Tuesday, July 31, 2007

Ulasan DVD

Antara filem-filem dalam bentuk DVD yang aku telah tonton sepanjang bulan Julai ini adalah antaranya Goal II, Shooter, Hot Fuzz, Evan Almighty, Outlaw dan The Good Shepherd.

Jikalau anda menggemari aksi lasak dan pengkagum teknologi tentera Amerika, anda pasti akan teruja dengan aksi Mark Wahlberg dalam The Shooter. Filem ini mengisahkan bekas Penembak Hendap (Sniper) tentera Amerika yang kehilangan rakannya dalam satu operasi rahsia (Covert Ops) di Eithopia yang menjadi asas kepada konspirasi hirarki pemerintahan tertinggi Amerika berkenaan dengan isu penguasaan laluan paip minyak dan gas di negara asing. Pada aku cerita ini adalah cerita streotaip dari Hollywood mengenai konspirasi politik dan juga mengenai teknologi ketenteraan mereka. Namun begitu, jalan ceritanya amat menarik untuk ditonton, dan anda juga dapat mengetahui bagaimana gerak-geri pasangan penembak hendap bersama pasangannya spotter dan juga bagaimana mereka melakukan kerja-kerja recon (reconnaisance) di kawasan yang bakal menjadi lapang sasar mereka. Pelbagai data-data seperti magnitud kelajuan angin, arah angin, jarak, pergerakan sasaran dan lain-lain menjadi asas permulaan sebelum memilih tempat sesuai untuk membidik mangsa.



Goal II pula adalah kesinambungan kisah Santiago Munez yang bermain untuk pasukan Magpies dalam filem Goal, sebelum ini. Kali ini Munez berhijrah ke Sepanyol untuk bermain dengan pasukan gergasi Real Madrid dan bertemu kembali dengan rakan lamanya Gavin Harris (Shite!) di sana. Kali ini Goal II menampilkan drama antara Munez yang terpaksa meninggalkan kekasih hatinya di UK untuk ke Sepanyol. Di tempat barunya ini juga dia mendapat tahu bahawa ibu kandungnya masih hidup lagi dan dia mempunyai adik tiri yang hidup dalam kedaifan. Dalam cerita ini, Munez menjadi hero dalam perlawanan akhir Piala Juara-Juara Eropah yang menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Arsenal.



Hot Fuzz pula adalah kisah lucu dari tanah Inggeris, yang mengisahkan seorang polis, Sarjan Nicholas Angel yang sangat obses dengan kerjanya, yang lebih banyak memberkas pesalah-pesalah yang melanggar undang-undang, yang ditukarkan tempat kerja dari London ke sebuah desa terpencil yang selalu memenangi pertandingan Desa Terbaik saban tahun. Cerita yang pada mulanya lawak dan lucu dengan adegan-adegan slapstik kemudian diikuti dengan misteri pembunuhan dan kematian-kematian misteri penduduk kampung tersebut tetapi Ketua Polisnya menafikan bahawa kesemua kematian itu bukanlah pembunuhan tetapi kemalangan. Adakah beliau dapat merungkai misteri kampung tersebut? Aksi-aksi ala Bad Boys ditampilkan di hujung-hujung persembahan. Bagi aku, filem ini sangat menarik untuk ditonton dan bagi mereka yang inginkan kelainan selain menonton Bollywood, Hollywood mahupun Malaywood, filem Inggeris dari United Kingdom ini amatlah aku syorkan.



Evan Almighty adalah filem kontroversi di sini. Tetapi mengikut kata pak menteri kita, filem ini adalah tidak pula di haramkan tayangannya di sini. Kontroversi mengenai filem ini adalah kerana filem ini mencedok kisah nabi terdahulu iaitu Nabi Nuh A.S ataupun dalam bible memanggilnya Noah, yang dialami oleh Evan Baxter lakonan Steve Carell yang di'wahyu'kan supaya membina sebuah bahtera untuk menyelamatkan penduduk New York dari banjir besar. Memang sangat lucu filem ini apatah lagi pada mula-mula si Evan ini mendapat arahan dari God (lakonan Morgan Freeman) di mana Evan langsung tak menghiraukan arahan tersebut maka terjadilah insiden-insiden misteri ke atas dirinya seperti haiwan-haiwan yang mengikutinya kemana sahaja beliau pergi, janggutnya tumbuh serta merta selepas bercukur dan pelbagai lagi insiden lucu di dalam filem ini. Filem ini akan ditayangkan di Malaysia pada 23 Ogos depan.

Filem Outlaw dan The Good Shepherd pula adalah kisah yang memerlukan pemikiran dan cerita ini tidaklah sesuai ditonton semasa bersantai. Outlaw arahan Nick Love adalah filem yang mengisahkan kekorupan suatu sistem undang-undang di United Kingdom dimana pesalah-pesalah undang-undang terlepas dan orang-orang baik yang sentiasa mematuhi arahan dan undang-undang menjadi mangsa akibat kekorupan sistem dan penyelewengan dalam institusi kepolisan negara tersebut. Kisah ini mengisahkan seorang bekas tentera lakonan Sean Bean (Lord of The Ring, Troy, National Treasure, Flightplan) yang pulang ke tanahair selepas berkhidmat hanya untuk melihat kecurangan isterinya dan kekorupan yang berlaku dalam masyarakatnya lalu mendorong beliau menegakkan kebenaran dengan tangannya sendiri. Kisah ini menarik untuk ditonton lebih-lebih lagi dalam mood merdeka yang bakal tiba nanti.



The Good Shepherd pula mengisahkan Edward Wilson yang menyaksikan kematian bapanya akibat membunuh diri yang ingin berbuat sesuatu yang boleh dibanggakan akhirnya hanya membawa beliau kedalam kehidupan yang kompleks, kejam, dan bosan. Beliau yang zaman remajanya menyertai satu perikatan rahsia yang banyak menghasilkan para pemikir, presiden, ahli politik, ahli perniagaan dan warga elitis Amerika kemudiannya menyertai OSS semasa Perang Dunia Kedua sebagai anggota perisikan di London. OSS kemudiannya menjadi asas kepada penubuhan CIA yang mana beliau merupakan ejen perisik yang akhirnya terperangkap dalam mainan politik dan rangkaian rahsianya yang sangat kompleks. Secara keseluruhan sebagai orang biasa anda akan mendapati cerita adalah tersangatlah bosan dan jalan penceritaan yang amat perlahan. Pelakon-pelakon dibarisi oleh bintang-bintang terkenal seperti Matt Damon, Angelina Jolie, Robert De Niro, Alec Baldwin dan Joe Pesci. Filem ini dikeluarkan pada tahun lepas iaitu 2006.



Antara DVD lain yang aku tonton adalah Shrek the Third. DVD ni akan aku pulangkan kepada towkey kedainya kerana mutu bunyi yang kurang berkualiti dan aku langsung tak dapat feel untuk menonton cerita tersebut.


Friday, July 27, 2007

Letih lagi meletihkan

Hari ini baru dapat rehat di pejabat. Semalam ada lawatan tapak di Pekan dan Muadzam. 4.30 pagi lagi aku dah bergerak meninggalkan Puchong untuk ke Kuantan. Sebetulnya rancangan awal aku adalah untuk bertolak hari sebelumnya, dan sebenarnya aku sudah bertolak pun hari sebelumnya untuk ke Kuantan pada jam 6, akan tetapi kesesakan lalu lintas di MRR2 yang sangat luar biasa di mana aku masih berada sekitar Ampang pada jam 830 malam! Oleh kerana mengikutkan hati yang amarah, panas dan sakit aku berpatah balik ke rumah.

