadi belaan kami, mereka juga adalah sukarelawan Sukan Komanwel Mini kami), acara Hoki 2 sebelah, Bowling Padang (lawn bowl) yang menggunakan permaidani buangan dari perpustakaan yang kami rompak dari sekolah, juga acara-acara lain yang aku sudah lupa.

Aku juga masih ingat ketika Ihsan dan Fauzi menjadi 'hantu' untuk mengacau pelajar puteri yang ketika itu rata-ratanya bangun awal, seawal jam 4 pagi untuk mencari punca air bagi menyucikan diri akibat krisis air yang melanda. Tetapi hantu ini bertukar dari seram kepada kelakar apabila di kejar oleh 2 ekor anjing. Lintang pukang mereka menyelamatkan diri. Pagi esoknya Ngazraini berkata kepada Ihsan "Hantu pun lari kena kejar anjing ye San?", tersipu-sipu si Ihsan kerana rahsia identiti hantunya telah terbongkar.

Pada tahun ini, aku juga memegang tanggungjawab dalam penghasilan Majalah Sekolah - Al-Munawwarah sebagai perunding grafik bersama Rasyid, Noorul Ain dan Ernie. Akhirnya selepas beberapa idea kami ditolak oleh guru penasihat al-Munawwarah, CIkgu Zaleha Ibos, muka depan yang kami hasilkan berjaya diterima untuk dicetak.

Foto bersama Ustazah Rohana yang berkunjung ke sekolah ketika kami sedang sibuk mengulangkaji untuk SPM.

Kenangan paling indah juga selalu dirasakan bila tibanya waktu riadah selepas waktu asar. Selalunya kami akan beriadah di padang hak milik istimewa kami adalah padang yang sederhana luasnya yang terletak berhampiran asrama puteri, terletak diantara 2 gelanggang, iaitu gelanggang sepak takraw dan gelanggang bola keranjang. Banyak peristiwa pahit manis berlaku di sini. Padang ini telah kami rasmikan sejak dari tahun 1996 lagi. Sebelum ini, padang tersebut adalah kawasan belukar dan di hanya ditumbuhi lalang sahaja.

Aku masih ingat juga jika sesiapa ketinggalan dari mengikuti rakan-rakan yang bergerak secara berkumpulan ke sana, dan hanya anda berseorangan menuju ke padang tersebut, pasti anda akan merasakan seolah-olah terdapat beribu-ribu kupu-kupu berterbangan di dalam perut anda, dan anda akan merasakan seolah-olah kaki anda tidak menjejaki tanah, seperti berjalan diawang-awangan kerana anda akan melalui blok asrama puteri yang selalunya pelajar-pelajar puteri yang tidak turun beriadah akan bersantai di perkarangan asrama, dan ada juga yang bersidai di sepanjang koridor, dan ketika melintasinyalah anda akan serta merta merasakan bahawa seluruh pelajar puteri yang berada di situ memandang ke arah anda, dan jikalau anda mempunyai sakit kronik seperti darah tinggi atau lemah jantung, pasti anda akan serta merta jatuh pengsan di situ! Begitu jugalah perasaannya jika terlambat masuk kedalam musolla, lebih-lebih lagi ketika Kuliah Maghrib, di mana tirai yang memisahkan jemaah wanita dan lelaki di buka. Jikalau anda seorang yang gagah berani, maka anda akan melepasi pintu masuk musolla dan berjalan dengan tenteram hinggalah ke hujung satu lagi, jikalau tidak, duduklah melepak di luar musolla, ataupun duduk di kawasan berhampiran pintu masuk.

Tentang perihal padang ini juga membawa kenangan aku menjadi seorang aktivis hak milik padang yang begitu lantang menyuarakan ketidakpuasan hati seperti kelantangan Cuepacs menuntut kenaikan gaji bagi kakitangan awam, begitu jugalah aku. Malangnya, aku telah terlepas cakap dan berlaku kurang ajar kepada Cikgu Syamsinar yang ketika itu mendepani kami bagi pasukan bola jaringnya membuat latihan, dan aku di tempeleng oleh beliau. Aku langsung terkedu dan terduduk di situ! Tak sangka yang beliau akan bertindak sebegitu.

Kami bermain bolasepak di sini, dan selalunya aku akan menjadi penjaga gol yang selalu marah-marah dan emosional sekali hinggakan rakan-rakan lain menggelarkan aku Halim Napi, iaitu seorang Penjaga Gol Pasukan Kelantan yang sangat panas baran.


Asrama putera sekitar November. Minggu-minggu ulangkaji terakhir sebelum SPM. Melepaskan tekanan dengan menghubungi adik-adik junior yang telahpun pulang bercuti bagi merapatkan silaturrahim.


Foto terakhir sebelum melangkahkan kaki keluar dari SMKAKS sebagai seorang pelajar.

Dari kiri: Kamal, Fauzi, Kashfi, Muslim, Rasyid, Ihsan, Yazid, Dzulhamka, Izzee, Kamaruzzaman, Nizam, Megat, Haikal, aku, Yushafidi, Asnuri dan Ahmad Hafidz

SPM telahpun hampir ke tarikhnya. Pelajar-pelajar lain mula mengemas barang-barang untuk di bawa pulang. Ketika di malam terakhir, semu pelajar bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Aku tak dapat menanggung sebak dan air mata aku berguguran ketika menatap wajah-wajah mereka yang pernah aku buli, aku pukul dan berlaku zalim kepada mereka. Di hari terakhir aku lihat beberapa rakan yang berwajah sayu dan muram kerana perasaan sedih melihat seorang demi seorang pelajar pulang ke kampung halaman. Ketika ini kami menjadikan asrama seperti rumah kami sendiri, merokok di mana-mana, di Dewan Makan, di dalam dorm malah di kaki lima sekalipun. Kami ambil radio dari bilik gerakan dan mewartakannya sebagai hak ramai dan kami sentiasa pasang dengan lagu-lagu selain nasyid. Lagu popular pada masa ini ialah lagu Nur Nilam Sari dendangan Awie dan Search. Lagu ini menduduki Carta Era selama berpuluh-puluh minggu lalu kami angkat lagu ini sebagai lagu tema SPM 98, dan lagu itu masih kekal di sanubariku sehingga sekarang.

Diketika ini kami perbanyakkan bacaan Yasin dan doa-doa mudah-mudahan mendapat pertolongan Allah dan dicerahkan hati. Jangan terkejut jika orang-orang bukan ahli surau mula merapatkan diri ke Musolla bagi mendapatkan keberkatan.

Begitulah sedikit sebanyak memori yang aku boleh ungkapkan dengan kata-kata. Sesungguhnya aku tak pernah lupa walaupun sesaat didikan yang aku terima sepanjang 4 tahun setengah di SMKAKS yang membesarkan aku dengan penuh makna dan mematangkan aku menjadi seorang insan yang insya ALLAH berguna kepada masyarakat dan dunia.

Tuesday, June 19, 2007

Sambutan Ulang Tahun ke 13 SMKAKS ~ I

Pada hari ini,betul-betul pada tarikh ini,pada tahun 1994 aku buat pertama kalinya menjejakkan kaki di sebuah sekolah berasrama bantuan penuh kerajaan yang baru sahaja dibuka dan diberi nama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Selangor. Aku dan seorang lagi sahabat baik, Khairil Azhar atau lebih dikenali sebagai Labu, dari kampung yang sama telah menjadi kebanggaan kampung Sg Burong kerana terpilih untuk dapat masuk ke dalam sekolah yang diwarkan-warkan sebagai gah, besar dan mulia di daerah Kuala Selangor kerana akan mampu menghasilkan pelajar-pelajar yang suatu masa nanti akan keluar sebagai ulamak atau mufti. Ulamak atau mufti? Adalah seorang dua, yang lain macam aku juga,jadi setan. Hehehe...

