Monday, August 13, 2007

Aku dan Muzik

Kali ini aku ingin bercerita tentang proses tumbesaran aku dengan muzik. Aku memang minat dengan muzik, kadangkala muzik memainkan peranan dalam pembentukan emosi dan perasaan dalaman aku, dari usia aku sebelum akil baligh sehinggalah sudah boleh mengundi dalam pilihanraya umum. Dengan muzik juga aku dapat kembali ke zaman silam, mengenang nostalgia-nostalgia seiring dengan tahap kepopularan muzik tersebut di zaman itu. Aku bukanlah seorang borjuis ataupun seorang yang dibesarkan dalam golongan bangsawan atau berada, maka muzik yang aku dengar bukanlah bersifat klasikal seperti Mozart, Beethoven ataupun bersifat kebangsawanan seperti opera, akan tetapi lebih kepada muzikal pop yang bersifat mainstream (aliran teras) yang dinikmati oleh setiap orang dari segenap lapisan masyarakat.

Muzik di awal waktu pembesaran aku, iaitu di zaman kanak-kanak pra sekolah banyak dipengaruhi oleh lagu-lagu dari Allahyarham Sudirman Hj Arshad, Alleycats, Jamal Abdillah, Jay-Jay, Shidee dan Ibnor Riza. Di rumah sewa lama yang terletak di selekoh Batu 9 Tg Karang, pernah aku teringat yang mana arwah bapaku mempunyai sebuah radiogram lengkap dengan pemain piring hitam di atasnya, dan piring-piring hitam dari Alleycats yang memenuhi segenap ruangan rak di sisinya.

Setelah kami berpindah ke Kuarters Pertanian lewat tahun 1986, minat aku pula mula terarah kepada lagu-lagu rock dan masih juga lagi lagu-lagu pop dari penyanyi seoerti Ramlah Ram, Fauziah Ahmad Daud, M Nasir dan Jamal menjadi siulan menyulam bersama tumbesaran aku sebagai seorang budak laki-laki.

Menjelang masuk ke era pra-akil baligh, iaitu awal 1990-an sehinggalah tamat UPSR, lagu-lagu rock melayu terus bertakhta dan beraja di lidah yang pantas menghafal lagu-lagu yang berunsur jiwa-jiwa untuk dititipkan kepada budak-budak perempuan yang diminati. Lagu-lagu dari kumpulan rock seperti Gamma, Sofea, Febians, Search, Olan, Wings, Blackrose dan banyak lagi kumpulan lain yang diwaktu itu muncul seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan.

Setelah memasuki alam pra-remaja, dan aku memasuki alam persekolahan menengah yang mana aku memasuki SMKAKS yang berasrama, maka banyak bentuk muzik yang aku dengar dipengaruhi oleh rakan-rakan sebilik dan sekelas. Pada waktu ini lagu-lagu melankolik dari kugiran-kugiran seperti Ukays, Slam, Spring dan beberapa kumpulan lain menguasai carta lagu-lagu pop pada masa tersebut. Pada masa ini juga, artis-artis baru yang membawa genre baru seperti rap juga turut muncul mewarnai iklim muzik tanahair, seperti KRU, 4U2C, Nico dan lain-lain. Di kala ini juga aku dilanda demam KRU kerana aku tertarik dengan muziknya yang segar dan baru. Kerana itu, apabila aku mendengar kembali muzik dan lagu daripada artis-artis seperti KRU, Slam dan Ukays, pasti akan menggamit kembali memori aku di awal-awal kehidupan aku sebagai seorang penghuni asrama. Di waktu ini, melayan lagu-lagu KRU adalah seperti satu kesalahan besar di mana pelajar-pelajar senior memandang sinis kami yang meminati KRU.

Di sini juga, aku mula mengenali lagu-lagu nasyid yang aku sebelum ini fikirkan nasyid ini tiada lain iaitu menyanyi beramai-ramai seperti satu koir dan meletakkan kedua-dua tapak tangan dihadapan badan. Namun apabila aku melangkahkan kaki ke sekolah ini, aku dapati nyanyian nasyid itu rupanya segar juga dengan ketukan-ketukan alatan perkusi seperti kompang, bonggo, yenki dan alatan lain beserta paduan harmoni suara yang begitu enak jika didendangkan oleh penyanyi yang berbakat. Kumpulan nasyid yang popular pada masa ini adalah lebih berbentuk underground dan belumpun lagi memasuki pasaran arus perdana pada masa ini, seperti kumpulan Nadamurni, dan kumpulan-kumpulan nasyid dari Sekolah-sekolah agama yang sudah establish seperti penasyid dari SMAKL (Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur). Dihujung tahun 1996 ke awal 1997 barulah kumpulan nasyid memasuki pasaran mainstream dengan pengenalan kumpulan Raihan dengan album Puji-Pujian kepada pendengar umum dan jualan album mereka yang memecahkan rekod jualan album yang secara relatifnya lembab pada waktu tersebut. Kemudian barulah kumpulan-kumpulan lain seperti Rabbani (asal dari Nadamurni), Brothers, Nowseeheart dan lain-lain mengikuti jejak langkah Raihan memasuki pasaran arus perdana.