Semalam aku berlumba mengejar masa. Tak tahulah berapa banyak saman ekor yang akan aku terima kerana melanggar had laju yang ditetapkan. Tetapi sudah terpaksa. Aku perlu singgah di Kuantan dulu kerana membeli dokumen dan menguruskan beberapa perkara di Majlis Perbandaran Kuantan. Penghawa dingin kereta aku rosak, berpeluh-peluh aku dalam kereta. Huh, masa inilah kau nak rosak!

Kemudian bergerak ke Pekan untuk menyertai lawatan tapak yang pertama yang bermula jam 10.00 pagi, dan ketika itu aku masih berada 48 km dari Pekan dan jam pun sudah menunjukkan jarumnya ke jam 9.45 pagi. Mampukah aku sampai tepat pada waktunya? Aku tiba di Kompleks Pejabat Kerajaan Pekan pada jam 10.20 pagi hanya mendapati pejabat JBA Pekan telah pun berpindah ke tempat lain. Alangkah tertekannya jiwa ini. Kira-kira jam 10.40 pagi barulah aku sampai di tempat berkumpul, dan mendapati wakil-wakil kontraktor yang lain telah pun bersedia untuk bergerak ke tapak bina.

Selepas tamat sesi lawatan tapak, aku ke Kuantan sekali lagi. Ada urusan peribadi untuk aku selesaikan.

Selepas itu aku bergerak ke Muadzam Shah pula untuk satu sesi lawatan tapak yang dijadualkan pada jam 2.00 petang. NAsib baik cuaca tak berapa panas, diselang-seli dengan hujan, maka aku taklah seperti cacing kepanasan dalam kereta.

Kali ini sekali lagi aku menjadi seperti Luis Hamilton ataupun Alonso yang membawa jentera F1 membelah litar-litar lumba diseluruh dunia. Perjalanan sejauh hampir 80km aku lalui dalam masa hanya sejam, itupun terpaksa mengikut di belakang lori balak sejauh 10km kerana jalan berdouble line dan berbahaya.

Selepas lawatan, aku mencari workshop untuk aku membaiki air cond kereta yang kehabisan gas itu. Terbang Rm 70, walaupun begitu boleh di claim kembali. Heh

Jam 4.30 aku mula bertolak dari Muadzam untuk pulang. Malangnya sebelum sampai di Kuala Pilah, hujan lebat diiringi angin kencang menyambut aku setibanya di Batu Kikir. Aku paling risau lopak-lopak air yang dalam. Aku membawa kereta dengan berhati-hati, takut-takut terbabas dlam keadaan jalan yang licin dan jarak penglihatan yang amat teruk. Hujan lebat ini juga hanya berhenti setibanya aku di Seremban.

Aku selamat sampai di Puchong tepat jam 8.30 malam.


Wednesday, July 25, 2007

Senada

Apa yang aku utarakan semalam, ada sebahagiannya senada dengan apayang Dato Mazlan Ahmad utarakan dalam Berita Harian hari ini.



Liga amatur sesuai untuk kita’

Bekas Ketua Pengarah MSN sarankan liga profesional dibubarkan

DUA rumusan – kembalikan kancah saingan tempatan ke tahap amatur dan semi-pro serta pengunduran beramai-ramai pemimpin sedia ada – perlu dirintis demi memperkukuhkan kembali martabat bola sepak negara yang kini teruk tercalar.


Ia harus menjadi tunjang kepada revolusi menyeluruh bola sepak negara selepas terbukti sistem dan corak pengendalian sedia ada – yang dicetuskan hampir dua dekad lalu – tidak lagi mampu menjelmakan hasil dimahukan.

“Realiti ketika ini ialah skuad negara – yang jadi pengukur kejayaan liga tempatan – tidak lagi boleh kita banggakan kerana pelbagai masalah pembayaran gaji, sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan cukai pendapatan pemain serta jurulatih kedengaran setiap tahun.

“Bagaimana kita mahu anggap bola sepak satu industri jika persatuan negeri dan kelab tidak mampu berdikari daripada segi kewangan,” kata bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad (gambar).

Mazlan, berwatak setiausaha bersama kepada kumpulan pegawai kanan FAM yang melakukan tinjauan ke Eropah sebelum pengenalan Liga Separuh Profesional pada 1989 lalu, turut menegaskan matlamat ditetapkan, 18 tahun lalu, jelas tersasar.

“Apa disasarkan ketika itu ialah liga tempatan mampu mewujudkan peluang pekerjaan baru selain membuka dimensi baru kepada pembabitan penaja-penaja.

“Ia bertujuan menghasilkan skuad kebangsaan yang mantap, dibarisi pemain dengan sikap dan kemampuan memuaskan,” katanya.

Lantas, Mazlan mencadangkan pembubaran Liga Profesional ketika ini, yang wajar digantikan dengan saingan amatur – seperti jadi amalan ketika Malaysia pernah diakui antara kuasa utama bola sepak Asia.

“Tempoh penyisihan antara tiga hingga lima tahun perlu diberikan supaya pemain sedia ada diberi peluang beralih dan menyesuaikan diri dengan saingan amatur. Persatuan negeri juga perlu diberi pilihan.

“Mereka yang berkemampuan boleh mempunyai skuad separuh profesional. Pasukan tidak mampu masih boleh bertanding, tetapi mereka tidak perlu terikat dengan kewajipan mempunyai pemain profesional,” katanya.

Mazlan turut mendedahkan betapa ketika pengenalan Liga Separuh Profesional pada 1989, tempoh lima tahun diberikan untuk pemain import beraksi sebelum pemain tempatan harus mampu menjadi bintang dalam liga sendiri.

“Kerana itu juga, FAM perlu berani mengambil langkah drastik mempunyai pasukan kepimpinan baru. Jika orang lama kekal, mereka akan berfikiran sistem sedia ada adalah ciptaan mereka, jadi mahu pertahankannya.

“Mereka akan jadi penghalang kerana menganggap cadangan kembali ke status amatur sebagai dua langkah ke belakang.

“Ketika zaman pemerintahan Tun Mahathir Mohamed beliau memperkenalkan Koridor Raya Multimedia (MSC). Apabila Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mengambil alih beliau memberi penekanan kepada pertanian pula.

“Adakah Pak Lah dikatakan memandang ke belakang,” kata Mazlan

Beliau berhujah dalam bola sepak perlu satu atau dua langkah ke belakang sebelum mara lebih jauh kerana ketika ini, pasukan negara dinilai tidak lagi mampu ke hadapan.

“Sudah tentu kita perlu berusaha dengan cara berbeza,” katanya.

Menurut Mazlan, pasukan kepimpinan baru akan mampu berfikir secara lebih objektif, tanpa diganggu sentimen dan emosi, yang mampu menyuntik kesegaran kepada pendekatan sedia ada FAM.

“Ia seperti proses pemulihan yang dilakukan kepada Penerbangan Malaysia (MAS) yang terbukti berkesan. Matlamatnya ialah memastikan kita punya pendekatan dan gaya baru untuk menghasilkan skuad negara yang handal,” katanya.





Macam orang putih kata, wise men think alike. Heh.