Oleh itu sebagai memperingati ulang tahun yang ke-13 kewujudan sekolah tersebut, aku di sini ingin berkongsi bit-bit memori yang masih utuh di dalam ingatan aku sepanjang berada di sekolah tersebut.

1994

Hari pertama aku menjejakkan kaki ke asrama, aku berkenalan dengan rakan baru. Hasrul anak pengurus kilang Bernas yang terletak berhampiran sekolah. Rakan sedorm dan rakan sekelas. Beliau menjadi rakan karib aku sehinggalah tamat tingkatan 3. Kami berdua pernah di'ragging' ala-ala salam perkenalan dari Bro Faiz dan Bro Sibi dengan menyanyikan lagu negaraKu dengan hanya berseluar dalam sambil melakukan aksi seorang atlit bina badan. Aku menetap di Dorm 18 ketika ini. Ahlinya yang lain ialah Hazwan, Muhyiddin, Bro Azam dan Bro Saiful.

Aku juga menganggotai UAR - unit amal remaja, sedang pada masa itu, tiada satu persatuan atau kelab yang ditubuhkan berikutan usia sekolah yang masih dalam peringkat penyusunan kerana baru sahaja di buka. UAR ini adalah dikelolakan oleh Dzulhamka, dan aktivitinya hanyalah berkawad kaki setiap petang dan ahlinya cuma 3 orang. Tanpa aku ketahui sebenarnya UAR ini adalah salah satu unit di bawah PAS. Masa itu banyak cakap-cakap belakang yang timbul ekoran tindakan Dzulhamka ini, tidak kurang juga yang mengutuk beliau dan mengatakan beliau ini gila kuasa dan gila nama. Bayangkan baru sahaja umur menjangkau 13 tahun, gosip-gosip tentang kuasa dan nama ini telahpun dibisik-bisikan dari telinga ke telinga. Pada aku, ketrampilan mamat ini memang sudah aku kesan sejak awal, dan memang beliau ini sangat-sangat berkaliber sebagai seorang pemimpin.

Aku masih ingat pada satu kejadian yang pada aku menggelikan hati, di minggu pertama aku berada di sekolah tersebut. Kejadian ini bermula ketika semua pelajar putera sedang menunggu diperkarangan asrama sebelum masuk ke surau sementara yang terletak di tingkat bawah Asrama Putera untuk solat Maghrib. Kejadian berlaku apabila dua orang pelajar ini, melihat ke langit dan ternampak sebuah kapalterbang melintas di celah-celah mega senja.

"Kau rasa kapalterbang tu terbang berapa laju?"
"Entah lah, 800km/j kot?"
"Eh apa pulak? itu kapalterbang apa tu?"

"Kapal terbang nenek kau..."

"Woi..nenek-nenek jangan main aarr??!!"

"Apahal??!! Nak gaduh ke??"
"Weh..dahla tak yah la gaduh-gaduh..", pelajar lain cuba meleraikan pertengkaran.

Fasal kapalterbang pun boleh jadi modal bergaduh. Kepada Najib dan Ridzuan, mungkin kamu telah lupa kepada peristiwa tersebut, tetapi bukan aku, sebab aku yang leraikan kamu berdua! Hehehe...

Teringat juga ketika Muhyiddin terkentut ketika tahiyyat akhir Solat Maghrib dan menyebabkan aku cepat-cepat bagi salam sebelum imam, kerana menahan gelak. Nasib baik ada cikgu Shawal di situ, kalau tidak gegak gempitalah surau bawah itu dengan gelak tawa kami semua. Shahrul Hisham (ayoy) juga pernah sekali melakukan stand-up comedy ketika kami sedang menunggu masuk waktu Maghrib apabila disuruh oleh Ustaz Subri untuk melaungkan azan, sebaliknya takbir raya yang bergema. Muahahahah...

Ketika ini, banyak fasiliti yang belum dapat digunakan sepenuhnya. Kali pertama kami merasa menggunakan surau atau musolla baru, adalah kira-kira selepas 2 minggu kami berada di situ. Itupun dengan keadaan bergelap, lantai yang basah dengan air yang bertakung dan lantai yang bogel yakni tiada permaidani menghampar, hanya kepingan-kepingan mar-mar sejuk yang boleh membekukan 'benih-benih' subur anda terutama ketika solat subuh.

Makanan yang disediakan juga seperti main tangkap muat sahaja. Aku masih ingat lagi bilamana sarapan pagi kami yang sepatutnya nasi lemak, dihidangkan pula nasi bersama hanya sos cili. Mana pergi wang peruntukan yang Kerajaan beri untuk mereka menyediakan makanan yang berzat kepada kami? Aku juga masih lagi mengingati pelajar-pelajar super-duper senior terutama Bro Faiz yang begitu vokal menyuarakan ketidakpuasan hatinya dengan menu yang disediakan itu.

Aku juga masih ingat ketika aku tersalah masuk ke dalam dorm akibat keadaan yang gelap gelita akibat ketiadaan bekalan elektrik di blok asrama. Balik dari musolla, terus pulang ke dorm, tanpa aku sedari yang dorm kami masuki itu adalah dorm jiran sebelah. Oleh kerana susunan katil yang sama, aku dan Hasrul terus sahaja berbaring di atas katil. Tetapi apabila ketika ingin membuka loker, kuncinya tidak dapat membuka loker tersebut. Hinggalah ada seorang mamat ini menegur "Apa yang saudara buat di loker saya?", ala-ala P Ramlee dalam Ibu Mertuaku. Mamat tersebut adalah Asnuri bersama rakannya Rashid. Dan aku pula boleh bertanya kembali, "Orang baru ke?", tanpa rasa bersalah. Sehinggalah Hasrul memanggil dari luar "Woi Ran,salah dorm daaa!!", lantas aku berlari-lari anak pulang ke dorm sebenar sambil berharap mereka berdua tidak mengenali aku asbab kegelapan.Esoknya ketika beratur mengambil sarapan, Asnuri menegur, "Korang ye yang masuk dorm aku malam tadi?",dan aku hanya mampu tersengih. Heh.

Cikgu Syawal adalah cikgu Matematik merangkap ketua warden kami. Beliau adalah Benda Hidup yang mesti kamu elakkan diri darinya. Dia adalah bekas pengajar dari Maktab Tentera, maka gerak-gerinya adalah secara senyap dan sembunyi, seperti gerakan seorang Penembak Hendap. Kami perlu berhati-hati setiap masa, kerana matanya berada di mana-mana.

Aku pernah menghentak bekas pensil logam aku sehingga kemek semata-mata kerana tidak dapat masuk Pengakap kerana sistem kuota yang digunakan dalam gerakan Ko-kurikulum. Emosi betul!

Bekalan barang-barang permainan mula sampai. Tapi malangnya hanya ada sebiji sahaja bola sepak yang ada. Petang-petang, satu asrama lelaki main bola sampai penuh satu padang. Dah tu pula, bukan padang rumput tapi padang pasir dan padang semalu. Kalau terjatuh, pasti berbirat-birat kaki dan badan.

Apabila waktu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, guru yang mengajar pada waktu itu adalah pengetua sendiri, Ustaz Yusof Dimin. Kali pertama kami keluar untuk waktu PJK, dengan riangnya kami fikir dapat bermain bola pada waktu tetapi sebaliknya kami menghabiskan 45 minit waktu dengan hanya membuat regangan dan pemanasan badan. Ini semua kerana menunggu pengetua datang untuk memberikan arahan. Selepas itu, kami tidak lagi menunggu beliau, ambil bola, terus sahaja kepadang untuk bermain! Lawan kami adalah dari kelas Amal yang selalunya menjadi pasukan belasahan kami dari kelas Hidayah yang membariskan bintang-bintang yang bakal mewakili sekolah pada tahun akan datang seperti Hasrul, Izazil, Haikal, Wan Mohd Zubir dan Hafiz Mokhtar.

