Thursday, June 28, 2007

Banyak yang Mahu Aku Lontarkan, Tapi....

Dengan masa yang aku rasakan semakin singkat dari hari ke hari, semakin aku tak terkejar dengan peredaran masa Bumi yang semakin lama, semacam mahu mendahului perjalanan waktu di planet Utarid (Mercury). Bayangkan kalau aku tinggal di Pluto (masa kecil dahulu, Pluto adalah termasuk antara planet-planet dalam sistem suria kita, sekarang hanya dikenali sebagai planet kerdil ~ 'dwarf planet' setaraf dengan Ceres dan Iris ~ dahulu dikenali sebagai 2003 UB313), sudah tentu umur aku sekarang belum pun menjangkau 1 tahun!


Tengah hari tadi aku makan bersama isteri di Bandar Tun Hussien Onn. Juadahnya banyak sekali dan murah pula. Bayangkan aku makan udang sambal, ulam-ulaman, sayur nangka dan ayam kampung goreng manakala orang rumah aku pula makan ikan tamban goreng bersama kerabu sayur, dan jus oren dan limau ais sebagai minuman, baru Rm10. Mungkin kawasan di sebelah Cheras ini kos sara hidupnya rendah dan kenaikan harga barang runcit tidak dirasai di sini. Mungkin ya dan mungkin tidak. Entahlah, janji perut kenyang, dan makanannya sedap dan berkualiti, bayar mahal pun aku sanggup, asalkan menang memakai.


Sebelum itu dalam perjalanan ke sana, di tengah-tengah kesesakan di pekan Seri Kembangan, aku ternampak satu iklan di kedai perabot yang sangat menggelikan hati. Aku sertakn gambarnya di bawah. Aku pasti, tuan punya kedai itu pasti tidak tahu apa yang dipromosikannya, ataupun dipermainkan oleh orang yang membikin iklan tersebut. Aku pun tak pasti, tetapi yang pastinya, iklan ini sangat menggelikan hati barang sesiapa yang melihatnya.

Lewat petang tadi, minum-minum bersama sahabat-sahabat, yang rasanya dah lama tak duduk semeja sambil minum teh atau kopi di Restoran Hakim Shah Alam. Sembang-sembang ringan dan kebanyakkannya berkisar tentang cerita sekolah yang aku karang sebelum ini. Aku gembira kerana asbab usaha itu, rakan-rakan yang lain pun turut gembira. Terima kasih sahabat-sahabat yang selalu ada memberikan semangat kepada aku.

Aku rasa doa dari nasyid Rabitah Hati yang kami nyanyikan saban hari semasa berada di sekolah, telah merapatkan kami, lebih dari ikatan seorang rakan atau kawan. Kerana kata-kata itu satu doa, dan jika doa itu dipanjatkan berkali-kali, maka dengan izinNYA, doa itu pasti akan termakbul.

Petikan dari Rabitah Hati -- "..kekalkan kemesraan yang ada, tunjukkanlah jalan yang benar.... maka ya Allah, eratkanlah, ikatan yang ada...", antara bait-bait doa yang kami nyanyikan sepanjang menuntut di SMKAKS. Maka aku rasa, dengan pembacaan doa ini, keberkatannya dapat aku rasai sehingga sekarang, dan buktinya, kami masih lagi bersama seperti dulu.

Maka ya Allah, eratkanlah ikatan yang ada. Amin.

nota: sumber fakta tentang planet-planet dipetik dari laman web NASA dan wikipedia.

1 comment:

Razaisyam Rashid said...

perabut murah gila macam kingkong

macam mana tu murah macam kingkong


kah kah kah kah

StatCounter