Tuesday, July 24, 2007

Rencam

FAM

Sana-sini sibuk orang memperkatakan tentang isu bolasepak negara. Ada yang vokal dengan pendirian dan mengkritik secara keras, dan ada juga simpatisan FAM, dan ada juga yang menangguk di air keruh. Aku juga tak terkecuali kerana aku berasa terpanggil, walaupun kaki bangku tapi sangat minat dengan bolasepak. Dari umur aku 14 tahun aku sudah ke stadium Shah Alam bersama bapa menaiki motorsikal mengharungi perjalanan sejauh 80km dari Sungai Burong ke Stadium Shah Alam untuk mengikuti perlawanan bolasepak pasukan kegemaranku, Selangor FA. Maka dengan ini aku berasa bahawa aku ada hak untuk menyuarakan pendapat aku mengenai isu bolasepak negara yang berada diambang kepupusan.

Aku sudah muak untuk mengkritik maka aku akan utarakan cadangan-cadangan aku untuk FAM dan seterusnya mengembalikan kepercayaan rakyat kepada pasukan kebangsaan, FAM dan bolasepak negara.

Cadangan aku adalah merombak kesemua barisan pimpinan yang ada di dalam FAM kerana terbukti selepas lebih 18 tahun tiada apa yang boleh kita banggakan dengan pasukan kebangsaan kita.

1. Rombakan barisan kepimpinan. Orang yang ada sekarang di dalam FAM, kesemuanya haram jadah! Habis cerita (Enough said.)

2. Kalau Sultan Ahmad Shah terus ingin menyumbang, biarkah beliau menjadi penaung, dan tak terlibat secara langsung dalam pentadbiran, tak boleh mempengaruhi keputusan majlis.

3. Teruskan dulu liga yang ada, (sebab kalau di berhentikan liga, mungkin FIFA akan mengenakan tindakan), tapi rancang untuk pembangunan dan pertandingan bagi 5 tahun akan datang, dan perancangannya perlulah rapi, teliti dan harus disimulasi peringkat demi peringkat. Jangan jadi seperti sekarang selepas semusim, tukar undang-undang, tukar format, musim depan nanti tukar lagi, tak konsisten. Bila tak konsisten, maka tiada keputusan dan tiada pencapaian yang dapat dilihat.

4. Struktur pertandingan. Ini paling penting. Sebab mana nak cari bakat-bakat baru kalau bukan dari pertandingan. Cadangan aku adalah:

4.1 : Rombak struktur pertandingan. Buat format baru, iaitu pertandingan kelab-kelab sahaja. Setiap kelab mesti berdaftar di persatuan negeri. Kelab-kelab boleh berasaskan majlis perbandaran, majlis daerah, syarikat2 multinasional ataupun kelab persendirian dari syarikat-syarikat perniagaan. Ini harus dimulakan dari peringkat kampung-kampung dan daerah-daerah.

4.2: Satu pertandingan awalan perlu dijalankan untuk menentukan tahap dan divisyen mereka berada.

4.3: Di kemuncak struktur adalah pemain-pemain kelab yang dipilih untuk mewakili negeri dalam pertandingan tertua iaitu Piala Malaysia. Pasukan Negeri sekarang hanya bertanding untuk Piala Malaysia sahaja.

4.4: Undang-undang baru harus digubal untuk menentusahkan pasukan-pasukan yang bertanding, supaya pasukan-pasukan ini tidak tumbuh seperti cendawan, dan hilang seperti biskut (sekejap ada sekejap tiada)

4.5: Infrastruktur baru harus dibina, atau diperbaharui. Tak perlu stadium besar-besar tetapi yang hadir tak sampai seratus orang. Bina stadium-stadium kecil (kapasiti tempat duduk mungkin 100 hingga ke 300), dengan kualiti padang yang tinggi, lantik kontraktor-kontraktor yang tak haprak untuk menjaga kualitinya padang dan kemudahannya. Jikalau mampu, pasukan-pasukan ini boleh menyumbang kepada stadium-stadium ini sebagai tempat 'angkat' mereka, ataupun pasukan-pasukan yang mampu dengan dana yang besar boleh membina stadium. Bukan stadium sahaja, padang latihan, fasiliti seperti bangunan-bangunan pembelajaran teknikal harus dibina dan perancangannya juga boleh dilakukan secara berperingkat-peringkat.

4.6 Mungkin untuk mengurangkan kos perbelanjaan, pertandingan selain liga berdivisyen, boleh dilakukan secara zonal (melibatkan dalam zon sahaja) seperti zon utara, zon selatan, pantai timur dan lain-lain untuk pertandingan seperti Piala FA, Piala Liga atau apa-apa pertandingan selain liga.

4.7: PAsukan-pasukan yang mempunyai dana yang besar juga boleh menubuhkan pasukan tambahan seperti pasukan pelapis muda bawah 23, bawah 21, bawah 19 mahupun bawah 17 tahun yang boleh merintis kepada penubuhan akademi bolasepak yang boleh menjana ekonomi.

4.8: FAM harus lantik badan swasta/syarikat untuk merancang dan mengkordinasi liga, FAM hanya perlu berada di atas untuk mengawasi dan ini mengurangkan karenah birokrasi, pilih kasih, rasa kenegerian, politik murahan, favouritisme dan lain-lain penyakit dalaman yang melanda FAM sekarang.

4.9: Untuk memastikan pemain tempatan lebih berdaya saing dan kompetetif, idea pemain import sangat perlu. AKu tak tau kenapa pemain lama seperti Santokh Singh mempunyai pandangan pemain importlah yang menjadikan pemain kita tak menyerlah. Dengan adanya pemain import, pemain tempatan akan lebih berdaya saing dan kalau semangat mereka memang lemah, memang tak boleh hendak salahkan sesiapa melainkan pemain itu sendiri. Dengan adanya pemain import, pemain yang berkualiti dapat dihasilkan iaitu pemain yang benar-benar minat pada bolasepak bukan hanya sekadar mencari makan sahaja.

4.10: Satu kaedah ujian kecergasan haruslah diambil dan dilaksanakan untuk memastikan bahawa pemain-pemain yang berada didalam liga ini benar-benar seorang pemain dan bukan kuda patah kaki, pemain berat punggung dan pemain yang semput ataupun pemain malas.

4.11: Untuk tujuan pemantauan, FAM boleh menentukan masa latihan yang perlu untuk pemain-pemain ini, apakah bentuk latihan yang dilakukan dan apakah pemain-pemain ini menguasai kemahiran asas bola sepak seperti merembat, membuat hantaran sama ada dekat atau jauh, teknik sepakan yang betul dan juga aspek taktikal. Ini penting kerana, pemain-pemain dari negara jiran seperti Bambang Pamungkas yang aku masih ingat dalam temubualnya dalam majalah bolasepak berkata bahawa mereka juga menjalani latihan di bulan puasa. Ini menunjukkan di negara ini lebih banyak memberi alasan dari melakukan sesuatu. perkara, isu seperti berhentikan latihan dan apa-apa berkaitan bola sepak dalam bulan Ramadhan. Ini juga dapat memastikan, pemain-pemain yang lahir dari liga revolusi ini adalah pemain yang sudah menguasai teknik dan kemahiran asas kerana pada hemat aku pemain-pemain sekarang belum lagi menguasai teknik-teknik ini. Lihat saja statistik perlawanan terkini pasukan kebangsaan kita, memalukan.