Mula timbul semangat Assabiyyah Tanjong Karang. Mula berkawan dengan pelajar-pelajar yang berasal dari Tanjong Karang. Senang bila masa balik kampung di hujung bulan nanti, tidak perlu menaiki bas, tumpang saja rakan-rakan seperti Faiz M Zaini, Hishamuddin, sebab bapa mereka ada kereta, jadi tidak perlu lagi aku untuk bersesak-sesak di dalam bas untuk pulang ke rumah! Heh.

Untuk menampung selera dan nafsu makan budak-budak asrama, pihak sekolah telah membawa masuk seorang pakcik penjual nasi lemak ke dalam asrama setiap malam minggu, sabtu dan ahad. Aku sering membeli nasi lemaknya yang wangi dan sedap yang tersusun rapi di dalam bakul kayu dibelakang motosikalnya, sambil mendengar siaran langsung perlawanan bolasepak antara Pasukan Merah Kuning dengan pasukan-pasukan lain melalui radio transistornya menerusi Radio 3 Shah Alam (sekarang SelangorFM).

Perasaan baru muncul dan terbit dari dalam hati seorang budak laki-laki yang baru akil baligh (boleh percaya ke? Heh) Aku rasa aku telah jatuh cinta pada seorang budak perempuan dalam kelas yang pelat lidahnya untuk menyebut 'R', biar aku gelarkan dia S. Tapi aku diamkan saja. Takut perasaan itu dijadikan bahan jenaka kalau-kalau cinta tak berbalas. Aku selalu bertepuk tampar dengannya kerana aku dan Hasrul sering mengajuk pelat R nya itu. Dia duduk betul-betul di belakang aku ketika itu. Ketika ini lagu yang paling popular yang aku cuba untuk hafal ialah Dalam Gerimis nyanyian Visa.

Aku mempunyai seorang kakak angkat. Kak Latifah namanya. Kasih Latifah memandikan aku dengan kemewahan yang aku tak pernah rasa, almaklumlah, kakak angkat aku ini adalah anak towkeh Shapadu, jadi bila-bila masa sahaja akan ada kejutan. Coklatlah, pakaianlah, kad gergasilah, pendek kata macam-macam. Nasib baik aku bukan dari jenis pisau cukur, kalau tidak sudah lama aku bergelar jutawan segera!

Aku mewakili daerah Kuala Selangor ke pertandingan Tunas Kebangsaan, bersama-sama aku juga dari sekolah ini adalah Shahrian Tasar dan Azwa Harris masing-masing mewakili daerah Klang dan Hulu Selangor. Pertandingan dihoskan oleh Negeri Johor. Kami kesana bersama-sama pelajar-pelajar terbaik Selangor. Kami tinggal di Hotel Merlin Johor Bahru.

Aku mengakhiri penggal persekolahan dalam tingkatan satu sebagai pelajar terbaik kelas selepas undi popular antara aku dan Nur Eliza, seorang pelajar cemerlang kelas aku. Aku dihadiahkan buku cerita bahasa inggeris bertajuk 'Ivan The Last Tzar'dari Cikgu Nurul Azilah yang tersangatlah manisnya. Masa itu beliau masih lagi bujang trang tang-tang dan masih bergetah bak kata orang muda-muda. Buku tersebut aku tak baca pun, dan menghabiskan sepanjang hayatnya di dalam rak di perpustakaan sekolah.

1995


gambar kenangan pelajar-pelajar 2 Hidayah bersama Cikgu Hayati sebagai guru kelas
Belakang Dari kiri : Azlan, Razif, Aku, Refaei, Azrin, Ibrahim, Rasyid, Haikal, Megat, Hasrul, Wan M Zubir, Hafiz Mokhtar, Mazuan, Izazil, Hafiz Aziz
Tengah dari kiri: Eliza, Ngazraini, Emy Azua, Ainul Maawa, Shuhaida, Noor Dina, Juliana Anis, Mazni, Qairunnisha, Ernie, Zuraifah, Norhafizah, Normi, Shahida, Norehan.
Duduk : Farahanim, Asmah Hanie, Aziannabiha, Nurazlifa, Seri Suharni, Fairuz Liza, Shazlina Azla, Mahfuzah, Azwa

Sekarang dah naik tingkatan 2. Merasa menjadi senior buat kali pertamanya. Sekolah yang pada mulanya hanya ada kami pelajar tingkatan 1 dan tingkatan 4 pada 1994, kini sudah bertambah bilangannya dengan kemasukkan pelajar-pelajar dari Sek Men Keb Agama Selangor, Kajang. Dengar ceritanya, asal sekolah ini sepatutnya mereka inilah yang merupakan batch pertama SMKAKS, tetapi malangnya sekolah ini belum lagi siap sepenuhnya ketika itu, dan mereka menumpang bangunan Sekolah kelolaan Jab Agama Islam Selangor yang dinamakan SMKA Selangor atau nama ringkasnya SMAS. Ada juga pelajar-pelajar baru dari sekolah-sekolah lain seperti SMKA Simpang Lima, SMKA Kuala Lumpur dan lain-lain. Maka disinilah berlakunya pertembungan budaya antara budaya SMKA (Konservatif Agama) dan Budaya Sekular (yang kami, pelajar SMKAKS asal bawa, kerana berlatar belakangkan sekolah asal yang tidak berimej agama sebelum ini, kecuali seorang dua seperti raja-raja syaitan, Fauzi dan Ahmad Hafidz -- dua-dua datang dari sekolah agama JAIS -- melalui transformasi yang ekstrim sepatutnya merekalah mufti dan ulamak harapan, tetapi hanya tinggal harapan.. hehehe).

Hubungan antara pelajar di awal-awal tahun 1995, adalah berjalan dengan baik. Aku sebagai pelajar tingkatan 2 boleh bertepuk tampar dengan pelajar tingkatan 3 yang baru masuk dari SMAS. Siap boleh bermain bola tepuk bersama-sama lagi. Budak- budak SMAS yang menghuni dorm yang sama dengan aku pada waktu itu adalah Hafizul (Bard), Hamid Joto dan Arif Azrin. Bard dan super-duper senior aku Bro Azam, menjadikan sudut katil aku sebagai 'port' menghisap rokok pada waktu malam. Aku walaubagaimanapun mempunyai iman yang kuat, aku belum mahu lagi mencuba sesuatu yang baru.

Ada seorang pelajar baru yang menghuni dorm kami. Orangnya gempal dan biar aku namakannya F (Bukan huruf sebenar). Beliau ini sebenarnya baik orangnya, cuma yang kami tidak tahan adalah mulutnya. Tetapi oleh kerana aku selalunya dapat menahan rasa geram, aku diamkan sahaja. Dia ini sebenarnya mempunyai ciri-ciri seorang aktivis. Outspoken dan berpendirian. Aku masih ingat beliau ada mengajarkan satu lagu (nasyid) yang pada ku melodi dan liriknya sangatlah indah. Antara bait-bait lirik yang masih aku ingat:

"Ayuh generasi, maju kedepan sana,
Capaikan segala demi cita mulia,
Biar darah mengalir, Biar diri tersungkur.."

