Thursday, February 28, 2008

Persediaan Sebelum Mengundi

Tips-tips sebelum tibanya hari pengundian bagi pengundi-pengundi yang layak dan telah berdaftar dengan SPR.

1. Selain daripada membaca akhbar arus perdana yang bertukar seketika di musim pilihanraya ini menjadi lidah rasmi parti pemerintah, pengundi adalah dinasihatkan banyakkan medium bacaan alternatif seperti akhbar terbitan pembangkang seperti Siasah, Harakah, Era Baru dsb, membaca pendapat-pendapat rakyat melalui blog-blog, dan juga artikel-artikel mengenai politik yang boleh di dapati di majalah-majalah.

2. Mendengar ceramah-ceramah politik anjuran parti pembangkang, dengan ini bukan sahaja kita dapat menilai kepintaran berhujah dari bakal wakil-wakil rakyat, bahkan kita juga dapat mengambil input-input dan mendengar isu-isu yang diutarakan serta manifesto pihak yang sebelah lagi, setelah seharian mendengar iklan-iklan parti pemerintah di corong-corong radio, iklan di tv, di suratkhabar dan juga iklan percuma setiap kali warta berita ke udara.

3. Setelah melakukan kedua-kedua yang tersebut di atas, pengundi harus membuat kajian sendiri tentang isu-isu nasional yang dihadapi dan apakah pendirian anda tentang isu-isu tersebut. Membuat kajian sendiri bermaksud membuat ta'akulan terhadap apa-apa isu yang didengar, dibaca ataupun yang dialami sendiri supaya dapat menentukan sesuatu berita itu fakta atau auta. (Pinjam dari Hot FM)

4. Barangkali ramai yang sudah ada keputusan untuk mengundi pihak mana, dan mungkin ramai juga yang was-was untuk memilih yang mana satu pilihan yang tepat. Mungkin juga masih ramai lagi yang tak ambil port tentang Pilihanraya Umum barangkali mungkin tidak cool ataupun terlupa untuk mendaftar. Bagi yang was-was, fikirkan apakah anda selesa dan rasa ok saja dengan tugas yang telah dilaksanakan parti pemerintah sebelum ini? Fikirkan semasak-masaknya kerana satu undi itu adalah suara anda. Masa depan negara terletak di tangan anda.

5. Rajin-rajinkan diri anda berbincang dan berborak dengan rakan-rakan anda mengenai situasi politik negara, kerana ianya bukan sahaja dapat mengetahui senario politik terkini tanahair tetapi dapat bertukar-tukar pendapat serta idea tentang isu-isu yang di bawa dan diketengahkan oleh pihak-pihak yang bertanding.

Setelah melakukan kesemua di atas, anda seharusnya tahu apakah peranan anda sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab ke atas perencanaan dan perjalanan negara ini menuju masa depan yang lebih cerah.

Harus diingat juga, jangan terpedaya dengan sebarang taktik calon-calon yang menggunakan kaedah ugutan, politik wang, kekerasan dan sebarang bentuk intimidation yang lain, kerana anda berkuasa sepenuhnya terhadap pendirian dan undian anda. Gunakan hak anda ini sebaik-baiknya.

Ingat, jadilah pengundi BIJAK! (bukan pengguna saja harus BIJAK!)

Tuesday, February 26, 2008

10 Cadangan Untuk Memeriahkan Liga Bolasepak Tempatan

Sebut saja tentang bolasepak negara, pasti terbayang di benak pemikiran peminat-peminat bolasepak tanahair adalah imej-imej longlai pasukan tempatan di pentas antarabangsa baik dunia mahupun sekadar saingan serantau yakni Asia Tenggara. Jikalau mahu bercerita atau menulis tentang kebobrokan scene bolasepak tempatan di pentas antarabangsa, pastinya tidak akan habis walaupun berkajang-kajang kertas dan selautan tinta digunakan untuk menulisnya.

Bagi penulis, hanya ada satu titik positif di dalam kesuraman aksi bola sepak tempatan adalah sambutan dan harapan bagi peminat-peminat dan penyokong-penyokong pasukan di dalam Liga Super. Oleh itu, penulis ingin mencurahkan idea buat FAM supaya dapat mengeksploitasi keadaan ini supaya dapat mengangkat motivasi pemain-pemain bolasepak dalam negara dan seterusnya mengangkat sedikit demi sedikit martabat bolasepak tempatan yang sudah jauh terperosok ke tempat yang paling memalukan.

1. Perancangan dan pengendalian Liga tempatan.

Seharusnya dirancang mengikut kalendar pertandingan antarabangsa, serantau dan juga bulan puasa kerana liga yang baik, adalah liga yang meminimakan gangguan-gangguan luar yang boleh menyebabkan terhentinya perlawanan dalam liga. Ini selalu sangat kita lihat di dalam liga tempatan, perlawanan diberhentikan sebulan kerana memberi laluan kepada pertandingan-pertandingan lain, ataupun sekadar memberi laluan kepada bulan puasa. Ini sangat-sangat menampakkan kedangkalan dan kebebalan orang yang bertanggungjawab mengendalikan jadual liga. FAM seharusnya berkomunikasi lebih banyak dengan badan-badan lain seperti AFC, FIFA, dan juga badan-badan sukan serantau supaya jadual liga tempatan tidak terganggu.

2. Bilangan pasukan dan jenis pasukan.

Sebelum ini, penulis pernah terfikir supaya dibubarkan sahaja pasukan negeri, digantikan dengan pasukan kelab-kelab yang diasaskan oleh industri-industri mega seperti Proton, Petronas, MISC, TNB dan lain-lain supaya dapat membentuk satu entiti atau kelab yang akhirnya nanti dapat berdikari mencari penaja sendiri dan dapat menghasilkan kelab-kelab yang berdaya niaga. Tetapi mungkin ini hanya dapat difikirkan jika ada satu revolusi dalam arena bola sepak tempatan.