5. Dana - tidak dinafikan sumbangan pemimpin FAM seperti Sultan Ahmad Shah dan Tengku Abdullah berperanan besar mencari sumbangan penaja dalam pertandingan tempatan. Pada pendapat aku syarikat-syarikat rokok yang dinafikan penajaan mereka haruslah dibenarkan kembali, sama ada secara langsung ataupun tidak, ya lah syarikat-syarikat yang ada pun tak berminat untuk menaja pertandingan dan liga. Kerana bagi aku iklan sahaja tak menyebabkan orang terpengaruh. (kenapa Indonesia terus menggunakan Sempoerna sebagai penaja jikalau penajaan syarikat rokok diharamkan badan dunia seperti WHO dan sebagainya? Kenapa perlu kita tunduk kepada mereka yang tidak pun menawarkan alternatif terhadap penajaan pertandingan. Harus diingat berjuta-juta ringgit harus dibelanjakan untuk memastikan liga ini terus wujud.


Guru

Sekarang ini heboh dengan berita guru menampar murid, rendam murid dalam kolam dan pelbagai lagi 'kes' guru mendidik pelajar mereka supaya lebih berdisiplin telah dihentam di akhbar-akhbar, digantung tugas dan dihukum atas perbuatan mereka itu. Tidakkah kita sedar ditengah-tengah kemelut keruntuhan moral remaja kita yang sedang membelenggu masyarakat dengan isu seks bebas, ponteng sekolah, dan pelbagai lagi kes-kes yang berlaku, kita sendiri sama ada sebagai ibu bapa, masyarakat, pegawai-pegawai kerajaan bahkan menteri-menteri sekalipun adalah penyebab kepada kehancuran moral dan akhlak pelajar-pelajar kita sendiri?

Berapa banyak pelajar sekarang yang takut dan hormat kepada guru-guru mereka? Rasanya sekarang ini guru-guru pula yang takut kepada pelajar mereka, tunduk kepada kehendak mereka, sepatutnya murid-murid yang patuh kepada arahan guru mereka. Kerana apa? Mereka tahu bahawa masyarakat, media massa, pegawai-pegawai dan menteri-menteri semua berpihak kepada mereka, maka mereka pun boleh berbuat sesuka hati.

Biarlah kamu semua mengatakan bahawa aku ini kolot dan jumud, namun, anak-anak bangsa yang muda remaja inilah yang kita harapkan untuk menjadi pelapis kepimpinan di masa akan datang. Di waktu muda remaja inilah sepatutnya pendidikan akhlak dan moral berjalan seiring dengan pembangunan ilmu dan pengetahuan yang sekarang ini telah tiada sempadannya. Maka biarkanlah guru-guru ini diberi sedikit kebebasan untuk membentuk pelajar-pelajarnya, jangan sampai mereka berasa takut untuk melakukan sesuatu sehingga tidak berbuat apa-apa.

Ingat, melentur buluh biarlah dari rebungnya, esok besar dah jadi penagih tegar dadah, dah jadi mat rempit, dah jadi bohsia, dah jadi pelacur kelas atasan, dah jadi samseng dah jadi perompak dan dah jadi perogol bersiri ataupun pencabul, maka di kala itu tudinglah jari pada diri sendiri. Kita lah sebenarnya penyebab mereka menjadi begitu.

Liverpool

Pasukan aku kini tampak mengancam atas pembelian pemain-pemain baru yang bakal menghiasi dunia EPL musim 2007/08 yang akan bermula Ogos ini. Moga dengan kehadiran Torres, Babel, Voronin, Benayoun, dan pemain-pemain muda, selamat datang ke Liverpool Football Club, and you'll never walk alone!

Moga-moga kita bakal mengecap gelaran ke 19 pada musim ini.



Monday, July 23, 2007

Laporan Khas: Kembali ke era Semi-Pro
Oleh Azrul Affandi Sobry

MSN anggap liga profesional FAM bazir wang, gagal tingkat mutu bola sepak

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) mahu Liga Profesional yang sudah berusia lebih 10 tahun dinilai semula sama ada ia benar-benar menyumbang ke arah peningkatan mutu bola sepak negara atau hanya membazirkan wang.



Ketua Pengarahnya, Datuk Zolkples Embong, berkata jika prestasi pemain negara, terutama sejak era profesional diperkenalkan dijadikan ukuran, liga profesional gagal melahirkan pasukan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa seperti ketika era amatur dulu.

Sehubungan itu, katanya, sudah sampai masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencari segala ruang kelemahan dalam penganjuran Liga Profesional dan jika perlu, tidak salah bagi FAM berpatah balik kepada penganjuran liga secara separuh profesional (Liga Semi-Pro).

“Jika ada yang mempertikaikan pandangan ini dengan alasan ia merugikan sukan bola sepak itu sendiri, saya rasa tiada masalah kerana selama ini pun kita sudah banyak membazirkan wang untuk sukan itu. Jadi, istilah rugi tidak wajar dibangkitkan.

“Lebih baik kita kurangkan perbelanjaan jika kualiti pemainnya tetap merudum. Sekurang-kurangnya kita tidak berputih mata melihat segala perbelanjaan yang dikeluarkan selama ini sia-sia,” katanya.

Ranking terbaru Malaysia dalam arena bola sepak dunia ialah di tangga ke-154, sama dengan negara seperti Sri Lanka, yang dianggap ‘bukan negara bola sepak’. Saingan Malaysia pada era 70-an dan 80-an adalah Korea dan Jepun, yang kini sudah melangkah ke Piala Dunia.

Kemuncak kepada kritikan orang ramai terhadap kemerosotan bola sepak negara timbul apabila skuad negara kalah mengaibkan dalam kejohanan bola sepak Piala Asia, sehingga Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden FAM.

Zolkples, yang nyata kecewa dengan senario bola sepak negara berkata, kerajaan selama ini sentiasa memberi keutamaan kepada sukan itu termasuk memperuntukkan dana RM12 juta setahun untuk pelbagai program pembangunan di seluruh negara.

Malangnya, keselesaan dan kemewahan yang dihidangkan dalam sukan itu sendiri menyebabkan pemain terlalu manja dan membelakangkan kepentingan negara ketika mewakili pasukan kebangsaan.

“Pemain negara kita berlagak seperti bintang popular. Tak ada disiplin, berambut panjang, kaki disko, sibuk dengan kisah cinta dan pelbagai lagi sikap negatif yang terserlah akibat terlalu dimanjakan.

“Pemain pada era amatur terpaksa bekerja menyara hidup dan itu menjadikan mereka lebih kental serta berdisiplin. Mereka juga bersemangat tinggi untuk mewakili negara berbanding pemain sekarang yang tidak kisah kerana selesa dengan apa yang mereka ada,” katanya.

Zolkples percaya jika peruntukan sukan itu dikurangkan, ia dapat menampung perbelanjaan bagi meningkatkan kualiti sukan lain yang lebih berpotensi menaikkan nama negara.

“Lebih mengecewakan ialah sistem profesional yang diamalkan selama ini seakan tidak relevan kerana pemain bermain teruk sekalipun masih mampu hidup mewah dan menerima gaji tinggi,” katanya.

Beliau mengambil contoh pasukan seperti Vietnam dan Iraq yang terpaksa bersaing untuk menikmati taraf hidup lebih baik, sekali gus menuntut pemain negara terbabit komited dengan kerjaya sebagai pemain bola sepak.

“Kerana itulah pasukan mereka mampu berjaya malah jauh meninggalkan pasukan kita di belakang. Kita pula dari hari ke hari semakin ketinggalan dalam kedudukan pasukan terbaik dunia.