Begitulah liriknya. Dia ini mempunyai suara yang bagus, dan enak suaranya jika membaca al-Quran dengan lengkap lagunya. Dia ini juga selalu sangat tak berpuas hati dengan orang lain. Hari ini orang tu, esok orang ini pula. Pendek kata mungkin dengan semua orang pun dia tak puas hati. Pernah suatu hari beliau ini mencari fasal dengan Hasrul. Memang mencari gaduh dan sengaja mencari fasal lah begitu. Kalau tak silap fasal 'landing-melanding' atas katil yang dah siap dikemas. Yang geli hatinya di kemuncak persengketaan, si F ini menarik cadar katil si hasrul, kemudian secara selambanya Hasrul mengangkat tilam, bantal beserta cadarnya sekali lalu mencampakkannya ke bawah. Tak mampu aku meleraikan sengketa seperti yang ini. Tapi itu semua tak lama, ada satu kes kecurian di mana wang aku juga turut di rembat, di mana kami semua menjadi penyiasat lalu membongkar kegiatan seorang budak junior tingkatan 1 yang betul-betul berwajah innocent. Budak ini tak pernah tidak memberi salam apabila melintasi sesiapa. Dia juga adalah seorang ahli surau, pendek kata luarannya sudah boleh mencapai tahap mufti atau kadhi daerah lah jika sesiapa yang melihatnya.

Sekolah ini aku rasakan bertukar menjadi neraka di hujung-hujung sesi persekolahan, tatkala rejim pemerintahan bertukar dari tangan super duper senior yang dipimpin oleh Bro Najib Masdan dan rakan-rakan kepada Batch Shamsul Imraq dan rakan-rakan.

Senior lain seperti Super duper Bro Saiful KRU -- protege harapan Norman; Sarai, Badong, Fahmi Kuraisin, Hamid Joto (kemudian nya bertukar Ganas -- macam Anakin jadi Darth Vader lah lebih kurang) adalah watak-watak yang mesra pelajar dalam dorm. Aku senang dengan mereka. Bukan seperti watak-watak SG -- seram ganas -- seperti Idi, Kobar, Azam Jin, Sipot Sr, yang boleh buat kamu bermimpi ngeri di malam hari. Hahahaha.

Awan gelap mula menyelubungi suasana pinggir Sungai Selangor. Sejak aku disuruh berkawad di dalam dorm oleh Bob kerana memakai baju yang sama dengan beliau (jersi Manchester United Kelabu -- entah bagaimana aku boleh memakainya, aku pun tak tau, kalau tau dek 'Sir' Bob Paisley ni, mampus aku! hehehe). Asek juga telah memaksa aku mengambil kasut orang lain -- curi lahtu -- untuk dia memakainya esok hari. Pakej penghantaran beserta mengapurnya sekali. Sejak itu, aku terus tidur awal, malas nak berkeliaran malam-malam.

Aku jadi ketua kelas, tapi tak lama, kemudian dilantik pula menjadi Pengawas Sekolah. Seronok jadi pengawas ini. Semacam ada pencapaian pula. Bila balik kampung nanti, boleh jadi popular. "si Along tu jadi pengawas kat Sekolah Agama Pasir Penambang nun..". Mungkin begitu kata orang-orang kampung. Sijil berhenti sekolah juga pasti akan dicoret dengan kata-kata indah
dari Pengetua sebagai menghargai sumbangan aku seorang pengawas di dalam memastikan peraturan sekolah diikuti. Sijil berhenti sekolah jugalah yang menjadi modal Pembesar -- warden dan guru disiplin -- untuk mengikat pelajar-pelajar nakal lagi dajal mengikuti arahan dan peraturan.

Ketika ini, jika ingin keluar dari kelas untuk ke tandas perlu ada kebenaran dari guru ataupun ketua kelas. Kebenaran tersebut adalah dalam bentuk pas kebenaran keluar yang diperbuat daripada kayu setebal setengah inci, berdimensi 12 inci x 20 inci lebih kurang, dan perlu di bawa kemana-mana jika berada di luar kelas. Jikalau tidak akan mengundang padah, kerana pada waktu ini guru disiplin ialah seorang cikgu yang aktif berpengakap dan sangat profesional. Beliau ialah Cikgu Noorazman Abd Aziz. Aku pernah melihat beliau mencekak kepala seorang pelajar puteri kerana tidak mengenakan kad matrik. Zulhabri, rakan aku juga pernah ditengking dan dilaung dari kejauhan kerana dilihat berjalan luar dari kelas kerana tidak membawa pas kebenaran tersebut, sedangkan di dalam Pengakap ataupun perkhemahan dan ekspedisi, beliau berwatak mesra alam dan mesra pelajar. Mudah didekati dan mudah pula berjenaka. Amat berbeza bukan? Aku juga pernah disoal siasat hanya selepas aku bertanya kepada Sarai, senior sedorm aku selepas perlawanan sepak takraw antara dorm.

Aku bertanya; "Menang, kalah?", ketika itu aku berada di depan dorm, tingkat satu.

Sarai hanya menjawab dengan menunjukkan isyarat jari, menggenggam sambil ibu jarinya menghala kebawah. Tanda kalah, kecewa. Tanpa aku sedari, Cikgu Noorazman berada berhampiran. Kemudian beliau memanggilku dan bertanya apakah isyarat yang Sarai tunjukkan tadi. Berpeluh juga aku menjawab pertanyaan beliau. Begitu sekali cermatnya beliau menganalisis sesuatu.

Kelas 2 Amal masih lagi menjadi pasukan belasahan dalam perlawanan bolasepak dalam waktu Pendidikan Jasmani, walaupun dengan kehadiran pelajar yang baru masuk dari SMKA Simpang Lima, Khairul Nizam atau dengan nama manjanya, Kacap.

Terdapat juga kisah mistik dan misteri yang benar-benar berlaku dan kami sendiri mengalaminya. Kisahnya begini, pada tahun ini, kami harus menyiapkan kerja kursus untuk matapelajaran Sejarah. Subjek kami adalah Bukit Melawati dan tempat-tempat bersejarahnya. Kami harus mencari dan menyelidik melalui pemerhatian, pertanyaan, temubual dan apa-apa cara lain untuk melengkapkan kerja-kursus tersebut. Kami melawati tempat-tempat seperti Batu Hampar, Meriam Belanda, Tangga Seratus, Rumah Api dan Makam-makam Sultan Selangor yang terawal. Ada diantara kami yang membawa perakam suara untuk merakam nota-nota yang tercatat di papan-papan kenyataan supaya boleh dijadikan sumber kepada fakta yang akan dimuatkan nanti. Aku masih ingat ketika itu Hafizuddin dan Faizal Yaacob dari kelas Iman yang membuat rakaman suara di Makam Di Raja bersama-sama rakan sekelas mereka yang lain. Yang menariknya apabila didengar semula rakaman tersebut, rakaman suara itu telah bertukar menjadi bunyi tembakan meriam lama! Aku yang bertembung dengan mereka sedang tergesa-gesa turun dari kawasan makam tersebut (ketika itu aku dan rakan-rakan baru pulang dari Rumah Api), mendengar dengan jelas bunyi tersebut apabila mereka menyuruh kami mendengar sedutan rakaman tersebut. Apa yang aku ingat, kami semua selepas itu, terus sahaja berlari-lari untuk turun ke bawah bukit menuju Pekan Lama Kuala Selangor bagi menantikan bas untuk pulang memandangkan waktu telah hampir senja. Meremang juga bulu tengkuk apabila mengenangkan peristiwa tersebut.

Pada tahun ini juga, aku dapat merasa erti kasih sayang... dalam erti kata tarikan cinta uda dan dara. Aku baru dapat merasa apakah rasanya jika dapat menatap tulisan orang yang kita sayang dan dapat pula menulis kepadanya bait-bait kata sambil diselit-selit lagu-lagu Ukays, Fahrenhait atau lagu-lagu Slam ke dalam surat tersebut. Atau kod-kod huruf yang aku pada mulanya langsung tiada idea apakah maknanya :BSURSICUB4. --- WTF! (akhirnya aku bertanya sendiri kepada penulisnya apakah makna huruf-huruf tersebut, dan alangkah naifnya aku! maksud~ Be As You Are As I See You Before.. gejala awal penubuhan kumpulan Nasyid U.N.I.C..hehehe..)