Jadi kita tetapkan halatuju kita dengan pasukan-pasukan yang ada di dalam liga tempatan. Bilangan pasukan di dalam liga Super sepatutnya ditingkatkan daripada 13 menjadi 20 supaya dapat mengelakkan satu pasukan berehat dalam satu-satu minggu perlawanan seperti yang di suarakan oleh wakil FIFA, dan juga dapat meningkatkan tahap kecergasan pemain-pemain kerana bermain dalam jumlah perlawanan yang banyak iaitu sekurang-kurangnya 38 perlawanan berbanding 24 perlawanan liga yang ada sekarang. Kita seharusnya memberi lebih banyak pasukan bertanding bagi merebut satu piala yang ada prestij supaya dapat meningkatkan tahap konsistensi prestasi satu-satu pasukan dan juga tahap kompetetif satu-satu liga yang dianjurkan itu. Selain itu, asingkan kelab dari persatuan negeri kerana terbukti kelab tidak mempunyai base fan yang ramai, dan selalunya stadium akan kosong berbanding dengan pasukan negeri. Patut ditubuhkan satu liga untuk kelab, yang bermain di stadium-stadium kecil seperti stadium milik Majlis Berkuasa Tempatan, ataupun milik persendirian.

3. Hak penyiaran oleh tv dan radio.

Jikalau ditinjau, sebenarnya peminat bola sepak tanahair sebenarnya banyak jumlahnya. Buktinya tinjau saja di laman-laman forum penyokong-penyokong pasukan tempatan, banyak sekali ahli-ahli yang aktif yang memberikan idea-idea dan tak kurang juga ahli-ahli yang hanya ingin menghangatkan suasana dengan idea provokasi mereka. Di stadium-stadium pula, kita ada 'die hard core fan' yang sememangnya hadir pada tiap-tiap perlawanan, dan ada juga yang bermusim-musim kehadiran mereka ke stadium, iaitu semasa prestasi pasukan masing-masing memuncak. Tetapi itu tidak penting, yang penting liga kita masih lagi mampu menarik penonton-penonton untuk hadir ke stadium.

Jadi kenapa hanya RTM yang diberikan hak penyiaran? Kenapa tidak dibuka tender bagi stesen-stesen tv yang banyak di Malaysia ini untuk menyiarkan perlawanan secara langsung pada tiap-tiap minggu? Kenapa RTM yang terkenal dengan kerja 'asal buat' mereka itu dengan pengulas-pengulas sukan yang begitu malas untuk bermain dengan kata-kata, tiada homework, grafik yang hambar serta angle-angle kamera yang sama sejak dari zaman pra kemerdekaan dulu. Kenapa tidak memberikan hak penyiaran itu kepada stesen tv swasta seperti TV3, NTV7 kerana terbukti mereka boleh memberikan info-info mengenai sukan ini yang jauh lebih baik dari penyampai-penyampai RTM (termasuklah pengulas jemputan mereka yang sememangnya tak tahu cara untuk menyampai dan mengulas satu-satu point dalam perlawanan)

Begitu juga dengan radio, sepatutnya ada satu radio berformat sukan ataupun radio bola bukan hanya semata-mata berharap kepada radio negeri (RTM) yang membawakan perlawanan secara langsung yang kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada, melalui corong-corong radio.

4. Hebahan melalui akhbar dan majalah

Jikalau kita tatap Berita Harian ada satu segmen sms pembaca di mana kita boleh lihat perang mulut antara penyokong Kedah dan Selangor. Ini dapat memeriahkan lagi dan menambah keterujaan peminat untuk mengambil tahu keadaan dan prestasi pasukan masing-masing di dalam liga. Akhbar perlu menambah ruangan khas di dalam akhbar mereka mengenai liga tempatan seperti mana era semi pro dan ketika era bermulanya liga pro tempatan, di mana skop dan cakupan infonya meluas. Tetapi setelah EPL mengukuhkan cengkaman mereka, keadaan ini tidak lagi berlaku. Majalah yang aktif dalam menyebarkan info dalam negara pun hanya ada Arena Bolasepak manakala lambakan majalah yang menyalurkan info liga luar seperti FourFourTwo, The League, Wisel begitu banyak ada di pasaran.

5. Tiket perlawanan.

Adakan sistem tiket bermusim, yang harganya jauh lebih murah berbanding harga di kaunter, ini akan dapat meningkatkan kemahuan peminat untuk pergi ke stadium. Katalah harga tiket sekarang RM 10 di pintu masuk, adakan sistem tiket bermusim yang hanya mengenakan RM 8 ataupun RM5 bagi satu-satu perlawanan. Sediakannya dalam bentuk 10 perlawanan, 20 perlawanan ataupun setengah musim atau semusim penuh. Adakan cabutan-cabutan bertuah yang menghadiahkan kenderaan ataupun perkakasan elektrik ataupun apa-apa barangan yang dapat menarik minat peminat untuk membeli.

Satu lagi, design ataupun rekabentuk tiket seharusnya di ubah. Sebagai peminat bolasepak, penulis sebagai seorang penyokong Merah Kuning, belum pernah lagi mendapat tiket yang betul-betul ada nilai ekstetika untuk di simpan sebagai kenangan. Tiket-tiket yang ada nilai ekstetika yang bagus seharusnya ada terpapar tarikh, perlawanan dengan pasukan mana, harga, mungkin disertakan dengan kupon minuman, mungkin boleh diletakkan nama pemilik tiket ataupun dengan mengumpul beberapa tiket dapat menonton Perlawanan lain seperti FA Cup dan Piala Malaysia secara percuma, mungkin. Ini tidak, asyik-asyik dapat 'Tiket Simpanan', tarikh pun tiada bercetak, memang budaya malas ini di mana-mana sahajakah?