“Hakikatnya, jurulatih terbaik di dunia sekalipun dibawa melatih pasukan negara tidak akan berjaya selagi pemain sendiri tidak berubah daripada sikap yang lebih mementingkan kemewahan. Jangan salahkan jurulatih dalam hal ini,” katanya.

Bekas Presiden FAM, Tan Sri Hamzah Abu Samah, pula berkata FAM perlu menilai semula keberkesanan setiap individu yang memimpin badan induk itu dan ahli politik tidak harus terbabit dalam pengurusannya.

Beliau bersetuju dengan saranan agar pembabitan ahli politik dalam FAM perlu dikurangkan dengan membawa masuk golongan korporat supaya kepemimpinannya lebih telus dan ikhlas.

“Selama ini ahli politik kerap menggunakan FAM sebagai medan untuk kepentingan politik mereka. Ia tiada masalah sekiranya seorang ahli politik itu berlatar belakang sukan dan mampu mengasingkan politik dalam perkhidmatannya bersama FAM,” katanya.

Ini aku petik dari Berita Harian Online hari ini. Apa yang aku suarakan sebelum ini memang senada dengan artikel ini.

Harap FAM dapat berbuat sesuatu, dan kalau FAM terus duduk membatukan diri, buat-buat bodoh dan buat-buat bodoh sombong, marilah rakyat kita turun memprotes dan buatkan mereka-mereka yang gila kuasa macam Shahidan Kasim atau sesiapa sahaja yang ada agenda tersembunyi, panas punggung.

Arrrggghghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh...kenapalah aku minat bolasepak????

Laporan Mesyuarat Alumni SMKAKS@Tadika Az Zahrah

Semalam telah berlangsungnya satu mesyuarat di Tadika Az Zahrah, kampung Sungai Udang berkenaan dengan rancangan penubuhan Alumni SMKAKS dan rancangan-rancangan pembangunan rohani dan fizikal bagi pelajar-pelajar SMKA Kuala Selangor.

Ahli-ahli mesyuarat kesemuanya berjumlah 7 orang iaitu Sdr Nafis selaku Pengerusi, Sdr Dzulhamka, Sdr Fadhlan, Sdr Shahril (Cpot), Cik Azlina, Cik Fadilah dan saya sendiri.

Walaubagaimanapun, saya dan Shahril tiba agak lewat iaitu kira-kira jam 6.15 petang, dan telah terlepas beberapa isu yang dibincangkan.

Setibanya kami di sana, ahli mesyuarat sedang membincangkan tentang cadangan nama persatuan dan singkatannya. Antara nama-nama yang dicadangkan kebanyakkannya telah dibincangkan didalam forum SMKAKS di dalam laman web Friendster. Hanya ada 3 nama yang telah disenarai pendek iaitu ARCLI - Kuala Selangor Islamic School Alumni, ASMA' (terbitan dari ASMAKS) - Alumni SMKAKS dan XSMAX (terbitan dari XSMAKS) - Ex-Student SMKAKS.

Kemudian berkenaan logo, masih belum ada cadangan dari sesiapa, termasuklah saya, cuma adalah diharapkan pada mesyuarat akan datang, cadangan logo dapat disiapkan dan keputusan mengenainya boleh dibuat.

Selepas itu ahli mesyuarat mencadangkan nama-nama untuk dilantik menjadi AJK atau wakil setiap batch. Saya dan Am dilantik menjadi wakil untuk batch SPM 98 dan PMR 96.

Kemudian, mesyuarat telah memilih nama-nama bekas pelajar yang mempraktikkan undang-undang sama ada sekarang menjadi Peguam, Hakim, Majistret ataupun cuma Penolong Pendaftar di Mahkamah untuk membentuk satu komiti bagi menyemak dan mengulangbaca draf perlembagaan alumni untuk mengenalpasti klausa-klausa yang sesuai dan relevan bagi pembentukkan perlembagaan Alumni. Antara nama-nama pengamal undang-undang yang dicadangkan ialah Hazwani, Yazid, Wan Nooranisa dan beberapa nama lain.

Selepas itu, mesyuarat tertumpu kepada isu-isu pokok berkenaan sekolah iaitu berkenaan Tandas Musolla yang berkeadaan daif, Program Motivasi pelajar dan isu-isu lain. Berkenaan isu Tandas Musolla, cadangan awalnya adalah untuk membuat lawatan tapak ke sekolah untuk menilai kos refurbishment dan untuk bertemu sendiri dengan Pengetua sekolah bagi membawa hasrat murni kami ke pengetahuan beliau.

Selepas itu mesyuarat bersurai kira-kira jam 7.15 petang. Cadangan mesyuarat seterusnya adalah pada 26 Ogos iaitu pada hari Ahad, bulan hadapan.

Sekian laporan tidak rasmi mesyuarat kali ini.

Terima kasih.

p.s : psssttt..cikgu agak-agak saya boleh lulus tak dengan karangan macam ni.


Friday, July 20, 2007

Pengumuman - Mesyuarat Alumni SMKAKS @ Tadika Az Zahrah

Merujuk perkara di atas.

Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa satu mesyuarat bagi penubuhan Alumni dan projek-projek berkenaan pembangunan fizikal dan rohani SMKA Kuala Selangor akan diadakan seperti butiran di bawah.

Hari : Ahad
Masa : 4.30 petang
Tempat : Tadika Ceria Az Zahra Sungai Udang
Peserta : Terbuka kepada bekas pelajar SMKA Kuala Selangor yang prihatin.

Bersama-sama ini disertakan pelan lokasi untuk kegunaan bakal ahli mesyuarat.

Terima kasih.




-sila klik pada gambar untuk besarkan-

FAM sepatutnya jadi parti politik

Ketika sarapan pagi tadi di restoran kegemaran aku sambil menikmati sekeping roti canai garing dan nescafe tarik, aku membelek akhbar Berita Harian sambil meneliti tajuk-tajuk berita sebelum membaca isinya. Seperti biasa, ruangan sukan harus disingkap terlebih dahulu, maka satu tajuk yang menarik minat aku sudah tentulah berkenaan FAM dan bolasepak Malaysia.

Aku cuba cari topik itu di Berita Harian Online tetapi tidak kedapatan. Tetapi isi kandungannya memang menyuarakan isu yang selama ini sudah lama kedengaran dan diperkatakan oleh peminat-peminat bolasepak tempatan sama ada di ruang sembang petang di warung-warung mahupun di dalam talian internet. Iaitu kemaruk manusia yang mengejar pangkat dan kedudukan.

Ketika Tengku Abdullah sudahpun melepas kan jawatannya dan Setiausaha Agungnya, Dr Ibrahim Saad yang juga diambang untuk melepaskan jawatannya, ramai peminat yang merasakan bahawa akan ada sedikit (kalau tidak banyak) perubahan dalam arena bolasepak kita selepas ini, tetapi apa yang ramai tidak nampak, adanya manusia-manusia yang telah memulakan kempen lobi melobi bagi mendapatkan jawatan tersebut dan ada juga yang mengarahkan pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan sokongan media.

Orang-orang seperti ini adalah sebenarnya musuh dalam selimut, duri dalam daging, dan selayaknya dipanggil binatang sahaja. Monyet, babi, kera, anjing dan segala binatang yang ada di muka bumi!

