Tuesday, July 31, 2007

Ulasan DVD

Antara filem-filem dalam bentuk DVD yang aku telah tonton sepanjang bulan Julai ini adalah antaranya Goal II, Shooter, Hot Fuzz, Evan Almighty, Outlaw dan The Good Shepherd.

Jikalau anda menggemari aksi lasak dan pengkagum teknologi tentera Amerika, anda pasti akan teruja dengan aksi Mark Wahlberg dalam The Shooter. Filem ini mengisahkan bekas Penembak Hendap (Sniper) tentera Amerika yang kehilangan rakannya dalam satu operasi rahsia (Covert Ops) di Eithopia yang menjadi asas kepada konspirasi hirarki pemerintahan tertinggi Amerika berkenaan dengan isu penguasaan laluan paip minyak dan gas di negara asing. Pada aku cerita ini adalah cerita streotaip dari Hollywood mengenai konspirasi politik dan juga mengenai teknologi ketenteraan mereka. Namun begitu, jalan ceritanya amat menarik untuk ditonton, dan anda juga dapat mengetahui bagaimana gerak-geri pasangan penembak hendap bersama pasangannya spotter dan juga bagaimana mereka melakukan kerja-kerja recon (reconnaisance) di kawasan yang bakal menjadi lapang sasar mereka. Pelbagai data-data seperti magnitud kelajuan angin, arah angin, jarak, pergerakan sasaran dan lain-lain menjadi asas permulaan sebelum memilih tempat sesuai untuk membidik mangsa.



Goal II pula adalah kesinambungan kisah Santiago Munez yang bermain untuk pasukan Magpies dalam filem Goal, sebelum ini. Kali ini Munez berhijrah ke Sepanyol untuk bermain dengan pasukan gergasi Real Madrid dan bertemu kembali dengan rakan lamanya Gavin Harris (Shite!) di sana. Kali ini Goal II menampilkan drama antara Munez yang terpaksa meninggalkan kekasih hatinya di UK untuk ke Sepanyol. Di tempat barunya ini juga dia mendapat tahu bahawa ibu kandungnya masih hidup lagi dan dia mempunyai adik tiri yang hidup dalam kedaifan. Dalam cerita ini, Munez menjadi hero dalam perlawanan akhir Piala Juara-Juara Eropah yang menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Arsenal.



Hot Fuzz pula adalah kisah lucu dari tanah Inggeris, yang mengisahkan seorang polis, Sarjan Nicholas Angel yang sangat obses dengan kerjanya, yang lebih banyak memberkas pesalah-pesalah yang melanggar undang-undang, yang ditukarkan tempat kerja dari London ke sebuah desa terpencil yang selalu memenangi pertandingan Desa Terbaik saban tahun. Cerita yang pada mulanya lawak dan lucu dengan adegan-adegan slapstik kemudian diikuti dengan misteri pembunuhan dan kematian-kematian misteri penduduk kampung tersebut tetapi Ketua Polisnya menafikan bahawa kesemua kematian itu bukanlah pembunuhan tetapi kemalangan. Adakah beliau dapat merungkai misteri kampung tersebut? Aksi-aksi ala Bad Boys ditampilkan di hujung-hujung persembahan. Bagi aku, filem ini sangat menarik untuk ditonton dan bagi mereka yang inginkan kelainan selain menonton Bollywood, Hollywood mahupun Malaywood, filem Inggeris dari United Kingdom ini amatlah aku syorkan.



Evan Almighty adalah filem kontroversi di sini. Tetapi mengikut kata pak menteri kita, filem ini adalah tidak pula di haramkan tayangannya di sini. Kontroversi mengenai filem ini adalah kerana filem ini mencedok kisah nabi terdahulu iaitu Nabi Nuh A.S ataupun dalam bible memanggilnya Noah, yang dialami oleh Evan Baxter lakonan Steve Carell yang di'wahyu'kan supaya membina sebuah bahtera untuk menyelamatkan penduduk New York dari banjir besar. Memang sangat lucu filem ini apatah lagi pada mula-mula si Evan ini mendapat arahan dari God (lakonan Morgan Freeman) di mana Evan langsung tak menghiraukan arahan tersebut maka terjadilah insiden-insiden misteri ke atas dirinya seperti haiwan-haiwan yang mengikutinya kemana sahaja beliau pergi, janggutnya tumbuh serta merta selepas bercukur dan pelbagai lagi insiden lucu di dalam filem ini. Filem ini akan ditayangkan di Malaysia pada 23 Ogos depan.

Filem Outlaw dan The Good Shepherd pula adalah kisah yang memerlukan pemikiran dan cerita ini tidaklah sesuai ditonton semasa bersantai. Outlaw arahan Nick Love adalah filem yang mengisahkan kekorupan suatu sistem undang-undang di United Kingdom dimana pesalah-pesalah undang-undang terlepas dan orang-orang baik yang sentiasa mematuhi arahan dan undang-undang menjadi mangsa akibat kekorupan sistem dan penyelewengan dalam institusi kepolisan negara tersebut. Kisah ini mengisahkan seorang bekas tentera lakonan Sean Bean (Lord of The Ring, Troy, National Treasure, Flightplan) yang pulang ke tanahair selepas berkhidmat hanya untuk melihat kecurangan isterinya dan kekorupan yang berlaku dalam masyarakatnya lalu mendorong beliau menegakkan kebenaran dengan tangannya sendiri. Kisah ini menarik untuk ditonton lebih-lebih lagi dalam mood merdeka yang bakal tiba nanti.



The Good Shepherd pula mengisahkan Edward Wilson yang menyaksikan kematian bapanya akibat membunuh diri yang ingin berbuat sesuatu yang boleh dibanggakan akhirnya hanya membawa beliau kedalam kehidupan yang kompleks, kejam, dan bosan. Beliau yang zaman remajanya menyertai satu perikatan rahsia yang banyak menghasilkan para pemikir, presiden, ahli politik, ahli perniagaan dan warga elitis Amerika kemudiannya menyertai OSS semasa Perang Dunia Kedua sebagai anggota perisikan di London. OSS kemudiannya menjadi asas kepada penubuhan CIA yang mana beliau merupakan ejen perisik yang akhirnya terperangkap dalam mainan politik dan rangkaian rahsianya yang sangat kompleks. Secara keseluruhan sebagai orang biasa anda akan mendapati cerita adalah tersangatlah bosan dan jalan penceritaan yang amat perlahan. Pelakon-pelakon dibarisi oleh bintang-bintang terkenal seperti Matt Damon, Angelina Jolie, Robert De Niro, Alec Baldwin dan Joe Pesci. Filem ini dikeluarkan pada tahun lepas iaitu 2006.



Antara DVD lain yang aku tonton adalah Shrek the Third. DVD ni akan aku pulangkan kepada towkey kedainya kerana mutu bunyi yang kurang berkualiti dan aku langsung tak dapat feel untuk menonton cerita tersebut.


2 comments:

cheesecake said...

boh la bintang skali! baru best

aranhellstorm said...

takpe la nanti aku boh bulan sekali.. hehehe...

StatCounter