6. Promosi meluas

Kalau diperhati, langsung tiada promosi yang dapat kita lihat dan FAM dilihat hanya bergantung kepada ihsan akhbar-akhbar untuk mempromosi liga tempatan. Langsung tiada iklan-iklan mengenai liga tempatan dapat dilihat di billboard-billboard, di tv, di panggung wayang ataupun dimana-mana tempat yang menjadi tumpuan ramai. Bagaimana kita mahu menarik penonton jikalau tiada kaedah penjenamaan atau pengiklanan yang lebih ekstrim dilaksanakan? Promosi harus juga melibatkan kanak-kanak ataupun budak-budak sekolah, kerana sepanjang pemerhatian penulis, kurang sambutan kanak-kanak yang hadir pada setiap perlawanan di stadium. Ibu-bapa, abang, kakak harus juga menjalankan promosi liga terhadap ahli keluarga yang lebih muda sebagai usaha menyokong liga bola sepak tempatan. FAM seharusnya membuat promosi dikalangan murid-murid sekolah bagi menggalakkan mereka menonton dan lebih bagus supaya mereka ini dapat menceburi bidang ini sebagai matlamat kerjaya mereka juga. Jangan harapkan Milo atau Nike sahaja yang berusaha menarik kelompok ini, kerana itu sebahagian usaha mereka memperluaskan cengkaman produk mereka. FAM harus turun sendiri ke peringkat akar umbi. Lihat saja di perlawanan EPL, ramai kanak-kanak yang bertandang ke stadium bagi mengikuti perlawanan di temani ibu-bapa mereka, ini dapat juga menambah keharmonian dalam keluarga.

7. Jadual perlawanan

FAM harus memperkenalkan perlawanan liga pada waktu petang secara lebih meluas bukan sahaja pada perlawanan di stadium yang tiada lampu limpah. Ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan tahap kecergasan dan ketahanan fizikal pemain yang tidak hanya bermain pada sebelah malam. Ini dapat mempelbagaikan lagi corak dalam liga tempatan dan memberikan penonton dan peminat lebih ruang masa kerana mungkin terdapat halangan bagi mereka untuk menonton pada sebelah malam. Harus di ingat, FAM perlu lebih kreatif untuk menyesuaikan waktu perlawanan liga dengan agenda-agenda sukan lain baik dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

8. Hapuskan liga-liga picisan

Liga-liga picisan seperti Piala Bardhan, Piala Emas Raja-Raja hanya menambah beban kewangan kerana pertandingan ini tak meluas skopnya, hanya bersifat berkelompok. Buat apa kita adakan liga yang hanya disertai oleh satu kaum sahaja. Come on... ini Malaysia, kita ada masyarakat majmuk, kita tidak perlu liga seperti ini. Buang masa, buang tenaga. Tumpukan hanya kepada liga utama yang ada, supaya dapat semua idea dan tenaga digembleng bersama bagi meningkatkan imej bolasepak negara.

9. Status Bintang

Pemain-pemain harus diberi kelas, A, B atau C atau gunakan status 1, 2 atau 3 bintang yang menggunakan prestasi semasa mereka sebagai milestone. Seperti di liga luar seperti EPL, mereka ada Actim Index dimana setiap pergerakan mereka direkodkan seperti berapa jumlah gol dijaringkan, jumlah assist, hantaran tepat, hantaran tak sampai, jumlah save, tandukan, tackle, kad merah atau kuning dan segala data tentang perlawanan direkodkan, dengan ini kita dapat tahu pemain mana yang boleh bermain, pemain mana yang handal dan pemain mana yang buta kayu. Ini dapat mengurangkan isu-isu seperti pemain anak emas yang dilayan lebih dari orang lain semata-mata kerana dia ahli keluarga atau sekadar favouritisme. Pemain-pemain yang mewakili negara juga harus diberikan taraf yang lain dari mereka yang tidak mewakili negara. Jadi pemain-pemain ini akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mewakili negara. Tangga gaji juga harus diselaraskan mengikut status yang dicadangkan ini.

10. Endorsement dan ejen

Jikalau diperhatikan memang kurang penampilan pemain-pemain liga tempatan dalam iklan-iklan dan penjenamaan tempatan. Yang ada pun, Zakuan adik beradik dalam iklan Nike. Sepatutnya mereka ini diberikan peluang untuk menjadi duta kepada jenama-jenama yang ada dalam negara. Ini mungkin kerana ketiadaan ejen yang mencari peluang-peluang bagi pemain memaksimakan pendapatan mereka di luar kerjaya sebagai pemain bola sepak. Ini perlu kerana ia dapat mempelbagaikan komoditi bagi industri bola sepak sama seperti industri hiburan tanah air. Sekurang-kurangnya ini dapat membawa generasi sekarang mengenali who's who dalam arena bolasepak tanah air.

Sekian. Artikel ini dihasilkan untuk menyertai pertandingan di BorakBola.Net.

Monday, February 25, 2008

Ulasan DVD



Hujung minggu baru lepas. Hari sabtu, pergi lepak-lepak bawah pokok di tepi pantai di Teluk Kemang. Walaupun cuaca panas membahang, angin bayu membawa diriku.... eh, tu lirik lagu! Angin bayu pantai Teluk Kemang memang menenangkan jiwa orang bandar yang banyak masalah macam aku ini. Hahaha....

Baring-baring atas tikar yang dibeli dengan harga RM 10, sambil baca buku "New Malaysian Essays I" memang aku rasa betul-betul macam orang berilmu, intelek, kelas menengah dan ada kelas. Hahahaha....

Balik rumah, terus on kan alat pemain DVD. Tengok cerita Rush Hour 3. Malam sebelumnya tengok Heartbreak Kid. Dua-dua genre komedi. Tapi taklah lawak sangat. Lawak lagi Raja Lawak 2. Hahahaha....



Lepas tu sambung pula dengan filem American Gangster, tu pun lepas tengok Liverpool v Middlesbrough. Torres hatrik seyy...cayalah lu Torres!

Nak cerita fasal American Gangster. Aku dah tengok cerita ni di panggung, tapi masa tu dah hujung-hujung tayangan. Dekat wayang pun tinggal 1, 2 show saja, walaupun begitu, masih penuh dengan penonton sampai aku pun kena duduk di row paling bawah sekali. Dekat TGV pula tu, terpaksa mendongak 180 darjah ke atas. Sampai naik pening-pening aku tengok cerita tu. Oleh sebab tak puas hati punya fasal aku pun belilah DVD nya. (walaupun sebenarnya, sebab dekat wayang banyak aksi dipotong terutama yang topless-topless punya scene...hahahahah...)



Tapi bukan nak cerita part tu, sebenarnya kepada sesiapa yang dah tonton cerita ni, part last masa Frank Lucas lakonan Denzel Washington (my favourite!) keluar dari penjara, dekat wayang, lepas keluar cerita ni terus habis. Tapi bila tengok di DVD, sebenarnya ada lagi dekat 10 minit cerita baru habis. Apa punya mangkuk la panggung wayang ataupun LPF pergi potong bab last tu buat apa??