Ketika bolasepak kita sedang tenat, rupa-rupanya ramai yang menumpukan perhatian mereka kepada kerusi-kerusi kosong yang bakal ditinggalkan dan bukannya ikhlas untuk mengangkat martabat bolasepak kita, bukan itu sahaja, orang-orang yang mengisinya sebelum ini juga sama seperti itu. Pandang pangkat, bukan kerja!

Bagi aku FAM sudah tidak relevan, ataupun FAM kena jalankan pembersihan secara total. Kita sudah muak disogok dengan isu-isu politik, sehingga isu jamban pun ada orang sanggup politikkan.

Sudah tiba masanya, orang-orang biasa, orang bisnes, peminat bola, fanatik bola yang bangun menentukan hala tuju bola sepak kita. Ternyata orang politik hanya tahu bercakap sahaja. Cakap-cakap dan cakap. Apa yang mereka buat untuk bola sepak kita? Tiada apa-apa pun.

Dalam pada masa yang sama, ada juga bekas-bekas pemain yang sedang mencipta nama di luar, nama-nama seperti Shebby Singh, ataupun yang terbaru Lim Tiong Kim yang menjadi pembantu jurulatih pasukan bawah 19 tahun Bayern Munich, adalah sesuatu perkara yang sedikit menggembirakan kita ditengah kegelapan (bukan lagi kemalapan) masa depan bola sepak kita.

Bekas pemain Melaka itu juga menyentuh tentang aspek infrastruktur dalam pembangunan bola sepak. Ternyata pembangunan kita adalah dalam keadaan statik, tak kemana-kemana, di kala negara lain bangkit dari masa silam yang malap, kita terus menerus bernostalgia dengan era Supermokh dan zaman kegemilangan silam.

Dan kalau kita berfikir lebih jauh kedalam, terdetik juga di hati ini, apa yang membuatkan Lim Tiong Kim berhijrah keluar, menimba ilmu dan mencurah bakti mendidik anak-anak Jerman atau pemain muda antarabangsa yang lain di Bayern Munich? Mungkin dah muak dengan karenah politik dalaman FAM yang hanya tamakkan kuasa, kedudukan dan nama.

FAM - Persatuan Bolasepak Malaysia, jangan betul-betul jadi Persatuan Kenasepak Malaysia sudahlah!


Tiket perlawanan. Cantik. Boleh jadi collector's item.


Bersama aktivis muda Shin dan Bert di perkarangan Stadium


Separuh masa pertama. Malaysia 0 - 1 Iran. Hah, biar betul!

p.s: Al Fatihah kepada semua 6 wira negara yang telah selamat dikebumikan. Semoga roh mereka ditempatkan dikalangan golongan yang mendapat keredhaan ALLAH S.W.T.

p.p.s: baca Berita Harian untuk berita lebih lanjut. Dalam Online aku tak jumpa...

p.p.s: aku dah jumpa artikel tu, BH baru letak kot. Baca disini.

Sunday, July 15, 2007

5 Nombor Keramat Kita

Sempena ulang tahun ke 50 kemerdekaan negara kita, pelbagai upacara bakal diadakan untuk menyambut pesta kemerdekaan kita yang sudah setengah abad ini. Dari kementerian-kementerian hinggalah ke rakyat terbawah dibawah payung-payung persatuan belia 4B, parti-parti malah orang perseorangan juga mungkin akan merangka aktiviti-aktiviti untuk memenuhi jadual sepanjang bulan kemerdekaan ini.

Kita merdeka pada 31 Ogos 1957. Saja aku ingatkan takut ada yang terlupa.

Semenjak merdeka banyak sudah perubahan yang kita kecapi. Semuanya kerana kerajaan kita yang prihatin dan melalui rancangan-rancangan pembangunan seperti Rancangan Malaysia yang dirangka untuk pembangunan Malaysia selama 5 tahun mendatang.

Setelah peristiwa 13/5/1969 lebih dikenali sebagai tragedi 13 Mei, Kerajaan telah memperkenalkan Rukun Negara yang mempunyai 5 ideologi. Diperkenalkan setahun selepas berlakunya tragedi ini.

Kita juga telah mempunyai 5 orang Perdana Menteri yang memacu perkembangan ekonomi dan sosial Malaysia semenjak kemerdekaan. Kemajuan yang paling dikenang dan seterusnya mengubah hala tuju ekonomi kita adalah dibawah pemerintahan Tun Dr Mahathir yang memegang tampuk pemerintahan pada 1981, iaitu kemampuan Malaysia menjadi salah satu negara yang mengeluarkan kereta untuk tujuan komersil, iaitu tertubuhnya Proton (Perusahaan Otomobil Nasional) pada tahun 1985.

Dan baru-baru ini juga sempena keramatnya nombor 5 ini dan signifikannya terhadap ulang tahun kemerdekaan ke 50 Malaysia, FAM melalui pasukan bolasepak negara telah menghadiahkan kepada negara detik-detik keramat dan detik-detik kebanggaan sebagai seorang rakyat Malaysia dengan menghadiahkan gol-gol kepada pihak lawan yang semuanya berjumlah 5 gol setiap perlawanan, terakhir malam tadi dengan Uzbekistan pula yang menjadi tetamu kehormat kita untuk menerima hadiah kemerdekaan itu.

p.s: satu, dua, tiga, empat, lima. Lima lagi!

p.p.s: Tengok Indonesia main bersemangat, walaupun kalah, tetapi kekalahan bermaruah, penonton pun takkan berkira sangat.

p.p.p.s : FAM lepas ini patut dibubar, satu revolusi atau reformasi perlu dilakukan sebelum Indonesia ataupun Thailand berjaya mara ke Piala Dunia terlebih dahulu sebelum kita!

Wednesday, July 11, 2007

Kena Belasah, Apa Cerita??

Kalah 1-5, di hadapan lebih 18000 penonton malam tadi memang sesuatu yang memalukan. Bilangan gol sahaja sudah menceritakan segala-galanya. Belum lagi sentuh bab teknikal, taktik, semangat, dan lain-lain.

Sudah, aku sudah malas hendak cerita fasal bolasepak Malaysia. Buang masa dan sia-sia, melainkan yang berkenaan FAM, KBS dan lain-lain secara serius untuk memikirkan cara-cara untuk berubah, bukan sahaja merobah tampuk kepimpinan, tetapi merombak semula struktur dan format pertandingan juga apa-apa yang difikirkan perlu demi masa depan bola sepak negara.

Aku betul-betul marah, menyampah, kecewa, gusar dan muak dengan aksi kita pada malam tadi. Piala Asia bukanlah tempat kita dan bukan tahap kita. Bak kata Shebby semalam, Malaysia mungkin berada di Divisyen 3 Asia jika ingin dibanding dengan China, Iran dan Uzbekistan. Memang tepat sekali contoh yang diberikan beliau.

Soalnya, sampai bila kita akan berada di takuk begini? Hendak tunggu ranking kita terus jatuh terperosok ke tangga 200? ataupun hendak tunggu sama dengan Aruba? Timor Leste? Montserrat? Monte Negro? (yang bersama-sama berkongsi di kedudukan ke 199)

Kepada yang berkenaan, peminat sudah menunjukkan sokongan, tolong hargainya dan mungkin selepas ini tiada lagi yang akan mengambil tahu akan jatuh bangunnya bolasepak kita. Maka Mokhtar Dahari dan rakan-rakan akan tinggal menjadi lagenda. Mungkin atas sikap kita, anak cucu kita mungkin takkan mengenali bolasepak Malaysia, dan lebih arif tentang dunia bolasepak luar. Fikirkanlah FAM!

