Tuesday, February 26, 2008

10 Cadangan Untuk Memeriahkan Liga Bolasepak Tempatan

Sebut saja tentang bolasepak negara, pasti terbayang di benak pemikiran peminat-peminat bolasepak tanahair adalah imej-imej longlai pasukan tempatan di pentas antarabangsa baik dunia mahupun sekadar saingan serantau yakni Asia Tenggara. Jikalau mahu bercerita atau menulis tentang kebobrokan scene bolasepak tempatan di pentas antarabangsa, pastinya tidak akan habis walaupun berkajang-kajang kertas dan selautan tinta digunakan untuk menulisnya.

Bagi penulis, hanya ada satu titik positif di dalam kesuraman aksi bola sepak tempatan adalah sambutan dan harapan bagi peminat-peminat dan penyokong-penyokong pasukan di dalam Liga Super. Oleh itu, penulis ingin mencurahkan idea buat FAM supaya dapat mengeksploitasi keadaan ini supaya dapat mengangkat motivasi pemain-pemain bolasepak dalam negara dan seterusnya mengangkat sedikit demi sedikit martabat bolasepak tempatan yang sudah jauh terperosok ke tempat yang paling memalukan.

1. Perancangan dan pengendalian Liga tempatan.

Seharusnya dirancang mengikut kalendar pertandingan antarabangsa, serantau dan juga bulan puasa kerana liga yang baik, adalah liga yang meminimakan gangguan-gangguan luar yang boleh menyebabkan terhentinya perlawanan dalam liga. Ini selalu sangat kita lihat di dalam liga tempatan, perlawanan diberhentikan sebulan kerana memberi laluan kepada pertandingan-pertandingan lain, ataupun sekadar memberi laluan kepada bulan puasa. Ini sangat-sangat menampakkan kedangkalan dan kebebalan orang yang bertanggungjawab mengendalikan jadual liga. FAM seharusnya berkomunikasi lebih banyak dengan badan-badan lain seperti AFC, FIFA, dan juga badan-badan sukan serantau supaya jadual liga tempatan tidak terganggu.

2. Bilangan pasukan dan jenis pasukan.

Sebelum ini, penulis pernah terfikir supaya dibubarkan sahaja pasukan negeri, digantikan dengan pasukan kelab-kelab yang diasaskan oleh industri-industri mega seperti Proton, Petronas, MISC, TNB dan lain-lain supaya dapat membentuk satu entiti atau kelab yang akhirnya nanti dapat berdikari mencari penaja sendiri dan dapat menghasilkan kelab-kelab yang berdaya niaga. Tetapi mungkin ini hanya dapat difikirkan jika ada satu revolusi dalam arena bola sepak tempatan.

Jadi kita tetapkan halatuju kita dengan pasukan-pasukan yang ada di dalam liga tempatan. Bilangan pasukan di dalam liga Super sepatutnya ditingkatkan daripada 13 menjadi 20 supaya dapat mengelakkan satu pasukan berehat dalam satu-satu minggu perlawanan seperti yang di suarakan oleh wakil FIFA, dan juga dapat meningkatkan tahap kecergasan pemain-pemain kerana bermain dalam jumlah perlawanan yang banyak iaitu sekurang-kurangnya 38 perlawanan berbanding 24 perlawanan liga yang ada sekarang. Kita seharusnya memberi lebih banyak pasukan bertanding bagi merebut satu piala yang ada prestij supaya dapat meningkatkan tahap konsistensi prestasi satu-satu pasukan dan juga tahap kompetetif satu-satu liga yang dianjurkan itu. Selain itu, asingkan kelab dari persatuan negeri kerana terbukti kelab tidak mempunyai base fan yang ramai, dan selalunya stadium akan kosong berbanding dengan pasukan negeri. Patut ditubuhkan satu liga untuk kelab, yang bermain di stadium-stadium kecil seperti stadium milik Majlis Berkuasa Tempatan, ataupun milik persendirian.

3. Hak penyiaran oleh tv dan radio.

Jikalau ditinjau, sebenarnya peminat bola sepak tanahair sebenarnya banyak jumlahnya. Buktinya tinjau saja di laman-laman forum penyokong-penyokong pasukan tempatan, banyak sekali ahli-ahli yang aktif yang memberikan idea-idea dan tak kurang juga ahli-ahli yang hanya ingin menghangatkan suasana dengan idea provokasi mereka. Di stadium-stadium pula, kita ada 'die hard core fan' yang sememangnya hadir pada tiap-tiap perlawanan, dan ada juga yang bermusim-musim kehadiran mereka ke stadium, iaitu semasa prestasi pasukan masing-masing memuncak. Tetapi itu tidak penting, yang penting liga kita masih lagi mampu menarik penonton-penonton untuk hadir ke stadium.