Kepada beliau yang menjadi cinta monyetku dulu, aku namakan N, kenangan berani mati kau dulu, tetap aku ingat sampai mati!

Asrama berpindah, kerana asrama yang kami duduki sekarang mempunyai lebih banyak unit dorm berbanding asrama Puteri. Jadi Asrama Putera bertukar menjadi Asrama Puteri dan sebaliknya. Maka ramailah penyumbaleweng (pervert) yang mencari 'The lost treasure of Aspuri'. Heh, tapi bukan aku, aku hanya menjumpai surat-surat yang berkajang-kajang, dan ada antaranya mengenai aku. Hmmm.. popular juga rupanya aku dulu. Heh.

Kemudahan TV ditarik tanpa notis. Kami akan hampir menjadi seperti katak bawah tempurung jikalau tak membaca akhbar. Bermulalah satu era kekuasaan Penguasa Agama. SMKAKS berada dalam Dark Ages, menunggu datangnya pembela pencerahan untuk membawa kami ke arah Renaissance. Lagu-lagu raya tradisional juga di haramkan. Walkman, dan apa-apa alat yang boleh mengeluarkan bunyi muzik, ditegah sama sekali, kecuali perkusi seperti congga, bonggo, yenki, kompang -- untuk kegunaan elitis Nasyid. Mereka ini menduduki tangga kedua dalam hirarki sosial pada zaman tersebut. Tangga pertama dijawat oleh senior-senior yang berkuasa mengejutkan anda dari tidur semata-mata menyuruh anda mengambil air di mesin Water Cooler didewan makan di malam hari.Manakala junior tingkatan satu menduduki tangga terbawah hirarki, iaitu sebagai hamba atau pekerja. Sebagai satu bentuk escapisme, pelajar-pelajar menemukan satu bentuk hiburan baru iaitu dengan membaca komik sebagai memenuhi masa lapang, juga masa yang tidak lapang. Antara komik-komik yang popular Juara Wira, Pedang Setiawan, Alam Perwira, Raja Rimba dan pelbagai tajuk lagi yang rata-ratanya berasal dari Hong Kong.

Terdapat juga bentuk-bentuk hiburan yang diperkenalkan sebagai mengisi masa terluang di hujung minggu yang berasaskan Islam, iaitu bentuk hiburan islamik seperti diadakan pertandingan Nasyid, pertandingan Drama bahasa Arab, pertandingan sketsa dan juga bentuk-bentuk hiburan alternatif lain yang diadakan dari masa ke semasa.

Terdapat peristiwa buang pelajar, dan satu kes polis, kerana ada pelajar puteri mendakwa ada penceroboh lelaki yang masuk kedalam dorm pelajar puteri. Dengar cerita ada yang mendakwa melihat kelibat seperti Cikgu Shawal. Ada yang melihat seperti pekerja Dewan Makan. Tetapi akhirnya seorang pelajar yang disabitkan, seliparnya yang menjadi bukti. Aku pun tidak berapa mengetahui fakta sebenarnya, apa yang aku coretkan disini hanyalah berita yang aku dengar melalui khabar-khabar angin dan gossip sahaja.

1996

gambar kenangan bersama pelajar 3 Hidayah dan Ustazah Rohana sebagai guru kelas


Tingkatan 3 menuntut lebih banyak masa untuk belajar secara serius. Tahun PMR. Tahun penting bagi menentukan arah mana akan aku tuju semasa di menengah atas nanti. Keadaan pada tahun ini sudah mula mengendur sedikit. Tidak banyak keadaan tegang, pelajar SG senior semua menumpukan perhatian kepada SPM yang mendatang, manakala kami pula bersedia untuk PMR.

Aku masih ingat ketika hari pertama datang ke sekolah selepas bercuti panjang untuk memulakan sesi pembelajaran bagi tahun yang baru. Ketika itu semua pelajar berhimpun di Dewan Besar dan ketika itu Guru Penolong Kanan I, Cikgu Zawawi membuat pengumuman berkenaan Guru Kelas dan kelas-kelas yang akan ditempatkan.

"Kelas 3 Iman, akan dikendalikan oleh Cikgu Hayati", dengan serta merta disambut dengan hela nafas dan suara-suara kurang senang dari pelajar-pelajar kelas tersebut, hahaha..memang mereka tak bagi muka langsung! Manakala pelajar kelas lain pula berasa amat lega kerana dapat mengelak dari mendapat guru tersebut.

Walaupun akan menghadapi PMR, permainan bola picit di dalam kelas pula diteruskan. Idea dipelopori oleh Ibrahim Rabani. Jejaka misterius dari Kapar. Pantang ada waktu senggang, gelanggang permainan akan pasti akan di buka.

Pada tahun ini sesi pembelajaran lebih menarik dengan guru-guru yang berkaliber seperti Cikgu Shahrom yang mengajar Sejarah, Ustazah Rohana sebagai guru kelas dan Bahasa Arab, Cikgu Ismail Jemalos guru Sains yang nakal, Cikgu Zulkifli guru Kemahiran Hidup dan Cikgu Nor Azah cinta alam khayalanku yang mengajar Matematik. Tak lupa pada Ustazah Normala Adnin guru Pendidikan Islam, yang sering kami jadikan kelasnya sebagai medan 'pencerahan' dan medan 'brainstorming' dengan soalan-soalan yang bertalu-talu diajukan kepada beliau. Bayangkan soalan begini:

"Ustazah, saya ada soalan."
"ya Refaei?"
"Ustazah, bagaimana kalau Kita sedang sembahyang, anjing datang lalu menjilat kaki?"
"Oh, tentulah batal sembahyang, kerana jilatan anjing adalah najis berat, dan wajib disamak untuk menyucikannya..", panjang lebar Ustazah Normala menerangkan.
"Apa pulak Ustazah, mana ada batal.."
"Eh, dari mana kamu belajar ni?"
"Tentulah tak batal ustazah, fasal anjing tu jilat kaki dia sendiri."
Jawapan dan sengihan Refaei itu disambut dengan derai tawa seluruh kelas 3 Hidayah pada sesi tersebut.

Selalunya, yang rajin memeningkan kepala beliau dengan soalan-soalan maut adalah Refaei dan Ahmad Razif. Ada satu soalan yang aku paling ingat ialah soalan berkenaan Solat Jumaat.
Aku masih ingat pengajunya adalah Razif. Soalannya berbunyi begini;

"Kalau kita sembahyang Jumaat ikut siaran langsung dekat tv tu boleh tak ustazah?",

juga disambut dengan derai tawa yang tak henti-henti dari pelajar-pelajar. Bayangkan jikalau aku yang menjadi tenaga pengajar pada waktu itu, pasti aku sudah tidak boleh bersabar dengan karenah pelajar seperti ini. Tetapi bukan Ustazah Normala. Dia tabah dan cekal untuk menjadi pengajar yang berdedikasi. Moga beliau berjaya dengan apa yang dilakukannya. Amin. Malangnya, selepas mendapat keputusan majoriti kami mendapat 8A 1B dimana 1B itu adalah dalam subjek Pendidikan Islam, dan selepas itu Ustazah Normala dipindahkan mungkin kerana keputusan yang dianggap 'teruk' oleh pegawai atasan.

Hanya ada 2 orang sahaja yang berjaya meraih 9A iaitu Hafizul (Joe) dan Norli. Kedua-duanya datang dari Kelas 3 Taqwa, yang kami panggil kelas Elit, mana taknya, ketika kami semua berbondong-bondong keluar ke kantin pada waktu rehat, mereka masih lagi berada di kelas, khusyuk dan tawadhuk mendengar penuh setia dan minat terhadap guru yang mengajar dihadapan. Tetapi kami tidak begitu di kelas Hidayah. Kami adalah rebelion. Ketua rebel kami adalah Azrin dan Hasrul ~ pejuang pelajar. Jika tiba waktu rehat pasti kami akan berusaha untuk 'memberitahu' guru yang mengajar bahawa perut kami sudah lapar dan kami perlu pergi ke kantin. Seperti dengan sengaja menutup bekas pensil secara beramai-ramai, menutup buku atau buat-buat sibuk untuk mengemas peralatan dan alat tulis di atas meja. Pasti guru yang sedang mengajar akan ter'psiko' dengan tindakan kami. Bijak bukan?