Tuesday, July 10, 2007

Sekitar Piala Asia : Malaysia vs China ~ Mampukah Kita?


Malam ini merupakan malam penting bagi semua yang terlibat dengan senario bola sepak negara. Malaysia akan menentang China untuk membuka tirai perlawanan kumpulan C, yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, siaran langsung perlawanan ini juga akan disiarkan di saluran 82 Astro Star Sport tepat jam 8.30 malam ini. Kepada mereka yang berkesempatan marilah kita menunjukkan semangat patriotik kita dengan menyokong pasukan kita, dan beramai-ramai memeriahkan dan memenuhkan tempat-tempat duduk di Stadium Nasional, ataupun jikalau tak berkesempatan, kita boleh juga memenuhkan meja-meja restoran mamak untuk menonton siaran langsung perlawanan ini. Kepada yang lebih mampu, langganlah Astro hari ini juga untuk memastikan anda tak terlepas dari menontonnya.

Dalam sidang akhbar yang berlangsung, Norizan Bakar, jurulatih pasukan negara, menyatakan bahawa, pasukan negara sekarang memang bersemangat tinggi untuk menentang China pada malam ini. China merupakan antara gergasi bola sepak Asia yang sedang meningkat naik selepas kebangkitan Jepun dan Korea, selain Iran, yang pastinya akan menjadi ujian getir pasukan kebangsaan yang hanya menang sekali dalam siri perlawanan persahabatan, itupun dengan pasukan kerdil Cambodia, dan kalah 2 kali kepada Jamaica dan UAE, di samping menunjukkan aksi yang hambar dan tidak meyakinkan. Norizan menambah, terpulang kepada pemain, untuk menunjukkan kita berada di tahap mana, sama ada bermati-matian mengekang kemaraan mereka, ataupun jikalau kalah, biarlah kekalahan yang bermaruah.

Hairuddin Omar juga memalu gendang keyakinan dengan menyatakan bahawa beliau yakin dapat menjaringkan gol dalam perlawanan ini, namun bagi aku beliau tak perlu menambah tekanan yang tak perlu di atas bahunya walaupun menunjukkan keyakinan itu adalah satu perkara yang positif, namun dalam situasi ini, tanpa apa-apa pun, perlawanan ini sendiri pastinya mendatangkan tekanan yang tinggi ke atas semua yang terlibat samada Norizan sendiri, semua pemain dan pegawai, FAM dan juga peminat-peminat bolasepak tanah air.

Pengkritik tersohor juga bekas pemain kebangsaan, Shebby Singh, juga dengan nada positif berharap pasukan Malaysia akan dapat menghadirkan sesuatu diluar jangkaan dalam perlawanan ini. Di samping berharap agar Malaysia dapat mengikut jejak langkah Vietnam dan Thailand yang cemerlang berhadapan lawan masing-masing, keputusan seri adalah keputusan yang harus di cari pada malam ini, katanya lagi.

Persoalannya, dengan senario bola sepak tanahair kita yang dibayangi peristiwa dan insiden-insiden lain yang kebanyakkannya adalah kisah-kisah luar padang yang tak sepatutnya terjadi, mampukah pasukan kita menjelmakan cabaran dalam pertandingan ini dan bukan hanya sekadar mencukupkan koram sahaja? Kita juga mahu melihat pemain-pemain kita disanjung kerana aku sudah muak dengan cacian dan hinaan yang dilemparkan dari peminat mahupun aku sendiri. Sampai bila pemain-pemain kita ini akan terus dibuai kelekaan dek kemewahan yang sedikit dari imbuhan yang diperoleh dalam liga tempatan?

Sedikit pandangan dari aku yang fanatik bola dan melihat sesuatu secara luas dan bukan secara simplistik, adakah penyakit ini ada kena mengena dengan perangai 'tak pa' orang kita? ('Tak pa' juga menjadi tema kempen hijau yang sedang rancak dijalankan sekarang.)

"Tak pa, buat apa main/kerja sungguh-sungguh, gaji pun dapat apa?"

"Tak pa, buat apa nak rajin-rajin sangat, dapat pakai kereta pun ok lah."

"Takpa, buat apa nak fikir-fikir sangat, buat keputusan sekarang, esok kita ubah lagi.."


Ini adalah antara, stigma dalam masyarakat yang selalu aku lihat berlaku dalam urusan kita seharian. Fikrah ini, bagi aku, mungkin menjadi punca utama kepada isu-isu yang berlaku di sekeliling kita. Isu sampah, pencemaran sungai, isu hasil kerja penjawat awam, isu kontraktor dan bangunan, dan pelbagai isu lagi, dan mungkin isu bola sepak kita juga ada kaitan dengannya. Jika kita terus begini, bukan saja bola sepak, malah dalam urusan lain, kita pasti akan ketinggalan nanti.

Kepada FAM pula, yang berada di dalamnya, janganlah hanya memikirkan pangkat dan kedudukan sahaja, seharusnya mereka memikirkan halatuju bolasepak secara serius, dan bukan secara sambil lewa sahaja. Pada hemat aku, satu revolusi harus dijalankan dalam strukutur pentadbiran dan pertandingan bola sepak tanahair. Dengan itu, martabat bola sepak kita akan kembali dijulang dan sesungguhnya, perjuangan itu takkan berjaya tanpa pengorbanan.

p.s: Tanah Melayu takkan merdeka jikalau rakyat terus duduk diam dirumah dan rakyatnya tak keluar ke jalan untuk menentang Malayan Union. Begitu juga bolasepak kita, FAM haruslah di'overhaul', dan itu sajalah satu-satunya jalan untuk melihat kembali bolasepak kita berdiri sama tinggi dengan pasukan lain, jikalau tidak di Asia, Asia Tenggara pun cukuplah!

p.p.s: Malaysia Boleh?





Sunday, July 8, 2007

Langkawi..Pulau Bulan Madu

Rabu lepas, aku dan isteri berlepas ke Langkawi dengan penerbangan Air Asia AK 6304, tepat jam 1215 selepas tertangguh selama 15 minit. Penerbangan agak lancar kerana cuaca yang amat baik, sekali sekala kecut perut juga setelah kapalterbang memasuki awan yang mempunyai poket-poket udara.

pemandangan dari angkasa


Kami selamat sampai di lapangan terbang Langkawi, tepat jam 1.15 setelah satu jam penerbangan. Sebuah kereta sewa telah sedia menunggu di tempat letak kereta lapangan tersebut, walaubagaimanapun, tuan punya kereta tersebut, tiada di sana. Dengan hanya berpandukan panggilan telefon, Abang Shah, towkey kereta sewa, menyatakan nombor plat pendaftaran kereta tersebut dan meminta kami mencarinya. Setelah berjalan dengan menyeret bagasi kesana kemari mencari kereta tersebut, kami berjaya mendapatkannya dengan kunci tersedia di slot nyalaannya (direct translation of ignition point..heh).



'Selamat Datang ke Langkawi'


Cuaca di sini amat panas sekali, dan menurut juruterbang yang membuat pengumuman di dalam penerbangan tadi, suhu di sini menjangkau 32 darjah celcius. Selepas itu kami terus bergerak menuju ke Tanjung Malai untuk mencari kedudukan penginapan kami iaitu Awana Porto Malai. Oleh kerana kami belum lagi makan tengahhari, kami singgah di sebuah restoran yang terletak di dalam kawasan Pantai Cenang. Setelah itu kami terus menuju ke Awana Porto Malai untuk melihat keadaan tempat tinggal kami sepanjang percutian ini. Selepas itu, oleh kerana Check-In ke hotel adalah pada pukul 3 petang, kami terus memandu menuju ke Pekan Kuah untuk meninjau keadaan di sana, di samping untuk recce rangkaian jalanraya di sana.