Babak terakhir tu sebenarnya Ritchie Roberts (Russell Crowe ~ my favourite jugak nih), dia tunggu Frank Lucas tu keluar penjara, lepas tu dia bawak Frank jalan-jalan dekat kawasan Harlem, port lama Frank masa dia jadi taiko dulu, banyak sangat perubahan, lepas tu dia mengomel-ngomel fasal mau kerja apa, sebab dia cuma tau jadi pengedar dadah saja.

Lepas tu, baru credit roll. Lepas habis senarai pelakon, pelakon tambahan, stuntman, segala macam lagi habis, muncul lah imej Frank Lucas ni pakai topi tengah menembak guna pistol.

Macam ada sambungan aje. Harap-harap ada lah, tak puas tengok dua-dua tu berlakon, gempak habis!

Lepas tu malam tadi, aku layan pula cerita 'We Own The Night', lakonan Mark Wahlberg, Joaquin Phoenix, Eva Mendes dan Robert Duvall. Cerita dia agak segar jugalah, Bobby Green (Joaquin Phoenix) adalah adik kepada Joseph Grusinsky (Mark Wahlberg) di mana, Bobby ni bekerja dengan seorang orang kaya Rusia, Marat Buzhayev (bukan Roman Abramovic arr..) di mana beliau menjadi pengurus kelab malam yang terkenal di Brooklyn. Cerita ini berlatarbelakangkan tahun 1988 di mana pada masa itu dadah menjadi musuh utama Amerika Syarikat.



Pendek cerita, Joseph naik pangkat, jadi ketua cawangan Street Crime (dimana We Own The Night tu adalah motto bagi pasukannya) dan agenda utamanya adalah untuk menyekat pengedaran dadah berskala besar ke Brooklyn. Diketahuinya, seorang mafia Rusia yang amat kejam, Vadim Nezhinski yang juga anak saudara kepada Marat adalah orang yang bertanggungjawab mengedar kokain, PCP dan ganja ke Brooklyn. Bobby ni saja dia guna surname ibu dia, supaya dia boleh menyembunyikan identitinya, dan supaya orang lain tak tahu sebenarnya dia bersaudarakan anggota polis!

Satu malam, Joseph dan pasukannya membuat operasi di kelab malam yang di uruskan adiknya, kerana Vadim selalu lepak di situ. Konco-konco Vadim ditahan kerana memiliki dadah terlarang, kecuali Vadim yang di dapati 'clean'. Bobby juga ditahan kerana dia juga intoksikasi dengan kokain dan ganja, semasa ditahan beliau sedang menelan arang yang dipercayai dapat meneutralkan dadah-dadah yang ada dalam sistem badannya.

Pendek cerita sekali lagi, konco-konco Vadim menembak Joseph dan nyaris maut, kerana pelurunya hanya menembusi pipinya, dan selepas itu bapanya Albert Grusinsky yang juga merupakan ketua polis Brooklyn (Robert Duvall) pula menjadi mangsa kekejaman mafia dari Rusia ini.

Akhirnya, Bobby mengikut jejak langkah ahli keluarganya menjadi anggota polis. Dapatkah beliau membalas dendam terhadap kematian bapanya? Tontonlah sendiri, letih mau tulis panjang- panjang.

Friday, February 22, 2008

Sketsa Kehidupan

Hari ini pagi-pagi sudah keluar, pergi ke Putrajaya, atas urusan dengan PKK. (PKK bukan sebuah parti ya?)

Sebelum itu, singgah sebentar di pejabat pos. Buat kiriman wang. Buat membayar pembaharuan lesen pendaftaran. Buat kami kontraktor kecil dapat mencari peluang-peluang kerja atau peluang-peluang menender walaupun mungkin kebanyakkan masa akan dihabiskan dengan menender dan hingga ke hujung, tiada projek yang dapat. Buat pihak-pihak yang mengagih-agihkan kekayaan negara dengan cara yang tidak adil, secara runding terus tanpa tender terbuka, ingat-ingatlah sikit orang di bawah.

Contoh memulakan ayat dengan perkataan 'buat' adalah seperti di atas. Hehehe...

Di pejabat pos. Di hadapan kaunter. Seorang pelanggan berbangsa Tionghua, klan mana aku tak tahu. Seorang pegawai pos pelatih berbangsa Melayu, tak tahu Jawa atau Banjarnya. Sedang menjalankan urusan bayaran bil pembentungan.

Pelanggan : Saya mahu bayar RM60 sekali untuk next punya bil

Pegawai Pos : Bil warna merah encik kena bayar ikut apa dia tulis.

Pelanggan : Saya mahu bayar sekali dengan next punya tak boleh ka?

Pegawai Pos : Sini tulis RM40, kena bayar RM 40 encik, tak boleh lain dari yang ditulis.

Pelanggan : Ok lah, empat puluh pun empat puluh lah.

Pegawai pos mengambil wang dari pelanggan lalu membuat urusan transaksi pembayaran melalui komputernya.

Pelanggan : Ini bangunan takda orang duduk woo... kena bayar jugak ka?

Pegawai Pos : (Ralit dengan butang-butang mana harus ditekan dan masih terpaku di depan monitor)

Pelanggan : Takda orang guna pun mau bayar juga ka?

Pegawai Pos : Eh, encik, ini bukan bil air la. Ini bil pembentungan.

Pelanggan : Saya tauu... tapi tak ada orang duduk situ, macam mana ada air mau pergi itu lubang..... itu pun mereka mau cas kita lagi jugak haa?

Aku, kakak pegawai pos depan aku dan pegawai pos pelatih tiba-tiba ketawa besar dengan pernyataan pelanggan itu.

Itulah, berak kat rumah atau pejabat pun kena bayar. Bayangkan bos-bos kita yang kedekut sama macam Haji Bakhil, sudah tentu pekerja-pekerja semua kena bayar apabila masuk tandas. Nasib baik bos aku tak macam tu, walaupun semua di pejabat tahu dia kedekut.