Aku juga masih ingat ketika aku berselisih faham dengan Hasrul dan yang lain kerana tidak mengakui kesalahan aku mengejek Azwa sebagai 'anjing' kerana radio transistor milik Hasrul telah dirampas oleh guru disiplin, walaupun dia tidak mengakuinya. Aku pun tak tahu kenapa aku tidak mahu mengaku ataupun aku rasa aku tak pernah pun memanggil dia dengan perkataan itu, cuma mungkin aku berada bersama mereka ketika mereka melemparkan kata-kata itu. Tapi itu tak berlarutan lama, aku tak boleh bersengketa dengan sesiapa kerana hati aku pasti takkan tenang. Cuma yang menjadi misteri jika bukan Azwa, mungkin ada orang lain yang melaporkannya.


gambar aku sedang memegang radio transistor milik Hasrul. Dari kiri Rasyid, Ayoy, Hafiz Mokhtar, aku, Haikal, Hasrul, Megat, Azlan Kasim dan Mazuan

Aku masih ingat juga ketika aku Hasrul dan Haikal berkomplot untuk me'ngena'kan (ala-ala wakenabeb lah tu!) Megat dan Fairuzliza, ketika gosip hangat melanda kelas kami apabila Mazuan Mansor suka kepada Fairuzliza. Mungkin kerana Megat ada menyebut sesuatu tentang Fairuz kami terus menganggap dia juga menaruh minat terhadapnya. Oleh kerana Megat lebih rapat dan profilnya disenangi ramai berbanding Mazuan, kami memulakan kerja jahat kami iaitu menulis surat cinta kepada Fairuzliza untuk Megat. Ada antara ayatnya yang aku masih ingati hingga sekarang:

"Kenapakah kau memilih dia sedangkan namaku juga bermula dengan M?",

kami juga akhiri surat tersebut dengan bait-bait lirik dari lagu Ranjang Mawar dendangan Wings;

"Kutenggelam dalam rindu tidak berdasar dan bertepi...".

Secara kebetulannya, bentuk dan corak tulisan tangan Haikal lebih kurang sama dengan tulisan tangan milik Megat, maka ketika mereka (iaitu Fairuz dan rakan rapatnya Seri Suharni) mengesyaki bahawa surat tersebut bukanlah ditulis oleh Megat sendiri, maka mereka pun menyelongkar meja kepunyaan Megat untuk memeriksa tulisan tangan, dan mereka hampir-hampir percaya bahawa memang Megatlah yang menghantar surat tersebut. Sehinggalah kami memberi hint kepada mereka iaitu dengan menyanyikan lagu tersebut secara beramai-ramai. Barulah mereka tahu bahawa surat itu adalah satu penipuan dan Fairuzliza terus menyalahkan kami dan hanya mampu menangis sesuai dengan gelarannya 'Sang Air Mata' yang mengambil nama dari watak komik Raja Rimba.

Teringat satu kisah, ketika itu seluruh SMKAKS dilanda krisis air. Bekalan air yang tidak mencukupi. Oleh kerana badan berpeluh dan berlengas setelah pulang dari beriadah, kami semua kaget kerana bekalan air tiada di blok asrama putera, maka bertebaranlah kami semua mencari punca air, ada yang mandi di sekolah, di rumah cikgu atau di mana-di mana yang terdapat sumber air. Maka dipendekkan cerita, aku mengikuti segerombolan pelajar yang telah mendapat sumber air yang banyak iaitu di tangki air di atas siling Dewan Besar. Maka kami pun mandi dengan gembiranya tanpa mengetahui bahana yang bakal menimpa kami. Kami semua mandi tanpa mengendahkan bahawa terdapat satu set PA (PA System - sytem audio dan mikrofon) yang terletak di bahagian bawah dewan, iaitu di sebelah tepi pentas. Apabila terdpat ramai yang mandi disebelah atas, maka air-air mandian tersebut berjurai jatuh dan mengalir dan mengenai set PA tersebut yang dikatakan berharga ribuan ringgit.

Dipendekkan cerita, selepas mandi, pihak sekolah memberikan kebenaran pulang kerumah bagi sesiapa yang tinggal berdekatan dan sekitar Kuala Selangor. Aku menumpang di rumah Hasrul pada malam itu.

Apabila pulang ke sekolah, rupa-rupanya senarai nama yang mandi di atas dewan itu telah berada di tangan guru disiplin. Pada mulanya kami diugut dengan mengatakan kami terpaksa menggnati semula set PA tersebut dengan membahagi sama rata nilai kerugian yang dialami dan kami terpaksa membayarnya. Aku mula cuak yang mana aku mana ada wang sebanyak itu.

Akhirnya kami didenda dengan berlari keliling sekolah sambil membawa gayung dan baldi, dan pergi ke tingkat bawah (basement) dewan untuk mengeringkan air yang bertakung. Pelajar-pelajar senior SG yang mandi terlepas mungkin kerana kami budak-budak junior berasa takut untuk melaporkannya kepada pihak sekolah.

Setelah tamat PMR, kami tiada pengisian di dalam kelas sebaliknya kami diarahkan untuk terlibat dengan kerja-kerja luar dan kerja-kerja penceriaan kawasan sekolah, iaitu dengan mengecat mural di dinding-dinding bangunan. Manakala pada petang atau malam, jadual harian kami penuhi dengan aktiviti sendiri. Aku dan Saiful Nizam pernah mengelolakan pertandingan bola picit yang mendapat sambutan yang menggalakkan. Tempat pertandingan kami adakan di dalam dorm kami iaitu dorm 76.


Foto ketika sebelum sepak mula menentang Pasukan 3 Iman. Perlawanan bolasepak antara tingkatan yang berlangsung selepas tamatnya PMR
Dari kiri (Berdiri): Razif, Azrin, Refaei, Hasrul, Azlan, Rasyid, Haikal, dan Ridzuan (Pengadil dari 3 Taqwa)
(Duduk): Hafiz, aku, Ibrahim, Mazuan, Wan M Zubir (Berbaring)
terlihat di hujung kanan : Faizal Yaacob (3 Iman)


Foto diambil ketika perlawanan Kelas Taqwa menentang Iman.
Atas dari kiri: aku, Wan M Zubir, Rasyid, Faiz M Zaini
Duduk : Azrin, Mazuan, Refaei, Hazwan


Foto di dalam bas ketika rombongan 'haram' ~ tanpa pengetahuan sekolah ~ ke Johor Bahru, anjuran Kelas Taqwa.
Dari kiri (belakang) : Faizal Yaacob, Muhyiddin, Hazwan, Saiful Nizam
Tengah dan depan : Izzee, Sharifuzan, Hafizul, Hafiz, Ridzuan, aku, Azrin


Foto ketika aktiviti kembara Pengakap Muda
dari kiri : Shahrir (Semut), aku, Ibrahim dan Firdaus (Ah Sok)
duduk : Muzammil, Sobree


Aku habiskan sisa-sisa pembelajaran dalam tahun ini dengan satu tekad:

"Aku akan keluar dari sini tahun depan, tidak kira apa jua keputusan PMR yang aku perolehi!"


*Begitulah sedikit sebanyak (banyak sangat kot?) memori yang dapat aku muatkan disini untuk tatapan bekas-bekas pelajar SMKAKS (94 ~ 96/98). Mungkin ada banyak lagi yang aku dapat ingat tetapi tidak dapat pula aku tulis kesemuanya di sini. Apa yang pasti, mungkin kenangan-kenangan ini dapat menguntum senyum di bibir anda dan supaya kita dapat berjejak di bumi ini tanpa lupa siapa diri kita sebenarnya.