Jadi kenapa hanya RTM yang diberikan hak penyiaran? Kenapa tidak dibuka tender bagi stesen-stesen tv yang banyak di Malaysia ini untuk menyiarkan perlawanan secara langsung pada tiap-tiap minggu? Kenapa RTM yang terkenal dengan kerja 'asal buat' mereka itu dengan pengulas-pengulas sukan yang begitu malas untuk bermain dengan kata-kata, tiada homework, grafik yang hambar serta angle-angle kamera yang sama sejak dari zaman pra kemerdekaan dulu. Kenapa tidak memberikan hak penyiaran itu kepada stesen tv swasta seperti TV3, NTV7 kerana terbukti mereka boleh memberikan info-info mengenai sukan ini yang jauh lebih baik dari penyampai-penyampai RTM (termasuklah pengulas jemputan mereka yang sememangnya tak tahu cara untuk menyampai dan mengulas satu-satu point dalam perlawanan)

Begitu juga dengan radio, sepatutnya ada satu radio berformat sukan ataupun radio bola bukan hanya semata-mata berharap kepada radio negeri (RTM) yang membawakan perlawanan secara langsung yang kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada, melalui corong-corong radio.

4. Hebahan melalui akhbar dan majalah

Jikalau kita tatap Berita Harian ada satu segmen sms pembaca di mana kita boleh lihat perang mulut antara penyokong Kedah dan Selangor. Ini dapat memeriahkan lagi dan menambah keterujaan peminat untuk mengambil tahu keadaan dan prestasi pasukan masing-masing di dalam liga. Akhbar perlu menambah ruangan khas di dalam akhbar mereka mengenai liga tempatan seperti mana era semi pro dan ketika era bermulanya liga pro tempatan, di mana skop dan cakupan infonya meluas. Tetapi setelah EPL mengukuhkan cengkaman mereka, keadaan ini tidak lagi berlaku. Majalah yang aktif dalam menyebarkan info dalam negara pun hanya ada Arena Bolasepak manakala lambakan majalah yang menyalurkan info liga luar seperti FourFourTwo, The League, Wisel begitu banyak ada di pasaran.

5. Tiket perlawanan.

Adakan sistem tiket bermusim, yang harganya jauh lebih murah berbanding harga di kaunter, ini akan dapat meningkatkan kemahuan peminat untuk pergi ke stadium. Katalah harga tiket sekarang RM 10 di pintu masuk, adakan sistem tiket bermusim yang hanya mengenakan RM 8 ataupun RM5 bagi satu-satu perlawanan. Sediakannya dalam bentuk 10 perlawanan, 20 perlawanan ataupun setengah musim atau semusim penuh. Adakan cabutan-cabutan bertuah yang menghadiahkan kenderaan ataupun perkakasan elektrik ataupun apa-apa barangan yang dapat menarik minat peminat untuk membeli.

Satu lagi, design ataupun rekabentuk tiket seharusnya di ubah. Sebagai peminat bolasepak, penulis sebagai seorang penyokong Merah Kuning, belum pernah lagi mendapat tiket yang betul-betul ada nilai ekstetika untuk di simpan sebagai kenangan. Tiket-tiket yang ada nilai ekstetika yang bagus seharusnya ada terpapar tarikh, perlawanan dengan pasukan mana, harga, mungkin disertakan dengan kupon minuman, mungkin boleh diletakkan nama pemilik tiket ataupun dengan mengumpul beberapa tiket dapat menonton Perlawanan lain seperti FA Cup dan Piala Malaysia secara percuma, mungkin. Ini tidak, asyik-asyik dapat 'Tiket Simpanan', tarikh pun tiada bercetak, memang budaya malas ini di mana-mana sahajakah?

6. Promosi meluas

Kalau diperhati, langsung tiada promosi yang dapat kita lihat dan FAM dilihat hanya bergantung kepada ihsan akhbar-akhbar untuk mempromosi liga tempatan. Langsung tiada iklan-iklan mengenai liga tempatan dapat dilihat di billboard-billboard, di tv, di panggung wayang ataupun dimana-mana tempat yang menjadi tumpuan ramai. Bagaimana kita mahu menarik penonton jikalau tiada kaedah penjenamaan atau pengiklanan yang lebih ekstrim dilaksanakan? Promosi harus juga melibatkan kanak-kanak ataupun budak-budak sekolah, kerana sepanjang pemerhatian penulis, kurang sambutan kanak-kanak yang hadir pada setiap perlawanan di stadium. Ibu-bapa, abang, kakak harus juga menjalankan promosi liga terhadap ahli keluarga yang lebih muda sebagai usaha menyokong liga bola sepak tempatan. FAM seharusnya membuat promosi dikalangan murid-murid sekolah bagi menggalakkan mereka menonton dan lebih bagus supaya mereka ini dapat menceburi bidang ini sebagai matlamat kerjaya mereka juga. Jangan harapkan Milo atau Nike sahaja yang berusaha menarik kelompok ini, kerana itu sebahagian usaha mereka memperluaskan cengkaman produk mereka. FAM harus turun sendiri ke peringkat akar umbi. Lihat saja di perlawanan EPL, ramai kanak-kanak yang bertandang ke stadium bagi mengikuti perlawanan di temani ibu-bapa mereka, ini dapat juga menambah keharmonian dalam keluarga.

