Monday, July 23, 2007

Laporan Khas: Kembali ke era Semi-Pro
Oleh Azrul Affandi Sobry

MSN anggap liga profesional FAM bazir wang, gagal tingkat mutu bola sepak

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) mahu Liga Profesional yang sudah berusia lebih 10 tahun dinilai semula sama ada ia benar-benar menyumbang ke arah peningkatan mutu bola sepak negara atau hanya membazirkan wang.



Ketua Pengarahnya, Datuk Zolkples Embong, berkata jika prestasi pemain negara, terutama sejak era profesional diperkenalkan dijadikan ukuran, liga profesional gagal melahirkan pasukan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa seperti ketika era amatur dulu.

Sehubungan itu, katanya, sudah sampai masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencari segala ruang kelemahan dalam penganjuran Liga Profesional dan jika perlu, tidak salah bagi FAM berpatah balik kepada penganjuran liga secara separuh profesional (Liga Semi-Pro).

“Jika ada yang mempertikaikan pandangan ini dengan alasan ia merugikan sukan bola sepak itu sendiri, saya rasa tiada masalah kerana selama ini pun kita sudah banyak membazirkan wang untuk sukan itu. Jadi, istilah rugi tidak wajar dibangkitkan.

“Lebih baik kita kurangkan perbelanjaan jika kualiti pemainnya tetap merudum. Sekurang-kurangnya kita tidak berputih mata melihat segala perbelanjaan yang dikeluarkan selama ini sia-sia,” katanya.

Ranking terbaru Malaysia dalam arena bola sepak dunia ialah di tangga ke-154, sama dengan negara seperti Sri Lanka, yang dianggap ‘bukan negara bola sepak’. Saingan Malaysia pada era 70-an dan 80-an adalah Korea dan Jepun, yang kini sudah melangkah ke Piala Dunia.

Kemuncak kepada kritikan orang ramai terhadap kemerosotan bola sepak negara timbul apabila skuad negara kalah mengaibkan dalam kejohanan bola sepak Piala Asia, sehingga Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden FAM.

Zolkples, yang nyata kecewa dengan senario bola sepak negara berkata, kerajaan selama ini sentiasa memberi keutamaan kepada sukan itu termasuk memperuntukkan dana RM12 juta setahun untuk pelbagai program pembangunan di seluruh negara.

Malangnya, keselesaan dan kemewahan yang dihidangkan dalam sukan itu sendiri menyebabkan pemain terlalu manja dan membelakangkan kepentingan negara ketika mewakili pasukan kebangsaan.

“Pemain negara kita berlagak seperti bintang popular. Tak ada disiplin, berambut panjang, kaki disko, sibuk dengan kisah cinta dan pelbagai lagi sikap negatif yang terserlah akibat terlalu dimanjakan.

“Pemain pada era amatur terpaksa bekerja menyara hidup dan itu menjadikan mereka lebih kental serta berdisiplin. Mereka juga bersemangat tinggi untuk mewakili negara berbanding pemain sekarang yang tidak kisah kerana selesa dengan apa yang mereka ada,” katanya.

Zolkples percaya jika peruntukan sukan itu dikurangkan, ia dapat menampung perbelanjaan bagi meningkatkan kualiti sukan lain yang lebih berpotensi menaikkan nama negara.

“Lebih mengecewakan ialah sistem profesional yang diamalkan selama ini seakan tidak relevan kerana pemain bermain teruk sekalipun masih mampu hidup mewah dan menerima gaji tinggi,” katanya.

Beliau mengambil contoh pasukan seperti Vietnam dan Iraq yang terpaksa bersaing untuk menikmati taraf hidup lebih baik, sekali gus menuntut pemain negara terbabit komited dengan kerjaya sebagai pemain bola sepak.

“Kerana itulah pasukan mereka mampu berjaya malah jauh meninggalkan pasukan kita di belakang. Kita pula dari hari ke hari semakin ketinggalan dalam kedudukan pasukan terbaik dunia.

“Hakikatnya, jurulatih terbaik di dunia sekalipun dibawa melatih pasukan negara tidak akan berjaya selagi pemain sendiri tidak berubah daripada sikap yang lebih mementingkan kemewahan. Jangan salahkan jurulatih dalam hal ini,” katanya.

Bekas Presiden FAM, Tan Sri Hamzah Abu Samah, pula berkata FAM perlu menilai semula keberkesanan setiap individu yang memimpin badan induk itu dan ahli politik tidak harus terbabit dalam pengurusannya.

Beliau bersetuju dengan saranan agar pembabitan ahli politik dalam FAM perlu dikurangkan dengan membawa masuk golongan korporat supaya kepemimpinannya lebih telus dan ikhlas.

“Selama ini ahli politik kerap menggunakan FAM sebagai medan untuk kepentingan politik mereka. Ia tiada masalah sekiranya seorang ahli politik itu berlatar belakang sukan dan mampu mengasingkan politik dalam perkhidmatannya bersama FAM,” katanya.

Ini aku petik dari Berita Harian Online hari ini. Apa yang aku suarakan sebelum ini memang senada dengan artikel ini.

Harap FAM dapat berbuat sesuatu, dan kalau FAM terus duduk membatukan diri, buat-buat bodoh dan buat-buat bodoh sombong, marilah rakyat kita turun memprotes dan buatkan mereka-mereka yang gila kuasa macam Shahidan Kasim atau sesiapa sahaja yang ada agenda tersembunyi, panas punggung.

Arrrggghghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh...kenapalah aku minat bolasepak????

No comments:

StatCounter