Masuk sahaja tingkatan menengah atas, aku mula mendengar lagu-lagu rock dari barat yang bersesuaian dengan jiwa ala-ala pemberontak yang menurut ustaz-ustaz di sekolahku adalah sesat dan lagha. Lagu-lagu dari kumpulan Metallica, Offspring, Scorpions, menjadi kegilaan aku pula. Lebih-lebih lagi selepas aku menemui satu buku lirik lagu-lagu dari MEtallica, maka aku serta-merta menjadi seorang fanatik Metallica. Lagu-lagu seperti One, Master of Puppets, Justice for All, Blackened telah menjadi sebati dengan lidahku, dan selalunya pemain CD milik rakan, Toji dan CD-CD Metallicanyalah yang menjadi mangsa.

Di ketika ini juga, era kebangkitan Boyband dari United Kingdom dan Amerika mula menyerang dan menjadi kegilaan ramai wanita termasuk juga budak-budak lelaki. Kumpulan-kumpulan seperti Take That, Boyzone, Backstreetboys, 98 Degrees dan lain-lain mula mewarnai dunia muzik tanahair dan diketika ini kumpulan pemuzik tempatan beralih kepada lagu-lagu melankolik yang lebih meleleh dari sebelumnya seperti kumpulan Scoin, Spoon, Scorr, Sting dan tidak ketinggalan Jelmol.

Setelah aku memasuki universiti, lagu-lagu dari barat terus menjadi tunjang kepada halwa telinga, dan muzik rock terus menjadi pilihan di hati ini. Kumpulan rock/punk seperti Greenday (aku sudah kenali sejak 1996), Oasis, Radiohead juga otai-otai rockers lama seperti Guns and Roses, Megadeth dan Deep Purple menjadi pilihan telingaku. Lagu-lagu pop Jepun juga menjadi kegilaan aku pada masa ini kerana serangan J-Drama yang melanda rangkaian-rangkaian televisyen pada masa tersebut. Lagu yang paling aku minat dalam era ini adalah Konya Tsuki no Mieru Oka ni nyanyian band B'z dari Jepun yang juga menjadi lagu tema kepada drama Beautiful Life dan Nasib Kita dendangan Mus dan Mael.

Sehinggalah sekarang, lagu rock terus menjadi pilihan. Namun lagu-lagu lain tetap juga didengari jikalau terasa sedap di telinga, namun apabila mendengar lagu-lagu lama, maka aku akan serta merta bernostalgia tentang masa tersebut, seperti sebuah mesin masa yang pantas membawa aku merentasi masa depan dan masa silam.

8 comments:

nizam best said...

"kami rappers yo yo..kami rappers yo yo.." ni la hari2 aku dngr korang laung kan..hehe

aranhellstorm said...

kacap: hehehehe... awas..perangkap awasss...hehehe

Faiz said...

damn, aku sanggup naik motor dari tg ke taliair dua, nak tgk video kru rumah kau..haha

aranhellstorm said...

blek: muahahaha..igt lg lu blek? aku igt lu dah lupa... hahahaha... weh siap pinjam kat bro saiful lg tu.. gila reKRUed betul la gua dulu...

mohd shahril ismail said...

Pehh!!..nasib baik aku x tekena sgt demam reKRUed ni.kena sipi2 je..heh..

aranhellstorm said...

pot: ye ke tak kene? dulu nmpk ade kaset kru dlm loker ko?

nizam best said...

ape...siput siap gantung cd kat leher..ko usah nk cret put..aku nampak ko ngn geng2 ko kat kuala, kat bus stop lame..siap bwk radio besor pki cap senget..baik ko ngaku put..hehe

aranhellstorm said...

cap: wah...lagi advance rupenye si cpot nih... tp tang pki cd gantung kat leher tu..mmg tak leh thn...muahahahah...!!

StatCounter