Kami terus ke mercu tanda Langkawi iaitu Dataran Lang, yang berhampiran dengan Jeti Kuah. Cuaca yang terlalu panas, menyebabkan aku terpaksa membeli topi dan sepasang kaca mata hitam bagi meminimakan kesan kepanasan yang membahang.

Kemudian, kami berpatah balik ke hotel kami, untuk mendaftar masuk, seterusnya berehat seketika sebelum bersedia untuk keluar pada petangnya, ke Pantai Cenang.

Petangnya, kami mengambil peluang untuk bersiar-siar di sepanjang Pantai Cenang yang dipenuhi pengunjung, tempatan dan luar negara. Kebanyakkan pelancong luar negara yang dapat dilihat pada masa ini adalah datang dari Timur Tengah, yang dapat dicam melalui busana mereka iaitu Jubah dan Purdah. Bangsa Kaukasian juga banyak dilihat di sini. Banyak aktiviti yang boleh disertai pengunjung disini seperti bermain jet ski, banana boat, para gliding ataupun sekadar mandi manda atau mencuci mata.




Menikmati keindahan senja di Pantai Cenang


Kemudian kami menikmati makan malam di salah sebuah restoran makanan laut yang terdapat di situ. Harga agak mahal jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain seperti Restoran makanan laut di Muara Pelabuhan Kelang, Kuala Perlis mahupun di Jeram Kuala Selangor.

Setelah itu, aku terus mencari pusat-pusat rawatan spa yang banyak terdapat di sini. Akhirnya aku berjaya memperoleh harga yang berpatutan setelah tawar menawar untuk satu sesi 'full body massage' selama sejam. Aku sangat berpuas hati dengan servis yang diberikan, urutannya dapat melegakan sengal-sengal badan dan membetulkan kembali urat-urat sraf dan melancarkan kembali aliran darah dalam badanku. Sahaja untuk pengetahuan semua, tukang urutnya adalah seorang lelaki, dan bukannya wanita.

pemandangan malam di sekitar pusat spa berhampiran pantai Cenang


Keesokkan harinya, kami merancang untuk mengelilingi pulau ini dengan memandu dan melawat kawasan-kawasan tarikan pengunjung seperti Makam Mahsuri, Atma Alam Batik, Beras Terbakar, Telaga Tujuh, Kereta Kabel di Gunung Mat Cincang, Pantai Pasir Hitam dan membeli belah di sekitar pekan Kuah. Kedai-kedai seperti Haji Ismail Group dan Pasaraya Idaman Suri yang menjadi kegilaan pengunjung yang rambang mata melihat harga-harga barangan seperti pinggan mangkuk, kelengkapan dapur yang berjenama seperti Corningware dan Vision yang dijual dengan harga yang sangat murah. Begitu juga barangan makanan seperti Coklat yang memang sangat murah dan dapat juga merambangkan mata aku yang memang gila dengan Coklat ini.




Bergambar bersama di balkoni hotel


Di Atma Alam Batik


Air terjun di Telaga Tujuh


Di kaki Gunung Mat Cincang - Kereta Kabel



Pengunjung merasa pengalaman para-gliding

Pemandangan pagi dari balkoni menghadap laut Selat Melaka


Pada hari Jumaat, kami berlepas pulang kembali ke Kuala Lumpur, dan meninggalkan memori manis sepanjang tiga hari berada di sini. Kepulangan kami di LCCT disambut oleh saudara Shahrian (Yan Tasar) yang bermurah hati membantu kami dengan menumpangkan kami pulang ke rumah kami di Puchong.

p.s: Kepada Fernando Torres, selamat datang ke Liverpool Football Club. You'll Never Walk Alone!

kamus: recce ~ rec·ce Pronunciation: 're-kE' Function: noun Usage: often attributive Etymology: by shortening & alteration: RECONNAISSANCE

Etymology: French, literally, recognition, from Middle French reconoissance, from Old French reconoistre to recognize: a preliminary survey to gain information; especially : an exploratory military survey of enemy territory


sumber: Kamus Dalam Talian Merriam-Webster

Tuesday, July 3, 2007

Transformers ~ Mengimbau Zaman Kanak-Kanak




* Sila klik pada Tajuk untuk ke laman rasmi Transformers. Terima kasih

Malam tadi aku berpeluang menonton filem Transformers di Cheras. Sebenarnya secara tidak dirancang dan secara tak sengaja aku berpeluang menontonnya. Kebetulan, tak ramai orang di kaunter tiket ketika itu, dan kebetulan pula, gaji pun sudah masuk, dan sekali lagi secara kebetulan orang rumahku meminta aku untuk mengambilnya di situ kerana kebiasaannya aku mengambilnya di pejabatnya (setelah keretanya mengalami kerosakan) maka dapatlah aku tonton filem ini akhirnya.

Aku duduk di barisan ke empat dari depan. Bayangkanlah, jenuh juga untuk mendongakkan kepala sepanjang kurang lebih 2 jam durasi tayangan tersebut. Namun oleh kerana ingin melihat hero-heroku semasa zaman kanak-kanak, aku tabahkan jua.

Aku bukan hendak bercerita tentang filem tersebut, atau sinopsisnya, tetapi kaitan biokimia antara filem tersebut dengan diri aku yang membesar dengan legasi Transformers semenjak era 80 an lagi.

Namun, untuk melihat Bumblebee atau Optimus Prime yang asal dalam filem tersebut, tidaklah kesampaian hajat tersebut, namun modifikasi Micheal Bay dan krew-krewnya yang sebelum ini menolak untuk menghasilkan filem tersebut, memang memenuhi citarasa penonton sama ada dari kalangan fanatik Transformers ataupun sekadar penonton biasa.


Ketua Robot Baik - Autobots - Optimus Prime


Ada antara babak-babak dan wataknya membawa aku jauh ke zaman itu, dan kadang-kadang terasa sebak juga, bukan kerana sedih tetapi kagum bagaimana teknologi moden zaman ini dapat menghidupkan secara 'real' robot-robot tersebut, dan mendatangkan rasa takjub dengan ilmu-ilmu yang manusia miliki.

Apa pun, selepas ini mungkin akan aku tonton sekali lagi filem ini, kali ini aku akan membuat tempahan lebih awal!

p.s: tips kepada bakal penonton, sila tunggu betul-betul sehingga habis kredit para pelakon dan krew. Anda mungkin terlepas sesuatu.

Sunday, July 1, 2007

Koleksi Awan - Satu Keajaiban Ciptaan Tuhan

Ini adalah koleksi gambar-gambar awan, yang aku ambil sewaktu memandu ke destinasi-destinasi tujuanku, kebanyakkannya di Pantai Timur. Orang kata, hanya dengan melihat awan, iman akan boleh bertambah, dan aku rasa mungkin benar kata-kata tersebut.


'3 Gunung Bersaudara'


' Bebayang Senja'

'Siput Gemawan '


'A Sleeping Baby'


'Hiroshima dan Nagasaki'

nota kaki: teringat Sate Hj Samuri di R&R Awan Besar, sedap!

StatCounter