Sunday, June 3, 2007

Kusut Masai

Minggu ini, aku banyak membaca entri-entri blog teman-teman dan juga blog-blog popular masakini yang banyak mengutarakan fahaman mereka, ideologi, pendapat mereka yang kebanyakkan daripadanya ekstrim dan betul-betul mengujakan. Aku sangat mencemburui mereka ini. Bukan kerana kepopularan blog mereka, tetapi kerana mereka mampu mengutarakan pendapat dan idea, mengupas sesuatu isu itu dengan penuh semangat dan mampu pula merujuk kepada penulis-penulis ataupun pengasas idea yang tersohor sebelum mereka. Adapula yang mampu mengutarakan secara sinis dan satira idea-idea mereka, tidak kurang juga yang mampu dengan lantang mengutarakan hujah mereka disamping membunuh dan menepis idea dan pendapat dari para 'bloggers' yang lain.

Tetapi sedihnya, ada juga kelompok-kelompok manusia yang tidak mahu (atau tidak mampu) menerima idea-idea ini hanya kerana perbezaan - perbezaan fahaman ataupun ideologi yang didokong dengan tidak cuba untuk meyelusuri dan menghalusi idea-idea tersebut untuk terus diperdebat dan seterusnya membentuk satu budaya ilmu yang bakal mewarnai masa depan negara untuk terus cemerlang.

"Jangan masuk blog si anu, si polan, mereka Pendokong Islam Liberal"
"mereka anti-agama"
"mereka Islam Ortodoks"
"mereka Chauvinist Melayu/Cina"
"mereka orang UMNO, si polan orang PAS"
"mereka penganut Eksistentalis"
"mereka adalah Syiah!"
"mereka Kafir"
"Mereka Islam!"
"mereka orang Bangsar!"
"mereka orang Taman Melewar!"
"mereka Kapitalis"
"mereka Komunis!"

Apa kejadahnya semua ini?!

Tuduh menuduh antara satu sama lain, berburuk sangka, dan akhirnya mencela memaki sesama sendiri tidaklah dapat membentuk budaya ilmu yang baik. Hanya meruntuh dan merosakkan masyarakat kita yang kita sayangi ini.

Tidakkah kita dapat mengambil iktibar kejadian-kejadian di Palestin, di Iraq, di Somalia, di Rwanda atau dimana-mana sahaja tempat di dunia ini yang masyarakatnya berpecah-belah, berprasangka, bertengkar atas perkara-perkara yang tidak dapat membawa manfa'at atau atas perkara-perkara remeh yang hanya membawa banyak kemudaratan dari manfa'atnya?

Tidakkah kita dapat mengambil pengajaran dalam perang Salib, yang membawa kepada Pencerahan Eropah yang seterusnya membawa kepada kemodenan tamadun mereka sekarang? Bayangkan jikalau mereka terus menerus mengasingkan diri mereka dari dunia luar, tidak mengambil pemerhatian dari bangsa, agama dan tamadun yang lain dari mereka, barangkali Eropah dan Barat juga sedang dalam kemunduran sekarang, terus menerus menjadi keldai tunggangan Paderi dan Gereja yang menyeleweng akibat tidak menggunakan akal yang dikurniakan tuhan kepada mereka.

Memang benar, idea-idea itu tidak mungkin akan selari sifatnya. Idea-idea itu pasti akan bertentangan, tetapi adakah kerana sifatnya yang bertentangan itu kita jadikan ia sebagai alasan untuk musuh-bermusuhan?

Entahlah, barangkali aku sendiri yang naif. Mungkin ini lumrahnya hidup di dunia ini. Akhirnya fikiran aku sendiri yang jadi kusut masai.

4 comments:

patahbalekologist said...

Jangan kusut-masai kawan!

[1] Memang lumrah masyarakat dan peradaban (khususnya yang besar dan hebat) akan ada perbezaan dan pertentangan idea.

Juga, sebelum peradaban itu menjadi besar, akan berlaku proses pemindahan masuk idea, pengetahuan, kepakaran dan teknologi (selain kestabilan politik & kemakmuran) dari bangsa-bangsa asing (yang lebih kuat, besar dan berpengaruh).

Atau, semangat menggali semula pengetahuan lama yang diabaikan orang sehingga penggalian pemikiran klasik itu berjaya mengasah bakat dan fikiran kolektif sesuatu masyarakat.

Kita lihat sejarah perkembangan dan kemajuan Tamadun Islam dan juga Eropah. Malah, Jepun juga!

[2] Tetapi kualiti perbahasan mereka -- akibat perbezaan tafsiran, kelainan ideologi atau pertentangan mazhab berfikir itu -- tidak berlegar secara remeh-temeh.

Yang menyokong dan yang menentang sama-sama memerah fikiran untuk jawab dan berhujah, sama-sama menggali ilmu.

Bukan tuduh-menuduh seperti contoh-contoh yang Sdr sebut di atas.

Tuduh-menuduh seumpama itu (tanpa bukti mantap, tanpa kajian mendalam, tanpa penghujah teori/analisa) tanda pemikiran yang lemah.

Sangat lemah.

http://usrah2007.blogspot.com/

aranhellstorm said...

Itulah masalahnya..Kebanyakkan kita sebenarnya malas.. malas untuk berfikir, malas untuk menggali dan malas untuk mengutarakan apa yang terbuku. Kita lebih senang membuat kesimpulan-kesimpulan awal sebelum mengupas sesuatu terlebih dulu.

Aku takut kita jadi makin mundur kebelakang...bukan makin kedepan.

patahbalekologist said...

Jangan takut.

Yang ada pada kita, kekuatan untuk membaiki diri dan mereformasi pemikiran bangsa.

Sebab itu, satu tanggungjawab moral kita ialah... menggali pengetahuan, dan satu lagi tugas kita (yang perlu keberanian moral) menyampaikan kebenaran dan hujah berlainan untuk difikir-fikirkan oleh bangsa ini.

Sebab itu, kita anak-anak muda mesti membangunkan kelompok2 kita dan bergabung (berjaringan) dengan kelompok2 muda lain yang mempunyai idealisme, analisa, tafsiran dan kepedulian yang sama dengan kita.

Yakni, kelompok anak muda yang celik fikiran dan sedar diri untuk memajukan diri dan mereformasi pemikiran bangsa, misalnya teman-teman di Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT)

aranhellstorm said...

brader fathi, sebut psl KsJT nih.. APUKE dh takde ke? ke aku yg dah lama ketinggalan...?1

StatCounter