7. Jadual perlawanan

FAM harus memperkenalkan perlawanan liga pada waktu petang secara lebih meluas bukan sahaja pada perlawanan di stadium yang tiada lampu limpah. Ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan tahap kecergasan dan ketahanan fizikal pemain yang tidak hanya bermain pada sebelah malam. Ini dapat mempelbagaikan lagi corak dalam liga tempatan dan memberikan penonton dan peminat lebih ruang masa kerana mungkin terdapat halangan bagi mereka untuk menonton pada sebelah malam. Harus di ingat, FAM perlu lebih kreatif untuk menyesuaikan waktu perlawanan liga dengan agenda-agenda sukan lain baik dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

8. Hapuskan liga-liga picisan

Liga-liga picisan seperti Piala Bardhan, Piala Emas Raja-Raja hanya menambah beban kewangan kerana pertandingan ini tak meluas skopnya, hanya bersifat berkelompok. Buat apa kita adakan liga yang hanya disertai oleh satu kaum sahaja. Come on... ini Malaysia, kita ada masyarakat majmuk, kita tidak perlu liga seperti ini. Buang masa, buang tenaga. Tumpukan hanya kepada liga utama yang ada, supaya dapat semua idea dan tenaga digembleng bersama bagi meningkatkan imej bolasepak negara.

9. Status Bintang

Pemain-pemain harus diberi kelas, A, B atau C atau gunakan status 1, 2 atau 3 bintang yang menggunakan prestasi semasa mereka sebagai milestone. Seperti di liga luar seperti EPL, mereka ada Actim Index dimana setiap pergerakan mereka direkodkan seperti berapa jumlah gol dijaringkan, jumlah assist, hantaran tepat, hantaran tak sampai, jumlah save, tandukan, tackle, kad merah atau kuning dan segala data tentang perlawanan direkodkan, dengan ini kita dapat tahu pemain mana yang boleh bermain, pemain mana yang handal dan pemain mana yang buta kayu. Ini dapat mengurangkan isu-isu seperti pemain anak emas yang dilayan lebih dari orang lain semata-mata kerana dia ahli keluarga atau sekadar favouritisme. Pemain-pemain yang mewakili negara juga harus diberikan taraf yang lain dari mereka yang tidak mewakili negara. Jadi pemain-pemain ini akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mewakili negara. Tangga gaji juga harus diselaraskan mengikut status yang dicadangkan ini.

10. Endorsement dan ejen

Jikalau diperhatikan memang kurang penampilan pemain-pemain liga tempatan dalam iklan-iklan dan penjenamaan tempatan. Yang ada pun, Zakuan adik beradik dalam iklan Nike. Sepatutnya mereka ini diberikan peluang untuk menjadi duta kepada jenama-jenama yang ada dalam negara. Ini mungkin kerana ketiadaan ejen yang mencari peluang-peluang bagi pemain memaksimakan pendapatan mereka di luar kerjaya sebagai pemain bola sepak. Ini perlu kerana ia dapat mempelbagaikan komoditi bagi industri bola sepak sama seperti industri hiburan tanah air. Sekurang-kurangnya ini dapat membawa generasi sekarang mengenali who's who dalam arena bolasepak tanah air.

Sekian. Artikel ini dihasilkan untuk menyertai pertandingan di BorakBola.Net.

5 comments:

harapanku said...

jom men bola!!!

haha..

kooreen79 said...

hohoho...pendapat dan cdgn yg menarik..namun apakan daya, FAM bukannya nak ambik pusing suma ni..sila emel je pada FAM..bila la bola malaysia nak meriah mcm liga semi pro dulu..dulu setiap ada game aku pegi..skrg setiap ada game aku tak th lagi

aranhellstorm said...

koreen79: hehehe...masa semi pro dulu siap ade buku sticker....siap kumpul tu semua...skg takde pun....

aranhellstorm said...

harapanku: jommm.....futsal la ...br best...hehehe

yatibahar said...

Salam Aran,
Terjumpa blog awk ni sambil cari info about my research. An excellent article you wrote here. Ex-UiTM ek? I'm with UiTM too. Masuk Uni tak kluar2 :-)

StatCounter