Pelanggan tadi sudah beredar. Urusannya sudah selesai. Datang pula dua orang yang bersuara lantang berborak dalam bahasa Inggeris di dalam pejabat pos dari mula mereka masuk, beratur dan sampai di belakang aku.

Lama juga aku di kaunter tadi. Buat 2 keping kiriman wang, memanglah lama. Not.

Berbalik kepada 2 orang pelanggan tadi, kedua-duanya memegang kad pengenalan masing-masing. Mereka ke kaunter sebelah, tempat pegawai pos pelatih itu bertugas. Kedua-duanya ingin memeriksa daftar pemilih. Kedua-duanya di arahkan ke kaunter tempat aku sedang berurusan.

Sekarang mereka di sebelah aku. Kakak pegawai pos di kaunter tempat aku berurusan bertanya perihal urusan mereka.

Kakak pegawai pos : Ya, encik?

Tiba-tiba.

Pegawai Pos Pelatih : Eh, tak boleh check sini encik. Kalu nak daftar saja boleh lah kat sini.

Kakak Pegawai Pos : Sini nak buat pendaftaran baru sahaja. Nak check pegi internet lah, pergi laman website dia...

Pelanggan : Where can we check? Do you know the address?

Lama kakak depan aku ni senyap.

Aku : www.spr.gov.my

Pelanggan : Ok, thanks.

Sama ada kakak tu tak tahu alamat website dia, ataupun tak faham bahasa Inggeris.

Dekat luar, masa aku berjalan ke kereta, ada dua orang sedang membuat persediaan untuk rakaman tv. Dekat kamera dia ada sticker RTM. Cepat-cepat aku lari masuk dalam kereta.

Thursday, February 21, 2008

Jangan Merungut Saja

1. Harga bahan bakar sentiasa naik sedangkan kita negara pengeluar minyak mentah.

2. Gula, Minyak masak, tepung boleh 'hilang' dalam rantaian pasaran kepenggunaan, sedangkan kita juga mempunyai ladang-ladang kelapa sawit yang luas. Kilang gula punya besar di Batu 3 tu, pun boleh susut di pasaran.

3. Jalanraya ataupun lebuhraya hari-hari penuh sesak dengan kenderaan, tapi yang dibina lebuhraya berbayar, makin menyusahkan rakyat biasa macam aku.

4. Tol bagi lebuhraya-lebuhraya kerapkali naik, sampai bila nak ada tol rakyat pun tak tahu.

5. Hubungan antara kaum makin jauh renggang, masing-masing bersangka-sangka antara satu sama lain. Dasar yang ada, polisi yang ada, kerajaan yang ada langsung tak membantu usaha perpaduan antara kaum yang benar-benar padu. Bukan setakat gah pada slogan.

6. Kebebasan bersuara dan kebebasan media ditahap yang tak berapa nak bebas, cakap atau tulis perkara-perkara yang berbeza aspirasi dengan kerajaan dilabelnya sebagai mengkhianat, antikerajaan, pro-pembangkang, dan pelbagai nama lagi, atau silap haribulan boleh kena tangkap ISA didakwa kerana menghasut.

7. Media semua sudah menjadi tunggangan kerajaan, kemana lagi hendak menyuarakan rasa tidak puas hati kalau jadi begitu? Tentulah dengan tunjuk perasaan secara aman, berkumpul ramai-ramai, bawa sepanduk, luahkan rasa tidak puas hati. Tapi tak boleh juga, sebab itu perhimpunan haram, kalau buat juga, merasalah kena tembak dengan air gatal, ataupun dihambat polis. Jadi, ke mana lagi mahu mengadu? Bayangkan kalau zaman Malcolm Macdonald dulu dia ada pasukan FRU, tentu sekarang kita jadi Malayan Union bukannya Malaysia.

8. Institusi kehakiman tidak lagi dipandang mulia. Rakyat ramai yang mempersoal, (ramai juga rakyat yang tak ambil tahu), Raja Nazrin menyeru supaya institusi kehakiman tidak jadi macam teater bangsawan, penuh drama. Ada pula siasatan terhadap orang biasa yang ada kuasa menentukan siapa hakim negara. Apa kes?

9. Kita hari-hari dimomokkan dan diperbodohkan dengan rasa takut dan propaganda demi propaganda oleh kerajaan melalui media massa. Sampai aku dah naik muak, nak tukar siaran pun hati-hati, takut-takut terpicit butang 101 atau 102 pada alat kawalan jauh Astro, sebab boleh menyebabkan muntah dan pening-pening. Kenapa tak nak lawan atas padang yang sama rata?

10. Harga barang asyik naik. Gaji juga tak naik-naik. Apa usaha kerajaan bagi mengawal kenaikan harga barang?

"Ini adalah sebahagian usaha aku berkempen untuk Menidakkan Majoriti 2/3 Barisan Nasional Dalam Pilihanraya Akan Datang - sekian terima kasih"

Wednesday, February 20, 2008

After the Storm, There's A Golden Sky

Selepas berjaga malam tadi, menonton perlawanan Champions League Round of 16, akhirnya, kegembiraan yang telah lama gersang dari hati dan sanubari seorang penyokong setia The Reds, telah kembali mengisi ruang hati yang belum lagi pulih setelah keluar dari persaingan FA Cup tewas kepada kelab dari liga bawahan, Barnsley (Barli? Roti Ban?).

Sesungguhnya, kekalahan itu memang sukar diterima. Hari ini barulah mampu membuka laman-laman web bolasepak seperti Football365, Soccernet, LiverpoolFC.tv mahupun borakbola.net.

Harap-harap dapat mengekang saingan Internazionale (Inter Milan) di San Siro Mac nanti. Seri pun jadilah. Semoga berjaya ke suku akhir.

p/s: tak sabar nak tunggu keputusan Arsenal v AC Milan dan M*n U*d v Lyon esok.

p/p/s: Selangor menang besar malam tadi belasah DPMM FC 5-1 dalam FA Cup 1st Rd. Heh, cayalah!!