~ tamat bahagian I ~

Monday, June 18, 2007

Berita Ringkas

Isteri aku baru sahaja menelefon aku tadi, ada ancaman bom katanya. Semua penghuni bangunan tersebut terpaksa turun bagi menunggu pihak polis mengesan bom tersebut dan meletupkannya.

Lokasi kejadian ini berlaku di Balakong, Cheras.

Ada saja manusia yang tidak senang melihat keadaan yang aman dan tenteram. Kejadian seperti ini walaupun kisahnya tidak dipaparkan secara serius di dada-dada akhbar tetapi, kita harus berjaga-jaga dan berhati-hati setiap masa. Kita tidak mahu keadaan seperti ini merencatkan ketenteraman kita di Malaysia yang selalu 'selesa dan aman damai sejahtera'.

Aku tak mahu hidup dalam ketakutan. Aku berharap agar pihak berkuasa harus berbuat sesuatu sebelum nasi menjadi bubur.

Kita mungkin lupa, tetapi beberapa siri ancaman bom dan letupan bom telah banyak berlaku sejak akhir-akhir ini, Di Jambatan Pulau Pinang dan letupan di Terminal Bas Puduraya baru-baru ini, adalah menceritakan bahawa kita sedang di ancam oleh satu bentuk ketakutan yang baru, iaitu letupan bom.

Kita tidak perlu lagi ancaman yang baru, kerana ancaman-ancaman yang sedia ada pun sudah cukup untuk membuatkan kita ragu-ragu untuk melepaskan isteri-isteri kita keluar berseorangan, anak-anak kita, adik-adik kita, saudara-mara kita ataupun sahabat-sahabat kita keluar bersendirian tanpa ditemani. Jenayah Ragut, Rompak, Cabul, Rogol, Sumbang Mahram, Bunuh, Penipuan, Peras Ugut, Pukau dan Curi dan pelbagai lagi jenayah yang kita sendiri tak pernah terfikir tentangnya sehinggalah kita mengalaminya sendiri.

Kepada pihak berkuasa, aku yakin unit siasatan dan risikan mereka adalah yang terbaik dirantau ini. Buatlah sesuatu sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku. Atau mahu menunggu Menara Berkembar Petronas di bom baru hendak tengadah?

Fikirkanlah.

Saturday, June 16, 2007

Iklan

Apresiasi 'Mabuk' dan 'Dewi'

Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) dengan hormatnya mengundang anda ke acara diskusi warong seperti maklumat berikut:

Sesi 1

Kritik Seni: Apresiasi lagu "Mabuk" (Spider) dan "Dewi" (Dewa)Tarikh: 23 Jun 2007 (Sabtu)Jam: 8 malamTempat: Restoran tom yam Bangsar Seafood, Bangsar Utama, KL (depan pejabat Malaysiakini.com & dekat stesen LRT Bangsar)Pendiskusi: Mahdzir Ibrahim, pencipta lagu & pemuzik

Sesi 2

Diskusi Buku (Siri 4 & akhir) On the Medieval Origin of the Modern State (karya Joseph Strayer)Tarikh: 23 Jun 2007 (Sabtu)Jam: 9:30 malamTempat: Restoran tom yam Bangsar Seafood, Bangsar Utama, KL (depan pejabat Malaysiakini.com & dekat stesen LRT Bangsar)Mesyuarat untuk perbincangan buku berikutnya The Enlightenment (Pencerahan) karangan Dorinda Outram, terbitan Cambridge University Press.>>> Sila bawa wang RM10 untuk kos fotokopi buku The Enlightenment karangan Dorinda Outram. Buku tersebut boleh dilihat di sini (edisi pertama). Isu-isu yang mahu kita bahaskan daripada buku ini seperti berikut.Untuk pengenalan awal, pembaca boleh juga melawat blog ini Pencerahan Telawi untuk memahami perkembangan salon Paris, gerakan intelektual Pencerahan edisi Perancis dan politik golongan philosophes.

Sila sebarkan seluas mungkin & iklankan di blog-blog Sdr/ri. Terima kasih

Sumber: Patah Balek

Thursday, June 14, 2007

Rencam

1.

Penjenamaan jadi kata nama. Pernah tak anda semua terfikir, kata nama tidak rasmi yang kita guna sehari-hari berasal dari mana? Macam Air Milo, tupperware, PC, Apple, Ray Ban, Shelltox, Ridsect, PS2, Astro dan berbagai-bagai lagi jenama yang telah kita ambil namanya dan terus kita jadikan rujukan kata nama kepadanya.

Sebagai contoh air milo, apakah perkataan yang sesuai jika jenama Milo tiada di pasaran? Ataupun serbuk koko itu dijual secara timbang kati di pasar-pasar, kedai-kedai runcit atau pasaraya sekalipun, sudah pasti kita tidak ada masalah untuk menyebut air koko atau air coklat dan malt sebagai merujuk kepada air milo tersebut.

Begitu juga benda yang selama ini kita panggil Tupperware. Walaupun bekas tersebut bukanlah berjenama Tupperware pun, tetapi kita panggil juga ia sebagai Tupperware. Rasanya tiada siapa yang menyebut bekas plastik berpenutup sebagai 'bekas plastik berpenutup'. Mungkin ramai bersetuju jika aku menganggap semua orang di Malaysia ini tidak asing lagi dengan sebuah benda yang dipanggil Tupperware atau Tapaware atau Tepuway mengikut loghat tempatan masing-masing. Cuba kita guna perkataan 'bekas plastik berpenutup', pasti kaum ibu, para isteri terkulat-kulat seketika apabila mendengar perkataan tersebut.

Aku saja mengetengahkan perkara yang mungkin ramai anggap remeh, tetapi itulah hakikat bahasa kita yang namanya juga kerap bertukar-tukar, sekerap kita menemukan perkataan-perkataan baru dalam hidup kita seharian. Tetapi apapun, cubalah gunakan bahasa dengan tatabahasa, ejaan dan struktur yang betul, kalau bukan kita sebagai rakyat Malaysia, siapa lagi yang boleh diharap untuk memartabatkannya?

2.

JPJ akan menguatkuasakan undang-undang berkenaan penggunaan lampu xenon pada kenderaan. Pengguna lampu tersebut akan di denda sehingga RM 200 bagi kesalahan mengguna lampu yang membahayakan pengguna jalanraya yang lain.

Aku sangat menyokong langkah ini. Seringkali aku meyumpah seranah pengguna-pengguna jalanraya yang menggunakan lampu tersebut akibat tahap kesilauannya yang tinggi dan mampu membutakan mata aku selama beberapa saat. Walaupun hanya untuk beberapa saat, tetapi akibat sesaat itulah jika kita hilang tumpuan di atas jalanraya, besar kemungkinan nyawa kita juga akan melayang.

Bukan bagus sangat pun guna lampu tersebut, cuma boleh riak dan sombong saja lah dengan pengguna yang lain kerana mampu menggunakan lampu yang mahal seperti itu. Mahal tapi tiada faedah, hendak buat apa?

3.

Jadual Liga Perdana Inggeris telahpun keluar. (Sungguh tidak patriotik aku ini! Liga Super Malaysia belum lagi habis, sudah sibuk tentang liga luar yang akan bermula bulan Ogos ini). Bukannya aku tak patriotik, cuma sebagai penonton aku berhak memilih antara yang berkualiti dengan yang tidak. Aku mahukan aksi yang benar-benar berkualiti, bukan aksi yang sambil lewa, sekadar melepaskan batuk di tangga atau aksi-aksi lemah lutut pemain tempatan kita sama ada dalam kancah liga dalam negara ataupun di pentas antarabangsa. Lihat sajalah aksinya di Piala Asia yang akan bermula 7 Julai ini, dan pasukan negara akan memulakan aksinya menentang China pada 10 Julai di Stadium Nasional Bukit Jalil. Jika kita gagal untuk melepasi peringkat kumpulan , aku cadangkan kita bubarkan sahajalah Liga Malaysia yang ada sekarang ini, wang jimat, hati pun tidak sakit.