Monday, February 18, 2008

Met Uncle Hussin

Itu tajuk bukan merujuk kepada band indie yang sedang meningkat popular itu. Ini cerita betul-betul punya. Jumpa Pakcik Hussin, sebentar tadi, di LHDN Shah Alam, jadi dalam bahasa Inggerisnya, met uncle Hussin lah, ya tak?

Uncle Hussin ini bapa angkat aku. Bapa angkat dalam program Skim Anak Angkat Yayasan Pelajaran Mara. Aku terpilih mengikuti program ini semenjak aku darjah lima lagi, yakni tahun 1992. Selepas itu, lama juga tak berhubung sehinggalah tahun 1999, aku terpilih masuk ke ITM Shah Alam, aku ada juga menziarahi keluarga beliau di Shah Alam.

Kemudiannya, kali terakhir aku berjumpa dan menghubungi beliau dan keluarganya ialah pada tahun 2002. Masa itu, anak sulungnya, Kak Lin, melangsungkan perkahwinannya. Semenjak itu aku terputus hubungan, kerana selepas tamat pengajian aku ke Kuantan.

Tadi, ketika aku berjalan meninggalkan kaunter setem hasil, menuju ke arah lif, tiba-tiba satu susuk tubuh dengan raut muka yang aku kenal sangat gerangannya. Lalu, meet uncle Hussin, orang yang langsung tiada kaitan darah dengan aku, tetapi membantu aku menyara sedikit sebanyak perbelanjaan sekolah aku suatu masa dulu.

Cuma aku sahaja yang seakan-akan lupa jasa dan budi beliau, walaupun sebenarnya aku sangat-sangat menghargai dan tak akan pernah lupa akan keikhlasannya itu.

I am sorry Uncle Hussin. I owe you my life.

Semalam

Semalam kesiangan. Tidur lambat. Lewat tengahhari selepas Melodi, keluar bersama orang rumah. Cari barang-barang keperluan bayi, insya Allah kalau ada rezeki. Berdebar-debar pula rasa di hati.

Selepas makan ayam kampung, di Seksyen 7, aku terus ke Jusco Bukit Raja, mencari barang-barang keperluan yang aku dah cakap tadi. Ada offer, jadi ambil peluanglah kiranya.

Serius, aku tak tahu nak ambil apa. Aku biar saja orang rumah aku memilih barang-barang yang perlu walaupun sambil-sambil tangan aku menyambar juga item-item yang aku rasakan perlu.

Selepas itu ke Modern Mum, belikan pakaian untuk orang rumah aku yang sudah berubah fizikalnya, lebih kurang nak jadi macam aku, maksud aku, perut aku. Haha...

Kemudian ke MPH, saja-saja tengok, kalau-kalau ada majalah atau buku yang menarik untuk di baca. FourFourTwo edisi terkini, depan ada gambar Adebayor. Dalam ada wawancara bersama Jamie Carragher. What the heck, beli sajalah. Arena Bolasepak pun ada cerita dan gambar team Selangor. What the heck, beli sajalah. Bergerak dari satu rak ke rak. Orang rumah tanya, "Buku ni best ke?", sambil tunjuk satu naskhah 'La Tahzan' kepada aku.

Aku lupa aku cakap apa. Tapi aku cakap beli saja, asal mau di baca dan mahu menjadi lebih bagus.

Kemudian berhenti di satu rak, buku yang dah lama aku nak tahu isi dalamnya, ada di depan mata. Mein Kampf 'My Struggle' karangan Hitler masa dia dalam penjara. Mungkin aku rasa aku nak jadi macam Hando (Russel Crowe) dalam 'Romper Stomper'. Tebal nak mampus. Tak tau bila boleh habis baca. What the heck, beli sajalah.

Lepak di luar, atas kerusi panjang, sambil-sambil baca sikit Mein Kampf. Ada aura nasionalisme meresap masuk ke dalam jiwa. Sikit-sikit, Assabiyah pun ada masuk juga.

Jam 5.30, sudah janji dengan sahabat-sahabat, mau minum-minum kopi di Pak Li. Sudah lama tak minum kopi dengan sahabat-sahabat. Jibam datang dulu, lepas tu Ajid, kemudian Bert dan lepas tu, Ihsan. Bert bagi aku 2 buku lagi yang aku dah tempah awal dari dia. 'Lost in Transition' dan 'New Malaysian Essays 1'. Kena habiskan baca sebelum pilihanraya. Hujung-hujung sesi, Pilus datang menjengah. Lama tak jumpa mamat ni, sejak pindah dari Seksyen 7. Kawan-kawan UiTM pun ada lepak di sana, Squin, Jamal, Aris, Idham, Aidy, Atan dan Arab. Arab bagi kad jemputan yang ada 'strikethrough' tulisan tangan pada cetakan tarikh asalnya.

Itulah, berteka-teki lagi fasal tarikh pilihanraya, apa salah bagi tahu awal-awal tarikh pilihanraya? Kenapa, takut? Takut keadaan pada masa yang dah ditetapkan awal-awal tu nanti tak favour kamu semua? Penakut.

Nak takut apa. Sistem yang ada memang menjamin 99% kamu menang. Kamu ada, media cetak arus perdana yang menjadi lidah rasmi parti kamu. Kamu ada TV1, TV2, TV3, TV9 Saluran Rasmi Hadhari, NTV7, 8Tv, Astro, Radio-radio RTM, radio-radio berformat dan tidak kurang juga radio-radio tak rasmi as in Makcik Jah atau Makcik Esah penyebar gossip jiran tetangga anda yang mengambil upah menjadi pekerja-pekerja pilihanraya merayu undi untuk kamu di sana sini. Belum bicara soal persempadanan semula, dan isu-isu yang dianggap basi seperti pengundi hantu dan undi pos.

Huh, semangat bicara politik di Pak Li semalam belum luntur. Masih berbara lagi!

Balik rumah, orang rumah aku gelak, sebab ada pacifier dalam beg plastik Jusco. Akulah yang ambil tu.

Saturday, February 16, 2008

Gelak Tawa

Ketawa. Aku memang suka ketawa. Apa-apa saja yang dapat membangkit nafsu gelak aku, aku akan ketawa terbahak-bahak walaupun bapa mertua aku ada di berhampiran. Aku akui aku memang suka bergelak ketawa. Bukankah kita perlu gembira?

Banyak sumber yang dapat menjadikan aku gelak terkekeh-kekeh ataupun menghilai-hilai. Majalah-majalah kartun lawak berlambak-lambak di Malaysia ini, namun pilihan aku adalah majalah Apo?. Hanya satu sebab sahaja, iaitu kartunis Lambok dengan lawak-lawak antarabangsanya dengan lukisan yang kemas tetapi berkarektor hodoh dan buruk. Memang dari dulu aku menggemari lawak-lawaknya yang memang tak masuk akal, tapi boleh menjadikan aku lupa untuk mem'plastik'kan diri jika di tempat awam. Apabila aku gelak, aku jadi diri sendiri. Aku tak cover.

Gelak terbahak-bahak seorang diri, dan orang-orang disekeliling memandang dan menoleh sambil menghakimi aku. Bukankah kita selalu gemar menilai dan menghakimi orang disekeliling kita?

Tak berapa lama dulu sumber-sumber hilai tawa aku juga didapati dari Senario, filem-filem yang ada Saiful Apek, Who's Line Is It Anyway?, vcd-vcd telemovie yang pernah satu ketika dulu membanjiri pasaran hiburan, My Wife and Kids, filem-filem Afdlin Shauki, Gitu-Gitu Apek, filem-filem Jackie Chan, Macam-macam Aznil, Panggilan Hangit Hot FM mahupun Gotcha Hitz FM dan kadang-kadang Seinfeld dan rakan-rakannya. Kadang-kadang juga bila minum teh sambil mengumpat bersama rakan-rakan. Selalunya blog-blog popular tanahair. Tak payah cakaplah blog mana, nanti kata nak tumpang naik trafik pula. Hahaha..

Yang terkini the Office versi Amerika, video klip 'Gelimat' di Youtube dan Raja Lawak Astro Musim Kedua. Aku suka hosnya Johan dan Zizan, dan beberapa pesertanya yang memang semulajadi kelakar. Aku sokong Nabil!

Tapi janganlah ada yang bertanya "Apa yang lawaknya? Tak lawak pun?" ketika aku sedang bergelak ketawa. Sebab orang macam ini kurang sense of humor ataupun urat ketawanya terputus ataupun mungkin kedua-duanya sekali. Kalau kamu tak boleh gelak janganlah persoalkan kenapa aku gelak, apa yang lawak, kenapa tak diam dan fikir, "Kenapa aku tak boleh gelak?".

Apa pun, laughter is the best medicine. Gelak selagi boleh, life is too short to dwell on sad stuff.

Teringat masa arwah mak aku meninggal, petang itu kawan-kawan sekuliah aku datang menziarah. Mereka datang tanpa ada muka-muka sedih, tanpa ada ayat-ayat default, "Sabarlah Aran, yang pergi takkan kembali...", sebab mereka tahu aku tahu. Tapi mereka datang dengan sense of humor yang cukup tinggi. Kasi aku ceria. Yang mati pergilah mati, yang hidup teruskan hidup, biar kesedihan itu datang sekejap, selepas itu biarkan ia pergi kerana aku mahu hidup bergelak ketawa. Lepas itu malamnya aku sudah pulang, mahu sambung kuliah esok hari.

Gelaklah, ketawalah, life is too short mate!

Thursday, February 14, 2008

Ribut Neraka

Aku berlari-lari
menuju keributan
ditengah-tengah pekik lolong
orang-orang yang ratus juta banyaknya
di dalam api hitam yang membakar hangus
jiwa-jiwa yang dibelenggu hawa nafsu dan serakah

aku berlari-lari
menuju ribut kalut
yang berhabuk berasap
yang debunya maha panas
bisa merobek dan meluluh
jiwa-jiwa yang dibelenggu hawa nafsu dan serakah

aku berlari-lari
berasak-asak dan bertolak-tolak
bersama orang-orang yang ratus juta banyaknya
di dalam pusaran lahar yang menggelegak-gelegak
memakan habis daging dan tulang temulang berceracak
jiwa-jiwa yang dibelenggu hawa nafsu dan serakah kehendak

aku berlari-lari
menuju pintu yang dijaga Malik
sedang orang-orang yang ratus juta banyak
tenggelam di dalam api yang membakar marak
api besar yang menjilat setinggi langit ketujuh dunia
yang membakar mereka dan aku sekejap nanti
yang punya jiwa-jiwa yang dibelenggu nafsu dan serakah

ya, aku sedang berlari menuju ke sana.

Mengundi

8 Mac 2008 dah sah tarikh mengundi. Baru tadi tengok di laman web Berita Harian online. Jadi aku harus balik kampung dan mengundi.

Bila difikirkan secara mendalam senarionya, kenapa sistem yang ada memerlukan perantau-perantau balik ke kampung untuk mengundi? Sedangkan perantau-perantau ini tidakpun menetap di kawasan DUN ataupun Parlimen di kawasan tersebut.

Aku terfikir mengenai perkara ini, semasa menonton Buletin Utama yang menyiarkan usaha Pemuda Bee En yang dikepalai oleh menantu PM, En Khairy Jamaluddin yang ingin menyeru perantau-perantau dari Kelantan supaya balik ke kampung halaman dan mengundi BN.

Katalah mereka memilih mana-mana parti, tetapi kemudiannya pulang kembali ke kota tempat mereka mencari rezeki, barang sesiapa yang memerintah ataupun polisi yang kerajaan Negeri gubal bukannya dapat dikuatkuasa ke atas mereka pun.

Umpama datang ke kampung orang kemudian berak di tengah jalan tengah-tengah malam. Orang lain yang terpalit atau tercium baunya esok pagi.

Apapun, aku kena balik menyelesaikan tanggungjawab kepada negara.

Tuesday, February 12, 2008

Kosong

Monday, February 4, 2008

Kenduri Kahwin

Semalam, Ahad, aku menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan, bekas rakan sekolah dan sedorm di SMKAKS dulu yang baru-baru ini pernah mengecapi populariti di dunia virtual internet terutama di forum-forum dan email-email berkenaan isu "Bergambar bersama babi kesayanganku". Hahaha.. just joking.