Selangor pun entah ceruk mana terperosok dalam kedudukan liga. Piala Malaysia dan Piala FA sahajalah yang tinggal untuk menghabiskan sisa-sisa perlawanan musim ini dengan satu pencapaian, jikalau tidak, berputih mata sajalah gamaknya.

Sekali pandang kemelut yang melanda bola sepak tanahair, rasa malu ada, sakit hati pun ada. Tiada apa yang dapat menggembirakan hati aku jika membaca atau mendengar berita dan cerita mengenai arena bola sepak tanahair. Pemain tak dibayar gaji, KWSP tidak dicarum, Persatuan tiada dana, jadual diubah pada saat-saat akhir, pergaduhan, dan pelbagai lagi masalah luar padang yang sepatutnya tidak berlaku di dalam negara kita. Mana silapnya dan apa penyelesaiannya? Ini belum lagi kita kupas masalah teknikal, masalah kejurulatihan, masalah taktikal, dan masalah pemain itu sendiri dengan kata ringkasnya, masalah dalam padang, tentu sekali mengundang pertanyaan di benak fikiran setiap peminat bolasepak di negara ini, "Mampukah kita ke Piala Dunia?".

Aku sendiri tidak berani untuk bermimpi tentang itu!

4.

Badan aku berlengas. Aku mahu pergi mandi!

Wednesday, June 13, 2007

Dalam Keriangan Ini

Dalam keriangan ini
ada duka dan tangisan
hati terhiris begini
pedih luka aku menahan,

Dalam keriangan ini
ada pilu dan ada hiba
diri tak punya lagi
ibu dan bapa

Dalam keriangan ini
aku menginsafi
betapa aku kesali
kerna tak sempat berbakti
pada ummi dan abi.

Dalam kenangan: Shamsuddin Bin Mat Som dan Raihanah bte Abd Majid.
Semoga Allah mencucuri rahmat keatas roh mereka berdua. Amin.

Oh Amaniku!

Rambut itu mahkota seorang wanita. Kini Amani hilang mahkotanya. Kenapakah kau membotakkan kepalamu wahai Cik Syarifah Amani??


Amani atau Alien?

Sebenarnya pelakon pujaan aku ini sedang mempersiapkan diri untuk persembahan beliau seterusnya dalam Muallaf. Aku nantikan lakonanmu wahai Cik Amaniku sayang!

sumber gambar: Berita Harian Online.

Monday, June 11, 2007

Biar Hantu itu Datang Mengganggu Lagi

Biar saja hantu itu datang mengganggu lagi,
Biar segala jembalang, pelesit, pontianak itu menghantui,
Bisa tidur malamku tak tenteram, terganggu sampai pagi,
Biar saja mereka menghisap darahku
Biar saja mereka sedut sampai kering

Darah rakyat jelata
Darah rakyat biasa
Darah rakyat kebanyakkan
Darah rakyat terbawah

Darah rakyat yang keluar sekupang dua
untuk makan dan pakai jua
Darah rakyat yang tercirit, terberak dan terpercik darah
untuk cari sesuap nasi,

Darah rakyat yang tersimbah
Dek perang naik harga
Dek perang turun harga
Antara Kilang, Borong dan Runcit

Pengilang makin girang
Pemborong makin sombong
Peruncit makin buncit
Pengguna makin merana

Pembesar tak (boleh) buat apa.
Biarlah mereka jadi macam hantu
Gentayangan di udara
Tampak dek mata
Tapi tiada kesan nyata
Pada rakyat yang benar-benar berjejak di bumi nyata
Pada Pengilang, Pemborong Peruncit yang besar tawanya.

Ah, biarlah!
Biar saja hantu itu datang mengilai lagi
Baca 3 Qul, hantu pun lari!

Saturday, June 9, 2007

Si Buta yang Genius

Ray Charles

Aku minat mamat ni sejak aku menonton DVD filem "Ray" lakonan Jamie Foxx, 2 tahun lepas. Entah bagaimana, aku terus meminati muzik-muzik 'gospel+blues+jazz=soul+rock' nya itu. Lagu-lagu seperti 'Georgia on My Mind', 'Hit the Road Jack' dan 'Let's Go Get Stone' sentiasa dapat mendamaikan jiwa yang dilanda gelora.

Melalui kisah hidup beliau, aku kagum dengan ketabahannya mengharungi hidup ini dengan seribu kepayahan, namun, kelebihan yang beliau miliki iaitu memiliki pendengaran yang sensitif, membuatkan beliau menjadi seorang pemuzik yang agung.

Dibesarkan dalam lingkungan penganut Kristian yang warak, sentiasa menghadiri Mass di gereja setiap ahad menjadikan beliau sebati dengan muzik Gospel dan sebagai seorang yang berketurunan Afrika-Amerika (kata sopan untuk Negro), irama Blues juga terbawa ke dalam proses pertumbuhannya.

Betapa geniusnya beliau ini mencampur adukkan genre-genre irama, dan hasilnya, lahirlah seorang pemuzik agung yang merintis budaya pop di Amerika dengan muziknya.

Eh?

Secara kebetulan aku menulis entri ini tanpa mengetahui yang beliau meninggal dunia pada 10 Jun 2004.

Saat aku menulis, tinggal lagi sejam untuk ke 10 Jun.

Kebetulan..kebetulan....Serius. Ini adalah satu kebetulan.

Ray Charles Robinson (23 Sept 1930 - 10 Jun 2004) - bersemadilah engkau dengan aman?

Wednesday, June 6, 2007

PM ku kahwin lagi.

Tadi, sedang aku menikmati makan tengahari aku di kafe MeCD Putrajaya (bukan McD!) , mata aku tertancap ke kaca tv. "PM to get married" menurut tajuk berita tv itu.

Dah agak dah. Masakan tiada angin pokok boleh bergoyang. Lainlah kalau ada beruk-beruk di atas pokok tu. Beberapa bulan kebelakang, banyak khabar-khabar angin telah aku terima berikutan 'gossip' panas ini, tak kira dari email-email spam, email-email berantai dari rakan-rakan, juga terdapat di blog-blog.

Biarlah PM ku kahwin lagi. Masalah negara banyak perlu difikir dan diselesaikan. Seorang wanita wajib mendampinginya. Jikalau tidak masalah lain pula akan timbul. Lagipun dah hampir 2 tahun menduda. Bukan dengan orang lain pun, bekas Pengurus Seri Perdana Putrajaya, dah faham benar dengan selok belok tempat tertinggi dalam pentadbiran negara.

Moga Pak Lah dan Jeanne Abdullah selamat diijabkabul Sabtu ini tanpa ada apa-apa masalah. Selamat Pengantin "Baru" Pak Lah!

p.s : Lagi berita di sini

Monday, June 4, 2007

Menanti di Pintu Syurga

Sedang aku mendengar MixFM tadi, deejaynya tiba-tiba memutarkan lagu Sampaikanlah Salam dendangan kucinglorong aka Alleycats. Kumpulan yang lagu-lagunya tidak asing lagi bagi telinga aku, kerana aku dan lagu-lagu itu membesar bersama.

"As a tribute to Loga, we play you this song.."

Hati aku berdetak:

"Loga mati ke..?"

lantas aku google, dan aku bertemu jawapannya.

Dan kini Loga betul-betul menunggu di pintu syurganya...

StatCounter