Bagi pasangan mempelai Dr Dzulhamka Kamaluddin dan Dr Intan Nur Fatiha, tahniah diucapkan kepada anda berdua, semoga ikatan yang baru dijalin, akan kekal sehingga ke akhir hayat.

Semalam, majlis diadakan di Hotel Crystal Crown Pelabuhan Klang. Aku bersama isteri dan sahabat, Kacap, Cpot dan Jibam bergerak dari Shah Alam kira-kira jam 12.30. Sampai di sana, Apai dan isteri kemudian menyertai kami.

Ramai juga wajah-wajah yang aku kenali hadir. Antaranya, En Mat Som Marwi, Kakikatangan Makmal Fakulti Kejuruteraan Awam UiTM Shah Alam, yang masih mengenali aku walaupun sudah 3 tahun aku meninggalkan UiTM. Cikgu-cikgu sekolah juga hadir, sempat bersembang-sembang bersama Cikgu Zulkifli, Cikgu Ismail Jemalos, Cikgu Shahril, dan Ustaz Ziyad sebelum masuk untuk melahap lauk pauk yang ada. Ustaz Ghazali juga hadir walaupun begitu aku tidak sempat bertegur sapa dengan beliau.


Antara cikgu yang hadir - Cikgu Ismail, Ustaz Ziyad, Cikgu Shahril dan Cikgu Zul


Ini adalah lakonan semula insiden bagaimana Jibam dapat mengelak dari kantoi dengan
Cikgu Zul kerana menghisap rokok di dalam tandas satu masa dulu.


Antara sahabat yang hadir

Antara sahabat yang hadir


Bergambar bersama pasangan mempelai


Antara rakan-rakan yang hadir adalah Amrah bersama suami dan anak, Shazareen bersama adiknya Syabil, Nabeehah, Asiah dan Natrah.

Selepas makan lebih kurang, dan bersalam-salam dengan pengantin, kami menuju ke Damansara One Utama untuk menonton filem CUCI bersama-sama. Kebetulan aku dan isteri sudah merancang untuk ke sana dari rumah lagi untuk membeli keperluan isteri aku membuat persediaan-persediaan sebelum bertukar status.

Sampai sahaja di sana, keadaan sangat sesak, dan tempat letak kereta sudah penuh. Lebih memburukkan keadaan, kakitangan keselamatan tidak membantu pengunjung untuk mencari tempat-tempat letak kenderaan yang kosong menyebabkan kami membuat beberapa pusingan tawaf di sekeliling tempat letak kereta di basement One Utama.

Rancangan bertukar, kini kami menuju ke The Curve dan kami menonton filem tersebut di Cineleisure. Selepas tamat menonton, kami ke Kayu Kandar di sebelah Borders untuk bertemu Bert yang ketinggalan untuk meraikan Kenduri Kahwin Rakan-Rakan pertama beliau di mana jika beliau dapat hadir ke kenduri Hamka siang tadi, sudah pasti sejarah baru akan tercipta. Hahaha... Bert baru sahaja pulang dari percutiannya di Penang.

Setelah makan, Jibam telah mencipta satu adegan drama kerana mencicirkan kunci keretanya. Setelah puas mencari kesana kemari, akhirnya kunci beliau ditemui di Cineleisure, walaupun kehilangan key chainnya.

Kami berpisah dan aku hanya sampai di rumah jam 10 malam.

Saturday, February 2, 2008

Sabtu Bekerja

Orang lain duduk diam-diam di rumah. Aku diam-diam duduk di pejabat. Takut kena kutuk dengan sahabat.

"Apa la...bangla pun cuti hari sabtu maaa...."

Apa boleh buat. Mencari bermangkuk-mangkuk, bertalam-talam rezeki.

Friday, February 1, 2008

Rencam

Pertama~Jelajah Pahang

Aku baru masuk ke pejabat selepas menjelajah negeri Pahang. Kelmarin aku ke Kuantan untuk menghadiri mesyuarat kemajuan kerja di HQ JBA Pahang. Selepas itu singgah pula di beberapa tempat seperti Maran dan Mentakab atas urusan kerja dan mengambil beberapa dokumen. Semalam, aku ke Temerloh untuk membuat final inspection ke atas tapak yang telah siap. Seperti roda yang berputar, 3 bulan sebelum ini atau lebih tepat 3 kali mesyuarat tapak aku telah dibambu oleh Konsultan dan Kontraktor Utama kerana belum menjalankan kerja. Tetapi semalam, aku mungkin yang sub-kontraktor pertama antara banyak-banyak yang lain, yang pertama membuat penyerahan kepada Kontraktor Utama.

Berbalik kepada cerita asal, semalam aku ke Temerloh dan kemudian ke Mentakab. Selepas pulang dari tapak, aku ke Kuala Lipis melalui Jerantut. Semasa melalui jalan Jerantut-Kuala Lipis, aku berada di belakang skuad Destinasi HotFM ScootScoot bersama AG dan Leya. Hajat hati ingin memotong mereka lalu melambai mesra tetapi keadaan jalan yang sempit dan bengkang bengkok, membuatkan aku terus berada di belakang mereka.

Di Kuala Lipis, aku melawat satu lagi tapak bina di kawasan tebing Sg Pahang. Kemudian aku ke Raub dan seterusnya pulang ke Puchong melalui Bentong dan Lebuhraya Karak-KL.

Kedua~Belasungkawa

2 hari duduk dalam kereta, aku berpandukan hanya kepada radio untuk mengetahui berita-berita terkini. Aku terkedu bila mendengar berita Loloq meninggal dunia kelmarin. Kemudian dapat SMS dari ma'am yang Dato Ishak Baharom bekas Mufti Selangor pula meninggal dunia.

dan kita kehilangan dua orang yang betul-betul komited, berdedikasi serta besar bakti mereka kepada masyarakat . Takziah kepada keluarga Allahyarham dan al Fatihah untuk kedua mereka.

Ketiga~Ucapan

Selamat menyambut Tahun Baru Cina, semoga di tahun Tikus ini Malaysia akan terus dilimpahi kekayaan dan kemakmuran.

Juga salam bulan Februari, kepada rakan-rakan yang lahir di bulan ini, semoga panjang umur dan murah rezeki.

StatCounter